Saturday, 30 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PEPERIKSAAN PUSAT - ISU

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.


  1. Pada penulisan yang lepas, saya telah cuba menghuraikan tentang apa yang dimaksudkan tentang pentaksiran pendidikan, dari segi definisinya. Di sini saya akan cuba meneruskan huraian tentang kenapa kita harus berpindah dari sistem peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan negara. Pentaksiran dan peperiksaan pusat merupakan dua sistem yang berbeza dari segi konsep, matlamat dan kaedah pengendaliannya.  Perubahan ini akan membawa kepada trasnformasi sistem pendidikan negara kerana sistem pendidikan negara tidak akan berubah tanpa transformasi dalam sistem pentaksiran pendidikan.  
  2. Peperiksaan pusat telah wujud dalam sistem pendidikan negara sejak sebelum merdeka lagi kerana sistem pendidikan negara diwarnakan daripada legasi sistem pendidikan British menerusi University of Cambridge Local Examination Syndicate (UCLES).  Sewaktu merdeka, negara masih berpaksikan sistem pendidikan British di mana calon peperiksaan harus menduduki peperiksaan Overseas Senior Cambridge (OSC) bagi mendapatkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. Walau pun selepas merdeka, sistem peperiksaan pusat terus mendominasi sistem pendidikan negara dengan pelbagai jenis dan bentuk peperiksaan yang diperkenalkan.
  3. Perkembangan ilmu dan teknologi dunia hari ini memberi tekanan kepada sistem pendidikan di seluruh dunia untuk terus relevan dan berjalan seiring dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat. Kegagalan akan menjurus ke arah kemunduran dan akan mudah dimanipulasi oleh golongan  yang berjaya. Pendidikan dalam bentuk yang lama, berdasarkan kandungan kurikulum yang terhad dipisahkan-pisahkan melalui mata pelajaran yang terasing antara satu sama lain dan sistem peperiksaan pusat yang amat rigid bagi menunjukkan kejayaan pendidikan sudah tidak relevan lagi. Ilmu baru berkembang pesat, kemahiran baru muncul, semangat dan daya juang murid perlu diasah bagi menghadapi dekad-dekad mendatang yang amat kompleks dan mencabar ini. Keperluan dekad-dekad mendatang dalam alaf baru tidak sama dengan dekat-dekad terdahulu. Amat asing. Kita bukan hanya perlu ilmu dalam bidang tertentu yang tradisi  tetapi juga dalam bidang ilmu baru yang sentiasa  muncul dengan amat cepat sekali. Banyak ilmu dan kemahiran dulu sudah jumud.  Kita  harus membina dalam diri anak-anak kita  kemahiran insaniah, bidang ilmu yang selama ini diketepikan demi peperiksaan pusat. Kita perlu mengupayakan murid menghadapi  kehidupan  dan cabaran masa akan datang. Dunia akan datang memerlukan manusia yang berani, kreatif, kritis, berfikiran kritikal, sanggup mencuba, berupaya menghasilkan sesuatu yang baru, serta memiliki nilai-nilai positif dan mulia.
  4. Kenapa sistem peperiksaan pusat sudah tidak berfungsi dalam sistem pendidikan masa kini? Sebenarnya, seperti mana hujahan para pengkritik sistem peperiksaan pusat, sistem ini tidak memaknakan pendidikan. Sistem peperiksaan pusat banyak kekurangannya dalam membentuk dan membina diri seorang insan. Apakah kekurangan peperiksaan pusat yang sering diutarakan? Saya akan cuba memberikan penjelasan sebaik mungkin dalam keterbatasan ruang di sini.
  5. Peperiksaan pusat bersifat retrospektif, iaitu mentaksir perkara yang telah dialami atau dilalui oleh murid. Ia diadakan pada penghujung satu-satu tempoh pembelajaran menyebabkan segala maklumat yang diperolehi tidak berguna lagi untuk membaiki sebarang kelemahan dalam pembelajaran murid. Ini bukan pendidikan.
  6. Selain daripada itu, peperiksaan pusat hanya menumpu terhadap aspek kognitif murid sedangkan konsep pendidikan sebenarnya meliputi keseluruhan aspek pembentukan insan, bukan aspek kognitif semata-mata. Pengejaran A penuh dalam setiap peperiksaan mematikan sebarang inovasi kurikulum, mematikan kreativiti guru untuk berkarya dalam kelas, dan mematikan keseronokan murid untuk belajar.  Peperiksaan pusat bukan pendidikan.
  7.  Secara umumnya, peperiksaan pusat hanya mentaksir aras pengetahuan, kefahamana dan pemikiran aras rendah, dan terlalu sedikit mentaksir aras pemikiran yang lebih tinggi.  Item peperiksaan pusat dengan pendekatan kertas dan pensil tidak mampu mentaksir keupayaan murid pada atas tinggi. Keadaan ini mempengaruhi PdP guru. Pendidikan gagal kerana guru hanya menumpu kepada bidang  ilmu dan kemahiran yang terhad, tidak holistik.
  8. Peperiksaan pusat menggalakkan guru meninggalkan kurikulum dan menumpukan pengajaran hanya kepada topik-topik yang dijangka keluar dalam peperiksaan. Malah masa pengajaran mata pelajaran bukan peperiksaan sering diambil, terutama apabila peperiksaan semakin hampir, untuk latih tubi murid. Murid dijadikan sebagai robot, diajar bagaimana menjawab soalan peperiksaan, dan diarahkan untuk mengingat fakta dan kaedah menjawab. Lebih teruk, ada kalangan guru yang mengarahkan murid menghafal jawapan objektif walaupun soalan peperiksaan tidak diketahui. Murid dimomokkan dengan kepentingan peperiksaan untuk kegemilangan hidup masa depan.Ini bukan pendidikan.
  9. Peperiksaan pusat juga menyebabkan tumbuhnya pusat tuisyen di merata tempat, dengan caj tinggi terutama di kawasan bandar hanya untuk mendapat A penuh dalam peperiksaan. Ibu bapa diperdaya dengan jaminan para pengajar yang terlibat dengan pembinaan item dan kertas soalan peringkat pusat.  Buku-buku rujukan bawah standard pula membanjiri pasaran dengan fakta yang kadang kala boleh dipersoalkan dan mengelirukan. Yang menjadi mangsa ialah ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk biaya tuisyen. Ini bukan pendidikan., semata-mata komersil.
  10. Paling menyedihkan, ada sebilangan guru yang mengetepikan integriti profesionalisma dan nilai diri dengan mendapatkan soalan bocor daripada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab semata-mata untuk memperoleh keputusan cemerlang murid dan sekolah. Walau pun selalunya dakwaan soalan bocor ini palsu, jika benar, apakah maknanya keputusan cemerlang palsu  murid yang diperolehi secara tidak sah sedangkan keupayaan sebenar murid tidak pada tahap itu.   Begitu juga terdapat sebilangan guru yang menghalang murid lemah daripada menduduki peperiksaan pusat semata-mata untuk menjaga gred purata sekolah.  Kenapa guru yang menganggap diri profesional dalam karier yang dianggap mulia, yang sepatutnya menjadi model bagi sifat-sifat baik sanggup menggadai maruah hanya untuk kecemerlangan yang palsu. Ini meruntuhkan  dan mencemarkan pendidikan.
  11. Sebenarnya banyak lagi isu yang dikaitkan dengan peperiksaan pusat yang ingin saya huraikan. tetapi kerana keterbatasan masa dan ruang, saya turunkan yang ini dahulu. InsyaAllah, pada penulisan akan datang saya akan cuba menyambung huraian tentang isu peperiksaan pusat ini.
  12. Terima kasih atas kesudian rakan semua melayari dan membaca tulisan saya. Hasrat saya kita semua memperoleh gambaran yang betul dan tepat tentang pentaksiran pendidikan dan transformasi pendidikan yang sedang diusahakan. Hingga bertemu lagi pada penulisan yang akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim

Tuesday, 26 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: APA DIA PENTAKSIRAN PENDIDIKAN

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Pada penulisan ini saya ingin membawa kepada persoalan  kenapa kita harus berubah kepada pentaksiran pendidikan daripada peperiksaan pusat. Sebelum pergi jauh, saya ingin menarik perhatian bahawa peperiksaan pusat berbeza dengan ujian dan peperiksaan peringkat sekolah, dari segi maksud dan pengendaliannya. Apabila saya nyatakan  peperiksaan pusat harus dimansukhkan, tidak bermakna ujian dan peperiksaan peringkat sekolah turut dimansukhkan kerana ujian dan peperiksaan peringkat sekolah adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ujian dan peperiksaan peringkat sekolah merupakan sebahagian daripada pentaksiran formatif yang berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran, bukan pentaksiran tentang  pembelajaran.
  2. Apakah yang dimaksudkan dengan pentaksiran pendidikan?  Dalam pendidikan, pentaksiran adalah komponen yang tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya harus berjalan seiring bagi memaknakan pendidikan. Jika pentaksiran dipisahkan daripada pendidikan ia boleh membawa kepada keruntuhan sistem pendidikan itu sendiri (Broadfoot, 1996).
  3. Pentaksiran seharusnya membekalkan maklumat yang menyeluruh, autentik dan relevan tentang pembelajaran seseorang murid dan pengajaran seorang guru. Pentaksiran pendidikan harus dijalankan seiring dengan pengajaran untuk membolehkan guru memperoleh maklumat mengenai  kefahaman murid tentang apa yang diajar agar tindakan segera dapat diambil untuk mempastikan murid memahami perkara yang diajar sementara guru boleh menggunakan maklumat ini untuk mengesan sebarang kelemahan dan kekurangan dalam pendekatan pengajarannya supaya langkah sewajarnya dapat diambil untuk mempastikan pengajaran yang berkesan.
  4. Pentaksiran boleh diumpamakan sebagai seorang guru Al-Quran yang mengajar mengaji Al-Quran. Guru ini akan  duduk bersama murid  dan mentaksir murid sepanjang masa pengajaran. Guru akan mempastikan murid betul-betul faham dan betul dalam bacaannya  pada satu-satu tahap sebelum beralih ke pengajaran seterusnya. 
  5. Banyak definisi yang diberikan tentang pentaksiran pendidikan. Di sini perbincangan dan huraian tentang pentaksiran pendidikan akan mengikut definisi ini:   'Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut'. 
  6. Definisi ini membawa maksud yang luas. Apabila dikatakan proses, ia merupakan sesuatu yang  berlaku dalam satu-satu tempoh tertentu yang ada permulaan dan ada pengakhirannya. Proses dalam pendidikan boleh berlaku dalam satu unit pembelajaran atau beberapa unit pembelajaran yang mungkin mengambil  satu-satu tempoh atau jangka masa tertentu tetapi tidak seperti proses pembentukan bumi yang memakan masa jutaan tahun.
  7. Proses dalam pentaksiran merujuk kepada apa sahaja aktiviti yg dilakukan oleh guru sepanjang masa terlibat dengan murid, sama ada dalam kelas formal, semasa luar kelas seperti masa perhimpunan, masa di kantin, semasa aktiviti kokurikulum, aktiviti ekstra kurukulum, malah di luar sekolah, bagi mendapatkan maklumat tentang murid.
  8. Kaedah tertentu merujuk kepada apa sahaja pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang murid,  sama ada secara kenvensional atau alternatif. Bagi maklumat yang berkaitan dengan aspek kognitif, kaedah kertas dan pensil seperti  ujian dan peperiksaan  bertulis merupakan pendekatan yang lazim digunakan. Selain daripada itu, guru boleh menggunakan kaedah alternatif seperti kuiz, permainan, soal jawab, congak, ejaan, dan lain-lain yang sesuai. Kaedah ini dapat memberikan maklumat dengan pantas dan autentik bagi membolehkan tindakan yang cepat dan tepat diambil oleh guru bagi membolehkan pembelajaran yang berkesan kepada murid. 
  9. Bagi aspek bukan kognitif, seperti kemahiran dan nilai-nilai murni, kaedah pemerhatian merupakan pendekatan yang paling berkesan, di samping ujian khusus seperti ujian kemahiran dan ujian masa. Interaksi guru dengan murid amat penting dan guru seharusnya bersifat profesional dan tidak bias dalam mentaksir murid bagi mempastikan maklumat sah dan boleh dipercayai.
  10.  Sebagai profesional, guru seharusnya memiliki jiwa dan kemahiran sebagai pendidik. Setiap guru harus memiliki bukan hanya ilmu dalam bidang yang diajar tetapi juga ilmu pentaksiran. Pendekatan mendidik di bawah sistem pentaksiran berbeza dengan pendekatan di bawah sistem peperiksaan pusat. Guru harus berupaya menilai sesuatu perlakuan murid dengan objektif dan merumus serta memberi makna dengan tepat tentang perlakuan itu
  11. Instrumen dalam pentaksiran banyak dan pelbagai. Bagi pendekatan kertas dan pensil,, kertas ujian dan peperiksaan yang mengandungi satu atau beberapa item merupakan instrumen yang lazim digunakan. Selain daripada itu soalan-soalan kuiz, congak, permainan merupakan instrumen yang boleh juga digunakan. Bagi kaedah pemerhatian, senarai  semak merupakan instrumen yang biasa digunakan sementara bagi aspek-aspek bukan kognitif yang lain, terdapat instrumen lain seperti borang soal selidik dan  borang temu bual.
  12. Membuat pertimbangan bermakna guru membuat penilaian berdasarkan maklumat  terkumpul yang sedia ada serta penilaian semasa bagi membuat keputusan tentang murid.  Perlu diingat, maklumat yang diperolehi mestilah maklumat yang sah dan boleh dipercayai.
  13. Membuat penghakiman merupakan proses terakhir di mana guru membuat keputusan untuk meletakkan murid itu pada kedudukannya yang sebenar berdasarkan pertimbangan yang telah dibuat. Dalam pentaksiran berasaskan standard, kedudukan murid ditentukan berdasarkan standard prestasi. Saya akan cuba menghuraikan tentang apa dia standard prestasi pada penulisan yang akan datang, InsyaAllah.
  14. Sekian buat kali ini. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim

Wednesday, 20 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN : PENTAKSIRAN AKTIVITI JASMANI, SUKAN DAN KOKURIKULUM

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.
  1. Melanjutkan lagi penulisan saya tentang SPPK, penulisan kali ini akan menghuraikan pula serba sedikit tentang Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).  Ini merupakan komponen kelima SPPK dan merupakan aktiviti yang memang melibatkan guru di sekolah  selama ini tetapi tidak diambil kira untuk pelaporan akhir persekolahan.  Akibatnya, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum menjadi aktiviti tempelan, tidak diberikan penekanan pada kalangan murid walaupun terdapat segolongan murid yang amat cemerlang dalam bidang-bidang ini. Selain daripada itu, tidak terdapat instrumen khusus untuk mentaksir bidang-bidang sukan dan kokurikulum, kecuali pentaksiran aktiviti jasmani.
  2. Bidang-bidang ini sebenarnya amat penting dalam proses perkembangan fizikal, jati diri, keyakinan, ketaatan serta sahsiah murid. Namun penekanan terhadap peperiksaan pusat menyebabkan bidang ini terabai dan murid kehilangan peluang terbaik untuk diasah dan dipupuk dalam bidang-bidang ini secara teratur dalam suasana persekolahan.
  3. Aktiviti jasmani melibatkan perkembangan pergerakan motor dan juga fizikal murid. Ini melibatkan pergerakan motor kecil dan motor besar. 
  4. Pentaksiran mengesan perkembangan fizikal murid dan sebarang keadaan yang tidak normal pada diri seseorang murid akan  membolehkan guru mengambil tindakan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius. Guru mungkin boleh melakukan aktiviti pemulihan, menempatkan murid dalam program khas atau merujuk kepada pakar bagi murid yang mengalami masalah pergerakan motor yang serius. Tanpa maklumat daripada pentaksiran ini tiada langkah intervensi yang dapat dilakukan.
  5. Pentaksiran aktiviti jasmani menggunakan Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) yang mengukur tahap kecergasan murid dan juga body mass index (BMI) yang menentukan tahap jisim badan murid. SEGAK ditadbirkan dua kali setahun melibatkan ujian naik turun bangku selama 3 minit, tekanntubi, ringkuk tubi separa dan jengkauan melunjur.  Skor SEGAK berdasarkan National Physical Fitness Standard for Malaysian School Children sementara BMI  merekodkan ketinggian dan berat badan murid dengan menggunakan skor National Centre for Chronic Disease Prevention Health Promotions 2001.
  6. Selain daripada itu, kaedah pemerhatian boleh digunakan bagi mengesan masalah gerakan motor pada kalangan murid. Sebarang kejanggalan dalam gerakan motor murid perlu dikesan secara serius bagi memungkinkan tindakan yang sewajarnya diambil.
  7. Aktiviti sukan berkait rapat dengan aktiviti jsmani. Aktiviti sukan juga berkait dengan cara hidup sihat melalui pendidikan kesihatan. Pentaksiran aktiviti sukan boleh dilakukan berdasarkan kecemerlangan, peningkatan prestasi atau penglibatan untuk dilaporkan. Setiap murid harus berpeluang mengembangkan bakat dan kebolehannya dengan bantuan dan panduan daripada guru.
  8. Aktiviti kokurikulum juga berupaya menonjolkan kecenderungan serta keupayaan murid. Aktiviti ini berupaya menyerlahkan bakat dan kecenderungan murid sama ada dalam aspek seperti pengurusan, kepimpinan, kerjasama,  kecekalan, 'world view' dan nilai murni.  Pemerhatian dan rekod prestasi boleh menjadi instrumen pentaksiran aktiviti kokurikulum. Pencapaian murid juga boleh menjadi sumber maklumat pentaksiran di mana seseorang murid yang boleh menjadi juara debat, atau syarahan atau memenangi peraduan lukisan peringkat kebangsaan, menunjukkan pencapaian murid tersebut sudah melebehi daripada  perimeter yang ditetapkan pada peringkat sekolah, dan seharusnya diberikan kredit. Murid sebeginilah yang sepatutnya boleh diletakkan pada band 6 dalam laporan prestasinya.
  9. Dengan ini berakhirlah huraian saya tentang SPPK, yang saya mulakan sejak penulisan pertama saya dalam blog ini. Insya-Allah, saya akan cuba menerangkan tentang pentaksiran pendidikan, dari segi konsepnya, dan apa yang membezakannya dengan peperiksaan pusat dan kenapa dunia pendidikan hari ini semakin berubah daripada peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan. Kita harus menyediakan anak-anak yang berani menghadapi masa depan yang penuh cabaran dan persaingan dengan yakin. Justru kita harus kembali kepada apa yang dimaknakan dengan pendidikan dan apa yang dihasratkan dalam FPK. 
  10. Sekian buat kali ini. Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas kesudian semua membaca dan mengikuti blog saya. Saya juga terbuka untuk menerima sebarang pandangan bagi menambah baik pemahaman saya dalam bidang ini dan disebarkan kepada khalayak.
Dr. Hazim.

Monday, 18 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PSIKOMETRIK

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Meneruskan lagi penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan negara, Pentaksiran Psikometrik (PPsi) merupakan komponen baru yang diperkenalkan dalam SPPK. Pentaksiran ini memang amat asing bagi guru-guru di sekolah kerana tiada lagi pengalaman yang pernah dilalui dalam bidang ini. Namun pentaksiran psikometrik telah dilaksanakan dalam sesetengah proses tapisan dalam pemilihan ke institusi pengajian tertentu, penempatan dan juga dalam pemilihan perjawatan.
  2. PPsi merangkumi aspek personaliti dan aptitud, bertujuan mendapatkan maklumat tentang kecenderungan, minat dan sikap murid seawal mungkin bagi membolehkan guru dan ibu bapa mengenal pasti potensi murid dan bekerjasama bagi membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diminati.  Personaliti berkaitan dengan tret dalaman seseorang murid sementara aptitud merujuk kepada kebolehan atau bakat semula jadi untuk belajar atau melakukan sesuatu perkara dengan mudah dan cepat.
  3. PPsi mengandungi tiga bahagian iaitu Ujian Aptitud Am, Ujian Aptitud Khusus dan Inventori Personaliti.  Tidak seperti item Peperiksaan Pusat, item Ujian Aptitud boleh diguna pakai berulang kali kepada kumpulan atau kohort yang berlainan.
  4. Ujian Aptitud Am merupakan ujian bertulis yang mengukur gabungan beberapa kebolehan am murid.Bagi murid tahun 6, Ujian Aptitud Am dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan wajar diambil oleh kesemua murid Tahun 6. Ujian Aptitud Am memberikan maklumat tentang kemahiran asas literasi, numerasi, minat dan kecenderungan bagi menyokong pertimbangan pemilihan mata pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi.
  5. Bagi murid Tingkatan Tiga dan Lima, Ujian Aptitud Am dikendalikan oleh guru sendiri mengikut keperluan bagi membantu guru mengetahui minat dan kecenderungan murid di samping mengetahui keupayaan murid dalam berkomunikasi, berfikir, berinteraksi dengan alam sekitar, manusia dan PenciptaNya.
  6. Ujian Aptitud Khusus mentaksir kebolehan khusus yang berkaitan dengan potensi seseorang dalam satu-satu pekerjaan atau bidang. Aptitud khusus boleh dikategorikan ke dalam sembilan bidang iaitu (1) verbal linguistik  (pintar perkataan), (2)visual spatial (pintar visual atau ruang), (3) logik matematik (pintar nombor), (4) muzik (pintar muzik), (5) Naturalis (pintar naturalis), (6) kinestatik (pintar jasmani), (7) interpersonal (pintar komunikasi sosial), (8) intrapersonal (pintar diri), dan (9) existial (pintar kwujudan)
  7. Inventoti Personaliti pula mentaksir ciri-ciri peri laku istimewa atau unik, yang stabil dalam diri seseorang yang membezakannya dengan orang lain.  Setiap inventori personaliti  mengandungi beberapa set instrumen yang akan memberikan maklumat tentang ciri personaliti seseorang seperti hubungan dan komunikasi dengan orang lain, kerja berkumpulan, sifat ekstraversion, nilai dan akauntabiliti, kefungsian emosi, penyesuaian budaya, kestabilan rohani, jati diri, kepimpinan, keusahawanan, dan etika. 
  8. Maklumat daripada inventori personaliti ini membolehkan guru menilai kesediaan, potensi, kesesuaian atau  meramal kejayaan murid dalam pembelajaran seterusnya.
  9. Pelaksanaan PPsi ini secara khusus bergantung kepada arahan terkini LP dan juga KPM. Maklumat PPsi ini  penting bagi guru lebih memahami sifat diri murid dan mengatur strategi berkesan untuk membentuk seseorang murid itu ke arah kecenderungannya.PPsi ini juga membolehkan guru mengambil tindakan awal bagi murid yang dikesan mempunyai masalah tertentu untuk diberikan  intervensi bagi mengekang masalah menjadi lebih serius.
  10. Pentaksiran Psikometrik tidak berasaskan mana-mana kurikulum standard tetapi berdasarkan aspek psikologi yang ingin ditaksir. Guru perlukan latihan meluas dan mendalam bagi membolehkan mereka mengendalikan instrumen yang ada dan menginterpretasi maklumat yang diperolehi bagi manafaat  murid. Kemahiran ini perlu ada bagi semua guru. Kesilapan mengendali akan menghasilkan maklumat yang salah dan maklumat yang salah akan memberi kesan buruk terhadap murid.
  11. Sekian sedikit huraian tentang PPsi buat kali ini. Penulisan berikut akan menyentuh serba sedikit tentang PAJSK.
  12. hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Saturday, 16 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PEPERIKSAAN PUSAT.

ssalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Meneruskan kembali penulisan saya tentang SPPK, kali ini saya ingin pula menghuraikan tentang Peperiksaan Pusat (PpP). Mengimbas kembali, SPPK ialah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang asalnya dikemukakan oleh LP kepada pengurusan tertinggi KPM  tetapi kemudiannya dijenamakan sebagai  PBS apabila dilaksanakan di sekolah, dengan menanggalkan komponen Peperiksaan Pusat. Namun, pelaporan keputusan  'UPSR' tahun ini yang melaporkan bukan hanya keputusan peperiksaan pusat (UPSR), tetapi juga kesemua komponen SPPK yang lain  seolah menghidupkan kembali roh asal SPPK.  Dan pengumuman KPM mulai tahun hadapan pentaksiran tahun 6 akan dikenali sebagai  Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) mengukuhkan lagi perealisasian SPPK dalam sistem pendidikan negara.
  2. PPSR tidak bermakna UPSR dimansukhkan sebaliknya UPSR sebagai peperiksaan pusat  hanya merupakan satu daripada komponen pelaporan PPSR.  UPSR tetap wujud bagi mentaksir aspek kognitif seseorang murid dan komponen yang lain melengkapkan pelaporan yang holistik tentang seseorang murid.

Peperiksaan Pusat (PpP)

  1. Peperiksaan pusat  bukan perkara asing bagi rakyat negara ini kerana sudah dilaksanakan sejak sebelum kemerdekaan lagi. Bermula dengan peperiksaan Overseas Senior Cambridge (OSC) yang telah dilaksanakan sejak sebelum merdeka, peperiksaan Malayan Secondary School Examination (MSSE), Lower Certificate of Education (LCE) dan School Certificate (SC)/ Federation of Malaya Certificate (FMC) diperkenalkan mulai tahun 1957.  Seterusnya pelbagai perubahan dilakukan dalam sistem peperiksaan pusat sebagai indikator kecemerlangan pembelajaran murid. Keadaan menjadi semakin kronik apabila matlamat pendidikan bertukar daripada pembinaan insan kepada pencapaian cemerlang dalam peperiksaan. Sekolah dan murid mengejar A penuh bagi semua mata pelajaran peperiksaan, memberikan sanjungan dan kredit terlampau kepada yang cemerlang, yang hanya dalam lingkungan 10% peratus daripada keseluruhan kohort, dan mengetepikan pencapaian 90% yang lain yang berada dalam lingkungan sederhana dan lemah.  
  2. Keadaan ini mencetuskan kekeliruan pada kalangan massa  apabila kecemerlangan dalam peperiksaan diandaikan sebagai kecemerlangan pendidikan seseorang murid dan kejayaan sistem pendidikan.  Sistem pendidikan sebegini sebenarnya ialah sistem yang tempang.  Manusia yang terhasil daripada sistem yang tempang ini ialah manusia yang juga tempang, mungkin berjaya dan cemerlang dalam bidang akademik tetapi  gagal dalam aspek lain seperti sosial dan moral. Tidak kira di mana mereka berada, sama ada pada hiraki yang tinggi dalam masyarakat atau pun pada hiraki yang rendah, mereka gagal berfungsi sebagai manusia yang memiliki hubungan yang baik dengan Tuhan, dengan alam sekitar dan dengan sesama manusia. Inilah antara  punca keruntuhan masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang. Dadah, seks bebas, rasuah, pemusnahan alam sekitar, pembunuhan, perompakan, pencemaran, penipuan...namakan apa saja, itulah refleksi sistem pendidikan yang gagal bagi sesebuah negara.
  3. Peperiksaan Pusat (PpP) dikendalikan sepenuhnya oleh agensi luar seperti Lembaga Peperiksaan (LP), dari penentuan jadual peperiksaan, syarat-syarat peperiksaan, pembinaan item dan instrumen, pengendalian peperiksaan, pemeriksaan, penentuan gred, pengeluaran keputusan dan cetakan sijil atau pernyataan. Di negara ini, antara PpP yang dikendalikan ialah UPSR, SPM, SPM (U), STAM dan STPM. 
  4. PpP dioperasikan dengan kawalan keselamatan yang amat tinggi. Mereka yang terlibat pada mana-mana peringkat tertakluk  di bawah Akta Keselamatan dan Akta Rahsia Rasmi. Kertas soalan dikelasifikasikan sebagai dokumen sulit kerajaan sehingga ia ditadbirkan pada hari  peperiksaan dan di deklasifikasi sebagai tidak lagi sulit selepas ditadbirkan. 
  5. Pelaksanaan PpP merupakan satu operasi yang amat besar kerana setiap peperiksaan ditadbirkan  secara serentak di seluruh negara menggunakan  ribuan pusat peperiksaan dan pengawas peperiksaan. Instrumen pentaksiran pula perlu disimpan dilokasi yang mempunyai kawalan keselamatan yang tinggi. Kertas jawapan subjektif pula perlu diperiksa oleh puluhan ribu pemeriksa kertas jawapan.
  6. Kos pengendalian PpP amat tinggi. Kos melibatkan kerja-kerja pembinaan, percetakan instrumen atau kertas soalan, pengedaran, pengendalian peperiksaan, pemeriksaan, pemprosesan keputusan  dan percetakan sijil. Kos menjadi semakin tinggi sekiranya terjadi insiden seperti cetakan semula kertas soalan/instrumen yang disyaki bocor atau penangguhan peperiksaan bagi pusat-pusat tertentu akibat bencana alam seperti banjir dan jerebu.
  7. Keputusan PpP selalunya dalam bentuk gred satu angka atau huruf. Ini mendatangkan   masalah untuk diinterpretasi.  Sebagai contoh, apakah makna A bagi mata pelajaran Sejarah bagi seorang murid?  Apakah  A tersebut menunjukkan murid itu tahu semua perkara tentang sejarah, atau sebahagian besar sejarah  atau apa?  Hakikatnya A tersebut hanya menunjukkan yang murid tersebut dapat menjawab  semua atau sebahagian besar item daripada satu instrumen pentaksiran  yang mungkin mengandungi 60  atau 70 item objektif aneka pilihan atau tujuh atau lapan item subjektif.  
  8. Banyak negara masih mengekalkan sistem PpP ini kerana sifatnya yang lebih mudah diurus bagi populasi yang besar. Namun sedikit demi sedikit negara-negara  ini mula beralih kepada sistem pentaksiran yang lebih bermakna bagi menerangkan tentang hasil pembelajaran seseorang murid.  Di negeri Ontario, Kanada, sistem peperiksaan pusat sudah ditinggalkan sejak lebih 60 tahun yang lalu. Begitu juga Finland, beberapa negara-negara Scandinavia yang lain dan sebahagian negeri di Amerika Syarikat.
  9. Walau bagaimana pun, PpP masih relevan dalam keadaan tertentu, terutama sebagai 'check and balance' pentaksiran yang dijalankan pada peringkat sekolah, terutama pada peringkat awal pelaksanaan pentaksiran kerana guru yang masih belum berpengalaman.  Peningkatan keyakinan guru  dan penguasaan kemahiran dalam melaksanakan pentaksiran pada peringkat sekolah akhirnya  memungkinkan PpP dimasukhkan. 
  10. PT3 merupakan langkah awal pemansukhan PpP dan pelaksanaan PBS sepenuhnya. PT3 merupakan program  baru yang berbeza sama sekali dengan sistem peperiksaan pusat. Walaupun pada dasarnya PT3 ialah PBS tetapi pelaksanaannya menampakkan kecenderungan untuk kembali kepada PpP. Pengumuman keputusan juga menampakkan paparan gred 6A dan sebagainya. Perbandingan antara pelajar, sekolah dan daerah juga mampu mengembalikan pengejaran A penuh untuk murid dan sekolah, kegemilangan yang palsu. Seharusnya PT3 dikembalikan kepada matlamat asalnya, PBS sepenuhnya dan kerangka PPSR sepatutnya juga menjadi kerangka untuk PT3 kecuali PpP. Pelaporan harus mewakili kesemua komponen SPPK seperti yang dibincangkan, kecuali PpP kerana PMR telah dimansukhkan.
  11.  SPM sebagai peperiksaan terminal masih relevan sebagai PpP di negara ini kerana keunikan sistem pendidikan negara. SPM juga  telah  diterima pada peringkat global di mana banyak universiti luar negara mengiktiraf SPM. Pengiktirafan ini bukan mudah diperolehi.  Sijil SPM juga telah diterima sebagai penentu untuk  penempatan, melanjutkan pelajaran  dan kemasukan ke bidang pekerjaan.  
  12. Banyak sebenarnya isu yang berkaitan dengan PpP ini yang boleh dibincangkan, namun pada ruang tinta yang terhad ini hanya sebahagian sahaja yang dapat diutarakan. 
  13. Sekian untuk kali ini, hingga pada kesempatan lain, salam hormat dari saya.


Dr. Hazim

Tuesday, 12 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: SPPK : PENTAKSIRAN PUSAT

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.


  1.  Sedikit lagi tentang Pentaksiran Sekolah (PS) yang telah saya huraikan pada penulisan terdahulu. PS sebenarnya memberi ruang yang besar kepada guru untuk berkarya dan membawa inisiatif pembelajaran kreatif  ke dalam kelas. Guru sebenarnya tidak perlu atau terkongkong untuk menghabiskan kurikulum sebelum peperiksaan pusat kerana matlamat yang ingin dicapai bukan untuk mendapat A penuh dalam peperiksaan pusat tetapi membina seorang manusia itu menjadi insan terbaik dalam apa juga bidang dan kapisitinya.
  2. Pendidikan yang bermakna bererti kita berjaya menempatkan seseorang murid itu pada kedudukan yang betul mengikut keupayaan dan kecenderungannya dan memiliki sifat-sifat terbaik dari segi emosi, rohani dan jasmani. Jika seorang murid itu berjaya menjadi seorang doktor, kita mahu dia menjadi doktor yang terbaik dalam bidangnya, dari segi profesional,  etika dan moral. Kalau pun ada yang menjadi tukang kebun, kita mahu dia menjadi tukang kebun yang terbaik dalam bidangnya dalam semua segi. Pendidikan kita gagal sekiranya apa yang dilahirkan ialah manusia-manusia yang berjaya dalam bidang masing-masing tetapi tidak memiliki sifat  terbaik dalam hubungan sesama manusia, dengan alam sekitar dan dengan Tuhan. Maka berleluasalah sifat tamak haloba dan dengki mendengki, keruntuhan akhlak dan moral, tidak amanah, dan tidak bersyukur. Akibatnya, dalam jangka masa panjang, institusi masyarakat akan runtuh dan negara akan menjadi porak peranda.
  3. Kenapa PS?  PS amat penting dan signifikan dalam sistem pendidikan kerana guru merupakan  insan paling hampir dengan muridnya. Setiap hari guru berinteraksi dengan muridnya selama tujuh ke lapan jam, tidak termasuk kontek masa semasa kegiatan kokurikulum, sukan dan aktiviti lain. Ini membuat guru boleh mengenali dan memahami sifat setiap orang muridnya dengan baik. Guru juga berinteraksi dengan guru-guru lain yang turut mempunyai interaksi yang meluas dengan murid-murid tersebut.  Rakan sebaya juga merupakan sumber maklumat lain yang amat penting.  
  4. PS juga merupakan pentaksiran yang holistik kerana melihat perkembangan dan pembangunan diri  murid secara keseluruhan, sama ada daripada segi kognitif dan juga bukan kognitif.  Justru, maklumat daripada PS seharusnya merupakan maklumat yang autentik dan menggambarkan keadaan sebenar murid.
  5. Dalam PS, murid seharusnya  ditaksir bermula dari hari pertama mereka bersekolah hinggalah ke hari terakhir mereka berada di sekolah.  Pelbagai kaedah dan pelbagai sumber boleh digunakan bagi memperoleh maklumat  tentang seseorang murid. Integriti dan kredebiliti guru amat penting bagi mengelakkan  pentaksiran yang tidak adil dan wajar. Di sinilah terletaknya profesionalisma seorang guru.

 Pentaksiran Pusat (PP)
  1. Pentaksiran Pusat (PP) pula merupakan komponen kedua yang juga sebenarnya tidak asing kepada guru di sekolah. Sebelum ini pun, guru telah melaksanakan PP ini seperti dalam mata pelajaran Sains, Pendidikan Islam, Ekonomi Rumah Tangga (amali), Seni Visual (kerja kursus),  Geografi, Sejarah (projek) dan mata pelajaran bahasa (ujian lisan).
  2. PP dilaksanakan sepenuhnya oleh guru dari segi pengurusan, pentadbiran, penskoran dan pelaporan, tetapi format instrumen, tugasan, peraturan pelaksanaan, tarikh pelaksanaan, kaedah penskoran dan pelaporan disediakan oleh agensi pusat iaitu Lembaga Peperiksaan. Bagi tujuan penyelarasan, penyetaraan dan pelaporan, markah akan dihantar ke agensi pusat. 
  3. Skor diberi bagi proses dan juga produk.  PP bersifat fleksibel di mana murid berpeluang membaiki kesalahan dan kekurangan sebelum produk akhir atau skor dimuktamadkan.
  4. Bagi menjamin pelaksanaan  mengikut seperti yang ditetapkan oleh agensi pusat dan juga bagi menjamin kesetaraan pelaksanaan dan penskoran, seharusnya  pihak agensi pusat melakukan pemantauan dan pengesanan. 
  5. PP penting bagi tujuan pengawalan standard.
Setakat ini buat kali ini. Pada penulisan akan datang saya akan cuba menghuraikan tentang tiga lagi komponen dalam SPPK iaitu Peperiksaan Pusat (PeP), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), insya-Allah.

Sekian.

Dr. Hazim

Wednesday, 6 December 2017

Pentaksiran Pendidikan: Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1.  Seperti yang telah saya janjikan, mulai penullisan ini saya akan cuba menghuraikan tentang SPPK dan bagaimana peranan SPPK  mentransformasi sistem pendidikan kebangsaan.
  2. Pemahaman kepada konsep ini amat penting untuk membolehkan kita melihat secara waras dan bijaksana tentang perubahan yang dicadangkan. Memang terdapat segolongan pendidik  dan juga massa yang memandang  sinis tentang pembaharuan ini, yang telah pun dilaksanakan di sekolah melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai 2011 bagi sekolah rendah dan 2012 bagi sekolah menengah di seluruh negara. Mereka meragui apa sahaja program baru yang dicadangkan,kerana merasakan apa yang sedia ada sudah mencukupi. Mereka sebenarnya terperangkap dalam zon selesa yang telah dinikmati sejak merdeka, sejak 60 tahun dahulu, sedangkan dunia sudah berubah dengan begitu pantas sekali.
  3. SPPK merupakan satu pendekatan ke arah mentransformasi sistem pendidikan negara daripada sistem yang diwarisi sejak 60 tahun dahulu, yang berfokuskan peperiksaan semata-mata kepada sesuatu yang lebih bersifat insaniah, mesra murid, bersifat holistik, seimbang, fleksibel dan merujuk standard. Transformasi pendidikan hanya akan berjaya sekiranya sistem pentaksiran juga ditransformasikan.
  4. SPPK mengandungi lima komponen iaitu;  i. Pentaksiran Sekolah (PS), ii. Pentaksiran Pusat ,(PP),  iii. Peperiksaan Pusat (PeP),  iv. Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan  v. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).  
  5. PBS yang dilaksanakan pada tahun 2011 dan 2012 itu adalah merupakan SPPK tanpa       Peperiksaan Pusat.
  6. SPPK akan mengubah sistem pelaporan pendidikan. Ini yang menjadi kegusaran kepada  sekolah-sekolah  yang selalunya dilabelkan sebagai sekolah hebat dengan keputusan peperiksaan yang terbaik kerana pelaporan SPPK tidak lagi berdasarkan hanya kepada keputusan peperiksaan pusat semata-mata tetapi merangkumi kesemua komponen SPPK. Tidak ada lagi perbandingan antara murid, sekolah, daerah dan negeri, tetapi pelaporan lebih menekankan kepada keupayaan murid  secara individu dalam kesemua lima komponen yang ditaksir. Perubahan  UPSR kepada PPSR adalah sesuatu yang memang telah dinantikan sejak sekian lama.
  7. Pentaksiran Sekolah (PS) merupakan komponen utama dalam SPPK. PS  merujuk kepada pentaksiran yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak sekolah, daripada perancangan pentaksiran, penyediaan item dan instrumen, pentadbiran, penskoran, penyimpanan rekod pentaksiran serta pelaporan. PS berkait rapat dengan proses pembelajaran, bersifar formatif dan dijalankan seiring dengan proses P&P. PS juga bersifat kumulatif, di mana setiap murid akan memiliki portfolio yang mengandungi perkembangan pembelajarannya dalam setiap perkara yang dipelajari. Pada akhir satu-satu unit pembelajaran atau satu-satu tempoh tertentu seperti pertengahan semester dan akhir semester, pentaksiran sumatif juga dilaksanakan.
  8. PS tidak hanya bertumpu kepada bidang kognitif atau akademik murid semata-mata tetapi merangkumi kesemua komponen yang terdapat dalam kurikulum. Ini bermakna guru mula memaknakan pendidikan. Bidang non-kognitif turut ditaksir, seperti sahsiah, nilai-nilai murni dan bidang psikomotor. 
  9. Utuk melaksanakan PS secara berkesan, guru harus keluar daripada minda ujian kertas dan pensil  semata-mata. Kaedah pentaksiran alternatif harus dipelajari, difahami dan dipraktikkan. Kaedah pentaksiran alternatif mungkin asing bagi setengah guru tetapi ianya amat berkesan dalam  mengesan pembangunan diri setiap orang murid. Antara kaedah yang boleh dilaksanakan ialah pemerhatian, kuiz, soal jawab, ujian pendek, congak, ejaan dan tugasan khusus. Kaedah ini lebih mudah dilaksanakan, memberikan maklum balas yang cepat dan tepat bagi membolehkan guru mengkaji keberkesanan pengajaran. 
  10. PS sebenarnya bukan perkara yang asing kepada guru kerana selama ini, inilah  fokus tugasan seorang guru. Yang membezakan cuma selama ini guru hanya menumpukan kepada ujian dan peperiksaan bertulis untuk tujuan pelaporan. Akibatnya guru meninggalkan aspek lain dalam kurikulum, kerana mengejar A penuh bagi seramai mungkin murid untuk akhirnya  nanti dinobatkan sebagai sekolah hebat.  Murid tahun 6 akan dilatih tubi dengan cara-cara mendapat markah tinggi dalam peperiksaan pusat, lebih-lebih lagi bagi tempoh 6 bulan terakhir sebelum peperiksaan. Malah masa bagi mata pelajaran yang tidak ada dalam peperiksaan pusat akan diambil untuk tujuan latih tubi. 
  11. Kelas tuisyen pula tumbuh di merata tempat, menjanjikan A penuh bagi calon-calon peperiksaan. Ibu bapa digula-gulakan dengan kehebatan guru-guru tuisyen yang kadang kalanya palsu. Mereka didakwa berpengalaman berpuluh tahun dalam peperiksaan, dan  terlibat dengan Lembaga Peperiksaan dalam pembinaan item, pemeriksaan dan sebagainya.  Tujuannya?  Hanya untuk mengaut keuntungan bagi tauke-tauke pusat tuisyen, sedangkan ibu bapa berhempas pulas dan mengikat perut mencari dana membiayai kelas-kelas tuisyen yang boleh mencapai beratus ringgit seorang. 
  12. Tidak ketinggalan juga terdapat indivivu-individu dan institusi  hebat yang menawarkan kem-kem menjawab soalan peperiksaan dengan kos yang tinggi, semakin lagi menambahkan bebanan kewangan ibu bapa, apatah lagi yang berpendapatan rendah dan sederhana. Sama ada disedari atau tidak, semua ini merupakan langkah pengabaian tahap serius terhadap matlamat pendidikan. Tidak terdapat di mana pun di dunia ini mendapatkan  A penuh dalam peperiksaan pusat sebagai matlamat pendidikan. Sudah terlalu lama kita menafikan makna pendidikan sebenarnya maka ini merupakan langkah penting ke arah memaknakan pendidikan itu dalam sistem pendidikan kita.
  13. Lebih menyedihkan lagi, terdapat segelintir guru yang menipu murid dengan memaksa mereka menghafal jawapan soalan peperiksaan yang didakwa bocor, yang didapati secara tidak sah. Bukan hanya jawapan subjektif, malah murid diarah untuk menghafal jawapan soalan objektif sedangkan ia bukan perkara yang benar. Di mana integriti dan kredebiliti guru yang mendakwa profesional tetapi cuba mendapatkan soalan peperiksaan pusat secara tidak sah, membocorkan soalan yang menjadi rahsia sulit kerajaan. Terdapat juga usaha menghalang murid lemah, lembam dan bermasalah daripada menduduki peperiksaan pusat semata-mata mahu mempastikan pencapaian tinggi sekolah.
  14. PS  sebenarnya memertabatkan profesyen keguruan kerana mengiktiraf  pentaksiran yang dilakukan oleh guru sendiri. Guru harus bersifat profesional, beretika dan berintegriti. Tidak ada gunanya mengaku profesional tetapi tidak memiliki etik yang baik sebagai guru yang profesional.
  15. PS juga memerlukan guru dan pentadbir sekolah yang berintegriti, komited dan minda terbuka. Guru harus memilik kemahiran berkaitan pentaksiran seperti pembinaan item dan instrumen, penskoran, penyimpanan rekod dan pelaporan. Guru juga harus menguasai kurikulum dengan baik untuk membolehkan guru mengenal pasti elemen yang penting yang bermakna untuk ditaksir. Apa yang ditaksir boleh menjadi inferen tentang perkara yang ditaksir.
  16. Agak panjang huraian tentang PS buat kali ini. Seterusnya saya akan membincangkan pula nanti tentang komponen lain dalam SPPK,  InsyaAllah.. Hingga bertemu lagi,salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Wednesday, 29 November 2017

Pentaksiran Pendidikan: Susahnya hendak berubah

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Perubahan memang sukar, apatah lagi perubahan yang akan dihadapi merupakan sesuatu yang amat berbeza daripada  kebiasaan yang sudah sebati sejak sekian lama. Namun ada masanya kita terpaksa keluar daripada zon selesa itu, ke suatu zon yang amat berbeza, yang mungkin penuh dengan ketidaktentuan.  Dan pada hari ini, dalam perkembangan teknologi yang amat pesat, kita terpaksa menerima perubahan, sama ada kita mahu atau pun tidak. Kita harus menghadapi hari-hari  esok yang penuh cabaran, yang amat berbeza dengan hari-hari lalu. 
  2. Seperti juga dengan pentaksiran pendidikan di negara ini h b bhaiyang mula diperkenalkan melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), tentangan terhadap pelaksanaannya begitu hebat, sehinggakan wujud kumpulan2 yang menentang malah gerakan menghapuskan PBS. Kenapa? Pendidikan bergerak pantas pada hari ini. Apa yang kita pelajari waktu persekolahan dahulu banyak yang sudah tidak relevan lagi hari ini. Surat kiriman sudah hampir pupus masa kini, diganti dengan kaedah komunikasi berdasarkan teknologi, lebih pantas dan efisyen. Apakah kita tidak mahu berubah dan mahu terus hidup dalam persekitaran dahulu yang dirasakan selesa sedangkan orang lain sudah berada dalam persekitaran yang lain yang jauh lebih maju ke hadapan?
  3. Inilah yang harus kita fikirkan secara serius. SPPK dihasilkan dengan matlamat murni untuk meletakkan sistem pendidikan kita seiring dengan perkembangan dan kemajuan pendidikan global masa kini. SPPK  bukan program bidan terjun tapi sudah mula diusahakan oleh LP sejak 2003, digubal berdasarkan dapatan ilmu daripada wacana tokoh-tokoh pendidikan dan pentaksiran tempatan dan dunia. 14 tahun, bukan tempoh masa yg pendek. Hanya pada tahun, 2017, SPPK nampak difahami dan direalisasikan. Pelaporan adalah inti kepada SPPK. Alhamdulillah, dengan adanya keberanian dan kebijaksanaan pemimpin tertinggi pendidikan, usaha selama 14 tahun LP mula menampakkan hasil. 
  4. Seperti yang dijanjikan, saya akan cuba menerangkan tentang Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang telah dikemukan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) sebagai langkah mentransformasi sistem pendidikan negara. Penulisan terdahulu telah menyentuh tentang usaha LP menghasilkan SPPK dengan lima komponen bagi memastikan pendidikan dan FPK dimaknakan.
  5. Walau bagaimana pun, dalam pelaksanaannya, SPPK telah dikesampingkan dan diubah kepada PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) dengan menanggalkan komponen peperiksaan pusat. Dan keputusan peperiksaan terus menjadi paksinya, menjadi matlamat untuk dicapai. Ini mematikan pendidikan. Sebenarnya, SPPK adalah satu keseluruhan yang padu, merangkumkan keseluruhan matlamat dan objektif pendidikan, menjadikan pentaksiran sebagai sebahagian daripada proses  P&P dan pembangunan diri murid menjadi insan yang terbaik dalam semua aspek. Dan apabila pelaporan UPSR tahun ini membawa kelainan, ia merupakan usaha ke arah merealisasikan SPPK yang sebenarnya.. 
  6. SPPK mempunyai lima komponen. Setiap komponen membawa maklumat yang berlainan tentang murid.  Dan apabila kelima-lima komponen ini dilaporkan bersama, kita akan melihat diri seseorang murid itu secara keseluruhan, daripada aspek akademik dan bukan akademiknya. Pelaporan ini lebih bermakna daripada hanya melihat kehebatan murid daripada segi pencapaian akademik semata-mata.
  7. Penulisan seterusnya akan saya huraikan satu persatu kelima-lima komponen SPPK  itu.
  8. Sekian untuk kali ini. Terima kasih kerana mengikuti blog saya. Wasallam.

Dr. Hazim.

Friday, 24 November 2017

Assalamualaikum wbrt.


  1. Bertemu kembali. Pertamanya, tahniah kpd Yg Berush Dato' KPPM yg berpandangan jauh, bijaksana dan berani membawa sistem pendidikan negara ke arah ttransformasi pendidikan yg dihasratkan. Transformasi pendidikan tidak akan berjaya selagi  sistem pentaksiran negara masih lagi dalam bentuk lama yang berpaksikan peperiksaan pusat semata2.
  2. Sudah begitu lama kita menunggu saat ini. Pihak LP telah sekian lama merangka transformasi sistem pentaksiran pendidikan negara yg akhirnya dgn izin Allah direalisasikan pada tahun 2017. 
  3. Utk memahami apa yg dimaksudkan, sejarah pembangunan sistem pentaksiran pendidikan negara sebenarnya telah bermula sejak tahun 2003 apabila LP mengadakan Seminar Pentaksiran Kebangsaan pada 5 Mei hingga 8 Mei 2003 di Kuala Lumpur. Di sinilah buat pertama kalinya istilah 'pentaksiran' dan konsepnya diperkenalkan secara formal dalam KPM.
  4. Berikutan itu, LP telah mengadakan tiga konferen antarabangsa khusus untuk mendapatkan input yang kritikal tentang pentaksiran pendidikan.  APEC International Colloquium on Educational Assessment: East Meet West diadakan pada 13 September hingga 15 September 2005, KL International Conference on Assessment (KLICA)- Humanising Assessment diadakan pada 16 Mei hingga 19 Mei 2006 dan Educational Assessment System. Looking Ahead pada 7 ,Mei hingga 9 Mei 2007.
  5. Semua konferen ini dihadiri tokoh2 pendidikan dan pentaksiran dari dalam dan luar negara, antaranya Amerika Syarikat, UK, Belanda, Australia, New Zealand dan Indonesia.
  6. Seterusnya LP menjalankan pula program apresiasi pentaksiran pendidikan yang dicadangkan di seluruh negara dgn menemukan golongan  pensyarah, pengetua, guru besar, guru, ibu bapa, murid dan golongan berkepentingan. Hasilnya hampir keseluruhan amat menyokong perubahan yg dicadangkan
  7. Rumusan dari konferen ini, LP telah mencadangkan SISTEM PENTAKSIRAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN (SPPK) yg mengandungi lima komponen iaiu; Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Peperiksaan Pusat (PpP), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
  8. Huraian lanjut tentang SPPK akan saya huraikan pada penulisan akan datang.
  9. Terima kasih atas kesudian membaca dan memahami. Wassallam.

Wednesday, 22 November 2017

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Saya tertarik dengan beberapa coretan ibu bapa/ penjaga  dan juga guru sebagai respons terhadap perubahan pengumuman keputusan UPSR tahun ini. Yang memandang negatif lebih menumpu kepada hilangnya  kemeriahan meraikan kejayaan A penuh murid, sama ada  5 atau 6 mata pelajaran. Juga menganggap seolah kejayaan murid tidak dihargai. Juga tidak dapat membuat perbandingan antara sekolah, daerah dan negeri.  
  2.  Persoalan yang berlegar dalam minda saya....selepas kemeriahan itu, apa seterusnya? Hakikatnya setiap murid akan meneruskan pembelajaran pada peringkat menengah untuk lima tahun lagi. 5 atau 6 A dalam UPSR bukan pasport untuk kejayaan pada peringkat menengah. Pembelajaran tidak terhenti setakat UPSR.  
  3. Bagaimana pula perasaan murid yang tidak mendapat A penuh, apakah mereka dianggap tidak berusaha? tidak wujud dalam keriangan yang dirayakan di sekolah khusus untuk beberapa orang murid sahaja. Apakah mereka tidak berhak untuk juga dibanggakan kerana tidak mendapat A penuh sedangkan mereka mungkin murid yang amat baik, berbudi bahasa, berdisiplin dan  mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka minati sama ada sukan, seni, dan sebagainya.  Mereka juga berusaha kuat, cuma mungkin keupayaan mereka setakat itu.  Nilai tambah yang diperolehi oleh murid sepanjang masa persekolahannya juga tidak harus dipinggirkan. 
  4. Kebanggaan juga merupakan barah yang membunuh pendidikan. Kebanggaan ibu bapa/penjaga, guru, guru besar,PPD dan negeri...bangga kerana dapat mengalahkan yang lain menjadi penyakit yang memberi kesan buruk kepada sistem pendidikan negara. Kerana kebanggaan inilah murid yang akan menduduki peperiksaan pusat dilatih tubi, di'drill' semata-mata untuk  menjawab soalan peperiksaan pusat agar mendapat markah tinggi. Murid dijadikan sebagai robot, ditanam dalam mind mereka peperiksaan, peperiksaan, peperiksaan.  Waktu mata pelajaran bukan peperiksaan ditinggalkan, aktiviti kokurikulum dan ekstra kurikulum ditinggalkan, pembinaan sahsiah murid ditinggalkan kerana semua yang terlibat memandang kebanggaan pada hari pengumuman peperiksaan. Akan keluar TV,  keluar muka hadapan akhbar, ditemu bual dan pelbagai lagi pendedahan.  Tak cukup dengan latih tubi dan 'drill' murid juga dihantar ke pusat tuisyen untuk menghadapi peperiksaan. Malang sekali menjadi murid dalam keadaan begini. Alam kanak-kanak seharusnya alam yang santai, menggembirakan dan belajar dengan seronok. Tapi.....
  5. Kebanggaan juga menyebabkan ada guru  yang sanggup menggadaikan maruah dan integriti dengan mendapatkan soalan peperiksaan pusat secara tidak sah. Apabila ini terjadi, di mana letaknya amanah seorang guru, maruah seorang guru? Guru yang sepatutnya menjadi model contoh kepada murid kini menjadi contoh berbuat perkara yang dilarang undang-undang. Di manakah nilainya nanti markah yang diperoleh oleh muridnya hasil daripada perbuatan yang tidak amanah?
  6. Yang bersikap positif  amat gembira dengan perubahan yang dilakukan. Bukan hanya murid, ibu bapa/penjaga turut merasa perasaan malu, rendah diri, sedih apabila majlis pengumuman diadakan secara besar-besaran dan meriah. Mereka juga memiliki perasaan dan maruah diri. Maka sewajarnya pihak sekolah hanya mengedarkan keputusan kepada semua murid tanpa membuat apa-apa perbandingan. Layanan yang sama harus diberikan kepada semua murid tanpa mengira apa keputusan yang diperolehi.
  7. Sebenarnya terdapat kekeliruan tentang konsep peperiksaan dan peperiksaan berpusat dalam kalangan massa dan juga guru. Dalam proses pendidikan, ujian dan peperiksaan merupakan satu daripada kaedah untuk mendapatkan maklumat murid dalam aspek kognitif.  Kaedah ini sentiasa dijalankan oleh pihak sekolah dan guru secara berterusan melalui pentaksiran sekolah. Sementara peperiksaan pusat pula ialah peperiksaan  awam yang dikendalikan oleh agensi luar seperti Lembaga Peperiksaan dan Majlis Peperiksaan. Peperiksaan pusat dijalankan pada peringkat tertentu seperti pada masa ini pada akhir Tahun Enam, akhir Tingkatan Tiga dan akhir Tingkatan  Lima. Peperiksaan pusat dijalankan mengikut prosedur yang amat ketat, bermula dari pembinaan item dan instrumen, pengedaran instrumen (kertas soalan), pengendalian peperiksaan, pemarkahan dan pengeluaran keputusan. Apabila ada pandangan mengikut emosi yang menggesa semua peperiksaan dihapuskan, ini merupakan pandangan yang dangkal dan mengelirukan. Pemansuhan yang dicadangkan hanyalah untuk peperiksaan pusat seperti UPSR sedangkan ujian dan peperiksaan pada peringkat sekolah terus berjalan kerana ianya merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran.
  8. Perubahan memang selalunya menimbulkan kegusaran kerana kita telah berada dalam zon selesa peperiksaan pusat sejak zaman sebelum merdeka lagi. Ramai yang ragu tentang masa hadapan yang tidak dapat ditentukan lagi. Sebenarnya peperiksaan membunuh pendidikan. Kita harus kembali semula kepada matlamat pendidikan. Pemansuhan peperiksaan pusat merupakan langkah ke arah memaknakan kembali pendidikan dan merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
  9. Salam hormat dari saya. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya.

Dr. Hazim

Tuesday, 21 November 2017

Pendidikan, Pentaksiran, Peperiksaan Pusat

Assalamualaikum wbrt,

Selamat bertemu kembali.


  1. Keputusan UPSR akan diumumkan pada 23 November 2017 nanti.  Apabila KPM membuat pernyataan melarang sekolah meraikan hanya murid yang cemerlang dan meminggirkan majoriti yang sederhana dan lemah, sudah mula timbul suara-suara sumbang mempertikaikan pernyataan tersebut. Seolah tanpa majlis pengumuman secara besar-besaran,  usaha murid-murid cemerlang ini sia-sia, tidak dihargai dan sebagainya. Maka apakah murid-murid berkeupayaan sederhana dan lemah ini tidak berusaha? Apakah murid-murid kumpulan majoriti ini tidak mencapai apa-apa kecemerlangan dan kehebatan sepanjang persekolahan mereka untuk dibanggakan dan diraikan juga?
  2. Sisi gelap peperiksaan berpusat menampakkan wajahnya di sini. Para guru dan ibu bapa/ penjaga seharusnya memahami apa sebenarnya matlamat pendidikan....apakah untuk mendapat 5A, 6A atau untuk melahirkan insan yang cemerlang bukan hanya bidang akademik tetapi juga segi afektif dan psikomotor? Apa guna mendapat A penuh dalam mata pelajaran peperiksaan berpusat tetapi tidak memiliki sifat-sifat mulia seperti harmonis, bertanggung jawab, menghormati, berhemah, jati diri dan beramal dengan ilmu yang dipelajari.
  3. Kita seharusnya menghormati FPK dan matlamat pendidikan itu sendiri. Sekiranya kajian dilakukan, berapa ramai agaknya para guru dan ibu bapa/penjaga yang benar-benar memahami dan menghayati FPK dan makna pendidikan. Kita sudah terlalu lama berada dalam kotak peperiksaan berpusat, hingga ketiadaan statistik untuk membandingkan antara  sekolah, daerah dan negeri membuat seolah dunia sudah kiamat.
  4. Sekiranya murid yang sentiasa berada pada aras D dan E sepanjang masa tetapi memperoleh B dan C dalam  peperiksaan berpusat, apakah mereka ini tidak layak diraikan tentang kejayaan mereka? Apakah ini bukan kejayaan?  Apakah murid yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran peperiksaan berpusat juga diandaikan A juga dalam moral, nilai murni, akhlak dan aktiviti kokurikulum dan ekastra kurikulum? Diandaikan kerana perkara-perkara ini tidak dilaporkan. Atau apakah murid kelas khas dan murid istimewa juga terpaksa memperoleh semua A untuk diraikan sedangkan keupayaan mereka menjaga kebersihan diri merupakan pencapaian terbaik yang termampu oleh mereka.
  5. Kita harus berlapang dada dan bergerak bersama dengan perkembangan pendidikan dunia. Sistem pendidikan kita tidak harus melahirkan manusia yang tempang, tidak menyeluruh sebagaimana hasrat FPK. Sistem pendidikan kita jauh ketinggalan dalam membina dan menghasilkan manusia terbaik dalam apa juga bidang dan keupayaan mereka. Justru, langkah KPM ini amat dialu-alukan sebagai langkah pertama ke arah memartabatkan FPK dan nilai pendidikan itu sendiri. 
  6. Kini kita harus keluar dari kotak lama yang diwarisi dari zaman penjajah lagi. Masa depan bukan hanya memerlukan 'hard skills', tetapi juga kemahiran insaniah untuk membolehkan murid kita menghadapi abad ke 21 dengan yakin dan berjaya. 
  7. Diucapkan selamat berjaya kepada KPM dan LP, dan kepada massa, kita harus bersedia menerima perubahan dalam dunia yang tidak lagi bersempadan ini.

Dr. Hazim.

Sunday, 19 November 2017

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, pagi ini temukan dengan berita yang amat bermakna dalam sistem pendidikan negara, di mana tiada lagi pengumuman keputusan UPSR dan PT3 akan dibuat sama ada pada peringkat pusat, negeri, daerah dan sekolah. Begitu juga, semua peringkat tidak dibenarkan lagi bercakap tentang pencapaian GPS negeri, PPD dan sekolah,  serta tiada lagi perbandingan antara sekolah. Tumpuan harus diberikan kepada  pencapaian murid tentang tahap pencapaian m inimum calon dan keupayaan mereka menjawab soalan2 KBAT. Tidak perlu merayakan  kejayaan beberapa orang murid sedangkan sebahagian besar yang lain dipinggirkan.

Ini merupakan langkah pertama yang amat signifikan ke arah pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan negara. UPSR dan PT3 bukan pengakhir dunia, tak perlu membunuh diri atau menjadi depresi. Pendidikan seharusnya sesuatu yang menyeronokkan, bukan sesuatu yang menimbulkan ketegangan dan kekcewaan. Set minda kita harus berubah, peperiksaan bukan matlamat pendidikan tetapi membunuh kreativiti dan makna pendidikan itu sendiri. Selagi kita taksub dengan peperiksaan, selama itulah pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara hanya retorik yang dilaungkan tanpa realisasi.

Semoga pihak KPM dan LP melangkah kukuh dan berani ke arah perealisasian Sistem Pentaksiran Negara.  Negara kita sudah jauh ketinggalan dalam memaknakan pendidikan. Realiti hari ini merupakah produk sistem pendidikan yang telah dilalui, terlalu ramai warga yang pincang dilahirkan. Rasuah, dadah, keganasan, penipuan, pencemaran, kerosakan alam sekitar, nilai negatif dan buruk wujud dalam semua peringkat masyarakat. Justru langkah ini merupakan langkah pertama yang amat bermakna untuk pendidikan negara kita.

Dr. Hazim.
Assalamualikum wbrt.

Salam sejahtera kepada semua. Setelah sekian lama, saya kembali dengan harapan dapat menyambung apa yang telah ditinggalkan dahulu dan menambah baik apa yang akan diperkatakan dalam blog ini nanti.

Pendidikan dan pentaksiran pendidikan merupakan bidang yang amat 'passionate' buat saya setelah hampir 30 tahun terlibat secara langsung dalam bidang ini. Saya akan cuba berkongsi apa yang ada pada diri saya tentang bidang ini untuk memberi kefahaman kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang ini, sama ada guru, pengurus pendidikan,pelajar,pensyarah, ibu bapa, ahli masyarakat atau sesiapa sahaja yang berminat. Selain daripada itu, kita juga boleh berbincang serta  menyumbang idea dalam bidang ini.

Semoga segala perkongsian bersama akan dapat dimanafaatkan untuk kebaikan bersama.

Salam ikhlas dari saya,

Dr. Mohd. Hazim bin Mokhtar.