Selamat bertemu kembali.
- Meneruskan lagi penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan negara, Pentaksiran Psikometrik (PPsi) merupakan komponen baru yang diperkenalkan dalam SPPK. Pentaksiran ini memang amat asing bagi guru-guru di sekolah kerana tiada lagi pengalaman yang pernah dilalui dalam bidang ini. Namun pentaksiran psikometrik telah dilaksanakan dalam sesetengah proses tapisan dalam pemilihan ke institusi pengajian tertentu, penempatan dan juga dalam pemilihan perjawatan.
- PPsi merangkumi aspek personaliti dan aptitud, bertujuan mendapatkan maklumat tentang kecenderungan, minat dan sikap murid seawal mungkin bagi membolehkan guru dan ibu bapa mengenal pasti potensi murid dan bekerjasama bagi membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diminati. Personaliti berkaitan dengan tret dalaman seseorang murid sementara aptitud merujuk kepada kebolehan atau bakat semula jadi untuk belajar atau melakukan sesuatu perkara dengan mudah dan cepat.
- PPsi mengandungi tiga bahagian iaitu Ujian Aptitud Am, Ujian Aptitud Khusus dan Inventori Personaliti. Tidak seperti item Peperiksaan Pusat, item Ujian Aptitud boleh diguna pakai berulang kali kepada kumpulan atau kohort yang berlainan.
- Ujian Aptitud Am merupakan ujian bertulis yang mengukur gabungan beberapa kebolehan am murid.Bagi murid tahun 6, Ujian Aptitud Am dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan wajar diambil oleh kesemua murid Tahun 6. Ujian Aptitud Am memberikan maklumat tentang kemahiran asas literasi, numerasi, minat dan kecenderungan bagi menyokong pertimbangan pemilihan mata pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi.
- Bagi murid Tingkatan Tiga dan Lima, Ujian Aptitud Am dikendalikan oleh guru sendiri mengikut keperluan bagi membantu guru mengetahui minat dan kecenderungan murid di samping mengetahui keupayaan murid dalam berkomunikasi, berfikir, berinteraksi dengan alam sekitar, manusia dan PenciptaNya.
- Ujian Aptitud Khusus mentaksir kebolehan khusus yang berkaitan dengan potensi seseorang dalam satu-satu pekerjaan atau bidang. Aptitud khusus boleh dikategorikan ke dalam sembilan bidang iaitu (1) verbal linguistik (pintar perkataan), (2)visual spatial (pintar visual atau ruang), (3) logik matematik (pintar nombor), (4) muzik (pintar muzik), (5) Naturalis (pintar naturalis), (6) kinestatik (pintar jasmani), (7) interpersonal (pintar komunikasi sosial), (8) intrapersonal (pintar diri), dan (9) existial (pintar kwujudan)
- Inventoti Personaliti pula mentaksir ciri-ciri peri laku istimewa atau unik, yang stabil dalam diri seseorang yang membezakannya dengan orang lain. Setiap inventori personaliti mengandungi beberapa set instrumen yang akan memberikan maklumat tentang ciri personaliti seseorang seperti hubungan dan komunikasi dengan orang lain, kerja berkumpulan, sifat ekstraversion, nilai dan akauntabiliti, kefungsian emosi, penyesuaian budaya, kestabilan rohani, jati diri, kepimpinan, keusahawanan, dan etika.
- Maklumat daripada inventori personaliti ini membolehkan guru menilai kesediaan, potensi, kesesuaian atau meramal kejayaan murid dalam pembelajaran seterusnya.
- Pelaksanaan PPsi ini secara khusus bergantung kepada arahan terkini LP dan juga KPM. Maklumat PPsi ini penting bagi guru lebih memahami sifat diri murid dan mengatur strategi berkesan untuk membentuk seseorang murid itu ke arah kecenderungannya.PPsi ini juga membolehkan guru mengambil tindakan awal bagi murid yang dikesan mempunyai masalah tertentu untuk diberikan intervensi bagi mengekang masalah menjadi lebih serius.
- Pentaksiran Psikometrik tidak berasaskan mana-mana kurikulum standard tetapi berdasarkan aspek psikologi yang ingin ditaksir. Guru perlukan latihan meluas dan mendalam bagi membolehkan mereka mengendalikan instrumen yang ada dan menginterpretasi maklumat yang diperolehi bagi manafaat murid. Kemahiran ini perlu ada bagi semua guru. Kesilapan mengendali akan menghasilkan maklumat yang salah dan maklumat yang salah akan memberi kesan buruk terhadap murid.
- Sekian sedikit huraian tentang PPsi buat kali ini. Penulisan berikut akan menyentuh serba sedikit tentang PAJSK.
- hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.
No comments:
Post a Comment