Tuesday, 26 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: APA DIA PENTAKSIRAN PENDIDIKAN

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Pada penulisan ini saya ingin membawa kepada persoalan  kenapa kita harus berubah kepada pentaksiran pendidikan daripada peperiksaan pusat. Sebelum pergi jauh, saya ingin menarik perhatian bahawa peperiksaan pusat berbeza dengan ujian dan peperiksaan peringkat sekolah, dari segi maksud dan pengendaliannya. Apabila saya nyatakan  peperiksaan pusat harus dimansukhkan, tidak bermakna ujian dan peperiksaan peringkat sekolah turut dimansukhkan kerana ujian dan peperiksaan peringkat sekolah adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ujian dan peperiksaan peringkat sekolah merupakan sebahagian daripada pentaksiran formatif yang berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran, bukan pentaksiran tentang  pembelajaran.
  2. Apakah yang dimaksudkan dengan pentaksiran pendidikan?  Dalam pendidikan, pentaksiran adalah komponen yang tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya harus berjalan seiring bagi memaknakan pendidikan. Jika pentaksiran dipisahkan daripada pendidikan ia boleh membawa kepada keruntuhan sistem pendidikan itu sendiri (Broadfoot, 1996).
  3. Pentaksiran seharusnya membekalkan maklumat yang menyeluruh, autentik dan relevan tentang pembelajaran seseorang murid dan pengajaran seorang guru. Pentaksiran pendidikan harus dijalankan seiring dengan pengajaran untuk membolehkan guru memperoleh maklumat mengenai  kefahaman murid tentang apa yang diajar agar tindakan segera dapat diambil untuk mempastikan murid memahami perkara yang diajar sementara guru boleh menggunakan maklumat ini untuk mengesan sebarang kelemahan dan kekurangan dalam pendekatan pengajarannya supaya langkah sewajarnya dapat diambil untuk mempastikan pengajaran yang berkesan.
  4. Pentaksiran boleh diumpamakan sebagai seorang guru Al-Quran yang mengajar mengaji Al-Quran. Guru ini akan  duduk bersama murid  dan mentaksir murid sepanjang masa pengajaran. Guru akan mempastikan murid betul-betul faham dan betul dalam bacaannya  pada satu-satu tahap sebelum beralih ke pengajaran seterusnya. 
  5. Banyak definisi yang diberikan tentang pentaksiran pendidikan. Di sini perbincangan dan huraian tentang pentaksiran pendidikan akan mengikut definisi ini:   'Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut'. 
  6. Definisi ini membawa maksud yang luas. Apabila dikatakan proses, ia merupakan sesuatu yang  berlaku dalam satu-satu tempoh tertentu yang ada permulaan dan ada pengakhirannya. Proses dalam pendidikan boleh berlaku dalam satu unit pembelajaran atau beberapa unit pembelajaran yang mungkin mengambil  satu-satu tempoh atau jangka masa tertentu tetapi tidak seperti proses pembentukan bumi yang memakan masa jutaan tahun.
  7. Proses dalam pentaksiran merujuk kepada apa sahaja aktiviti yg dilakukan oleh guru sepanjang masa terlibat dengan murid, sama ada dalam kelas formal, semasa luar kelas seperti masa perhimpunan, masa di kantin, semasa aktiviti kokurikulum, aktiviti ekstra kurukulum, malah di luar sekolah, bagi mendapatkan maklumat tentang murid.
  8. Kaedah tertentu merujuk kepada apa sahaja pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang murid,  sama ada secara kenvensional atau alternatif. Bagi maklumat yang berkaitan dengan aspek kognitif, kaedah kertas dan pensil seperti  ujian dan peperiksaan  bertulis merupakan pendekatan yang lazim digunakan. Selain daripada itu, guru boleh menggunakan kaedah alternatif seperti kuiz, permainan, soal jawab, congak, ejaan, dan lain-lain yang sesuai. Kaedah ini dapat memberikan maklumat dengan pantas dan autentik bagi membolehkan tindakan yang cepat dan tepat diambil oleh guru bagi membolehkan pembelajaran yang berkesan kepada murid. 
  9. Bagi aspek bukan kognitif, seperti kemahiran dan nilai-nilai murni, kaedah pemerhatian merupakan pendekatan yang paling berkesan, di samping ujian khusus seperti ujian kemahiran dan ujian masa. Interaksi guru dengan murid amat penting dan guru seharusnya bersifat profesional dan tidak bias dalam mentaksir murid bagi mempastikan maklumat sah dan boleh dipercayai.
  10.  Sebagai profesional, guru seharusnya memiliki jiwa dan kemahiran sebagai pendidik. Setiap guru harus memiliki bukan hanya ilmu dalam bidang yang diajar tetapi juga ilmu pentaksiran. Pendekatan mendidik di bawah sistem pentaksiran berbeza dengan pendekatan di bawah sistem peperiksaan pusat. Guru harus berupaya menilai sesuatu perlakuan murid dengan objektif dan merumus serta memberi makna dengan tepat tentang perlakuan itu
  11. Instrumen dalam pentaksiran banyak dan pelbagai. Bagi pendekatan kertas dan pensil,, kertas ujian dan peperiksaan yang mengandungi satu atau beberapa item merupakan instrumen yang lazim digunakan. Selain daripada itu soalan-soalan kuiz, congak, permainan merupakan instrumen yang boleh juga digunakan. Bagi kaedah pemerhatian, senarai  semak merupakan instrumen yang biasa digunakan sementara bagi aspek-aspek bukan kognitif yang lain, terdapat instrumen lain seperti borang soal selidik dan  borang temu bual.
  12. Membuat pertimbangan bermakna guru membuat penilaian berdasarkan maklumat  terkumpul yang sedia ada serta penilaian semasa bagi membuat keputusan tentang murid.  Perlu diingat, maklumat yang diperolehi mestilah maklumat yang sah dan boleh dipercayai.
  13. Membuat penghakiman merupakan proses terakhir di mana guru membuat keputusan untuk meletakkan murid itu pada kedudukannya yang sebenar berdasarkan pertimbangan yang telah dibuat. Dalam pentaksiran berasaskan standard, kedudukan murid ditentukan berdasarkan standard prestasi. Saya akan cuba menghuraikan tentang apa dia standard prestasi pada penulisan yang akan datang, InsyaAllah.
  14. Sekian buat kali ini. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim

No comments:

Post a Comment