Showing posts with label pentaksiran pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pentaksiran pendidikan. Show all posts

Sunday, 7 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN - SISI POSITIF, POTENSI

Assalamualaikum wbrt.

Alhamdulillah, dapat kita bertemu lagi.

  1. Selepas penulisan saya tentang peperiksaan pusat, saya akan cuba pula mengutarakan tentang sisi positif pentaksiran pendidikan, suatu konsep baru bagi dunia pendidikan negara kita, sebagai hala tuju baru sistem pendidikan negara. Namun bagi sesetengah negara, seperti Ontario di Kanada, Finland, dan negara-negara Scandinavia, pentaksiran merupakan wadah bagi pembangunan pendidikan negara-negara tersebut sejak berpuluh tahun yang lalu. Pentaksiran  menjadi katalis kepada pembangunan pendidikan.
  2. Banyak negara kini sedang dalam proses perubahan daripada sistem peperiksaan pusat  ke arah pentaksiran pendidikan. Angin perubahan juga turut melanda negara kita. 
  3. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pentaksiran dan pendidikan tidak dapat dipisahkan kerana jika pentaksiran dan pendidikan dipisahkan ia boleh membawa kepada keruntuhan sistem pendidikan itu sendiri (Broadfoot, 1996). Pentaksiran adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya berjalan seiring, bukan dilakukan pada tahap-tahap tertentu sahaja.  
  4. Pentaksiran seharusnya memberikan maklumat yang holistik dan autentik tentang pembelajaran seseorang murid dan pengajaran seseorang guru. 
  5. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PIPPM) 2006-2010 telah menetapkan strategi yang akan dilaksana bagi pembinaan modal insan negara iaitu (1) menyediakan pentaksiran alternatif dengan mengubah penekanan peperiksaan am daripada berasaskan kandungan kepada lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am (2) mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dan (3) memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian.
  6. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025  juga telah memberikan penekanan terhadap perubahan ini dengan saranan  (1) meningkatkan kerangka pentaksiran bagi menambah item yang menguji kemahiran berfikir aras tinggi serta menggunakan rujukan standard dalam peperiksaan awam dan PBS dan (2) memperkenalkan saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dan memperluaskan skopnya dalam literasi Bahasa Inggeris.
  7. Lembaga Peperiksaan (LP)  yang bertanggung  jawab terhadap pengurusan pentaksiran di negara ini telah memulakan langkah perubahan ini sebelum PIPPM dilancarkan lagi. Pada tahun 2003, satu seminar kebangsaan peringkat nasional tentang pentaksiran dilangsungkan di Kuala Lumpur, di mana istilah pentaksiran dalam pendidikan buat pertama kalinya telah diperkenalkan  secara formal dalam sistem pendidikan negara. Seterusnya beberapa siri seminar antarabangsa telah diadakan pada tahun 2005, 2006 dan 2007 yang turut dihadiri oleh pakar-pakar dan tokoh-tokoh pentaksiran pendidikan dari banyak negara dunia yang telah mendahului perubahan ini.  Hasilnya kerangka  pentaksiran negara yang dinamakan Sistem Pentaksiran Pendidikan Negara (SPPK) diwujudkan.
Kenapa Pentaksiran dan bukan peperiksaan pusat?
  1. Pentaksiran bersifat lebih humanistik, lebih kaya dengan maklumat dan lebih hampir kepada keadaan kehidupan sebenar berbanding peperiksaan pusat (Eisner, 1993).
  2. Pentaksiran..."...sebagai tingkap di mana melaluinya guru boleh mengkaji pembelajaran murid dan bersama-sama dengan murid melihat setakat mana kemajuan yang telah dibuat..." (Ramsden, 1988)
  3. "Assessment is not one, but several things..."(Eisner, 1993)
  4. Pentaksiran memberikan maklumat yang kaya tentang pembelajaran untuk membantu dalam proses membuat keputusan (Willis 1993, Desforges (1989) sama ada oleh murid, guru, ibu bapa, majikan serta pembuat polisi.
  5.  Berbeza dengan peperiksaan pusat,  pentaksiran bersifat holistik, seimbang, fleksibel dan merujuk standard.  
  6. Holistik bermaksud pentaksiran bukan  mentaksir konten mata pelajaran tetapi mentaksir konstruk. Konstruk ialah apa yang ingin dibangunkan dalam diri setiap murid. Dalam sistem pendidikan negara, seperti mana yang termaktub dalam FPK, tiga konstruk utama yang ingin dibangunkan ialah pengetahuan, kemahiran dan nilai.  Kesemua konstruk ini akan ditaksir dan dilaporkan.
  7. Seimbang bermaksud semua konstruk mempunyai kepentingan yang sama, tidak seperti peperiksaan pusat yang hanya menekankan aspek kognitif dan menyisihkan aspek bukan kognitif yang lain. 
  8. Fleksibel bermaksud pentaksiran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana jua, oleh guru atau guru-guru atau sesiapa sahaja yang telah diamanahkan untuk melakukan tugas pentaksiran. 
  9. Merujuk standard bermakna  pelaporan hasil pembelajaran adalah berdasarkan Standard Prestasi Kebangsaan yang dibina berdasarkan standard yang ditetapkan dalam kurikulum kebangsaan.  Selain daripada digunakan untuk pelaporan, Standard Prestasi Kebangsaan juga boleh digunakan oleh guru untuk merancang pengajaran dan  proses pengajaran dan pembelajaran murid.  Standard Prestasi Kebangsaan akan saya cuba sentuh pada penulisan yang akan datang.
  10. Setakat ini buat kali ini. Banyak lagi yang akan diperkatakan tentang pentaksiran pendidikan ini, yang akan saya cuba huraikan pada penulisan akan datang, insyaAllah. Hingga pada kesempatan yang lain, terima kasih mengikuti blog saya. 
  11. Sekadar berkongsi ilmu.  Hanya secebis ilmu yang diperolehi daripada pengalaman kerjaya, dan pembelajaran. Terima kasih.

Dr. Hazim

Saturday, 30 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PEPERIKSAAN PUSAT - ISU

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.


  1. Pada penulisan yang lepas, saya telah cuba menghuraikan tentang apa yang dimaksudkan tentang pentaksiran pendidikan, dari segi definisinya. Di sini saya akan cuba meneruskan huraian tentang kenapa kita harus berpindah dari sistem peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan negara. Pentaksiran dan peperiksaan pusat merupakan dua sistem yang berbeza dari segi konsep, matlamat dan kaedah pengendaliannya.  Perubahan ini akan membawa kepada trasnformasi sistem pendidikan negara kerana sistem pendidikan negara tidak akan berubah tanpa transformasi dalam sistem pentaksiran pendidikan.  
  2. Peperiksaan pusat telah wujud dalam sistem pendidikan negara sejak sebelum merdeka lagi kerana sistem pendidikan negara diwarnakan daripada legasi sistem pendidikan British menerusi University of Cambridge Local Examination Syndicate (UCLES).  Sewaktu merdeka, negara masih berpaksikan sistem pendidikan British di mana calon peperiksaan harus menduduki peperiksaan Overseas Senior Cambridge (OSC) bagi mendapatkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. Walau pun selepas merdeka, sistem peperiksaan pusat terus mendominasi sistem pendidikan negara dengan pelbagai jenis dan bentuk peperiksaan yang diperkenalkan.
  3. Perkembangan ilmu dan teknologi dunia hari ini memberi tekanan kepada sistem pendidikan di seluruh dunia untuk terus relevan dan berjalan seiring dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat. Kegagalan akan menjurus ke arah kemunduran dan akan mudah dimanipulasi oleh golongan  yang berjaya. Pendidikan dalam bentuk yang lama, berdasarkan kandungan kurikulum yang terhad dipisahkan-pisahkan melalui mata pelajaran yang terasing antara satu sama lain dan sistem peperiksaan pusat yang amat rigid bagi menunjukkan kejayaan pendidikan sudah tidak relevan lagi. Ilmu baru berkembang pesat, kemahiran baru muncul, semangat dan daya juang murid perlu diasah bagi menghadapi dekad-dekad mendatang yang amat kompleks dan mencabar ini. Keperluan dekad-dekad mendatang dalam alaf baru tidak sama dengan dekat-dekad terdahulu. Amat asing. Kita bukan hanya perlu ilmu dalam bidang tertentu yang tradisi  tetapi juga dalam bidang ilmu baru yang sentiasa  muncul dengan amat cepat sekali. Banyak ilmu dan kemahiran dulu sudah jumud.  Kita  harus membina dalam diri anak-anak kita  kemahiran insaniah, bidang ilmu yang selama ini diketepikan demi peperiksaan pusat. Kita perlu mengupayakan murid menghadapi  kehidupan  dan cabaran masa akan datang. Dunia akan datang memerlukan manusia yang berani, kreatif, kritis, berfikiran kritikal, sanggup mencuba, berupaya menghasilkan sesuatu yang baru, serta memiliki nilai-nilai positif dan mulia.
  4. Kenapa sistem peperiksaan pusat sudah tidak berfungsi dalam sistem pendidikan masa kini? Sebenarnya, seperti mana hujahan para pengkritik sistem peperiksaan pusat, sistem ini tidak memaknakan pendidikan. Sistem peperiksaan pusat banyak kekurangannya dalam membentuk dan membina diri seorang insan. Apakah kekurangan peperiksaan pusat yang sering diutarakan? Saya akan cuba memberikan penjelasan sebaik mungkin dalam keterbatasan ruang di sini.
  5. Peperiksaan pusat bersifat retrospektif, iaitu mentaksir perkara yang telah dialami atau dilalui oleh murid. Ia diadakan pada penghujung satu-satu tempoh pembelajaran menyebabkan segala maklumat yang diperolehi tidak berguna lagi untuk membaiki sebarang kelemahan dalam pembelajaran murid. Ini bukan pendidikan.
  6. Selain daripada itu, peperiksaan pusat hanya menumpu terhadap aspek kognitif murid sedangkan konsep pendidikan sebenarnya meliputi keseluruhan aspek pembentukan insan, bukan aspek kognitif semata-mata. Pengejaran A penuh dalam setiap peperiksaan mematikan sebarang inovasi kurikulum, mematikan kreativiti guru untuk berkarya dalam kelas, dan mematikan keseronokan murid untuk belajar.  Peperiksaan pusat bukan pendidikan.
  7.  Secara umumnya, peperiksaan pusat hanya mentaksir aras pengetahuan, kefahamana dan pemikiran aras rendah, dan terlalu sedikit mentaksir aras pemikiran yang lebih tinggi.  Item peperiksaan pusat dengan pendekatan kertas dan pensil tidak mampu mentaksir keupayaan murid pada atas tinggi. Keadaan ini mempengaruhi PdP guru. Pendidikan gagal kerana guru hanya menumpu kepada bidang  ilmu dan kemahiran yang terhad, tidak holistik.
  8. Peperiksaan pusat menggalakkan guru meninggalkan kurikulum dan menumpukan pengajaran hanya kepada topik-topik yang dijangka keluar dalam peperiksaan. Malah masa pengajaran mata pelajaran bukan peperiksaan sering diambil, terutama apabila peperiksaan semakin hampir, untuk latih tubi murid. Murid dijadikan sebagai robot, diajar bagaimana menjawab soalan peperiksaan, dan diarahkan untuk mengingat fakta dan kaedah menjawab. Lebih teruk, ada kalangan guru yang mengarahkan murid menghafal jawapan objektif walaupun soalan peperiksaan tidak diketahui. Murid dimomokkan dengan kepentingan peperiksaan untuk kegemilangan hidup masa depan.Ini bukan pendidikan.
  9. Peperiksaan pusat juga menyebabkan tumbuhnya pusat tuisyen di merata tempat, dengan caj tinggi terutama di kawasan bandar hanya untuk mendapat A penuh dalam peperiksaan. Ibu bapa diperdaya dengan jaminan para pengajar yang terlibat dengan pembinaan item dan kertas soalan peringkat pusat.  Buku-buku rujukan bawah standard pula membanjiri pasaran dengan fakta yang kadang kala boleh dipersoalkan dan mengelirukan. Yang menjadi mangsa ialah ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk biaya tuisyen. Ini bukan pendidikan., semata-mata komersil.
  10. Paling menyedihkan, ada sebilangan guru yang mengetepikan integriti profesionalisma dan nilai diri dengan mendapatkan soalan bocor daripada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab semata-mata untuk memperoleh keputusan cemerlang murid dan sekolah. Walau pun selalunya dakwaan soalan bocor ini palsu, jika benar, apakah maknanya keputusan cemerlang palsu  murid yang diperolehi secara tidak sah sedangkan keupayaan sebenar murid tidak pada tahap itu.   Begitu juga terdapat sebilangan guru yang menghalang murid lemah daripada menduduki peperiksaan pusat semata-mata untuk menjaga gred purata sekolah.  Kenapa guru yang menganggap diri profesional dalam karier yang dianggap mulia, yang sepatutnya menjadi model bagi sifat-sifat baik sanggup menggadai maruah hanya untuk kecemerlangan yang palsu. Ini meruntuhkan  dan mencemarkan pendidikan.
  11. Sebenarnya banyak lagi isu yang dikaitkan dengan peperiksaan pusat yang ingin saya huraikan. tetapi kerana keterbatasan masa dan ruang, saya turunkan yang ini dahulu. InsyaAllah, pada penulisan akan datang saya akan cuba menyambung huraian tentang isu peperiksaan pusat ini.
  12. Terima kasih atas kesudian rakan semua melayari dan membaca tulisan saya. Hasrat saya kita semua memperoleh gambaran yang betul dan tepat tentang pentaksiran pendidikan dan transformasi pendidikan yang sedang diusahakan. Hingga bertemu lagi pada penulisan yang akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim

Wednesday, 20 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN : PENTAKSIRAN AKTIVITI JASMANI, SUKAN DAN KOKURIKULUM

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.
  1. Melanjutkan lagi penulisan saya tentang SPPK, penulisan kali ini akan menghuraikan pula serba sedikit tentang Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).  Ini merupakan komponen kelima SPPK dan merupakan aktiviti yang memang melibatkan guru di sekolah  selama ini tetapi tidak diambil kira untuk pelaporan akhir persekolahan.  Akibatnya, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum menjadi aktiviti tempelan, tidak diberikan penekanan pada kalangan murid walaupun terdapat segolongan murid yang amat cemerlang dalam bidang-bidang ini. Selain daripada itu, tidak terdapat instrumen khusus untuk mentaksir bidang-bidang sukan dan kokurikulum, kecuali pentaksiran aktiviti jasmani.
  2. Bidang-bidang ini sebenarnya amat penting dalam proses perkembangan fizikal, jati diri, keyakinan, ketaatan serta sahsiah murid. Namun penekanan terhadap peperiksaan pusat menyebabkan bidang ini terabai dan murid kehilangan peluang terbaik untuk diasah dan dipupuk dalam bidang-bidang ini secara teratur dalam suasana persekolahan.
  3. Aktiviti jasmani melibatkan perkembangan pergerakan motor dan juga fizikal murid. Ini melibatkan pergerakan motor kecil dan motor besar. 
  4. Pentaksiran mengesan perkembangan fizikal murid dan sebarang keadaan yang tidak normal pada diri seseorang murid akan  membolehkan guru mengambil tindakan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius. Guru mungkin boleh melakukan aktiviti pemulihan, menempatkan murid dalam program khas atau merujuk kepada pakar bagi murid yang mengalami masalah pergerakan motor yang serius. Tanpa maklumat daripada pentaksiran ini tiada langkah intervensi yang dapat dilakukan.
  5. Pentaksiran aktiviti jasmani menggunakan Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) yang mengukur tahap kecergasan murid dan juga body mass index (BMI) yang menentukan tahap jisim badan murid. SEGAK ditadbirkan dua kali setahun melibatkan ujian naik turun bangku selama 3 minit, tekanntubi, ringkuk tubi separa dan jengkauan melunjur.  Skor SEGAK berdasarkan National Physical Fitness Standard for Malaysian School Children sementara BMI  merekodkan ketinggian dan berat badan murid dengan menggunakan skor National Centre for Chronic Disease Prevention Health Promotions 2001.
  6. Selain daripada itu, kaedah pemerhatian boleh digunakan bagi mengesan masalah gerakan motor pada kalangan murid. Sebarang kejanggalan dalam gerakan motor murid perlu dikesan secara serius bagi memungkinkan tindakan yang sewajarnya diambil.
  7. Aktiviti sukan berkait rapat dengan aktiviti jsmani. Aktiviti sukan juga berkait dengan cara hidup sihat melalui pendidikan kesihatan. Pentaksiran aktiviti sukan boleh dilakukan berdasarkan kecemerlangan, peningkatan prestasi atau penglibatan untuk dilaporkan. Setiap murid harus berpeluang mengembangkan bakat dan kebolehannya dengan bantuan dan panduan daripada guru.
  8. Aktiviti kokurikulum juga berupaya menonjolkan kecenderungan serta keupayaan murid. Aktiviti ini berupaya menyerlahkan bakat dan kecenderungan murid sama ada dalam aspek seperti pengurusan, kepimpinan, kerjasama,  kecekalan, 'world view' dan nilai murni.  Pemerhatian dan rekod prestasi boleh menjadi instrumen pentaksiran aktiviti kokurikulum. Pencapaian murid juga boleh menjadi sumber maklumat pentaksiran di mana seseorang murid yang boleh menjadi juara debat, atau syarahan atau memenangi peraduan lukisan peringkat kebangsaan, menunjukkan pencapaian murid tersebut sudah melebehi daripada  perimeter yang ditetapkan pada peringkat sekolah, dan seharusnya diberikan kredit. Murid sebeginilah yang sepatutnya boleh diletakkan pada band 6 dalam laporan prestasinya.
  9. Dengan ini berakhirlah huraian saya tentang SPPK, yang saya mulakan sejak penulisan pertama saya dalam blog ini. Insya-Allah, saya akan cuba menerangkan tentang pentaksiran pendidikan, dari segi konsepnya, dan apa yang membezakannya dengan peperiksaan pusat dan kenapa dunia pendidikan hari ini semakin berubah daripada peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan. Kita harus menyediakan anak-anak yang berani menghadapi masa depan yang penuh cabaran dan persaingan dengan yakin. Justru kita harus kembali kepada apa yang dimaknakan dengan pendidikan dan apa yang dihasratkan dalam FPK. 
  10. Sekian buat kali ini. Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas kesudian semua membaca dan mengikuti blog saya. Saya juga terbuka untuk menerima sebarang pandangan bagi menambah baik pemahaman saya dalam bidang ini dan disebarkan kepada khalayak.
Dr. Hazim.

Monday, 18 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PSIKOMETRIK

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Meneruskan lagi penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan negara, Pentaksiran Psikometrik (PPsi) merupakan komponen baru yang diperkenalkan dalam SPPK. Pentaksiran ini memang amat asing bagi guru-guru di sekolah kerana tiada lagi pengalaman yang pernah dilalui dalam bidang ini. Namun pentaksiran psikometrik telah dilaksanakan dalam sesetengah proses tapisan dalam pemilihan ke institusi pengajian tertentu, penempatan dan juga dalam pemilihan perjawatan.
  2. PPsi merangkumi aspek personaliti dan aptitud, bertujuan mendapatkan maklumat tentang kecenderungan, minat dan sikap murid seawal mungkin bagi membolehkan guru dan ibu bapa mengenal pasti potensi murid dan bekerjasama bagi membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diminati.  Personaliti berkaitan dengan tret dalaman seseorang murid sementara aptitud merujuk kepada kebolehan atau bakat semula jadi untuk belajar atau melakukan sesuatu perkara dengan mudah dan cepat.
  3. PPsi mengandungi tiga bahagian iaitu Ujian Aptitud Am, Ujian Aptitud Khusus dan Inventori Personaliti.  Tidak seperti item Peperiksaan Pusat, item Ujian Aptitud boleh diguna pakai berulang kali kepada kumpulan atau kohort yang berlainan.
  4. Ujian Aptitud Am merupakan ujian bertulis yang mengukur gabungan beberapa kebolehan am murid.Bagi murid tahun 6, Ujian Aptitud Am dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan wajar diambil oleh kesemua murid Tahun 6. Ujian Aptitud Am memberikan maklumat tentang kemahiran asas literasi, numerasi, minat dan kecenderungan bagi menyokong pertimbangan pemilihan mata pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi.
  5. Bagi murid Tingkatan Tiga dan Lima, Ujian Aptitud Am dikendalikan oleh guru sendiri mengikut keperluan bagi membantu guru mengetahui minat dan kecenderungan murid di samping mengetahui keupayaan murid dalam berkomunikasi, berfikir, berinteraksi dengan alam sekitar, manusia dan PenciptaNya.
  6. Ujian Aptitud Khusus mentaksir kebolehan khusus yang berkaitan dengan potensi seseorang dalam satu-satu pekerjaan atau bidang. Aptitud khusus boleh dikategorikan ke dalam sembilan bidang iaitu (1) verbal linguistik  (pintar perkataan), (2)visual spatial (pintar visual atau ruang), (3) logik matematik (pintar nombor), (4) muzik (pintar muzik), (5) Naturalis (pintar naturalis), (6) kinestatik (pintar jasmani), (7) interpersonal (pintar komunikasi sosial), (8) intrapersonal (pintar diri), dan (9) existial (pintar kwujudan)
  7. Inventoti Personaliti pula mentaksir ciri-ciri peri laku istimewa atau unik, yang stabil dalam diri seseorang yang membezakannya dengan orang lain.  Setiap inventori personaliti  mengandungi beberapa set instrumen yang akan memberikan maklumat tentang ciri personaliti seseorang seperti hubungan dan komunikasi dengan orang lain, kerja berkumpulan, sifat ekstraversion, nilai dan akauntabiliti, kefungsian emosi, penyesuaian budaya, kestabilan rohani, jati diri, kepimpinan, keusahawanan, dan etika. 
  8. Maklumat daripada inventori personaliti ini membolehkan guru menilai kesediaan, potensi, kesesuaian atau  meramal kejayaan murid dalam pembelajaran seterusnya.
  9. Pelaksanaan PPsi ini secara khusus bergantung kepada arahan terkini LP dan juga KPM. Maklumat PPsi ini  penting bagi guru lebih memahami sifat diri murid dan mengatur strategi berkesan untuk membentuk seseorang murid itu ke arah kecenderungannya.PPsi ini juga membolehkan guru mengambil tindakan awal bagi murid yang dikesan mempunyai masalah tertentu untuk diberikan  intervensi bagi mengekang masalah menjadi lebih serius.
  10. Pentaksiran Psikometrik tidak berasaskan mana-mana kurikulum standard tetapi berdasarkan aspek psikologi yang ingin ditaksir. Guru perlukan latihan meluas dan mendalam bagi membolehkan mereka mengendalikan instrumen yang ada dan menginterpretasi maklumat yang diperolehi bagi manafaat  murid. Kemahiran ini perlu ada bagi semua guru. Kesilapan mengendali akan menghasilkan maklumat yang salah dan maklumat yang salah akan memberi kesan buruk terhadap murid.
  11. Sekian sedikit huraian tentang PPsi buat kali ini. Penulisan berikut akan menyentuh serba sedikit tentang PAJSK.
  12. hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.