Alhamdulillah, dapat kita bertemu lagi.
- Selepas penulisan saya tentang peperiksaan pusat, saya akan cuba pula mengutarakan tentang sisi positif pentaksiran pendidikan, suatu konsep baru bagi dunia pendidikan negara kita, sebagai hala tuju baru sistem pendidikan negara. Namun bagi sesetengah negara, seperti Ontario di Kanada, Finland, dan negara-negara Scandinavia, pentaksiran merupakan wadah bagi pembangunan pendidikan negara-negara tersebut sejak berpuluh tahun yang lalu. Pentaksiran menjadi katalis kepada pembangunan pendidikan.
- Banyak negara kini sedang dalam proses perubahan daripada sistem peperiksaan pusat ke arah pentaksiran pendidikan. Angin perubahan juga turut melanda negara kita.
- Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pentaksiran dan pendidikan tidak dapat dipisahkan kerana jika pentaksiran dan pendidikan dipisahkan ia boleh membawa kepada keruntuhan sistem pendidikan itu sendiri (Broadfoot, 1996). Pentaksiran adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya berjalan seiring, bukan dilakukan pada tahap-tahap tertentu sahaja.
- Pentaksiran seharusnya memberikan maklumat yang holistik dan autentik tentang pembelajaran seseorang murid dan pengajaran seseorang guru.
- Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PIPPM) 2006-2010 telah menetapkan strategi yang akan dilaksana bagi pembinaan modal insan negara iaitu (1) menyediakan pentaksiran alternatif dengan mengubah penekanan peperiksaan am daripada berasaskan kandungan kepada lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am (2) mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dan (3) memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian.
- Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 juga telah memberikan penekanan terhadap perubahan ini dengan saranan (1) meningkatkan kerangka pentaksiran bagi menambah item yang menguji kemahiran berfikir aras tinggi serta menggunakan rujukan standard dalam peperiksaan awam dan PBS dan (2) memperkenalkan saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dan memperluaskan skopnya dalam literasi Bahasa Inggeris.
- Lembaga Peperiksaan (LP) yang bertanggung jawab terhadap pengurusan pentaksiran di negara ini telah memulakan langkah perubahan ini sebelum PIPPM dilancarkan lagi. Pada tahun 2003, satu seminar kebangsaan peringkat nasional tentang pentaksiran dilangsungkan di Kuala Lumpur, di mana istilah pentaksiran dalam pendidikan buat pertama kalinya telah diperkenalkan secara formal dalam sistem pendidikan negara. Seterusnya beberapa siri seminar antarabangsa telah diadakan pada tahun 2005, 2006 dan 2007 yang turut dihadiri oleh pakar-pakar dan tokoh-tokoh pentaksiran pendidikan dari banyak negara dunia yang telah mendahului perubahan ini. Hasilnya kerangka pentaksiran negara yang dinamakan Sistem Pentaksiran Pendidikan Negara (SPPK) diwujudkan.
Kenapa Pentaksiran dan bukan peperiksaan pusat?
- Pentaksiran bersifat lebih humanistik, lebih kaya dengan maklumat dan lebih hampir kepada keadaan kehidupan sebenar berbanding peperiksaan pusat (Eisner, 1993).
- Pentaksiran..."...sebagai tingkap di mana melaluinya guru boleh mengkaji pembelajaran murid dan bersama-sama dengan murid melihat setakat mana kemajuan yang telah dibuat..." (Ramsden, 1988)
- "Assessment is not one, but several things..."(Eisner, 1993)
- Pentaksiran memberikan maklumat yang kaya tentang pembelajaran untuk membantu dalam proses membuat keputusan (Willis 1993, Desforges (1989) sama ada oleh murid, guru, ibu bapa, majikan serta pembuat polisi.
- Berbeza dengan peperiksaan pusat, pentaksiran bersifat holistik, seimbang, fleksibel dan merujuk standard.
- Holistik bermaksud pentaksiran bukan mentaksir konten mata pelajaran tetapi mentaksir konstruk. Konstruk ialah apa yang ingin dibangunkan dalam diri setiap murid. Dalam sistem pendidikan negara, seperti mana yang termaktub dalam FPK, tiga konstruk utama yang ingin dibangunkan ialah pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kesemua konstruk ini akan ditaksir dan dilaporkan.
- Seimbang bermaksud semua konstruk mempunyai kepentingan yang sama, tidak seperti peperiksaan pusat yang hanya menekankan aspek kognitif dan menyisihkan aspek bukan kognitif yang lain.
- Fleksibel bermaksud pentaksiran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana jua, oleh guru atau guru-guru atau sesiapa sahaja yang telah diamanahkan untuk melakukan tugas pentaksiran.
- Merujuk standard bermakna pelaporan hasil pembelajaran adalah berdasarkan Standard Prestasi Kebangsaan yang dibina berdasarkan standard yang ditetapkan dalam kurikulum kebangsaan. Selain daripada digunakan untuk pelaporan, Standard Prestasi Kebangsaan juga boleh digunakan oleh guru untuk merancang pengajaran dan proses pengajaran dan pembelajaran murid. Standard Prestasi Kebangsaan akan saya cuba sentuh pada penulisan yang akan datang.
- Setakat ini buat kali ini. Banyak lagi yang akan diperkatakan tentang pentaksiran pendidikan ini, yang akan saya cuba huraikan pada penulisan akan datang, insyaAllah. Hingga pada kesempatan yang lain, terima kasih mengikuti blog saya.
- Sekadar berkongsi ilmu. Hanya secebis ilmu yang diperolehi daripada pengalaman kerjaya, dan pembelajaran. Terima kasih.
Dr. Hazim
No comments:
Post a Comment