Assalamualaikum wbrt.
Selamat bertemu kembali.
- Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk bersama lagi dalam penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan ini. Pada penulisan yang lepas saya cuba menjelaskan bagaimana pentaksiran pendidikan dimaknakan dengan contoh yang mudah. Seterusnya saya telah cuba menerangkan secara ringkas bagaimana pelaksana di sekolah boleh mengoperasikan pentaksiran ini pada mata pelajaran yang bersifat kontinuum ataupun topikal. Sebenarnya untuk merealisasikan pentaksiran secara menyeluruh dan berkesan, banyak lagi persediaan yang perlu dilaksanakan, banyak lagi pemahaman yang perlu diberikan kepada pelaksana dan banyak lagi huraian yang mendalam tentang setiap mata pelajaran, kemahiran dan nilai yang harus dilakukan. Masih jauh perjalanannya. Untuk mempastikan keseragaman dan keobjektifan pentaksiran yang akan dilaksanakan, panduan dari pusat amat diperlukan, terutama dalam aspek yang berkaitan dengan lokaliti dan persekitaran sekolah yang pelbagai. Pentaksiran harus disesuaikan dengan persekitaran dan lokaliti sekolah di samping sifat murid, masyarakat dan guru.
- Selain daripada itu, persoalan yang sentiasa ditimbulkan ialah siapa yang mentaksir, bagaimana mentaksir, bagaimana merekod dan menyimpan rekod, bagaimana mentafsir maklumat dan bagaimana melapor dan bentuk pelaporan. Kita akan cuba melihat satu persatu persoalan-persoalan ini dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan Pentaksiran Pendidikan - Pra-Pelaksanaan
- Peringkat awal pelaksanaan akan memperlihatkan penentangan daripada banyak pihak termasuk guru sebagai pelaksana, pentadbir, ibu bapa, dan juga massa. Ini merupakan sesuatu yang normal dalam mana-mana masyarakat atau komuniti apabila sesuatu pembaharuan yang agak asing diperkenalkan. Keberadaan dalam zon selesa dalam jangka waktu yang agak panjang, sejak merdeka, membuat penerimaan menjadi sukar, kerana perubahan membawa ilmu dan kemahiran baru yang harus dipelajari, keberkesanan yang diragui dan impak masa depan yang masih tidak diketahui. Justru, untuk mengelakkan tentangan yang tidak sewajarnya, kerja-kerja pra pelaksanaan yang aktif seharusnya dilakukan.
- Pertamanya, pihak yang bertanggung jawab, KPM, Lembaga Peperiksaan (LP) dan bahagian-bahagian lain yang berkaitan harus menjalankan penataran kepada semua yang terlibat pada semua peringkat - bahagian-bahagian KPM, JPN, PPD, Pengetua, Guru Besar, Guru-guru, PIBG, NGO dan juga massa. Kekangan mungkin wujud kerana kekurangan tenaga di pihak yang akan menatar, kewangan dan masa. Perancangan yang menyeluruh harus dilakukan bagi mempastikan program yang diperkenalkan ini berjaya mencapai matlamatnya.
- Namun banyak kerja-kerja penataran berakhir dengan kegagalan atau memberi impak yang minimum kerana yang menatar tidak faham apa yang ditatarkan. Pentaksiran merupakan bidang yang amat luas, dinamik dan penuh dengan kemungkinan. Amat malang sekiranya perbelanjaan yang besar untuk penataran berakhir dengan kegagalan. Kerana itu, sesiapa sahaja yang menatarkan tentang pentaksiran pendidikan harus dipastikan memiliki ilmu dan kefahaman yang jelas tentang pentaksiran. Di LP sendiri, bukan semua pegawai LP yang tahu dan faham tentang pentaksiran pendidikan. Tanpa ilmu dan kefahaman, akan tersasar apa yang dihasratkan, malah mungkin melahirkan ilmu yang songsang.
- Semua sumber yang ada harus digembleng untuk tujuan ini. Ini termasuk pegawai yang pernah terlibat dalam pembentukan konsep dan yang telah menerima pendedahan yang luas tentang pentaksiran, bekas pegawai LP yang turut terlibat dengan kerja-kerja pembinaan konsep tapi kini berada di luar LP, guru-guru yang terlibat dalam pembentukan konsep dan juga pegawai yang telah bersara. Penataran juga harus berterusan, bukan 'one-off' . Tapi syarat utama apabila menjalankan penataran...yang menatar harus faham sepenuhnya tentang apa yang hendak ditatarkan.
- Di samping penataran, penyebaran maklumat juga harus dilakukan secara berterusan, bukan 'one-off', melalui apa sahaja media yang ada, bercetak atau elektronik. Pengenalan PT3 dahulu, penataran nampak diusahakan dengan agak meluas dan agresif tetapi malangnya ia hanya berbentuk 'one-off'. Malang sekali PT3 yang dihasratkan sebagai PBS bagi menggantikan PMR akhirnya bertukar kembali kepada wajah peperiksaan pusat. Pengejaran untuk A penuh kembali semula dan kelas tuisyen PT3 tumbuh di merata tempat. Pembinaan konsep asal PT3 memang tidak mewujudkan wajah peperiksaan pusat, tetapi sebaliknya berlaku. Di mana silapnya??? Sesuatu harus dilakukan bagi mengembalikan PT3 kepada hasrat asalnya. PPSR merupakan perubahan yang amat positif dan seharusnya semangat PPSR harus ditanamkan kembali dalam PT3 tanpa peperiksaan pusat.
- Bagi pengukuhan jangka panjang, KPM seharusnya memberi peluang kepada pegawai yang terlibat secara langsung dengan pentaksiran menjalani pendedahan serta kursus lanjutan, dalam dan luar negara. Dahulu LP menjadi ahli kepada International Association of Educational Assessment (IAEA), badan pentaksiran yang menjadi wadah kepada pembangunan sistem pentaksiran pendidikan. Setiap tahun LP menghantar sebilangan pegawai menghadiri persidangan IAEA ini yang diadakan di negara-negara anggota secara giliran bagi mendapatkan maklumat murakhir tentang sistem pentaksiran pendidikan. Malah beberapa kali pegawai LP turut membentangkan kerja kerja dalam persidangan ini. Saya merasa bertuah kerana berpeluang membentangkan kertas kerja semasa persidangan IAEA ini diadakan di Rio de Janeiro, Brazil.
- Universiti serta institusi pendidikan tinggi yang ada mengendalikan kursus pendidikan juga harus didedahkan dengan sistem pentaksiran ini kerana di hampir kesemua IPT, kursus-kursus yang dikendalikan masih tentang peperiksaan pusat dengan tumpuan hanya kepada keupayaan kognitif . Jika fokus tentang pentaksiran masih diabaikan, graduan yang dilahirkan akan menghadapi masalah apabila berada dalam sistem pendidikan negara. Yang lebih UTAMA, IPGM harus didedahkan dengan perubahan baharu ini kerana institusi inilah yang melahirkan sebahagian besar guru di negara ini. Sebagai sebahagian daripada oranisasi KPM, IPGM seharus berjalan seiring dengan LP bagi mempastikan sistem pentaksiran pendidikan negara berjaya mencapai matlamatnya. Kegagalan IPT termasuk IPGM menyediakan guru dengan pengetahuan dan kemahiran tentang sistem pentaksiran pendidikan mutakhir ini akan menggagalkan usaha KPM untuk mentransformasi sistem pendidikan negara.
- Banyak lagi isu yang boleh dibangkitkan, namun buat kali ini, setakat itu yang dapat saya bincangkan. Sekian buat kali ini. HIngga bertemu lagi pada ruang masa yang akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.
No comments:
Post a Comment