Selamat bertemu lagi.
- Alhamdulillah, Allah masih memberikan peluang untuk saya meneruskan lagi penulisan tentang pentaksiran pendidikan ini. Apabila PT3 diperkenalkan, ia merupakan satu kejutan kepada massa, dan juga warga pendidik kerana ia akan menggantikan PMR, peperiksaan pusat yang selama ini mendominasi dunia pendidikan negara. Matlamat PT3 ialah untuk mengurangkan tekanan peperiksaan pusat pada kalangan murid (atau ibu bapa yang lebih tertekan?). PT3 tiada peperiksaan pusat, pelaporannya berasaskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ini bermakna apa yang guru usahakan akan diberikan merit dalam pelaporan akhir. Pengiktirafan ini amat penting kerana selama ini apa yang guru usahakan dalam mendidik murid-murid tidak diambil kira langsung dalam pelaporan akhir.
- Tetapi realitinya kini, seolah PT3 sedang mengembalikan wajah peperiksaan. Tarikh pentaksiran PT3 dijadualkan pada 8-11 Oktober 2018 sebaris dengan peperiksaan pusat yang lain. Apakah maknanya ini dan apakah kesannya kepada murid dan sekolah? Pengejaran A penuh sudah kembali pada kalangan murid dan sekolah. Hasrat asal PT3 lebur kecuali ada usaha untuk mengembalikan PT3 sebagai PBS sepenuhnya. Kenapakah terjadi penyimpangan matlamat ini hingga program yang dirancang dengan teliti akhirnya menemui jalan buntu? Pendidikan tidak akan dapat dimaknakan selagi peperiksaan pusat menjadi matlamat akhir.
- Kerana itu saya sering menekankan perihal perlunya kita semua keluar daripada kotak pemikiran yang lama terutama para perancang profesionalisma di kalangan pengurusan tertinggi KPM untuk memaknakan pendidikan. Khusus buat IPGM, institusi ini seharusnya telah mengangkat kursus pentaksiran pendidikan sebagai fokus utama dalam menyediakan bakal guru. Pelaksanaan pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan negara akan terbantut apabila guru-guru muda yang dihantar ke sekolah tidak tahu dan faham apa itu pentaksiran pendidikan. Apa lagi mahu mempraktikkannya. Peperiksaan pusat hanya satu daripada komponen pentaksiran pendidikan. Tetapi apa yang terlihat, IPGM masih lagi dalam ruang lingkup pengukuran dan penilaian, membincangkan teori-teori lama peperiksaan dan belum terlihat untuk berubah ke arah pentaksiran pendidikan masa kini. Sama ada pengurusan tertinggi IPGM masih dalam paradigma lama, tiada dapat melihat masa depan, tidak mahu ambil tahu tentang perkembangan pentaksiran masa kini, enggan berjalan seiring dengan LP, atau tiada kepakaran dan kemahiran dalam pentaksiran pendidikan, sesuatu harus dilakukan.
- Kerana itu, persediaan pra pelaksanaan amat penting. Tetapi seperti kebiasaannya, selama ini banyak program KPM lebih bersifat bidan terjun dan ad-hoc, pelan tindakan yang dikemukakan pula selalunya setengah masak, akhirnya tenggelam begitu sahaja. Sekolah bestari diwar-warkan dengan sebegitu hebat akhirnya menyepi, begitu juga sekolah berkesan. Sekolah kluster kecemerlangan mempunyai pelbagai interpretasi dan konotasi, sering mengelirukan. Sekolah berprestasi tinggi juga perlu dilihat kembali dalam perkembangan pentaksiran pendidikan masa kini. PPSMI juga mengikut jejak yang sama walau pun berbilion ringgit dicurahkan untuk pelaksanaannya. Banyak kegagalan ini sebenarnya berpunca daripada perancangan dan penyediaan konsep yang tergesa-gesa, persediaan pra pelaksanaan yang lemah dan yang utamanya kegagalan memahami dan menghayati makna pendidikan dan hasrat FPK itu sendiri pada kalangan pembuat dan pelaksana dasar.
- Walau bagaimana pun, dalam melahirkan sistem pentaksiran negara , LP telah mula menyediakan konsep pentaksiran pendidikan negara ini sejak 2003, melalui satu persidangan nasional dan tiga persidangan antarabangsa khusus membicarakan tentang pentaksiran pendidikan. Hasil daripada persidangan ini berserta bengkel-bengkel khas bersama pelbagai jabatan, pengetua, guru besar, guru, murid, ibu bapa, dan NGO dari seluruh negara, cadangan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dihasilkan dan diterima oleh pengurusan tertinggi KPM, tetapi apabila sampai kepada fasa pelaksanaan, masih banyak kelompongan yang harus ditampungi. Ini terutamanya kerana kegagalan banyak pihak memahami konsep pentaksiran pendidikan dalam memaknakan pendidikan dan keenganan keluar daripada paradigma lama peperiksaan pusat. Sudah sampai masanya kita semua keluar daripada kotak pemikiran lama dan berani meneroka semesta ilmu pentaksiran pendidikan yang lebih luas. Pendidikan abad ke 21 tidak mampu untuk bergantung kepada peperiksaan pusat semata-mata.
- Sebelum meneruskan penulisan tentang apa yang ditaksir, saya ingin menyorot kembali tentang apa itu pentaksiran pendidikan. Ini penting untuk memahami penulisan-penulisan seterusnya nanti.
Pentaksiran Pendidikan.
- Definisi dan huraiannya telah saya tuliskan sebelum ini. Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut.
- Pentaksiran merupakan satu proses - bermakna ia berjalan berterusan, dan pada prinsipnya, pentaksiran bermula pada hari pertama murid berada di sekolah dan berakhir pada hari terakhir murid di sekolah. Setiap hari guru berinteraksi dengan murid, setiap masa guru mentaksir. Jangan tanamkan dalam minda bahawa pentaksiran ini seperti peperiksaan pusat, tidak sama sekali. Peperiksaan pusat diadakan pada penghujung satu-satu proses pembelajaran yang panjang, bersifat restrospektif sementara pentaksiran berjalan seiring dengan proses pembelajaran. Pentaksiran tidak ada jadual waktu khusus seperti peperiksaan pusat, tidak ada instrumen khusus dan tidak ada bilik-bilik peperiksaan khusus. Lain murid mungkin memerlukan kaedah dan pendekatan yang berbeza dan instrumen yang berbeza untuk ditaksir. Pentaksiran boleh dilakukan secara 'direct' atau 'indirect' pada bila-bila masa yang sesuai.
- Apakah maklumat yang ingin didapatkan daripada murid? Ini berbalik kepada matlamat pendidikan itu sendiri. Negara kita mempunyai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (+kemahiran sosial) ....agar menjadi warga yang berilmu pengetahuan, berketrampelan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. FPK diterjemahkan ke dalam kurikulum kebangsaan melalui matlamat dan objektif setiap mata pelajaran dan disiplin yang diajar di sekolah. Secara umumnya roh FPK diterjemahkan ke dalam tiga konstuk utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.
- FPK telah digubal dengan begitu cantik sekali, menepati matlamat pendidikan yang sebenar, dan tiada langsung apa-apa pernyataan dalam FPK yang mengaitkannya dengan peperiksaan pusat dan pengejaran A penuh dalam peperiksaan pusat. Hasrat FPK hanya satu iaitu melahirkan warga yang terbaik dalam bidang ilmu, kemahiran dan nilai. KBSR cuba merealisasikan matlamat murni FPK ini namun tersasar. Realitinya, semua perancangan baik ini dihalang oleh peperiksaan pusat. Justru kita harus kembali kepada matlamat asal ini. Terlalu lama dan terlalu jauh kita tersasar, kita harus kembali memaknakan pendidikan itu.
- Apabila wujud pelbagai masalah dalam masyarakat kita pada hari ini seperti rasuah, dadah, sosial, penipuan dan pecah amanah, adakah ini merupakan konotasi daripada kesesatan kita melaksanakan pendidikan terhadap anak-anak kita selama ini? Dari yang berkedudukan tinggi, menteri, ketua jabatan, pengarah, hingga kepada pegawai bawahan, dalam pelbagai sektor ekonomi dan pekerjaan, masalah ini wujud. Hormat menghormati semakin pudar, kemusnahan alam sekitar anugerah Allah amat berleluasa, pengejaran wang ringgit dan kekayaan dunia menjadi matlamat hidup, jurang perbezaan taraf hidup miskin-kaya semakin meluas, dan kepercayaan kepada Tuhan semakin menipis. Rukun Negara hanyalah retorik dan hukum agama, dosa pahala seolah jenaka yang dipersenda.
- Pendidikan merupakan tunjang kepada peradaban manusia, menjadikan manusia sebagai insan yang berjaya dunia akhirat, patuh kepada perintah Allah dan peka dengan persekitaran dan dengan manusia lain.Apabila kita melihat bagaimana rakyat negara luar menghargai sesama manusia dan alam sekitar, kita merasa sesuatu lompong yang amat besar wujud dalam sistem pendidikan negara. Mengapa kita tidak boleh menjaga kebersihan sungai dan parit di negara kita hingga ikan boleh hidup dan membiak seperti di Jepun dan England, kenapa kita tidak boleh menjaga hutan dan alam semula jadi kita seperti New Zealand hinggakan bukit dan gunung menjadi gondol dan musnah ditarah, mengapa kita tidak boleh menjaga kebersihan tandas kita seperti tandas di negara Jepun, Australia dan Taiwan, kenapa kita masih melontar sampah, bekas makanan, kulit buah-buahan dan kertas tisu dari dalam kereta kita hingga menyebabkan pencemaran dan banyak lagi contoh yang menunjukkan kepincangan kita? Pokoknya, kemahiran insaniah ini, nilai-nilai murni yang diperlukan dalam kehidupan kita sebagai manusia, dipupuk sejak dari pendidikan rendah lagi di negara-negara ini. Dari rebung mereka telah dilentur, diajar dan ditanamkan dengan sifat-sifat murni ini, yang terkandung dalam sistem pendidikan mereka. Kita gagal membina nilai-nilai baik ini dalam diri murid kerana kita amat terpesona dengan peperiksaan pusat, untuk mendapat A penuh dan kebanggaan yang palsu.
- Pentaksiran adalah lebih fleksibel, bersifat insaniah dan memberikan maklumat yang autentik tentang seseorang murid. Di sekolah, guru sentiasa berinteraksi dengan murid dan pentaksiran boleh dilakukan dalam tempoh ini . Di dalam kelas, guru mentaksir, di padang permainan guru mentaksir, sewaktu perhimpunan guru mentaksir, semasa aktiviti kokurikulum dan ekstra kurikulum guru mentaksir, malah di luar sekolah juga guru mentaksir. Pentaksiran tidak boleh berpisah dengan pendidikan. Pentaksiran memberikan maklumat yang menyeluruh dan lebih tepat tentang murid. Guru bukan hanya mentaksir aspek pengetahuan murid tetapi juga tentang kemahiran dan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Apa yang ditaksir direkod dan akan diguna untuk pelaporan akhir nanti.
- Agak panjang saya menyentuh tentang pentaksiran pendidikan ini, dan setakat ini penulisan saya buat kali ini. Banyak lagi yang ingin disentuh, namun keterbatasan ruang dan waktu mengehadkan kesempatan itu. InsyaAllah, akan saya teruskan penulisan ini nanti dengan menerangkan pula apa yang ditaksir.
- Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.
Mungkin tuan boleh buat blog tuan lebih menarik utk dibaca
ReplyDeleteTerima kasih atas pandangan.
ReplyDelete