Selamat bertemu kembali. Sedikit sambungan tentang isu yang berkaitan dengan peperiksaan pusat.
- Perlu juga difahami, pengendalian peperiksaan pusat amat rumit dan memerlukan perbelanjaan yang amat besar, dari pembinaan item dan instrumen hinggalah kepada pengedaran dan penyimpanan sebelum ditadbirkan dalam bilik-bilik peperiksaan. Selain daripada itu, kos yang tinggi juga diperlukan bagi kerja-kerja pemeriksaan skrip subjektif, pemprosesan data keputusan, pengeluaran keputusan dan percetakan sijil. Kos akan meningkat berkali ganda sekiranya peperiksaan semula terpaksa dilakukan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Justru, sebarang tindakan membocorkan kertas peperiksaan pusat yang juga dikategorikan sebagai dokumen sulit kerajaan merupakan tindakan yang amat tidak bertanggung jawab. Sekali pun murid memperoleh keputusan yang baik, itu tidak memberi apa-apa makna kepada pendidikan anak-anak kerana keputusan itu bukan menunjukkan pencapaian sebenar murid, tetapi diperoleh secara penipuan. Guru mengajar murid untuk menipu dan tidak amanah.
- Peperiksaan pusat juga memberi tekanan psikologi yang amat kuat terhadap murid, guru dan ibu bapa. Murid akan mengalami apa yang dikatakan stres peperiksaan (examination stress) yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada murid, sehinggakan ada murid yang sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menjawap soalan dengan baik atau keputusan peperiksaan pusat tidak seperti yang diharapkan. Murid sepatutnya belajar dengan seronok tapi malang sekali keseronokan mereka dirampas oleh peperiksaan pusat. Mereka juga tidak berpeluang menikmati keriangan kehidupan alam kanak-kanak kerana sepanjang masa disogokkan dengan persediaan peperiksaan pusat. Belajar, belajar, belajar...bukan didikan, didikan, didikan.
- Guru juga turut tertekan apabila prestasi guru dan sekolah diukur berdasarkan keputusan peperiksaan pusat. Guru menghadapi tekanan daripada guru besar/pengetua untuk keputusan cemerlang, guru besar/pengetua menghadapi tekanan daripada PPD, PPD menghadapi tekanan daripada jabatan dan jabatan pula menghadapi tekanan daripada pihak atasan di kementerian. Kerana itulah ada guru yang sanggup melanggar etika keguruan dan amanah yang diberi dengan cuba mendapatkan soalan bocor daripada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab atau melarang kumpulan tertentu murid menduduki peperiksaan pusat . Justru keputusan mutakhir KPM yang tidak lagi melihat CGPA sebagai indeks kecemerlangan sekolah merupakan tindakan yang harus dipuji demi memaknakan pendidikan. Tindakan yang berani yang dijangka akan menerima tentangan hebat daripada setengah guru dan juga ibu bapa pada peringkat awal tetapi akan mendatangkan kesan positif terhadap sistem pendidikan negara pada jangka waktu panjang. Sebarang perubahan dan transformasi dalam pendidikan harus dikemudikan dari atas bagi menjamin kejayaan pelaksanaan. Dan ianya haruslah menyeluruh, bukan perubahan secara adhoc.
- Sementara ada pula ibu bapa yang mempunyai harapan terlalu tinggi kepada anak-anak hingga anak-anak menghadapi tekanan dan keresahan yang tidak sepatutnya. Ramai juga ibu bapa yang menghadapi tekanan yang lebih teruk daripada anak-anak. Lantaran, mereka sanggup berhabisan wang menghantar anak-anak ke kelas-kelas tuisyen dan kem-kem menjawab peperiksaan yang memakan kos yang tinggi. Ibu bapa dimanupulasi dengan dakwaan guru-guru yang akan memberikan panduan merupakan guru-guru yang terlibat dengan institusi yang mengendalikan peperiksaan dan terdedah dengan kertas peperiksaan pusat. Ini merupakan penipuan yang jelik kerana dokumen sulit kerajaan dikawal ketat keselamatannya dan sesiapa yang terlibat dgn kerja-kerja institusi yang mengendalikan peperiksaan pusat tertakluk di bawah akta rahsia.
- Gred peperiksaan pusat pula diterakan dalam bentuk angka atau abjad tunggal yang tidak mempunyai sebarang huraian tentang maksud gred tersebut. Seorang murid mungkin memperolehi A bagi mata pelajaran Matematik, C bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan E bagi mata pelajaran Sains. Adakah ini bermakna murid tersebut tahu semua perkara tentang Matematik, tahu separuh mata pelajaran Bahasa Melayu dan tak tahu apa-apa bagi mata pelajaran Sains? Apakah selama 6 tahun sekolah rendah atau lima tahun sekolah menengah, murid itu tidak memperoleh apa-apa pengetahuan tentang sains? Tanpa sebarang huraian atau penjelasan tentang maksud gred tersebut, gred itu tidak membawa apa-apa makna dan tidak dapat membantu pembelajaran murid. Hakikatnya gred itu hanya menunjukkan bilangan soalan yang dapat dijawab oleh murid tersebut bagi kertas-kertas berkenaan dalam satu-satu instrumen pentaksiran, yang mungkin mengandungi hanya 50 atau 60 soalan, bukan menunjukkan kehebatan murid tersebut menguasai keseluruhan bidang ilmu yang dipelajari. Item atau soalan dalam satu-satu instrumen peperiksaan hanyalah sampel bagi satu-satu bidang ilmu yang amat luas.
- Analisis peperiksaan pusat pula kebiasaannya menggunakan taburan normal dan skor min sementara kedudukan seseorang murid dalam taburan normal tersebut diletakkan secara ranking berdasarkan persentil. Penggunaan taburan normal mengelompokkan murid ke dalam kelompok tertentu seperti lulus-gagal dan tinggi, sederhana dan rendah. Ini membawa kepada pelabelan murid yang boleh memberi kesan negatif. Pengelompokan murid seharusnya tidak berlaku kerana berlaku banyak ketidak adilan terutama dalam pelaporan. Apakah seorang murid yang memperoleh markah 49 dianggap gagal dan berada dalam kelompok gagal dan sama dengan murid yang memperoleh markah 0 atau 1sedangkan keupayaan murid tersebut lebih menghampiri murid yang memperoleh markah 50 yang dikatakan lulus. Apakah justifikasi menggagalkan murid dengan markah 49 dan meluluskan murid dengan markah 50? Penganiayaan.
- Setiap kohort yang mengambil peperiksaan pusat berbeza dari segi komposisi, keupayaan dan taburan. Instrumen yang diduduki juga tidak sama. Sisihan lazim taburan setiap kohort juga tidak sama. Justru tidak mungkin perbandingan boleh dibuat antara kohort bagi menunjukkan pencapaian. Kebiasaan membandingkan keputusan peperiksaan pusat mengikut kohort sebenarnya tidak tepat dan mengelirukan. Dan kita telah melakukan tindakan mengelirukan ini sejak sekian lama. Berdosakah kita dalam pendidikan anak-anak kita?
- Banyak isu yang berkaitan dengan peperiksaan pusat telah saya terangkan pada dua siri penulisan ini. Semoga pencerahan ini serba sedikit dapat membantu pembaca memahami latar tentang keperluan kita berubah daripada sistem peperiksaan pusat ke sistem pentaksiran pendidikan.InsyaAllah saya akan cuba pula menjelaskan tentang potensi pentaksiran pendidikan dalam mentransformasi sistem pendidikan negara bagi menghadapi dekad-dekad mendatang pada penulisan akan datang.
- Terima kasih atas kesudian rakan meluangkan masa membaca blog saya yang hanya mampu memaparkan sebahagian kecil tentang wajah pentaksiran pendidikan. Dunia pentaksiran pendidikan amat luas, misteri dan penuh cabaran. Ramai lagi tokoh-tokoh pentaksiran yang hebat ada di negara kita ini untuk dijadikan rujukan dan panduan. Ikhlas dari saya,
Dr. Hazim
No comments:
Post a Comment