- Selamat bertemu lagi para sahabat. Menyambung kembali penulisan tentang pendidikan dan pentaksiran semasa tempoh abnormal pandemik covid19 ini, saya ingin meneruskan dengan menyentuh persoalan yang kedua yang saya kemukan dalam penulisan terdahulu.iaitu berubahkah sistem pentaksiran pendidikan apabila PKP dilaksanakan?
- Sebagaimana pendidikan, pentaksiran juga merupakan proses, bukan sesuatu yang one-off. Justru, tiada beza sama ada waktu normal biasa atau waktu abnormal sekarang, pentaksiran seharusnya berjalan seiring dengan pendidikan yang diperolehi oleh murid, walau di mana pun murid itu memperoleh pendidikannya. Mungkin bagi massa, pentaksiran ialah peperiksaan yang menghasilkan keputusan 9 atau 10 A+. Memahami pentaksiran sebagai peperiksaan, adalah tanggapan yang amat salah. Pentaksiran lebih luas daripada peperiksaan.
- Untuk memahami pentaksiran pendidikan, kita harus faham tentang konsepnya. Ini ada saya huraikan dalam penulisan saya yang terdahulu dalam blog ini. Ini termasuklah persoalan tentang apa dia pentaksrian, bila pentaksiran dilaksanakan, di mana pentaksiran dilakukan, siapa yang melakukan pentaksiran, bagaimana skor pentaksiran, dan bagaimana bentuk pelaporan pentaksiran. Dengan memahami konsep pentaksiran pendidikan ini, kita tidak akan tersasar dalam pemahaman dan pelaksanaannya. Huraian yang lebih jelas dan mendalam boleh didapati dalam buku saya, Pentaksiran Pendidikan, Teori dan Praktis.yang diterbitkan dalam tahun 2016 yang boleh diperolehi di kedai buku Pustaka Mukmin di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Putrajaya.
- Pentaksiran dilakukan untuk mendapatkan maklumat tentang seseorang murid. Apa maklumatnya? Apa sahaja tentang murid yang menceritakan secara sahih tentang murid tersebut. Dalam dasar pendidikan negara, semua ini terkandung dalam FPK. JERI + Kemahiran Sosial (KS) merupakan rangkuman matlamat pendidikan negara yang mencirikan sifat murid yang ingin dilahirkan daripada sistem pendidikan kita. Jika JERI+KS berjaya bermakna murid yang dilahirkan merupakan murid yang seimbang dari segi akademik dan bukan akademik. Murid yang memiliki kecemerlangan dalam semua aspek.
- Tapi bagaimanakah kita menentukan seseorang murid itu telah menguasai kesemua atau sebahagian besar ilmu dan kemahiran yang dihasratkan? Terdapat perbezaan dalam mendapatkan maklumat antara bidang intelek (akademik) dengan yang lain-lainnya
- Bertanya soalan? memberi ujian atau peperiksaan? Sekiranya seseorang murid itu berjaya memperoleh 100% dalam peperiksaan bagi mata pelajaran Pendidikan Moral, bolehkah kita katakan yang murid itu moralnya 100% baik atau A+. Jika seseorang murid itu berjaya memperoleh 100% bagi kertas peperiksaan geografi atau sejarah, adakah murid itu sudah menguasai 100% ilmu dan kemahiran dalam mata geografi atau sejarah? Sedangkan kertas peperiksaan itu hanya mengandungi 60 item.
- Teori peperiksaan klasikal berdasarkan andaian. Setiap kertas peperiksaan menggunakan Jadual Spesifikasi Ujian dan pensampelan konstruk dan konteks. Empat item tentang Malaysia dalam satu kertas Geografi 60 item misalnya, dan murid berjaya memberikan respons yang tepat kesemua item tersebut, maka diandaikan murid tersebut sudah menguasai tentang geografi Malaysia. Boleh dipercayai?
- Ketepatan andaian sebenarnya bergantung kepada kerja-kerja persediaan dan prosedur yang amat ketat dan sulit dan mengambil masa yang panjang dengan pensampelan yang agak besar daripada populasi bagi mendapatkan statistik yang boleh dipercayai. Setiap instrumen seharusnya mempunyai pensampelan yang mewakili kesemua ilmu dan kemahiran yang ada dalam satu-satu bidang dan mempunyai keesahan dan darjah kebolehcayaan yang amat tinggi.
- Peperiksaan telah menjadi kaedah yang paling popular dalam mendapatkan maklumat akademik murid. Dan inilah juga yang dijadikan kayu ukur kejayaan murid dalam pendidikan selama ini. Namun, pemikiran sebegini amat salah. Maklumat daripada satu sahaja aspek daripada 5 yang disenaraikan dalam JERI+KS sebenarnya amat canggung, banyak kelompongan dan ketidak tepatan maklumat.
- Apabila kita melihat aspek jasmani, emosi, rohani dan kemahiran sosial, di manakah ilmu dan kemahiran tentang aspek-aspek ini diperolehi? Pastinya bukan hanya disekolah. Guru hanya berada dengan setiap murid dalam konteks masa yang amat terhad semasa di sekolah. Andai seorang guru mengajar 200 orang murid dari 5 kelas, bayangkan berapa contact hour seorang guru dengan setiap muridnya? Seorang guru mata pelajaran khusus hanya memasuki satu-satu kelas beberapa kali sahaja dalam seminggu. Berupayakah seorang guru untuk mentaksir 200 orang murid nya dari segi moral, rohani, jasmani atau kemahiran sosialnya dalam persekitaran dan contact hour yang amat terhad? Dan sebahagian besar aspek ini tidak boleh atau tidak berupaya ditaksir menggunakan kaedah kertas dan pensil semata-mata.
- Justru, sebahagian besar ilmu dan kemahiran tentang aspek-aspek ini diperoleh oleh murid dari keluarga di rumah dan persekitarannya, seperti saudara mara, rakan sebaya, jiran, surau/ masjid atau rumah ibadat, dan persatuan/ kelab. Rumah dan keluarga merupakan batu asas utama dalam pembentukan fizikal dan sahsiah seseorang murid.
- Siapa pula yang akan mentaksir, bila dan bagaimana untuk melaporkannya? Seperti yang saya nyatakan di atas, pentaksiran berlaku seiring dengan pembelajaran, maka pihak yang paling tepat untuk mentaksir ialah susuk yang memberikan pendidikan seperti ibu bapa, rakan sebaya, saudara mara, jiran, ahli surau/ masjid atau rumah-rumah ibadah, dan ahli-ahli persatuan/ kelab. Nampak janggal dan tidak menyakinkan? Sebab minda kita selama ini dipengaruhi oleh minda peperiksaan, kita meragui apabila sesuatu yang diluar kebiasaan, diluar kotak dikemukakan. Ibu bapa/penjaga terutamanya, mereka harus menerima hakikat bahawa rumah dan keluarga adalah tapak di mana asas pembentukan jiwa dan identiti diri anak-anak dibentuk.
- Pernahkah kita lihat pekerja pembersihan di sekolah menegur dan memberi tunjuk ajar kepada murid yang mungkin membuang sampah dihadapan mereka, atau tukang kebun yang menegur dan menasihati murid apabila mereka merosakkan pokok bunga hiasan di sekolah? Contoh yang amat kecil namun mereka sebenarnya menjalankan proses pendidikan dan pentaksiran pada masa yang sama. Mereka juga sebahagian daripada proses pendidikan dan pentaksiran murid. Mereka juga terlibat dalam menyalurkan maklunat tentang murid kepada pihak yang berkaitan. Pendidikan, terutama bidang bukan akademik tidak semestinya terikat kepada kurikulum formal kerana semesta ilmu dan kemahiran bidang bukan akademik melampaui batas kurikulum formal yang sifatnya memang amat terhad litupannya.
- Guru Al-Quran, imam, penceramah, jiran, ahli persatuan, dan juru latih sukan merupakan antara contoh lain di mana pendidikan dan pentaksiran boleh berlaku pada masa yang sama. Kita mentaksir, mendidik, mentaksir, mendidik - dan proses ini berjalan sepanjang masa. Melalui pentaksiran kita membentuk dan meneguhkan aspek sahsiah diri anak-anak dan menyediakan mereka kemahiran bersosial yang positif , dengan persekitaran semasa dan juga masa akan datang. Di sini mereka dididik dengan jati diri, kesetiaan, keberanian, kejujuran, keikhlasan, kematangan, serta aspek-aspek kerohanian dan jasmani yang akan menjadikan mereka manusia yang terbaik dalam apa jua keadaan dan bidang yang diceburi pada masa akan datang. Namun, wibawa susuk yang mendidik dan mentaksir juga harus diambil kira bagi mengawal kesasihan dan ketepatan maklumat yang disalurkan.
- Pelaporan tidak semestinya dalam bentuk gred dan markah tetapi boleh dalam bentuk lisan dan juga tulisan yang mungkin dilaporkan kepada ibu bapa, guru, atau sesiapa yang dipertanggung jawabkan. Dalam sistem pendidikan formal, guru yang dipertanggung jawabkan seharusnya menghasilkan pelaporan akhir murid dalam bentuk bertulis, dan pada guru yang dipertanggung jawabkan inilah terhimpunnya semua maklumat ini. Maklumat ini boleh diperolehi oleh guru daripada sumber-sumber yang berkaitan melalui kaedah yang telah difahami dan dipersetujui bersama.
- Memang apa yang dituliskan merupakan situasi yang ideal, Guru mempunyai masa yang terhad dalam interaksi dengan murid, apatah lagi dengan banyak pihak lain di luar bilik darjah yang memiliki maklumat tentang murid. Justru, mekanisma tertentu harus diwujudkan oleh pihak2 yang berkepentingan bagi membolehkan perkara ini berlaku. Ini tidak dapat dihuraikan atau dibincangkan secara mendalam di sini kerana ruang dan masa yang terhad. Mustahil? Tidak mustahil sekiranya ada prosedur tertentu yang difahami dan dipersetujui bersama yang akhirnya akan menjadi amalan masyaryang diakat. Tapi memang sukar.
- Bolehkah dilaporkan secara bertulis? Sememangnya dalam sistem pendidikan formal, pelaporan akhir dalam bentuk penulisan dan ini dilakukan oleh mereka yang dipertanggung jawabkan selepas terhimpunnya sebanyak mungkin maklumat tentang murid tersebut. Untuk digred? Ini juga mungkin boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggung jawab tetapi setiap gred harus boleh menceritakan tentang sifat atau keupayaan sebenar murid tersebut. Begitu juga, bukti pencapaian murid seperti juara debat negara, juara larian pecut 100 meter, penghasilan karya sastera peringkat negara disertakan. Setiap gred ada penjelasannya. Bukan setakat A+ tanpa sebarang huraian atau indikator.
- Keesahan dan kebolehpercayaan skor? Tidak bergantung kepada data statistik tetapi berdasarkan kepada konsep lebih banyak maklumat yang menceritakan tentang seseorang murid itu, semakin boleh dipercayai maklumat tentang murid tersebut. Sumber maklumat juga harus susuk yang boleh dipercayai, dan melalui kaedah dan prosedur yang telah dipersetujui.
- Setakat ini buat kali ini. Apa yang dituliskan merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak. Sekiranya ia memberi manafaat dan kemungkinan terhasilnya pemikiran baru tentang pendidikan dan pentaksiran ia amat dihargai. Penulis juga tidak berkecenderungan untuk mempengaruhi mana-mana pihak untuk menerima pandangan ini, Setakat lemparan idea demi pendidikan anak-anak dan pendidikan negara. Terima kasih.
Dr. Hazim
No comments:
Post a Comment