Saturday, 21 April 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: SKOR DAN PELAPORAN (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Salam sejahtera kepada semua. Bertemu lagi kita, dengan izin Allah, pada ruang dan masa ini. Semoga apa yang dipersembahkan dapat memberikan manafaat kepada semua. Andainya hanya satu saja manafaat yang diterima, itu sudah cukup untuk saya bersyukur ke hadirat Illahi.
  2. Skor telah pun saya jelaskan dan kini saya ingin mengaitkan pula skor dengan pelaporan dalam pentaksiran pendidikan. Kalau dalam sistem peperiksaan pusat, skor peperiksaaan dan pelaporan merupakan dua perkara yang berasingan.  Skor diperoleh daripada peperiksaan yang diduduki secara formal dalam kawalan yang ketat dan diterakan dalam bentuk gred tunggal sementara  pelaporan pula disediakan oleh guru untuk dibekalkan kepada murid sebelum meninggalkan sekolah. Dan kebiasaannya, bentuk pelaporan yang amat lazim berupa sijil berhenti sekolah yang menggunakan kosa kata seperti  terbaik, amat baik, baik, memuaskan dan sederhana  bagi aspek-aspek yang dilaporkan. Namun tidak ada huraian apa yang membezakan antara terbaik dengan amat baik, amat baik dengan baik, baik dengan memuaskan dan memuaskan dengan sederhana. Dan semuanya ini, skor dan juga pelaporan adalah tentang perkara yang telah berlalu.  Tiada satu pun, skor atau pelaporan,  yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan penambahbaikan  dalam pembangunan diri murid.
  3. Berbeza dengan pentaksiran pendidikan, pada prinsipnya guru mula mentaksir pada hari pertama murid memulakan persekolahan dan berakhir pada hari terakhir murid berada di sekolah. Bermakna, maklumat  tentang murid sentiasa diperolehi sepanjang masa pengajaran. Maklumat  tentang murid  diperolehi dengan cepat, bersifat autentik dan tindakan pantas boleh diambil bagi tujuan membantu pembelajaran  dan pembangunan diri murid. Pentaksiran berlangsung sepanjang masa, fleksibel dan lebih bersifat insaniah.  Pentaksiran menghasilkan maklumat yang  dijelmakan dalam bentuk skor dan  setiap skor dikaitkan dengan makna.  Guru boleh membuat pelaporan selepas setiap kali mentaksir  seseorang murid atau selepas beberapa kali mentaksir mengikut keperluan dan semua himpunan maklumat akan membolehkan pelaporan akhir tentang murid dibuat.   
  4. Mungkin guru akan merasakan ini satu beban tugas yang amat berat, bagaimana hendak mentaksir mungkin ratusan  murid di bawah tanggung jawabnya pada satu-satu masa.  Inilah  yang perlu difahami tentang pentaksiran dan jangan samakan pentaksiran dengan peperiksaan.  Peperiksaan hanyalah satu daripada kaedah untuk mendapatkan maklumat tentang murid, khususnya aspek kognitif.  Peperiksaan ditadbirkan serentak untuk beratus-ratus orang murid menggunakan kaedah kertas dan pensil dalam masa yang telah ditetapkan.  Selain peperiksaan, banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan dalam pentaksiran pendidikan.  Pentaksiran  bersifat fleksibel, lebih humanistik dan  boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan pelbagai kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan autentik tentang murid. 
  5. Dalam pentaksiran, tidak semua murid ditaksir pada satu-satu masa. Guru boleh menetapkan aspek yang hendak ditaksir dengan kaedah yang difikirkan paling sesuai pada bila-bila masa. Pentaksiran boleh dilakukan semasa berinteraksi dengan murid seperti masa di padang, masa aktiviti kokurikulum, masa di kantin, masa perhimpunan dan masa dalam kelas. Guru juga boleh melakukan pentaksiran melalui pemerhatian, maklumat daripada guru lain, maklumat daripada rakan murid,  hasil kerja murid dan pencapaian luar biasa murid.
  6. Apabila guru mentaksir, maklumat akan diperolehi. Maklumat ini akan membolehkan guru menilai tentang seseorang murid.  Sekiranya guru mengenal pasti masalah tertentu pada diri murid yang memerlukan tindakan segera, guru boleh terus membuat pelaporan tentang murid tersebut.   Ini mungkin melibatkan masalah seperti masalah pembelajaran, dyleksia, rabun, tuli,  disiplin, emosi, kemurungan, pergerakan motor dan kesihatan. Murid mungkin mengalami masalah yang kritikal dan guru berperanan mengambil tahu dan berusaha mengatasi masalah yang dialami murid secepat mungkin. Sekiranya masalah murid serius, ini harus dirujuk kepada pihak yang pakar dalam bidangnya.  Dalam keadaan biasa, pelaporan boleh dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa, mengikut tahap-tahap tertentu yang difikirkan wajar oleh guru atau pihak pentadbir.
  7. Bukan hanya mengenal pasti masalah pada kalangan murid, guru juga melalui pentaksiran akan mengenal pasti murid yang cemerlang, memiliki keistimewaan  dan kelebihan tertentu dan tindakan  yang sesuai juga harus diambil  bagi meningkatkan lagi pembelajaran dan pembangunan diri murid ini. Guru harus berinisiatif,  berinovatif dan kreatif dalam mewujudkan environment  yang kondusif dan tindakan yang  sesuai bagi memacu murid yang berkeupayaan tinggi dan istimewa ini ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.  Pentaksiran memberi peluang dan ruang kepada guru untuk berkarya dalam mendidik murid dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menarik serta menyeronokkan. Sekiranya terdapat murid yang hebat dalam  bidang-bidang tertentu seperti sukan, pendidikan seni, muzik, kesusasteraan atau bidang akademik lain, perkayakan  mereka dengan ilmu dan kemahiran tambahan agar mereka boleh  meningkat lebih tinggi dalam bidang masing-masing.  Pengurusan kelas menjadi keperluan kepada semua guru. Setiap murid adalah individu yang unik dan kemahiran guru mengenali sifat setiap orang muridnya boleh menjadi katalis kepada kemenjadian murid.
  8. Setiap  guru seharusnya faham peranan masing-masing dalam pentaksiran pendidikan. Lumrahnya, guru mata pelajaran bertanggung jawab mentaksir setiap orang murid dibawah kelolaannya.  Guru mata pelajaran akan menyimpan segala skor, eviden dan laporan tentang muridnya, kerana guru mata pelajaran mempunyai konteks masa yang panjang  dan khusus dengan muridnya. Guru mata pelajaran juga akan membuat penilaian dan penghakiman akhir bagi mata pelajarannya sebelum diserah kepada guru kelas untuk disatukan dengan mata pelajaran lain.. Maklumat yang diserahkan oleh guru mata pelajaran hanyalah skor akhir dan pelaporan akhir setiap orang muridnya. Maklumat lain seperti eviden, skor setiap kali pentaksiran, serta pelaporan khusus disimpan oleh guru mata pelajaran dalam portfolio murid dan akan dirujuk sekiranya timbul sebarang masalah. Penyimpanan portfolio dan tempoh masa penyimpanan bergantung kepada pengurusan sekolah dan arahan daripada pihak yang berkaitan.
  9. Apa yang saya huraikan di sini merupakan konsep asas pentaksiran. Hakikatnya dalam praktis di sekolah, mungkin terdapat kepelbagaian pendekatan berdasarkan kefahaman tentang konsep pentaksiran pendidikan atau kecelaruan dan juga  arahan dari pihak atasan. Kerana itu, telah saya tekankan pada penulisan terdahulu, perlunya ada keselarasan dalam kefahaman kerana faham dan sefaham itu amat penting. Kekeliruan hanya akan menggagalkan apa sahaja program walaupun sebaik mana program itu dirancang. 
  10. Setakat ini penulisan saya buat kali ini. Pada penulisan yang akan datang, insyaAllah akan saya cuba terangkan tentang pelaporan menggunakan band yang disarankan dalam  cadangan asal yang dikemukakan oleh Lembaga Peperiksaan. ,  Untuk makluman rakan-rakan semua, blog  ini saya khususkan hanya tentang  pentaksiran  dan pendidikan  dan tidak akan menyentuh perkara lain di luar bidang ilmu ini. Ilmu adalah universal, tidak mengenal warna kulit, suklu kaum dan bangsa. Semoga kita semua sebagai pendidik terus istiqamah dalam mendidik anak bangsa walau apa pun cabaran yang mendatang.  
  11. Hingga bertemu lagi, insyaAllah, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim

Friday, 6 April 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN. SKOR DAN PELAPORAN (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Bertemu lagi kita pada penulisan kali ini. Mengimbas kembali, melalui penulisan di ruang ini, saya telah menyentuh banyak konsep yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan. Namun banyak lagi aspek-aspek pentaksiran pendidikan yang perlu dikaji dan difahami. Pentaksiran pendidikan merupakan bidang yang amat luas dan banyak kemungkinan, membuka banyak ruang  untuk para guru dan juga pengkaji untuk meneroka dengan lebih mendalam lagi bidang ini.
  2. Dalam proses transformasi pendidikan negara masa kini, pentaksiran pendidikan  seharusnya menjadi fokus utama dalam pengajian di institusi pengajian tinggi yang membekalkan guru ke dalam sistem pendidikan kita.  Guru muda yang akan memasuki realiti alam persekolahan seharusnya terbekal dengan ilmu dan kemahiran  pentaksiran pendidikan kerana inilah yang akan mereka hadapi apabila memasuki realiti persekolahan masa kini. Pelaksanaan SPPK memerlukan pengupayaan pada kalangan para pendidik untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya. Saya juga sudah banyak menyentuh perkara ini dalam penulisan terdahulu. 
  3. Kita kini sudah mula beralih daripada pengukuran pendidikan kepada pentaksiran pendidikan. Jika pengukuran pendidikan cuba menstatistikkan data mental murid, konstruk abstrak yang tidak mudah untuk difahami, pentaksiran pendidikan cuba menghuraikan realiti murid, tentang  keupayaannya,  tentang apa yang boleh dibuat dan tentang potensi yang mereka ada dalam ruang yang boleh difahami oleh semua. 
  4. Apabila peperiksaan pusat  diadakan pada penghujung satu-satu pembelajaran, akhir tahun enam dan akhir tingkatan lima,  maklumat yang diperolehi tidak bermanafaat lagi kepada murid. Tiada apa-apa tindakan yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan pembelajaran murid. Semua sudah berlalu. Yang ada hanya sekeping kertas dengan skor dan gred tunggal yang diperolehi  tanpa makna yang akan dibawa sepanjang hayat murid. Skor yang dibawa hanya merupakan andaian tentang keupayaan pembelajaran murid dan akan membawa murid kepada pilihan-pilihan yang ada kalanya tidak menepati potensi  dan kecenderungan sebenar murid. Harapan yang terlalu tinggi sama ada oleh ibu bapa/ penjaga dan juga murid sendiri untuk gred cemerlang dalam peperiksaan pusat ada kalanya membawa tekananan yang keterlaluan terhadap murid hingga berlakunya kesan negatif seperti bunuh diri, kemurungan, masalah psikatri dan mental. Tidak kurang, tekanan ini juga boleh membawa kepada masalah disiplin seperti ponteng, vandalisma, buli dan khianat, terutama pada kalangan murid yang berkeupayaan sederhana dan lemah.
  5. Dengan pentaksiran, maklumat tentang murid diperolehi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran, bermula dari hari pertama guru berinteraksi dengan murid hingga ke hari akhir interaksi berlaku. Setiap maklumat berguna untuk pembelajaran murid. Guru sentiasa berpeluang mengambil tindakan segera hasil maklumat yang diperolehi untuk kepentingan murid. Guru boleh mengenal pasti masalah pembelajaran murid atau pendekatan pengajarnya. Guru boleh berkarya dan melakukan inovasi serta kreatif dalam pengajaran untuk menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan. Kembalikan keriangan dan keseronokan kepada murid yang masih muda. Tiada tekanan terhadap peperiksaan. Melalui interaksi guru dengan murid, selain daripada mengajar dan mendidik, guru juga berbual, bermain bersama,  berjenaka, bernyanyi, berlakon dan sebagainya,  dan dalam masa yang sama guru  memerhati, menyoal, mendengar, menyelidik dan memahami. Inilah pentaksiran. Fahami murid, fahami kelebihan dan  kekurangnnya, fahami potensinya, fahami emosinya, fahami rohaninya...dan itulah yang dilaporkan.  Tiada gred tunggal. Jika pun mahu menggunakan format bergred, setiap gred mesti disertakan dengan makna atau maksud gred tersebut.
  6. Seorang murid memperoleh A+ dalam mata pelajaran Geografi dalam peperiksaan pusat. Apakah maknanya A+ itu?  Adakah murid itu seorang yang hebat dalam geografi dan memiliki pengetahuan yang sempurna tentang geografi?  Atau apa? 
  7. Skor tersebut sebenarnya diperolehi daripada satu instrumen pentaksiran yang ditadbirkan ke atas murid tersebut dalam satu jangka masa yang telah ditetapkan dengan peraturan-peraturan yang ketat. Instrumen itu pula mungkin mengandungi 70 atau 75 item objektif aneka pilihan  untuk mewakili semesta ilmu  geografi yang begitu luas. Mungkin?? Pakar-pakar peperiksaan sejak dahulu mendakwa item yang dipilih merupakan pensampelan secara adil bidang-bidang dalam semesta geografi  dengan sokongan bukti-bukti empirikal daripada data praujian yang membuatkan skor itu boleh dijadikan inferen. Namun realitinya banyak faktor lain yang mempengaruhi skor ini terutama kepakaran pembina item dan pembina instrumen, ketepatan pelaksanaan praujian  dan pengendalian peperiksaan dan juga faktor dalaman diri murid. Dengan 70 atau 75 item amat sukar untuk menggambarkan keupayaan sebenar murid dalam semesta ilmu mata pelajaran ini.  A+ tersebut  sebenarnya cuma menggambarkan keupayaan murid menjawab 70 atau 75 item dalam satu instrumen pentaksiran, bukan menggambarkan keupayaannya dalam menguasai semesta ilmu geografi. 
  8. Dalam usaha yang baru bermula ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara, dari sistem peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan, terdapat pula kecenderungan pada kalangan sebahagian  pengurus  pendidikan yang amat berminat untuk membandingkan sistem pendidikan negara dengan negara lain melalui peperiksaan  antarabangsa. Seolah terdapat aliran yang bertentangan dalam usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara. PISA dan TIMMS  pula diangkat sebagai penanda aras mutu pendidikan negara dan ini seolah membuat pusingan U mengembalikan semula keghairahan peperiksaan dalam dunia pendidikan negara. 
  9.  Secara pribadi, ini merupakan tindakan yang tidak tepat dan kurang bijak kerana standard pendidikan negara bukan ditentukan oleh skor peperiksaan ini tetapi daripada kualiti manusia yang kita lahirkan mengikut aspirasi dan acuan kita sendiri. Pendidikan bukan pertandingan.  Setiap negara mempunyai falsafah dan matlamat pendidikannya sendiri. Setiap negara juga mempunyai kurikulum sendiri yang berbeza antara satu sama lain. Begitu juga dengan penekanan dan pendekatan pengajaran. 
  10. Walau pun didakwa sebagai peperiksaan yang adil, menguji aspek yang universal,  hakikatnya skor peperiksaan ini boleh dimanipulasi. Untuk memperoleh skor tinggi, ambil saja sekumpulan murid, kumpul dan latih bagaimana hendak menjawab soalan dalam format yang ditetapkan, latih tubi, drilled, pasti skor akan meningkat. Tapi jujurkah tindakan ini?  Dan apakah faedah yang kita perolehi?  Mungkin berbangga dengan kedudukan tinggi berbanding negara lain,  so what??   Persoalan yang saya biarkan tanpa jawapan.
  11. Semoga apa yang hendak saya terangkan dapat difahami. Kenapa kita harus bergerak daripada dunia peperiksaan pusat kepada dunia pentaksiran pendidikan. Peperiksaan pusat terhenti setakat skor tunggal tetapi pentaksiran pendidikan memberikan lebih daripada itu, memaknakan setiap skor yang diberi. Bagaimana skor ini dimaknakan akan saya huraikan pada penulisan akan datang di mana antara bentuk pelaporan yang dilaksanakan di banyak negara ialah pendekatan menggunakan band
  12. Pelaporan bentuk band ini disarankan kerana ia merupakan bentuk pelaporan yang paling mudah untuk difahami dan sesuai dengan intipati sukatan pelajaran yang digunakan di negara ini. InsyaAllah saya akan cuba untuk menghuraikannya nanti. Hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Saturday, 24 March 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: SKOR DAN PELAPORAN

Assalamualaikum wbrt.

  1. Selamat bertemu kembali kepada para sahabat sekalian. Setelah menghuraikan tentang kaedah pentaksiran dan instrumen yang  boleh digunakan, saya akan cuba menerangkan pula tentang skor dan pelaporan dalam sistem pentaksiran pendidikan pada penulisan kali ini dan mungkin beberapa penulisan berikutnya.  Sebelum itu, saya ingin menyampaikan rasa hati saya tentang situasi masa kini bidang pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan kita hari ini.
  2. Dari pandangan dan luahan perasaan para guru di alam maya, ternyata masalah utama yang menghimpit para guru dalam melaksanakan pentaksiran ialah kekeliruan dan kecelaruan dalam pemahaman tentang apa sebenarnya pentaksiran pendidikan. Kekeliruan dan kecelaruan pemahaman ini bukan hanya tertumpu kepada para guru tetapi juga para pegawai di PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian dalam KPM. Mereka terusan bercerita tentang GPA dan CGPA sedangkan ini hanya satu bahagian kecil dalam pentaksiran pendidikan. 
  3. Apabila PBS dilaksanakan mereka masih terus bercerita tentang  pencapaian dalam peperiksaan pusat (A penuh)  dan bagaimana hendak meningkatkan prestasi  peperiksaan. Apabila pegawai PPD, JPN dan bahagian datang ke sekolah, mereka sentiasa mahukan pencapaian peperiksaan pusat. Sampai bila kekeliruan dan kecelaruan ini akan wujud tidak dapat dipastikan tetapi yang jelas para guru di sekolah yang melaksanakan pentaksiran tidak mendapat penjelasan dan bimbingan yang sepatutnya daripada pihak-pihak yang sepatutnya memberikan bimbingan.  
  4. Sudah dijelaskan banyak kali dalam pelbagai media, pelaporan PPSR merangkumi UPSR dan PBS yang terdiri daripada peperiksaan bilik darjah, pentaksiran psikometrik dan PAJSK merupakan pelaporan holistik yang memberi maklumat tentang keupayaan keseluruhan murid, bukan hanya aspek kognitif. Tiada GPA dan tiada perbandingan, hanya pelaporan tentang setiap orang murid. Begitu juga PT3, bukan peperiksaan pusat tetapi  keseluruhannya PBS setelah PMR dimansukhkan. Kenapakah masih wujud kekentalan jiwa tentang mengidolakan peperiksaan pusat sedangkan kita mahu membina manusia, menjadikan setiap orang murid itu berjaya dalam kehidupannya, bukan hanya yang cemerlang akademik.  Halangan ini seharusnya dirobohkan dan minda para pendidik dan pengurus pendidikan harus disatukan ke arah memaknakan pendidikan itu sendiri.
  5. Yang lebih membimbangkan  ialah  adanya dakwaan yang sebahagian guru tidak memahami FPK dan makna  pendidikan itu sendiri.  Guru tidak memahami FPK dan makna pendidikan???  Biar betul. Sekiranya dakwaan ini benar, ini  merupakan persoalan yang amat  serius  dan kritikal dalam profesion keguruan yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib. Ini kerana amanah pendidik ialah mendidik  tetapi amanah ini tidak difahami dan dihayati oleh orang yang diamanahkan. Ini  akan menjejaskan  bukan hanya kredibiliti dan integriti guru, malah lebih utama KPM itu sendiri dan standard pendidikan negara.  Ke mana arah hendak dituju sekiranya dari mula lagi kita tidak tahu matlamat dan tujuan kita mendidik sedangkan pendidikan itu intipati profesion ini dan FPK itu  matlamat pendidikan negara. Semua harus faham sebenarnya matlamat pendidikan bukan memperoleh semua A dalam peperiksaan pusat tetapi membangunkan diri murid agar menjadi insan terbaik, dunia akhirat,  dalam kapasiti masing-masing. 
  6. Sejujurnya, ia mungkin sesuatu yang pedih  dan sukar untuk diterima tetapi inilah realitinya. Sampai bila kita mahu dibelenggu dengan sikap ambil mudah dan tidak profesional. Kita mahu keguruan menjadi profesion yang disegani dan dihormati tetapi  tidak bersedia untuk  berfungsi sebagai seorang profesional. Kita mahu guru profesional yang bersemangat menimba ilmu dan kemahiran, proaktif, kreatif, beretika dan bersedia menerima perubahan. Gurulah yang bertanggung jawab menentukan jenis manusia yang akan mengemudikan negara pada abad-abad mendatang. Dan kita percaya sebahagian besar guru memiliki sifat besar ini, namun tidak dinafikan terdapat juga segolongan yang lebih cenderung ke arah santai, ambil mudah dan selesa dengan isu ringan , jenaka mudah dan hal-hal remeh temeh yang tidak memberi apa-apa penambahbaikan daripada segi intelek dan profesional. Kumpulan ini  amat selesa  dalam zon di mana mereka berada dan tidak senang dengan perubahan. 
  7. Kecemerlangan seorang guru  bukanlah kejayaannya menghasilkan murid yang hanya cemerlang akademik tetapi lebih daripada itu, iaitu  kejayaannya melahirkan insan yang terbaik dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.
  8. Ini merupakan pandangan pribadi saya dan sebagai pesara pendidikan yang terlibat secara langsung dengan pembangunan idea dan konsep SPPK serta LINUS, yang ingin melihat pendidikan negara dihormati dan berada pada standard tinggi, situasi  yang ada pada hari ini  sama ada pada peringkat sekolah atau pun pengurusan pendidikan berada pada setiap tahap yang amat merunsingkan. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak atasan untuk membetulkan keadaan.
Skor
  1. Apakah skor pentaksiran? Apa yang ada dalam minda kita selama ini skor hanyalah markah yang mempunyai nilai dari 0 hingga 100. Dan daripada markah ini ditentukan markah lulus, markah kepujian dan terbaik. Tetapi penentuan markah lulus ini amat mengelirukan. Ada kumpulan yang mungkin meletakkan 50 sebagai markah lulus, ada pula yang meletakkan 45 sebagai markah lulus, malah ada juga yang meletakkan 60 sebagai markah lulus bagi mata pelajaran tertentu. Banyak variasinya tapi  apakah  alasan profesional meletak markah lulus yang pelbagai ini? Apa justifikasinya???
  2. Juga, apabila markah lulus ditetapkan pada 50 bermakna murid yang memperoleh markah 49 dan ke bawah dianggap gagal dan apabila dikategorikan sebagai gagal, murid ini  dikelompokkan bersama dengan murid yang memperoleh markah 0, yang semestinya gagal. Adilkah kita kepada murid yang memperolehi markah 49, 48, 47 dan lain-lain itu yang dicop sebagai gagal sedangkan keupayaannya lebih hampir dengan 50 daripada 0.  Haruskah bentuk pelaporan seperti ini diteruskan walaupun kita menyedari ketidakadilannya? Saya akan cuba menyentuh hal ini pada penulisan akan datang, insyaAllah.
  3. Skor adalah hasil daripada pentaksiran.  Selain daripada markah, iaitu skor yang diperolehi selalunya daripada ujian dan peperiksaan, hasil pentaksiran lain seperti pemerhatian, temu bual dan persembahan  boleh dibentangkan dalam bentuk  pernyataan, bintang, warna, gred atau bentuk-bentuk lain yang boleh ditafsir. Skor yang berfungsi seharusnya disertakan dengan makna untuk difahami oleh pengguna.  Skor akan memberi maklumat kepada guru  tentang  keberkesanan pengajarannya dan pemahaman murid tentang perkara yang diajar. Maklumat ini akan membolehkan guru mengubah pendekatan pengajarannya supaya lebih berkesan atau mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid dalam memahami pengajarannya.  Skor berfungsi dalam pembelajaran murid kerana pentaksiran dijalankan seiring dengan proses PdP. Skor juga membolehkan ibu bapa dan penjaga mengenal pasti  kekuatan dan kelemahan anak-anak untuk  membolehkan tindakan susulan dijalankan. Skor juga  memberi maklumat kepada pihak pengurusan sekolah tentang pengajaran guru dan pembelajaran murid untuk membolehkan tindakan diambil bagi meningkatkan pembelajaran dan keberkesanan pengajaran. 
  4. Dalam pentaksiran, hanya skor yang boleh dikaitkan dengan kesahan dan kebolehpercayaan, bukannya ujian.
  5. Apabila skor diperolehi daripada satu-satu aktiviti pentaksiran, ia merupakan skor dicerap. Skor dicerap hanya merupakan anggaran keupayaan murid tersebut kerana skor dicerap terdiri daripada skor sebenar dan ralat pengukuran. Andaiannya, semakin rendah ralat pengukuran semakin tepat skor murid tersebut. Namun di samping ralat pengukuran, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi ketepatan skor seperti kaedah pentadbiran, sifat diri murid dan kebolehpercayaan antara pemeriksa (inter raters reliability). Dalam pentaksiran pendidikan,kesahan dan kebolehpercayaan skor ditentukan juga oleh amaun maklumat yang didapatkan. Semakin banyak maklumat yang diperolehi tentang seseorang murid, semakin tinggi probabiliti kesahan dan kebolehpercayaannya. 
  6. Skor dalam pentaksiran juga bersifat akumulatif. Ini bermakna dari pentaksiran pertama dilakukan ke atas murid, skor dihimpun untuk memperoleh skor akhir.  Guru atau sekumpulan guru akan menilai semua skor yang dihimpun untuk dihakimi bagi menentukan skor akhir murid. Skor murid bersama eviden disimpan dalam portfolio murid.  Bukan semua  eviden  murid disimpan dalam portfolio,  hanya eviden  pada tahap-tahap tertentu yang dianggap signifikan yang menunjukkan tahap perkembangan dan pembangunan diri murid. 
  7. Skor seharusnya boleh diinterpretasi. Selama ini kita dihidangkan dengan skor berbentuk numerikal (1,2,3....) dan juga abjad (A,B,C...) bagi keputusan peperiksaan pusat dan juga sekolah. Tapi   apakah maknanya skor 1,2,3... dan A, B, C... itu?   Selain daripada itu, apakah skor yang diperolehi daripada satu instrumen pentaksiran yang mengandungi 50 atau 60 item dan  diduduki sekali oleh murid boleh dijadikan inferen sebagai penguasaan murid dalam mata pelajaran yang berkaitan? 
  8. Ini antara persoalan tentang skor dalam peperiksaan. Saya akan cuba menghuraikan skor dan pelaporan dalam pentaksiran pada penulisan akan datang, insyaAllah. Sekian penulisan saya buat kali ini, hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Friday, 9 March 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, kita bertemu lagi pada ruang berkongsi ilmu ini. Pelaksanaan pentaksiran dan PBS menghasilkan gelombang  yang menggegarkan sistem pendidikan negara. Puncaknya apabila pelaporan darjah enam diubah daripada UPSR yang hanya berdasarkan keputusan peperiksaan pusat kepada PPSR yang merangkumi pelaporan keseluruhan pencapaian murid, sama ada bidang kognitif dan bukan kognitif, sebagaimana  dikonsepsikan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dikemukakan oleh LP. Tiada lagi gred purata.  Reaksi  hebat  diterima dari pelbagai kalangan yang rata-ratanya negatif. . Kebimbangan utama, tiada lagi perbandingan yang dapat dibuat, tiada lagi murid terbaik dan  tiada lagi sekolah terbaik.  Kepada ibu bapa, mereka  mendakwa tidak tahu pencapaian anak mereka kerana pelaporan turut merangkumi pentaksiran bilik darjah, pentaksiran psikometrik, PAJKS dan peperiksaan pusat (UPSR). Yang lebih memberi kesan negatif apabila terdapat bahagian-bahagian yang tertentu dalam KPM seperti  JPN dan PPD yang terusan mahu mempertahankan ranking sekolah. Apabila PPD lebih  mementingkan ranking untuk menunjukkan kehebatan masing-masing, apakah yang sebenarnya difahami oleh  JPN dan PPD tentang FPK dan makna pendidikan? 
  2. Sejujurnya, ini menggambarkan kekeliruan kerana kita sudah terlalu lama berada dalam paradigma peperiksaan pusat. Tiada  gred A, B, C, D, E seolah tidak ada pendidikan, tidak ada pembelajaran  dan tidak ada kehebatan. Tiada gred A,B,C,D,E  seolah tiada murid cemerlang, tiada  sekolah cemerlang, tiada sekolah hebat, tiada guru hebat dan tiada Guru Besar/ Pengetua hebat. Apakah ini yang kita perjuangkan dalam pendidikan? Secara rasionalnya, pelaporan menyeluruh yang holistik adalah yang terbaik  bagi menunjukkan  diri sebenar seseorang murid.  Usaha mendidik di sekolah  bukan hanya mahu melahirkan murid cemerlang akademik tetapi juga cemerlang dalam semua aspek kehidupan, intelek, rohani, emosi, jasmani dan kemahiran bersosial.
  3. Persepsi  mengidolakan peperiksaan pusat ini sebenarnya jauh  tersasar daripada matlamat dan makna pendidikan dan  harus diperbetulkan. Pendidikan bersifat universal, memainkan peranan yang sama di mana-mana sahaja dan kelompok apa jua. Kenapa perlu ada perbandingan sedangkan kita mahu melahirkan insan yang menyeluruh,  terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya. Kita mahu membangunkan setiap orang murid itu ke tahap yang tertinggi yang boleh dicapai berdasarkan keupayaannya.  Ada yang cenderung akademik ada yang cenderung sukan, ada yang cenderung seni, ada yang cenderung  komunikasi dan  juga pelbagai  kecenderungan lagi. Kecenderungan ini yang seharusnya dipupuk hingga ke tahap yang termampu oleh mereka.  Bukan membandingkan yang hebat dengan yang tidak hebat.
  4. Abad-abad mendatang memerlukan manusia yang serba boleh, berani menghadapi cabaran, memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang, inovatif, kreatif, kritis, komunikatif dan memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang luhur.  Kualiti ini tidak akan dapat dilahirkan sekiranya kita terus mengidolakan peperiksaan pusat dan meraikan secara besar-besaran pencapaian  yang didakwa kecemerlangan (A penuh). Seharusnya tidak ada kumpulan elit dalam pendidikan yang selalunya  diberi segala perhatian dan  keistimewaan  dan kumpulan belakang  atau bukan elit yang sentiasa diabai secara sistematik.  Setiap individu adalah unik. Semua murid berhak menerima layanan sama rata kerana setiap orang memiliki keistimewaan tersendiri. 
  5. Murid hebat dan cemerlang ialah murid yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Bukan hanya hebat dalam ilmu dunia dan profesionanya, tetapi juga hebat dalam ilmu akhirat dan kemasyarakatan, peka dengan alam sekitar dan nilai-nilai baik. Kalau menjadi doktor, dia seorang doktor yang hebat, jika dia guru dia seorang  guru yang hebat, jika menjadi peguam, dia menjadi peguam yang hebat, malah jika jika dia menjadi peniaga, nelayan, tukang kebun atau tukang kayu, dia akan menjadi peniaga yang hebat, nelayan yang hebat, tukang kebun yang hebat dan tukang kayu yang hebat. Dia tidak akan menipu dalam menjalankan tugas dan tanggung jawabnya, amanah, tidak bongkak, redho, dan mampu membuat inovasi dalam bidang yang diceburinya. Ini yang ingin kita capai. Ideal? Tanpa idealisma tidak akan ada usaha untuk mencapainya.
Definisi Pentaksiran Pendidikan

Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut.


  1. Apabila mentaksir, perkara yang paling utama ialah kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang akan diperolehi.  Maklumat ini boleh diperolehi melalui eviden yang ditunjukkan oleh murid melalui respons atau jawapan murid (verbal atau tulisan), perlakuan (hormat guru, suka membantu, berlari dengan kaedah yang betul), dan artifak (hasil kerja murid seperti bahan cetak, hasil kraf tangan, seni visual).  Eviden merupakan hasil respons murid daripada tugasan yang diberi melalui instrumen yang digunakan. 
  2. Apakah dia instrumen?  Kita selalunya dikelirukan dengan instrumen peperiksaan pusat, set kertas soalan yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan ditadbirkan kepada murid mengikut peraturan-peraturan tertentu. Sebenarnya ini hanya satu daripada beberapa bentuk instrumen yang boleh kita dapati dalam pentaksiran. Secara khususnya, insrumen pentaksiran merujuk kepada alat (tool) atau perkara yang ditadbirkan kepada murid bagi mendapatkan respons yang akan menjadi eviden bagi perkara yang ditaksir.
  3. Bukan hanya kertas soalan peperiksaan, instrumen pentaksiran juga terdapat dalam bentuk yang pelbagai seperti senarai semak, borang soal selidik, borang temu duga, senarai kuiz, senarai pemerhatian, senarai aktiviti, 'puzzle' , peralatan dan arahan. Satu-satu instrumen boleh terdiri daripada satu item atau beberapa item atau perkara. Bagi instrumen dan item peperiksaan pusat, ia disediakan oleh institusi pusat dengan proses dan prosedur yang amat ketat bagi mempastikan kesahan dan kebolehpercayaan item dan instrumen serta skor yang akan diperolehi, sementara item dan instrumen peperiksaan sekolah disediakan oleh guru. Penyediaan item dan instrumen mempunyai proses dan prosedur yang khusus, justru, guru perlu memiliki serba sedikit ilmu dan kemahiran tentang  item dan instrumen bagi memastikan  pentaksiran dilaksanakan mengikut standard yang betul.  
  4. Instrumen berkait rapat dengan perkara yang hendak ditaksir. Pemilihan instrumen yg betul amat kritikal bagi mempastikan maklumat yang diperolehi tepat. Maklumat yang salah akan membuat pentaksir membuat penghakiman yang salah dan penghakiman yang salah akan  memberi kesan seumur hidup kepada murid. Kerana itu  guru harus memiliki serba sedikit ilmu tentang  pentaksiran. Setiap instrumen unik, dibina bagi tujuan tertentu dan untuk kumpulan tertentu. Tidak ada satu instrumen yang boleh mentaksir kesemua konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid.  Instrumen untuk mentaksir aspek kognitif tidak sama dengan instrumen bagi mentaksir aspek non- kognitif seperti gerakan fizikal, kepantasan, kasih sayang  dan kejujuran. 
  5. Kepada para guru, pengurus pendidikan pada peringkat sekolah, daerah, jabatan atau pusat serta ibu bapa dan juga pelajar yang mengikuti penulisan saya ini diharap sekurang-kurangnya dapat serba sedikit menggarap apa yang ingin saya sampaikan. Kita harus berubah kerana dekad akan datang tidak seperti mana dekad-dekad yang terdahulu. Komunikasi dan transimisi maklumat pada masa akan datang amat pantas. Tanpa mahu berubah kita akan terus ketinggalan dan jurangnya akan semakin melebar semakin lama kita enggan berubah. Saya akan terus menjelaskan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, setakat ini dulu yang dapat saya sampaikan. Maaf kerana entri kali ini agak lewat, hampir 2 minggu dari entri sebelumnya. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.



Sunday, 25 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.


  1. Bertemu lagi pada ruang maya ini, melanjutkan perkongsian ilmu yang tidak seberapa tentang pentaksiran pendidikan yang menjadi tunjang kepada transformasi pendidikan negara.  Telah 22 entri saya muat naik pada blog ini, namun secara umumnya, bacaan berbentuk akademik sebegini kurang menarik minat golongan sasar yang lebih teruja dengan posting sensasi dan ringan. Walau bagaimana pun saya akan terus menulis selagi ada keupayaan bagi menyebarkan sedikit ilmu yang ada pada diri ini, semoga ianya bermanafaat kepada semua.
  2. Dengan transformasi pendidikan yang sedang berjalan, semua guru dan pengurus pendidikan pada semua peringkat harus memahami sepenuhnya apa yang dirancang dan yang akan dicapai  dalam transformasi ini. Tranformasi ini memandang keperluan dunia pada abad-abad mendatang dan mencirikan jenis manusia yang akan kita lahirkan dari sistem pendidikan kita bagi menghadapi masa tersebut. Pelbagai program dirancang, dilabelkan  dengan pelbagai nama,  ada yang dilaksana dan ada yang hanya setakat perancangan, namun itu semua merupakan usaha untuk menemukan  kenderaan yang diharap membawa kita ke era tersebut.  Kita tidak harus keliru kerana kesemua program yang dirancang itu sebenarnya mengarah kepada pencapaian FPK. Keperluan pembelajaran abad 21, seperti mana yang diterakan dalam PPPM 2013-2025  sebenarnya selari dengan hasrat FPK  yang mahu membangunkan murid secara holistik.  Bagi kita sebagai pendidik, pencapaian FPK merupakan satu-satunya matlamat kita, dan selagi kita tidak mencapainya, selagi itu kita dikira gagal. Justru setiap kita yang terlibat dengan pendidikan, fahami dan hayatilah  FPK kerana itulah asas pendidikan negara dan penentu kejayaan pendidikan negara pada masa depan. Di situlah  pendidikan dimaknakan  dengan begitu  teliti. 
  3. Pembelajaran abad 21 sebenarnya bukan sesuatu yang asing bagi kita kerana program pembangunan pendidikan negara  selama ini hingga melahirkan FPK memang menuju ke arah yang sama. Pembelajaran berfokuskan murid sebenarnya telah pun dikonsepsikan dalam KBSR tetapi kerana peperikaan pusat yang mendominasi sistem pendidikan negara, ianya berlalu begitu sahaja. Pembelajaran menggunakan teknologi dan penggunaan gajet telah pun dikonsepsikan dalam sekolah bestari, juga kerana peperiksaan pusat terus mendominasi sistem pendidikan negara, ianya juga berlalu begitu sahaja. Senasib dengan pembelajaran berfokuskan murid. Begitu juga dengan pembelajaran secara berkumpulan, pembelajaran secara inkuiri, berfikir secara kreatif dan kritis,  kemahiran berfikir, 'borderless classroom' , susun atur kelas, kemenjadian murid dan banyak lagi sebenarnya telah pernah  wujud dalam perancangan sistem pendidikan negara tetapi tanpa keberanian mentranformasi kotak pemikiran yang lama  dan memansuhkan  sistem peperiksaan pusat, semua perancangan ini akhirnya  berkubur begitu sahaja.  Peperiksan pusat mematikan inovasi dalam pendidikan.
Definisi Pentaksiran Pendidikan

Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut.

  1. Pada penulisan yang lalu saya telah menerangkan serba sedikit tentang peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah. Seterusnya  saya akan cuba menerangkan tentang kaedah tertentu dan instrumen tertentu dalam pentaksiran pendidikan sepertimana yang dinyatakan dalam definisi pentaksiran di atas. Jangan dilupa, pentaksiran dilakukan bagi mendapatkan maklumat tentang murid, dan maklumat tersebut mestilah tepat, autentik dan terkini bagi memaknakan pendidikan.  Kerana itu kaedah dan instrumen yang digunakan haruslah relevan dan boleh laksana.
  2. Kaedah merujuk kepada pendekatan yang digunakan bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki tentang murid. Setiap kali kita mentaksir kita mempunyai objektif tertentu  dan setiap objektif mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza. Dalam pentaksiran, guru mempunyai  kebebasan untuk menggunakan pendekatan yang terbaik, bergantung kepada kreativiti, keselesaan dan inovasi guru serta sifat  dan persekitaran murid. Pendekatan dalam pentaksiran pendidikan  amat fleksibel, tidak ada satu pendekatan khusus untuk semua murid. Setiap murid mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza dan bergantung kepada kebijaksanaan guru untuk mendapatkan pendekatan yang terbaik. Guru harus kreatif dan berfikiran terbuka untuk membolehkan pentaksiran yang berkesan dapat dilaksanakan.
  3. Secara umumnya kita boleh membahagikan kaedah pentaksiran kepada dua iatu pendekatan konvensional dan pendekatan alternatif.  Kedua-dua pendekatan ini tidaklah bersifat ekslusif, malah boleh saling digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian.  
  4. Pendekatan konvensional merupakan kaedah yang lumrah dipraktiskan dalam sistem pendidikan kita hari ini, seperti kaedah kertas dan pensil,  praktikal atau amali, ujian lisan dan projek atau kerja kursus. Setiap  guru seharusnya telah memahami dan menguasai kaedah ini kerana semua sudah melalui pengalaman ini sendiri semasa alam persekolahan, di institusi latihan dan universiti. Malah saya yakin semua guru pernah mengaplikasikan kesemua pendekatan ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. 
  5. Sementara pendekatan alternatif, sebahagiannya merupakan pendekatan yang pernah digunakan secara meluas pada masa lalu, kemudian dipinggirkan kerana  perkembangan pengaruh  ilmu statistik yang menguasai banyak bidang ilmu termasuk pendidikan serta penumpuan terhadap peperiksaan pusat,  dan kini mula dipraktikkan semula kerana sifatnya yang fleksibel,  autentik, mudah, ringkas, cepat  dan  menepati keperluan pentaksiran pendidikan.   
  6. Keupayaan mental, hati, perasaan serta sifat dalaman manusia merupakan konstruk yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat diukur  secara fizikal seperti  mengukur saiz sesuatu benda  atau  ketinggian seseorang. Terdapat alat  pengukur untuk mengukur saiz dan tinggi dan alat ini standard di seluruh dunia.   Perkara yang diukur, iaitu saiz dan tinggi, dapat dilihat, dan kesilapan  dalam pengukurannya (error of measurement) amat kecil, malah mungkin 0. 
  7. Tetapi berbeza dengan otak manusia,  kita tidak dapat melihat IQ, kebijaksanaan, perasaan  atau akal manusia secara fizikal, dan untuk memahaminya  kita hanya boleh membuat inferen daripada evidens yang diperolehi.  Kita harus mencari evidens yang  sah dan  autentik bagi membolehkan penghakiman yang tepat dibuat tentang attribut yang dimiliki murid tersebut. Dan bagaimanakah eviden ini diperoleh? Ini merupakan aspek yang 'interesting' dalam pentaksiran kerana bukan seperti pendekatan konvensional yang sudah sebati dalam jiwa kebanyakan kita, pendekatan alternatif memberi ruang kepada guru untuk berkarya dan berinovasi. Guru berpeluang untuk mereka cipta kaedah sendiri.  Di negara-negara yang maju dalam bidang pendidikan, guru mempunyai saluran untuk mengemukakan idea, cadangan dan inovasi dan mengongsinya bersama  melalui jurnal dan penerbitan yang khusus bagi setiap peringkat pendidikan.
  8. Apakah kaedah atau pendekatan alternatif yang boleh digunakan dalam pentaksiran? Sebenarnya ianya tidak terhad kepada beberapa kaedah khusus sahaja, tetapi terbuka kepada apa sahaja pendekatan yang boleh memberikan maklumat yang tepat, autentik dan sah. Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah  pemerhatian, perbualan, kuiz, ejaan, congak, temu bual (perseorangan atau kumpulan), temu duga, projek, persembahan serta bukti pencapaian.  Banyak penulisan yang boleh kita dapati mengenai pendekatan alternatif ini. Yang pentingnya pendekatan ini lebih bersifat humanistik, menyeluruh dan tidak mendatangkan tekanan dan stres kepada murid.  Mereka  boleh ditaksir secara langsung atau tidak langsung.  Selain daripada itu, maklumat pentaksiran juga boleh didapati daripada sumber ketiga seperti ibu bapa, guru lain, juru latih dan rakan, sama ada rakan sekelas atau rakan sebaya.
  9. Bukti pencapaian mungkin merupakan sesuatu yang agak asing bagi kita dan sering disisihkan selama ini apabila kita membuat pentaksiran tentang seseorang murid. Bukti pencapaian merujuk kepada pencapaian terbaik murid dalam apa sahaja bidang sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri, negara atau antarabangsa. Mereka yang telah mencapai kejayaan luar biasa,  seperti  pada peringkat antarabangsa, sebenarnya telah melampaui tahap maksimum yang ditetapkan dalam perimeter pembelajaran yang telah ditetapkan. Seorang murid yang berjaya menjadi johan pidato atau bahas pada peringkat negara atau antarabangsa misalnya sudah mencapai tahap penguasaan yang lebih daripada cemerlang dalam kemahiran berbahasa, maka apakah perlu lagi murid ini ditaksir  untuk ujian lisan?  Begitu juga murid yang mencapai kejayaan cemerlang dalam  bidang-bidang seperti sukan, seni visual  dan muzik tidak perlu lagi ditaksir bagi kemahiran yang lebih rendah daripada apa yang sudah mereka capai. Mereka ini sebenarnya memerlukan pengkayaan dalam bidang-bidang tersebut, bukan disuruh berundur ke belakang. Mereka sudah melebehi band 6  dalam standard prestasi. InsyaAllah saya akan cuba menerangkan tentang band serta standard prestasi pada penulisan akan datang.
  10. Nampaknya saya masih tidak dapat menghabiskan topik instrumen tertentu pada penulisan kali ini. InsyaAllah, topik ini akan saya sambung pada penulisan seterusnya. Setakat ini saya berharap semua rakan yang mengikuti blog saya ini dapat memahami konsep pentaksiran pendidikan yang telah saya cuba huraikan. Saya bukan pakar dalam bidang ini, cuma diberikan sedikit ilmu oleh Allah yang saya ingin kongsi  bersama.  Bukan juga untuk mengajar kerana saya mempunyai banyak kelemahan dan bidang ilmu pentaksiran ini amat luas. Mungkin juga terdapat pandangan dan coretan saya yang kurang tepat, justru saya amat berbesar hati sekiranya terdapat apa-apa maklum balas tentang perkara yang saya tulis selama ini dari rakan semua. Ini akan membuka ruang yang lebih luas untuk kita  meningkatkan kefahaman supaya kita semua faham dan  sefaham.  Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.


Sunday, 18 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Selamat bertemu lagi. Pada penulisan yang lalu saya telah mulakan sedikit tentang bagaimana mentaksir. Berdasarkan pandangan ramai guru-guru di banyak media, masalah paling utama dalam melaksanakan satu-satu program pembaharuan ialah kefahaman tentang pembaharuan yang ingin dilakukan. Kegagalan dalam pemahaman ini boleh mengakibatkan  program yang dirancang akan terbantut. Antara punca kegagalan ini ialah penyebaran maklumat yang lemah dan penyampai yang tidak berupaya menyampaikan maklumat dengan tepat dan berkesan. Juga sikap penerima maklumat yang tidak serius, kurang berminat serta prakonsepsi negatif tentang pembaharuan yang dicadangkan.
  2. Dalam program pentaksiran pendidikan ini, situasi yang sama berlaku. Akibatnya, ramai guru, pengurus pendidikan pada semua peringkat, ibu bapa dan juga massa seolah hilang punca dan mempunyai pentafsiran sendiri tentang perubahan yang ingin dilaksanakan. Justru, penulisan saya ini diharap  sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit kefahaman kepada rakan-rakan yang mengikutinya dan program yang dirancang ini mencapai matlamat seperti yang dihasratkan.
  3. Seperti yang saya janjikan pada penulisan yang lalu, pada kali ini saya akan cuba menerangkan serba sedikit  tentang peperiksaan sekolah, peperiksaan pusat, kaedah tertentu dan instumen tertentu dalam pentaksiran. Keempat-empat perkara ini amat rapat dengan pelaksanaan pentaksiran pendidikan. 
  4. Kenapa mentaksir? Ini merupakan soalan yang amat lumrah dalam pendidikan. Seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini, pendidikan tidak dapat dipisahkan daripada pentaksiran kerana kedua-duanya saling berkait.  Tanpa pentaksiran, pendidikan tidak bermakna. Pentaksiran memberikan maklumat tentang  perkembangan diri murid  dari segi kognitif dan bukan kognitif kepada guru, ibu bapa dan juga pihak yang berkepentingan, di samping  memberi maklumat tentang  keberkesanan pengajaran guru. Maklumat perkembangan diri murid ini amat penting  bagi membolehkan guru mengesan  kemajuan murid sepanjang masa dan mengambil tindakan yang sewajarnya apabila keadaan memerlukan, terutama apabila murid menghadapi masalah dalam pembelajaran. Maklumat keberkesanan pengajaran guru pula membolehkan guru mengubah suai strategi pengajaran sekiranya maklumat pentaksiran menunjukkan murid menghadapi kesukaran dalam memahami satu-satu perkara yang diajar.
  5. Peperiksaan dan ujian merupakan pendekatan yang amat lumrah dalam proses pendidikan di sekolah pada masa ini sebagai penyumbang maklumat pembelajaran murid. Namun pendekatan ini hanya memberikan maklumat tentang aspek kognitif murid. Kecemerlangan akademik, yang hanya bertumpu kepada keupayaan kognitif tidak menunjukkan kejayaan pendidikan murid tersebut secara total.
  6. Sejak sebelum merdeka, dari zaman kolonial lagi, peperiksaan pusat merupakan matlamat pendidikan di mana kejayaan dalam peperiksaan pusat merupakan satu kehebatan dan menjadi lesen untuk kemajuan kerjaya dan kehidupan pada masa depan. Justru sekolah memberikan perhatian serius dalam menyediakan murid untuk peperiksaan pusat dan menjadikan mata pelajaran bukan peperiksaan terpinggir. Akhirnya peperiksaan menjadi matlamat pendidikan dan manusia  yang dilahirkan daripada sistem ini seolah manusia yang tempang, hebat akademik tetapi lompong dalam aspek kehidupan yang lain. 
  7. Apakah peperiksaan pusat? Jawapannya pasti sudah dimaklumi oleh kesemua kita yang melalui sistem pendidikan selama ini. Peperiksaan pusat atau dikenali juga sebagai peperiksaan awam  amat rigid pelaksanaannya. Semuanya dilaksanakan di bawah peraturan keselamatan yang amat ketat , daripada pembinaan item, pembinaan instrumen, percetakan, pengedaran dan pentadbirannya. Peperiksaan pusat dikendalikan oleh institusi pusat, dari pendaftaran calon, penyediaan jadual waktu, pemilihan pengawas dan pemeriksa hinggalah kepada pengeluaran keputusan dan percetakan sijil. Sepanjang tempoh sejak merdeka, peperiksaan pusat di negara ini  mengalami banyak perubahan,  daripada segi penawaran mata pelajaran peperiksaan dan juga  jenis peperiksaan yang dijalankan. Terdapat juga peperiksaan tahap tertentu yang  diperkenalkan dan ada yang dimansuhkan. Setakat ini, peperiksaan pusat yang masih  dilaksanakan di bawah KPM kita ialah UPSR, SPM, SPM (U) dan  STAM.  PMR telah dimansuhkan dan diganti dengan PT3 yang merupakan pentaksiran pusat.   
  8. Hakikatnya, peperiksaan pusat bukan petunjuk kualiti pendidikan. Bagi setiap mata pelajaran yang dijadikan sebagai peperiksaan pusat, selalunya hanya satu atau dua kertas yang ditawarkan. Setiap kertas peperiksaan pula hanya mengandungi beberapa item yang  diandaikan mewakili keseluruhan semesta ilmu dalam bidang tersebut. Bagi kertas objektif aneka pilihan, paling banyak 70 item yang akan digunakan dan bagi kertas subjektif bilangannya lebih kecil, mungkin 10 atau 12 item. Itulah bilangan item yang  diberikan  kepada murid dalam tempoh 1 atau 2 jam untuk dijawab. Dan keupayaan murid menjawab 10, 12 atau 70 item itulah yang digembar gemburkan sebagai penguasaan murid dalam mata pelajaran berkenaan. Tepat????  itulah yang menjadi persoalan ahli pentaksiran seluruh dunia dan membawa kepada perkembangan sistem pentaksiran pendidikan yang kita turut sama bergerak seiring dengan mereka masa kini.  Tempoh satu-satu kertas peperiksaan selalunya tidak melebehi 2 jam kerana murid akan hilang tumpuan selepas tempoh tersebut.
  9. Selain daripada itu, ketepatan skor yang diperolehi oleh murid pula bergantung kepada banyak faktor lain seperti keadaan diri pelajar pada waktu menduduki peperiksaan (sakit, pening, marah, kecewa, tekanan, lapar),  kebolehpercayaan pemeriksa, kebolehpercayaan instrumen pentaksiran,  kawalan pentadbiran peperiksaan dan pematuhan keselamatan sepanjang masa pengendalian peperiksaan. Skor bagi setiap kohort pula tidak boleh dibandingkan dengan kohort yang lain kerana asas penganalisisan skor peperiksaan pusat berdasarkan taburan normal di mana taburan skor dan sisihan lazim skor berbeza bagi setiap kohort.
  10. Penentuan gred sempadan  peperiksaan pusat pula sentiasa berubah kerana bergantung kepada faktor-faktor yang sukar dikawal.  Selain daripada itu, penentuan markah lulus juga amat sukar dijustifikasikan. Sebagai contoh, apabila markah lulus ditetapkan pada 50, kenapa 50 dan tidak 49 atau 45, atau 30? Apakah asas yang menentukan 50 sebagai markah lulus?? Kemudian adakah adil murid yang memperoleh skor 49  dikatakan gagal dan dikelompokkan sama dengan murid yang mendapat skor 0, sedangkan keupayaan murid 49  itu lebih hampir dengan murid 50.  Murid 49 teraniaya hanya kerana kurang 1 markah. Adakah ini  satu kezaliman???  Ini yang kita harus fikirkan kerana selama ini, inilah yang kita lakukan dan adakah kita telah melakukan dosa kepada murid 49, 48, 47 dan seterusnya? Kerana itu, pelaporan juga harus diubah suai dengan menghapuskan stigma gagal dalam peperiksaan. Pelaporan perlu dibuat dalam bentuk pernyataan positif seperti murid A telah berjaya menguasai 49% daripada kemahiran yang telah ditaksir,  murid B telah berjaya menguasai 80% daripada kemahiran yang telah ditaksir, murid C telah berjaya menguasai 30% daripada kemahiran yang telah ditaksir, bukan gagal. Pernyataan begini seharusnya disertakan dengan huraian keseluruhan kemahiran yang ditaksir. Standard Prestasi merupakan satu daripada alternatif pelaporan yang dicadangkan, dan ini akan saya cuba huraikan pada penulisan yang akan datang. 
  11. Peperiksaan sekolah dan ujian pula merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Istilah peperiksaan sekolah  dan ujian lumrah digunakan bagi membawa maksud yang sama pada peringkat sekolah dan pada penulisan ini, saya juga akan menggunakannya sebagai membawa maksud yang sama walaupun secara terperinci terdapat perbezaan antara keduanya. 
  12. Peperiksaan sekolah  dan ujian tidak mungkin dihapuskan kerana tanpa ujian dan peperiksaan sekolah, guru tidak dapat memastikan apa yang diajar diterima dan dihadam oleh murid.  Terdapat sebilangan warga pendidik yang keliru antara peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan menganggap peperiksaan sekolah juga turut dimansuhkan. Ini sebenarnya tidak tepat.  Peperiksaan sekolah merupakan pentaksiran formatif, dijalankan sepanjang masa, semasa pembelajaran dan selepas satu-satu unit pembelajaran atau topik untuk memastikan keberkesanan pengajaran. Tidak seperti peperiksaan pusat yang diadakan pada penghujung satu-satu tempoh pembelajaran yang panjang, samada selepas 6 tahun atau 5 tahun, peperiksaan sekolah diadakan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran.  Guru mengesan sebarang kekurangan atau kelemahan dan akan mengambil tindakan segera bagi membaiki keadaan. Sekolah juga ada melaksanakan peperiksaan sekolah secara berkala seperti pada akhir semester atau akhir tahun untuk tujuan pelaporan. Seharusnya skor pentaksiran formatif  turut diambil kira bersama dengan peperiksaan berkala ini bagi tujuan pelaporan. Peperiksaan pusat yang diadakan pada penghujung pembelajaran tidak memberi ruang tindakan kepada guru untuk mengambil tindakan pembaikan.
  13. Tidak seperti peperiksaan pusat yang ditadbirkan mengikut peraturan yang ketat, dengan instrumen yang standard  dan diadakan serentak di seluruh negara, peperiksaan sekolah lebih longgar dan santai. Item atau instrumennya tidaklah serigid item dan instrumen peperiksaan pusat. Kaedah peperiksaan pun pelbagai, pelaksanaannya tidak seketat peperiksaan pusat dan tidak perlu diadakan jadual khusus. Item dan instrumen bagi peperiksan sekolah dibina oleh guru sendiri atau panel atau jawatankuasa khas yang dibentuk pada peringkat sekolah.  Bagi sekolah  yang memiliki bank item sendiri, peperiksaan sekolah lebih mudah dilaksanakan kerana item  untuk diguna pakai telah tersedia. 
  14. Setakat ini saya huraikan tentang peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah, dan penulisan seterusnya nanti, insyaAllah akan saya teruskan dengan kaedah pentaksiran dan instrumen pentaksiran.  Ini kerana huraian tentang kaedah dan instrumen pentaksiran akan memakan ruang yang agak panjang.  Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim



Saturday, 10 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam siri penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan. Sejak pentaksiran dilaksanakan melalui pelaksanaan SPPK banyak persoalan yang  timbul pada kalangan guru sebagai pelaksana, ibu bapa dan juga kumpulan lain yang berkepentingan tentang transformasi ini. Sebagaimana yang saya tuliskan sebelum ini, kita telah terlalu lama berada dalam zon selesa, dalam kotak yang sama sejak sebelum merdeka lagi. Kerana itu, pembaharuan ini memberi kejutan yang amat besar hinggakan ada yang mewujudkan grup menentang  pelaksanaan PBS dan menghapuskan PBS.  
  2. Sebenarnya bentuk penentangan seperti ini memang lumrah bagi apa sahaja program baharu yang diperkenalkan kerana terdapat banyak faktor yang menggusarkan seperti ketidak tentuan masa depan, keperluan mempelajari ilmu dan kemahiran baharu  dan keselesaan  dengan perkara yang sudah  terbiasa. Keadaan ini ditambah burukkan lagi oleh kelemahan program pra pelaksanaan dan pelaksanaan. Kerana itu setiap program baharu yang hendak dilaksanakan haruslah dirancang dengan teliti dan menyeluruh. Sebaran maklumat yang tepat harus dilakukan melalui pelbagai media dan program khusus serta penyebar maklumat  haruslah memiliki ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk mempastikan maklumat yang tepat sampai kepada sasarannya.  
  3. Dalam pelaksanaan SPPK, apa yang jelas, walaupun program ini telah dirangka dalam tempoh masa yang panjang, penyebaran maklumat  tentang SPPK khususnya kepada pelaksana di sekolah mempunyai banyak kelemahannya. Kerjasama antara bahagian juga tampak amat  longgar apabila keseluruhan tanggung jawab  dipikulkan ke atas bahu LP sementara bahagian-bahagian lain seolah berlepas tangan. Realiti ini nyata apabila terdapat perselisihan pendapat pada kalangan guru sendiri, pentadbir, pegawai PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian KPM. Setiap pegawai yang melawat sekolah mempunyai versi mereka sendiri, dan yang lebih mengelirukan ada pegawai naziran dan jabatan yang datang mahukan sekolah meningkatkan prestasi dalam peperiksaan semata-mata, menunjukkan wujudnya kekeliruan pada kalangan mereka ini tentang pentaksiran pendidikan. Konsep PPSR dan PT3 masih tidak dihadam sepenuhnya. 
  4. Institusi utama yang melatih bakal guru, IPGM, juga seolah tidak mengambil tahu tentang perkembangan baru ini dan masih menawarkan kursus pengukuran dan penilaian dan teori-teori pengukuran lama dalam latihan keguruan sedangkan seharusnya topik Pentaksiran Pendidikan menjadi 'core' dalam latihan  keguruan.  IPGM membekalkan guru-guru muda ke dalam sistem persekolahan dan amat malang apabila guru-guru muda ini memasuki sistem pendidikan negara tanpa ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan yang dilaksanakan di sekolah. Begitu juga dengan IPT lain yang menawarkan program pendidikan tetapi masih berada dalam zaman pengukuran dan penilaian dengan teori-teori pengukuran lama yang sebahagiannya tidak relevan lagi dengan pembangunan dan perkembangan pentaksiran pendidikan semasa.
  5. SPPK merupakan program utama dalam usaha mentranformasikan sistem pendidikan negara. Tanpa perubahan dalam sistem pentaksiran negara, sistem pendidikan tak akan berubah.  SPPK merupakan gelombang  perubahan  ini yang  memerlukan penglibatan keseluruhan bahagian KPM dan warga pendidik.  Kejayaan  usaha mentransformasi sistem pendidikan  negara bergantung kepada kejayaan mentransformasi sistem pentaksiran negara.
  6. Penulisan ini bukan untuk memberi jawapan kepada semua permasalahan yang timbul sebaliknya ingin memberi kefahaman kepada semua pihak yang terlibat agar memberikan komitmen masing-masing menjayakan perubahan ini. Pentaksiran sepatutnya tidak membebankan guru, tidak timbul soal mengejar kurikulum, dan tidak mewujudkan stress peperiksaan pusat pada kalangan murid. Pentaksiran memberi ruang kepada guru untuk berkarya, inovatif  dan kreatif, memberi ruang kepada anak-anak belajar dengan relaks , seronok dan gembira. Pentaksiran bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat tetapi mempastikan pendidikan mencapai matlamatnya, melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dan boleh menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Bagaimana mentaksir?
  1. Ini merupakan soalan cepu mas. Setiap guru ingin mendapatkan jawapannya  kerana merekalah  yang bertanggung jawab melaksanakan pentaksiran  pada peringkat sekolah.  Dan ini merupakan antara masalah utama yang dihadapi oleh guru apabila tidak mendapat maklumat yang jelas dan mantap daripada pihak yang bertanggung jawab memberikan pendedahan tentang konsep ini.
  2. Perkara utama yang perlu difahami, pentaksiran bukan peperiksaan tetapi peperiksaan merupakan sebahagian daripada pentaksiran.  Ini bermakna selain daripada peperiksaan terdapat beberapa kaedah lain bagi mendapatkan maklumat tentang murid dalam pentaksiran. Peperiksaan hanya memberikan maklumat tentang keupayaan kognitif murid sedangkan pentaksiran memberikan maklumat tentang keseluruhan diri murid, kognitif dan bukan kognitif.  Terdapat kekeliruan apabila istilah peperiksaan  digunakan, namun kita harus faham bahawa dalam sistem pendidikan negara kita pada masa ini kita mempunyai dua laras peperiksaan iaitu peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah.  Kedua-dua peperiksaan ini berbeza daripada segi matlamat dan  pengurusannya. 
  3. Merujuk kepada definisi pentaksiran"...menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu..." bagi mendapatkan maklumat tentang murid, ini menunjukkan fleksibiliti pentaksiran berbanding peperiksaan.  Pemahaman yang tepat  dan mendalam harus digarap oleh guru tentang kedua-dua konsep ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam pelaksanaan. Kesilapan pelaksanaan akan membawa kesan buruk bukan hanya kepada murid tetapi juga kepada kredebiliti dan integriti  sistem pendidikan negara. 
  4. Apakah yang dimaksudkan dengan peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan apakah kaedah tertentu dan instrumen tertentu dalam definisi ini?  InsyaAllah akan saya jelaskan nanti pada penulisan yang akan datang. 
  5. Sehingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru dan juga peminat yang melayari blog saya ini. Terima kasih.

Dr. Hazim.