Showing posts with label gred. Show all posts
Showing posts with label gred. Show all posts

Saturday, 21 April 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: SKOR DAN PELAPORAN (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Salam sejahtera kepada semua. Bertemu lagi kita, dengan izin Allah, pada ruang dan masa ini. Semoga apa yang dipersembahkan dapat memberikan manafaat kepada semua. Andainya hanya satu saja manafaat yang diterima, itu sudah cukup untuk saya bersyukur ke hadirat Illahi.
  2. Skor telah pun saya jelaskan dan kini saya ingin mengaitkan pula skor dengan pelaporan dalam pentaksiran pendidikan. Kalau dalam sistem peperiksaan pusat, skor peperiksaaan dan pelaporan merupakan dua perkara yang berasingan.  Skor diperoleh daripada peperiksaan yang diduduki secara formal dalam kawalan yang ketat dan diterakan dalam bentuk gred tunggal sementara  pelaporan pula disediakan oleh guru untuk dibekalkan kepada murid sebelum meninggalkan sekolah. Dan kebiasaannya, bentuk pelaporan yang amat lazim berupa sijil berhenti sekolah yang menggunakan kosa kata seperti  terbaik, amat baik, baik, memuaskan dan sederhana  bagi aspek-aspek yang dilaporkan. Namun tidak ada huraian apa yang membezakan antara terbaik dengan amat baik, amat baik dengan baik, baik dengan memuaskan dan memuaskan dengan sederhana. Dan semuanya ini, skor dan juga pelaporan adalah tentang perkara yang telah berlalu.  Tiada satu pun, skor atau pelaporan,  yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan penambahbaikan  dalam pembangunan diri murid.
  3. Berbeza dengan pentaksiran pendidikan, pada prinsipnya guru mula mentaksir pada hari pertama murid memulakan persekolahan dan berakhir pada hari terakhir murid berada di sekolah. Bermakna, maklumat  tentang murid sentiasa diperolehi sepanjang masa pengajaran. Maklumat  tentang murid  diperolehi dengan cepat, bersifat autentik dan tindakan pantas boleh diambil bagi tujuan membantu pembelajaran  dan pembangunan diri murid. Pentaksiran berlangsung sepanjang masa, fleksibel dan lebih bersifat insaniah.  Pentaksiran menghasilkan maklumat yang  dijelmakan dalam bentuk skor dan  setiap skor dikaitkan dengan makna.  Guru boleh membuat pelaporan selepas setiap kali mentaksir  seseorang murid atau selepas beberapa kali mentaksir mengikut keperluan dan semua himpunan maklumat akan membolehkan pelaporan akhir tentang murid dibuat.   
  4. Mungkin guru akan merasakan ini satu beban tugas yang amat berat, bagaimana hendak mentaksir mungkin ratusan  murid di bawah tanggung jawabnya pada satu-satu masa.  Inilah  yang perlu difahami tentang pentaksiran dan jangan samakan pentaksiran dengan peperiksaan.  Peperiksaan hanyalah satu daripada kaedah untuk mendapatkan maklumat tentang murid, khususnya aspek kognitif.  Peperiksaan ditadbirkan serentak untuk beratus-ratus orang murid menggunakan kaedah kertas dan pensil dalam masa yang telah ditetapkan.  Selain peperiksaan, banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan dalam pentaksiran pendidikan.  Pentaksiran  bersifat fleksibel, lebih humanistik dan  boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan pelbagai kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan autentik tentang murid. 
  5. Dalam pentaksiran, tidak semua murid ditaksir pada satu-satu masa. Guru boleh menetapkan aspek yang hendak ditaksir dengan kaedah yang difikirkan paling sesuai pada bila-bila masa. Pentaksiran boleh dilakukan semasa berinteraksi dengan murid seperti masa di padang, masa aktiviti kokurikulum, masa di kantin, masa perhimpunan dan masa dalam kelas. Guru juga boleh melakukan pentaksiran melalui pemerhatian, maklumat daripada guru lain, maklumat daripada rakan murid,  hasil kerja murid dan pencapaian luar biasa murid.
  6. Apabila guru mentaksir, maklumat akan diperolehi. Maklumat ini akan membolehkan guru menilai tentang seseorang murid.  Sekiranya guru mengenal pasti masalah tertentu pada diri murid yang memerlukan tindakan segera, guru boleh terus membuat pelaporan tentang murid tersebut.   Ini mungkin melibatkan masalah seperti masalah pembelajaran, dyleksia, rabun, tuli,  disiplin, emosi, kemurungan, pergerakan motor dan kesihatan. Murid mungkin mengalami masalah yang kritikal dan guru berperanan mengambil tahu dan berusaha mengatasi masalah yang dialami murid secepat mungkin. Sekiranya masalah murid serius, ini harus dirujuk kepada pihak yang pakar dalam bidangnya.  Dalam keadaan biasa, pelaporan boleh dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa, mengikut tahap-tahap tertentu yang difikirkan wajar oleh guru atau pihak pentadbir.
  7. Bukan hanya mengenal pasti masalah pada kalangan murid, guru juga melalui pentaksiran akan mengenal pasti murid yang cemerlang, memiliki keistimewaan  dan kelebihan tertentu dan tindakan  yang sesuai juga harus diambil  bagi meningkatkan lagi pembelajaran dan pembangunan diri murid ini. Guru harus berinisiatif,  berinovatif dan kreatif dalam mewujudkan environment  yang kondusif dan tindakan yang  sesuai bagi memacu murid yang berkeupayaan tinggi dan istimewa ini ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.  Pentaksiran memberi peluang dan ruang kepada guru untuk berkarya dalam mendidik murid dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menarik serta menyeronokkan. Sekiranya terdapat murid yang hebat dalam  bidang-bidang tertentu seperti sukan, pendidikan seni, muzik, kesusasteraan atau bidang akademik lain, perkayakan  mereka dengan ilmu dan kemahiran tambahan agar mereka boleh  meningkat lebih tinggi dalam bidang masing-masing.  Pengurusan kelas menjadi keperluan kepada semua guru. Setiap murid adalah individu yang unik dan kemahiran guru mengenali sifat setiap orang muridnya boleh menjadi katalis kepada kemenjadian murid.
  8. Setiap  guru seharusnya faham peranan masing-masing dalam pentaksiran pendidikan. Lumrahnya, guru mata pelajaran bertanggung jawab mentaksir setiap orang murid dibawah kelolaannya.  Guru mata pelajaran akan menyimpan segala skor, eviden dan laporan tentang muridnya, kerana guru mata pelajaran mempunyai konteks masa yang panjang  dan khusus dengan muridnya. Guru mata pelajaran juga akan membuat penilaian dan penghakiman akhir bagi mata pelajarannya sebelum diserah kepada guru kelas untuk disatukan dengan mata pelajaran lain.. Maklumat yang diserahkan oleh guru mata pelajaran hanyalah skor akhir dan pelaporan akhir setiap orang muridnya. Maklumat lain seperti eviden, skor setiap kali pentaksiran, serta pelaporan khusus disimpan oleh guru mata pelajaran dalam portfolio murid dan akan dirujuk sekiranya timbul sebarang masalah. Penyimpanan portfolio dan tempoh masa penyimpanan bergantung kepada pengurusan sekolah dan arahan daripada pihak yang berkaitan.
  9. Apa yang saya huraikan di sini merupakan konsep asas pentaksiran. Hakikatnya dalam praktis di sekolah, mungkin terdapat kepelbagaian pendekatan berdasarkan kefahaman tentang konsep pentaksiran pendidikan atau kecelaruan dan juga  arahan dari pihak atasan. Kerana itu, telah saya tekankan pada penulisan terdahulu, perlunya ada keselarasan dalam kefahaman kerana faham dan sefaham itu amat penting. Kekeliruan hanya akan menggagalkan apa sahaja program walaupun sebaik mana program itu dirancang. 
  10. Setakat ini penulisan saya buat kali ini. Pada penulisan yang akan datang, insyaAllah akan saya cuba terangkan tentang pelaporan menggunakan band yang disarankan dalam  cadangan asal yang dikemukakan oleh Lembaga Peperiksaan. ,  Untuk makluman rakan-rakan semua, blog  ini saya khususkan hanya tentang  pentaksiran  dan pendidikan  dan tidak akan menyentuh perkara lain di luar bidang ilmu ini. Ilmu adalah universal, tidak mengenal warna kulit, suklu kaum dan bangsa. Semoga kita semua sebagai pendidik terus istiqamah dalam mendidik anak bangsa walau apa pun cabaran yang mendatang.  
  11. Hingga bertemu lagi, insyaAllah, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim

Friday, 9 March 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, kita bertemu lagi pada ruang berkongsi ilmu ini. Pelaksanaan pentaksiran dan PBS menghasilkan gelombang  yang menggegarkan sistem pendidikan negara. Puncaknya apabila pelaporan darjah enam diubah daripada UPSR yang hanya berdasarkan keputusan peperiksaan pusat kepada PPSR yang merangkumi pelaporan keseluruhan pencapaian murid, sama ada bidang kognitif dan bukan kognitif, sebagaimana  dikonsepsikan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dikemukakan oleh LP. Tiada lagi gred purata.  Reaksi  hebat  diterima dari pelbagai kalangan yang rata-ratanya negatif. . Kebimbangan utama, tiada lagi perbandingan yang dapat dibuat, tiada lagi murid terbaik dan  tiada lagi sekolah terbaik.  Kepada ibu bapa, mereka  mendakwa tidak tahu pencapaian anak mereka kerana pelaporan turut merangkumi pentaksiran bilik darjah, pentaksiran psikometrik, PAJKS dan peperiksaan pusat (UPSR). Yang lebih memberi kesan negatif apabila terdapat bahagian-bahagian yang tertentu dalam KPM seperti  JPN dan PPD yang terusan mahu mempertahankan ranking sekolah. Apabila PPD lebih  mementingkan ranking untuk menunjukkan kehebatan masing-masing, apakah yang sebenarnya difahami oleh  JPN dan PPD tentang FPK dan makna pendidikan? 
  2. Sejujurnya, ini menggambarkan kekeliruan kerana kita sudah terlalu lama berada dalam paradigma peperiksaan pusat. Tiada  gred A, B, C, D, E seolah tidak ada pendidikan, tidak ada pembelajaran  dan tidak ada kehebatan. Tiada gred A,B,C,D,E  seolah tiada murid cemerlang, tiada  sekolah cemerlang, tiada sekolah hebat, tiada guru hebat dan tiada Guru Besar/ Pengetua hebat. Apakah ini yang kita perjuangkan dalam pendidikan? Secara rasionalnya, pelaporan menyeluruh yang holistik adalah yang terbaik  bagi menunjukkan  diri sebenar seseorang murid.  Usaha mendidik di sekolah  bukan hanya mahu melahirkan murid cemerlang akademik tetapi juga cemerlang dalam semua aspek kehidupan, intelek, rohani, emosi, jasmani dan kemahiran bersosial.
  3. Persepsi  mengidolakan peperiksaan pusat ini sebenarnya jauh  tersasar daripada matlamat dan makna pendidikan dan  harus diperbetulkan. Pendidikan bersifat universal, memainkan peranan yang sama di mana-mana sahaja dan kelompok apa jua. Kenapa perlu ada perbandingan sedangkan kita mahu melahirkan insan yang menyeluruh,  terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya. Kita mahu membangunkan setiap orang murid itu ke tahap yang tertinggi yang boleh dicapai berdasarkan keupayaannya.  Ada yang cenderung akademik ada yang cenderung sukan, ada yang cenderung seni, ada yang cenderung  komunikasi dan  juga pelbagai  kecenderungan lagi. Kecenderungan ini yang seharusnya dipupuk hingga ke tahap yang termampu oleh mereka.  Bukan membandingkan yang hebat dengan yang tidak hebat.
  4. Abad-abad mendatang memerlukan manusia yang serba boleh, berani menghadapi cabaran, memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang, inovatif, kreatif, kritis, komunikatif dan memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang luhur.  Kualiti ini tidak akan dapat dilahirkan sekiranya kita terus mengidolakan peperiksaan pusat dan meraikan secara besar-besaran pencapaian  yang didakwa kecemerlangan (A penuh). Seharusnya tidak ada kumpulan elit dalam pendidikan yang selalunya  diberi segala perhatian dan  keistimewaan  dan kumpulan belakang  atau bukan elit yang sentiasa diabai secara sistematik.  Setiap individu adalah unik. Semua murid berhak menerima layanan sama rata kerana setiap orang memiliki keistimewaan tersendiri. 
  5. Murid hebat dan cemerlang ialah murid yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Bukan hanya hebat dalam ilmu dunia dan profesionanya, tetapi juga hebat dalam ilmu akhirat dan kemasyarakatan, peka dengan alam sekitar dan nilai-nilai baik. Kalau menjadi doktor, dia seorang doktor yang hebat, jika dia guru dia seorang  guru yang hebat, jika menjadi peguam, dia menjadi peguam yang hebat, malah jika jika dia menjadi peniaga, nelayan, tukang kebun atau tukang kayu, dia akan menjadi peniaga yang hebat, nelayan yang hebat, tukang kebun yang hebat dan tukang kayu yang hebat. Dia tidak akan menipu dalam menjalankan tugas dan tanggung jawabnya, amanah, tidak bongkak, redho, dan mampu membuat inovasi dalam bidang yang diceburinya. Ini yang ingin kita capai. Ideal? Tanpa idealisma tidak akan ada usaha untuk mencapainya.
Definisi Pentaksiran Pendidikan

Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut.


  1. Apabila mentaksir, perkara yang paling utama ialah kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang akan diperolehi.  Maklumat ini boleh diperolehi melalui eviden yang ditunjukkan oleh murid melalui respons atau jawapan murid (verbal atau tulisan), perlakuan (hormat guru, suka membantu, berlari dengan kaedah yang betul), dan artifak (hasil kerja murid seperti bahan cetak, hasil kraf tangan, seni visual).  Eviden merupakan hasil respons murid daripada tugasan yang diberi melalui instrumen yang digunakan. 
  2. Apakah dia instrumen?  Kita selalunya dikelirukan dengan instrumen peperiksaan pusat, set kertas soalan yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan ditadbirkan kepada murid mengikut peraturan-peraturan tertentu. Sebenarnya ini hanya satu daripada beberapa bentuk instrumen yang boleh kita dapati dalam pentaksiran. Secara khususnya, insrumen pentaksiran merujuk kepada alat (tool) atau perkara yang ditadbirkan kepada murid bagi mendapatkan respons yang akan menjadi eviden bagi perkara yang ditaksir.
  3. Bukan hanya kertas soalan peperiksaan, instrumen pentaksiran juga terdapat dalam bentuk yang pelbagai seperti senarai semak, borang soal selidik, borang temu duga, senarai kuiz, senarai pemerhatian, senarai aktiviti, 'puzzle' , peralatan dan arahan. Satu-satu instrumen boleh terdiri daripada satu item atau beberapa item atau perkara. Bagi instrumen dan item peperiksaan pusat, ia disediakan oleh institusi pusat dengan proses dan prosedur yang amat ketat bagi mempastikan kesahan dan kebolehpercayaan item dan instrumen serta skor yang akan diperolehi, sementara item dan instrumen peperiksaan sekolah disediakan oleh guru. Penyediaan item dan instrumen mempunyai proses dan prosedur yang khusus, justru, guru perlu memiliki serba sedikit ilmu dan kemahiran tentang  item dan instrumen bagi memastikan  pentaksiran dilaksanakan mengikut standard yang betul.  
  4. Instrumen berkait rapat dengan perkara yang hendak ditaksir. Pemilihan instrumen yg betul amat kritikal bagi mempastikan maklumat yang diperolehi tepat. Maklumat yang salah akan membuat pentaksir membuat penghakiman yang salah dan penghakiman yang salah akan  memberi kesan seumur hidup kepada murid. Kerana itu  guru harus memiliki serba sedikit ilmu tentang  pentaksiran. Setiap instrumen unik, dibina bagi tujuan tertentu dan untuk kumpulan tertentu. Tidak ada satu instrumen yang boleh mentaksir kesemua konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid.  Instrumen untuk mentaksir aspek kognitif tidak sama dengan instrumen bagi mentaksir aspek non- kognitif seperti gerakan fizikal, kepantasan, kasih sayang  dan kejujuran. 
  5. Kepada para guru, pengurus pendidikan pada peringkat sekolah, daerah, jabatan atau pusat serta ibu bapa dan juga pelajar yang mengikuti penulisan saya ini diharap sekurang-kurangnya dapat serba sedikit menggarap apa yang ingin saya sampaikan. Kita harus berubah kerana dekad akan datang tidak seperti mana dekad-dekad yang terdahulu. Komunikasi dan transimisi maklumat pada masa akan datang amat pantas. Tanpa mahu berubah kita akan terus ketinggalan dan jurangnya akan semakin melebar semakin lama kita enggan berubah. Saya akan terus menjelaskan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, setakat ini dulu yang dapat saya sampaikan. Maaf kerana entri kali ini agak lewat, hampir 2 minggu dari entri sebelumnya. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.