- Alhamdulillah, kita bertemu lagi pada ruang berkongsi ilmu ini. Pelaksanaan pentaksiran dan PBS menghasilkan gelombang yang menggegarkan sistem pendidikan negara. Puncaknya apabila pelaporan darjah enam diubah daripada UPSR yang hanya berdasarkan keputusan peperiksaan pusat kepada PPSR yang merangkumi pelaporan keseluruhan pencapaian murid, sama ada bidang kognitif dan bukan kognitif, sebagaimana dikonsepsikan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dikemukakan oleh LP. Tiada lagi gred purata. Reaksi hebat diterima dari pelbagai kalangan yang rata-ratanya negatif. . Kebimbangan utama, tiada lagi perbandingan yang dapat dibuat, tiada lagi murid terbaik dan tiada lagi sekolah terbaik. Kepada ibu bapa, mereka mendakwa tidak tahu pencapaian anak mereka kerana pelaporan turut merangkumi pentaksiran bilik darjah, pentaksiran psikometrik, PAJKS dan peperiksaan pusat (UPSR). Yang lebih memberi kesan negatif apabila terdapat bahagian-bahagian yang tertentu dalam KPM seperti JPN dan PPD yang terusan mahu mempertahankan ranking sekolah. Apabila PPD lebih mementingkan ranking untuk menunjukkan kehebatan masing-masing, apakah yang sebenarnya difahami oleh JPN dan PPD tentang FPK dan makna pendidikan?
- Sejujurnya, ini menggambarkan kekeliruan kerana kita sudah terlalu lama berada dalam paradigma peperiksaan pusat. Tiada gred A, B, C, D, E seolah tidak ada pendidikan, tidak ada pembelajaran dan tidak ada kehebatan. Tiada gred A,B,C,D,E seolah tiada murid cemerlang, tiada sekolah cemerlang, tiada sekolah hebat, tiada guru hebat dan tiada Guru Besar/ Pengetua hebat. Apakah ini yang kita perjuangkan dalam pendidikan? Secara rasionalnya, pelaporan menyeluruh yang holistik adalah yang terbaik bagi menunjukkan diri sebenar seseorang murid. Usaha mendidik di sekolah bukan hanya mahu melahirkan murid cemerlang akademik tetapi juga cemerlang dalam semua aspek kehidupan, intelek, rohani, emosi, jasmani dan kemahiran bersosial.
- Persepsi mengidolakan peperiksaan pusat ini sebenarnya jauh tersasar daripada matlamat dan makna pendidikan dan harus diperbetulkan. Pendidikan bersifat universal, memainkan peranan yang sama di mana-mana sahaja dan kelompok apa jua. Kenapa perlu ada perbandingan sedangkan kita mahu melahirkan insan yang menyeluruh, terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya. Kita mahu membangunkan setiap orang murid itu ke tahap yang tertinggi yang boleh dicapai berdasarkan keupayaannya. Ada yang cenderung akademik ada yang cenderung sukan, ada yang cenderung seni, ada yang cenderung komunikasi dan juga pelbagai kecenderungan lagi. Kecenderungan ini yang seharusnya dipupuk hingga ke tahap yang termampu oleh mereka. Bukan membandingkan yang hebat dengan yang tidak hebat.
- Abad-abad mendatang memerlukan manusia yang serba boleh, berani menghadapi cabaran, memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang, inovatif, kreatif, kritis, komunikatif dan memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang luhur. Kualiti ini tidak akan dapat dilahirkan sekiranya kita terus mengidolakan peperiksaan pusat dan meraikan secara besar-besaran pencapaian yang didakwa kecemerlangan (A penuh). Seharusnya tidak ada kumpulan elit dalam pendidikan yang selalunya diberi segala perhatian dan keistimewaan dan kumpulan belakang atau bukan elit yang sentiasa diabai secara sistematik. Setiap individu adalah unik. Semua murid berhak menerima layanan sama rata kerana setiap orang memiliki keistimewaan tersendiri.
- Murid hebat dan cemerlang ialah murid yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Bukan hanya hebat dalam ilmu dunia dan profesionanya, tetapi juga hebat dalam ilmu akhirat dan kemasyarakatan, peka dengan alam sekitar dan nilai-nilai baik. Kalau menjadi doktor, dia seorang doktor yang hebat, jika dia guru dia seorang guru yang hebat, jika menjadi peguam, dia menjadi peguam yang hebat, malah jika jika dia menjadi peniaga, nelayan, tukang kebun atau tukang kayu, dia akan menjadi peniaga yang hebat, nelayan yang hebat, tukang kebun yang hebat dan tukang kayu yang hebat. Dia tidak akan menipu dalam menjalankan tugas dan tanggung jawabnya, amanah, tidak bongkak, redho, dan mampu membuat inovasi dalam bidang yang diceburinya. Ini yang ingin kita capai. Ideal? Tanpa idealisma tidak akan ada usaha untuk mencapainya.
Definisi Pentaksiran Pendidikan
- Apabila mentaksir, perkara yang paling utama ialah kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang akan diperolehi. Maklumat ini boleh diperolehi melalui eviden yang ditunjukkan oleh murid melalui respons atau jawapan murid (verbal atau tulisan), perlakuan (hormat guru, suka membantu, berlari dengan kaedah yang betul), dan artifak (hasil kerja murid seperti bahan cetak, hasil kraf tangan, seni visual). Eviden merupakan hasil respons murid daripada tugasan yang diberi melalui instrumen yang digunakan.
- Apakah dia instrumen? Kita selalunya dikelirukan dengan instrumen peperiksaan pusat, set kertas soalan yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan ditadbirkan kepada murid mengikut peraturan-peraturan tertentu. Sebenarnya ini hanya satu daripada beberapa bentuk instrumen yang boleh kita dapati dalam pentaksiran. Secara khususnya, insrumen pentaksiran merujuk kepada alat (tool) atau perkara yang ditadbirkan kepada murid bagi mendapatkan respons yang akan menjadi eviden bagi perkara yang ditaksir.
- Bukan hanya kertas soalan peperiksaan, instrumen pentaksiran juga terdapat dalam bentuk yang pelbagai seperti senarai semak, borang soal selidik, borang temu duga, senarai kuiz, senarai pemerhatian, senarai aktiviti, 'puzzle' , peralatan dan arahan. Satu-satu instrumen boleh terdiri daripada satu item atau beberapa item atau perkara. Bagi instrumen dan item peperiksaan pusat, ia disediakan oleh institusi pusat dengan proses dan prosedur yang amat ketat bagi mempastikan kesahan dan kebolehpercayaan item dan instrumen serta skor yang akan diperolehi, sementara item dan instrumen peperiksaan sekolah disediakan oleh guru. Penyediaan item dan instrumen mempunyai proses dan prosedur yang khusus, justru, guru perlu memiliki serba sedikit ilmu dan kemahiran tentang item dan instrumen bagi memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut standard yang betul.
- Instrumen berkait rapat dengan perkara yang hendak ditaksir. Pemilihan instrumen yg betul amat kritikal bagi mempastikan maklumat yang diperolehi tepat. Maklumat yang salah akan membuat pentaksir membuat penghakiman yang salah dan penghakiman yang salah akan memberi kesan seumur hidup kepada murid. Kerana itu guru harus memiliki serba sedikit ilmu tentang pentaksiran. Setiap instrumen unik, dibina bagi tujuan tertentu dan untuk kumpulan tertentu. Tidak ada satu instrumen yang boleh mentaksir kesemua konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid. Instrumen untuk mentaksir aspek kognitif tidak sama dengan instrumen bagi mentaksir aspek non- kognitif seperti gerakan fizikal, kepantasan, kasih sayang dan kejujuran.
- Kepada para guru, pengurus pendidikan pada peringkat sekolah, daerah, jabatan atau pusat serta ibu bapa dan juga pelajar yang mengikuti penulisan saya ini diharap sekurang-kurangnya dapat serba sedikit menggarap apa yang ingin saya sampaikan. Kita harus berubah kerana dekad akan datang tidak seperti mana dekad-dekad yang terdahulu. Komunikasi dan transimisi maklumat pada masa akan datang amat pantas. Tanpa mahu berubah kita akan terus ketinggalan dan jurangnya akan semakin melebar semakin lama kita enggan berubah. Saya akan terus menjelaskan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, setakat ini dulu yang dapat saya sampaikan. Maaf kerana entri kali ini agak lewat, hampir 2 minggu dari entri sebelumnya. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.
No comments:
Post a Comment