Saturday, 10 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam siri penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan. Sejak pentaksiran dilaksanakan melalui pelaksanaan SPPK banyak persoalan yang  timbul pada kalangan guru sebagai pelaksana, ibu bapa dan juga kumpulan lain yang berkepentingan tentang transformasi ini. Sebagaimana yang saya tuliskan sebelum ini, kita telah terlalu lama berada dalam zon selesa, dalam kotak yang sama sejak sebelum merdeka lagi. Kerana itu, pembaharuan ini memberi kejutan yang amat besar hinggakan ada yang mewujudkan grup menentang  pelaksanaan PBS dan menghapuskan PBS.  
  2. Sebenarnya bentuk penentangan seperti ini memang lumrah bagi apa sahaja program baharu yang diperkenalkan kerana terdapat banyak faktor yang menggusarkan seperti ketidak tentuan masa depan, keperluan mempelajari ilmu dan kemahiran baharu  dan keselesaan  dengan perkara yang sudah  terbiasa. Keadaan ini ditambah burukkan lagi oleh kelemahan program pra pelaksanaan dan pelaksanaan. Kerana itu setiap program baharu yang hendak dilaksanakan haruslah dirancang dengan teliti dan menyeluruh. Sebaran maklumat yang tepat harus dilakukan melalui pelbagai media dan program khusus serta penyebar maklumat  haruslah memiliki ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk mempastikan maklumat yang tepat sampai kepada sasarannya.  
  3. Dalam pelaksanaan SPPK, apa yang jelas, walaupun program ini telah dirangka dalam tempoh masa yang panjang, penyebaran maklumat  tentang SPPK khususnya kepada pelaksana di sekolah mempunyai banyak kelemahannya. Kerjasama antara bahagian juga tampak amat  longgar apabila keseluruhan tanggung jawab  dipikulkan ke atas bahu LP sementara bahagian-bahagian lain seolah berlepas tangan. Realiti ini nyata apabila terdapat perselisihan pendapat pada kalangan guru sendiri, pentadbir, pegawai PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian KPM. Setiap pegawai yang melawat sekolah mempunyai versi mereka sendiri, dan yang lebih mengelirukan ada pegawai naziran dan jabatan yang datang mahukan sekolah meningkatkan prestasi dalam peperiksaan semata-mata, menunjukkan wujudnya kekeliruan pada kalangan mereka ini tentang pentaksiran pendidikan. Konsep PPSR dan PT3 masih tidak dihadam sepenuhnya. 
  4. Institusi utama yang melatih bakal guru, IPGM, juga seolah tidak mengambil tahu tentang perkembangan baru ini dan masih menawarkan kursus pengukuran dan penilaian dan teori-teori pengukuran lama dalam latihan keguruan sedangkan seharusnya topik Pentaksiran Pendidikan menjadi 'core' dalam latihan  keguruan.  IPGM membekalkan guru-guru muda ke dalam sistem persekolahan dan amat malang apabila guru-guru muda ini memasuki sistem pendidikan negara tanpa ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan yang dilaksanakan di sekolah. Begitu juga dengan IPT lain yang menawarkan program pendidikan tetapi masih berada dalam zaman pengukuran dan penilaian dengan teori-teori pengukuran lama yang sebahagiannya tidak relevan lagi dengan pembangunan dan perkembangan pentaksiran pendidikan semasa.
  5. SPPK merupakan program utama dalam usaha mentranformasikan sistem pendidikan negara. Tanpa perubahan dalam sistem pentaksiran negara, sistem pendidikan tak akan berubah.  SPPK merupakan gelombang  perubahan  ini yang  memerlukan penglibatan keseluruhan bahagian KPM dan warga pendidik.  Kejayaan  usaha mentransformasi sistem pendidikan  negara bergantung kepada kejayaan mentransformasi sistem pentaksiran negara.
  6. Penulisan ini bukan untuk memberi jawapan kepada semua permasalahan yang timbul sebaliknya ingin memberi kefahaman kepada semua pihak yang terlibat agar memberikan komitmen masing-masing menjayakan perubahan ini. Pentaksiran sepatutnya tidak membebankan guru, tidak timbul soal mengejar kurikulum, dan tidak mewujudkan stress peperiksaan pusat pada kalangan murid. Pentaksiran memberi ruang kepada guru untuk berkarya, inovatif  dan kreatif, memberi ruang kepada anak-anak belajar dengan relaks , seronok dan gembira. Pentaksiran bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat tetapi mempastikan pendidikan mencapai matlamatnya, melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dan boleh menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Bagaimana mentaksir?
  1. Ini merupakan soalan cepu mas. Setiap guru ingin mendapatkan jawapannya  kerana merekalah  yang bertanggung jawab melaksanakan pentaksiran  pada peringkat sekolah.  Dan ini merupakan antara masalah utama yang dihadapi oleh guru apabila tidak mendapat maklumat yang jelas dan mantap daripada pihak yang bertanggung jawab memberikan pendedahan tentang konsep ini.
  2. Perkara utama yang perlu difahami, pentaksiran bukan peperiksaan tetapi peperiksaan merupakan sebahagian daripada pentaksiran.  Ini bermakna selain daripada peperiksaan terdapat beberapa kaedah lain bagi mendapatkan maklumat tentang murid dalam pentaksiran. Peperiksaan hanya memberikan maklumat tentang keupayaan kognitif murid sedangkan pentaksiran memberikan maklumat tentang keseluruhan diri murid, kognitif dan bukan kognitif.  Terdapat kekeliruan apabila istilah peperiksaan  digunakan, namun kita harus faham bahawa dalam sistem pendidikan negara kita pada masa ini kita mempunyai dua laras peperiksaan iaitu peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah.  Kedua-dua peperiksaan ini berbeza daripada segi matlamat dan  pengurusannya. 
  3. Merujuk kepada definisi pentaksiran"...menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu..." bagi mendapatkan maklumat tentang murid, ini menunjukkan fleksibiliti pentaksiran berbanding peperiksaan.  Pemahaman yang tepat  dan mendalam harus digarap oleh guru tentang kedua-dua konsep ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam pelaksanaan. Kesilapan pelaksanaan akan membawa kesan buruk bukan hanya kepada murid tetapi juga kepada kredebiliti dan integriti  sistem pendidikan negara. 
  4. Apakah yang dimaksudkan dengan peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan apakah kaedah tertentu dan instrumen tertentu dalam definisi ini?  InsyaAllah akan saya jelaskan nanti pada penulisan yang akan datang. 
  5. Sehingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru dan juga peminat yang melayari blog saya ini. Terima kasih.

Dr. Hazim.

No comments:

Post a Comment