- Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk kita bertemu lagi pada masa dan ruang ini. Apa yang baik, semuanya dari Allah dan jadikanlah panduan dan yang tidak baik, semuanya dari kelemahan saya sendiri, jadikanlah sempadan.
- Menelusuri apa yang telah saya tuliskan selama ini, apa yang saya bentangkan adalah berpandukan sekadar ilmu yang ada pada diri ini dari pembelajaran dalam bidang ini dan juga daripada pengalaman dan ilmu yang ditimba sepanjang perkhidmatan yang sebahagian besarnya dalam bidang ini. Saya merasa bertuah kerana sepanjang perkhidmatan, saya mendapat banyak ilmu dan kemahiran daripada tokoh-tokoh yang berpengalaman dalam bidang ini seperti arwah Tn. Hj Ali Ithnin, En Azamuddin Mafizullah, En. Omar Man, Hjh. Mazni Mat Salleh, Pn Marlin Karim dan Pn Khamsiah Sabtu serta rakan seperjuangan seperti Dr. Khodori Ahmad dan Dr. Jamil Adimin. Begitu juga saya berpeluang berkhidmat dengan beberapa orang pengarah yang amat memahami dan menghayati bidang ini terutamanya arwah Dato Yaacob Idris dan Datu Adi Badiozaman Tuah. Tokoh-tokoh inilah yang memberikan seluas-luas ruang buat pegawai LP menimba ilmu di merata dunia dan membangunkan sistem pentaksiran negara hari ini.
- Berdasarkan semangat daripada tokoh-tokoh inilah yang memberikan semangat untuk saya mengusahakan penulisan ini, sekurang-kurangnya dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan guru semua dan menambah ilmu dalam bidang pendidikan di negara kita.
- Penulisan konsep SPPK yang saya huraikan di sini adalah berdasarkan konsep asal yang dibangunkan oleh LP hasil daripada beberapa persidangan nasional dan antarabangsa yang dikendalikan oleh LP, pertemuan dengan wakil semua golongan yang terlibat dengan pendidikan seperti pengetua, guru besar, guru-guru, PIBG, murid, NGO, pensyarah dan tokoh pendidikan tempatan dan luar negara, serta hasil lawatan sambil belajar serta kursus yang disertai oleh pegawai LP dalam dan luar negara. Mungkin juga ada para rakan guru di sini yang pernah terlibat dalam proses pembangunan konsep ini, dan sumbangan mereka amat dihargai. Mungkin terdapat perbezaan daripada konsep asal dan pelaksanaan, namun perbezaan itu tidaklah begitu signifikan dan tidak menjejas roh asal SPPK.
Nilai
- Meneruskan lagi penulisan saya tentang apa yang ditaksir, nilai merupakan konstruk terakhir yang akan saya bicarakan. Konstruk nilai merangkumi nilai-nilai baik atau murni dalam kehidupan manusia, tanpa mengira ras atau suku kaum, pegangan agama atau lokaliti. Nilai baik bersifat universal, merangkumi keseluruhan kehidupan untuk menjadikan keluarga, masyarakat, negara dan juga dunia tempat yang lebih baik untuk dihuni.
- Kita menerima nilai-nilai baik yang universal, iaitu yang boleh diterima dalam semua agama, ras, suku kaum atau lokaliti. Bagi yang kurang sesuai, kita menerima itu sebagai realiti perbezaan yang lumrah pada kalangan kumpulan manusia yang berbeza ras dan etnik , pegangan agama dan kepercayaan serta lokaliti. Kita akur dengan perbezaan ini. Nilai baik yang kita terima bersama merangkumi bentuk hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam sekitar dan sesama manusia.
- Nilai baik bukan setakat mengetahui (pengetahuan) dan memahami (kefahaman), tetapi ia juga meliputi amalan dan penghayatan (internalisasi). Nilai tidak boleh ditaksir seperti mentaksir aspek kognitif murid yang menggunakan kertas dan pensil, kerana kebolehpercayaan skor amat rendah. Seorang murid yang memperoleh A dalam kertas Pendidikan Moral umpamanya, belum tentu memiliki moral yang juga A kerana skor yang diperolehi hanya berdasarkan jawapan yang diberi dalam instrumen pentaksiran. Item dalam instrumen pentaksiran tidak mempunyai korelasi yang tinggi dengan amalan. Penjenayah pun akan berkata melakukan jenayah itu tidak baik apabila disoal. Bagaimana untuk mentaksir nilai-nilai baik ini akan saya sentuh apabila membicarakan tentang cara-cara mentaksir nanti, insyaAllah.
- Dalam sistem pendidikan negara, nilai-nilai murni seharusnya diterapkan melalui semua mata pelajaran dan aktiviti yang dijalankan di sekolah. Selain daripada itu, pengukuhan nilai-nilai murni juga direalisasikan melalui mata pelajaran pendidikan Islam bagi murid Islam dan mata pelajaran Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam. Namun kekangan masa dan keterujaan pihak sekolah dan ibu bapa terhadap peperiksaan pusat membuatkan pembinaan nilai-nilai murni dalam diri pelajar menjadi bukan prioriti. Nilai-nilai murni ini hanya merupakan perkara yang diajar dalam bilik darjah, tidak lebih daripada itu.
- Nilai murni adalah perkara yang seharusnya ditanam dalam diri murid oleh semua yang terlibat dalam pendidikan, sama ada guru kelas, guru mata pelajaran, guru sukan, guru muzik, guru kokurikulum, pentadbir dan juga ibu bapa dan penjaga serta massa sepanjang masa. Nilai murni harus bermula dari rumah, di mana murid ditanamkan sifat-sifat baik ini terhadap keluarga sendiri, kaum kerabat, masyarakat, terhadap alam sekitar, terhadap makhluk lain dan terhadap Tuhan. Sekolah harus memperkasakan pemerolehan nilai-nilai murni ini pada kalangan murid dan berusaha ke arah pencapaian tertinggi nilai-nilai murni ini. Kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara bergantung kepada kejayaan semua pihak menerapkan nilai-nilai murni ini ke dalam diri murid yang akhirnya nanti akan menjadi anggota masyarakat yang berperanan.
- Pentaksiran berperanan melihat sejauh mana setiap murid memiliki nilai-nilai murni ini, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan harian tanpa pengawasan mana-mana pihak. Kerana itu pentaksiran harus berlaku sepanjang masa, membetulkan kesalahan yang dilakukan, menanamkan nilai-nilai baru dan memperkukuhkannya. Pendidik tidak harus menunggu waktu kelas untuk memupuk nilai. Penerapan nilai-nilai murni ini bermula di persekitaran sekolah seperti membuang sampah ditempat yang dikhaskan, menghormati guru, rakan, pentadbir dan pelawat, menjaga keharmonian perhubugan sesama rakan, menjaga kecantikan sekolah, memelihara tanaman dan bunga-bungaan, beratur semasa membeli di kantin atau naik bas sekolah dan membantu secara sukarela, samada kepada guru atau dalam aktiviti yang lain.
- Banyak senario yang sering kita lihat menunjukkan kurangnya nilai-nilai murni ini dalam diri murid dan juga masyarakat kita. Sewaktu mengekori sebuah bas sekolah selepas tamat waktu persekolahan, lumrahnya murid-murid dalam bas tidak duduk diam dikerusinya tetapi bermain dan berlari dalam bas. Sepanjang perjalanan, pembungkus makanan, tin minuman, dan kertas tisu di campak keluar dari bas. Bermain di fikiran, kenapa ini terjadi, gagalkah kita mendidik anak-anak kita itu dari aspek disiplin, keselamatan dan kebersihan alam sekitar? Pada senario yang lain, dalam satu perjalanan jauh, kita melihat kereta di hadapan kita membuang kulit rambutan, langsat dan manggis di sepanjang perjalanan. Di tambah lagi dengan pembuangan kertas tisu, puntong rokok, kotak dan tin minuman dan kertas pembalut. Jika sebuah kereta membuang kulit 2 kilo rambutan, 2 kilo langsat dan 2 kilo manggis, bayangkan amaun kulit rambutan, langsat dan manggis yang berada di atas jalan raya sekiranya 100 buah kereta melakukan perkara yang sama. Di mana silapnya sistem pendidikan kita hingga melahirkan masyarakat sebegini. Kita perlukan transformasi pendidikan.
- Ini merupakan contoh kecil sedangkan di luar sana kerosakan moral dalam masyarakat dan kemusnahan bumi sudah mencapai skala mega yang amat membimbangkan. Nilai-nilai kemanusiaan sudah musnah. Kita tidak harus menuju ke arah yang sama. Masih tedapat banyak negara yang dapat mengimbangi nilai-nilai kemanusiaan dan pengekalan alam sekitar.
- Justru, kita harus keluar daripada paradigma lama tentang pendidikan di negara kita ini. Pendidikan bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat. Peperiksaan pusat sebenarnya menyekat inovasi dan kreativiti guru. Peperiksaan pusat menidakkan pendidikan yang sebenar. Tanpa peperiksaan pusat kita melihat banyak negara masih mampu bergerak maju ke hadapan. Kerana itu kita harus mengembalikan pendidikan ke sekolah. Terlalu lama kita telah mengabaikan aspek kemahiran dan nilai dalam pembangunan diri murid. Untuk abad ke 21, banyak negara sudah menghalakan matlamat pendidikan mereka ke arah pembangunan kemahiran insaniah, membangunkan diri murid supaya berani, mampu bersaing, mampu merekacipta, memiliki sahsiah yang murni, memiliki ilmu yang sewajarnya dan peka dengan alam sekitarnya. Kemahiran abad ke 21 tidak lagi boleh bergantung kepada peperiksaan pusat.
- Setakat ini catatan saya buat kali ini tentang nilai. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru.
Dr. Hazim.
No comments:
Post a Comment