- Bertemu lagi kita pada penulisan kali ini. Mengimbas kembali, melalui penulisan di ruang ini, saya telah menyentuh banyak konsep yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan. Namun banyak lagi aspek-aspek pentaksiran pendidikan yang perlu dikaji dan difahami. Pentaksiran pendidikan merupakan bidang yang amat luas dan banyak kemungkinan, membuka banyak ruang untuk para guru dan juga pengkaji untuk meneroka dengan lebih mendalam lagi bidang ini.
- Dalam proses transformasi pendidikan negara masa kini, pentaksiran pendidikan seharusnya menjadi fokus utama dalam pengajian di institusi pengajian tinggi yang membekalkan guru ke dalam sistem pendidikan kita. Guru muda yang akan memasuki realiti alam persekolahan seharusnya terbekal dengan ilmu dan kemahiran pentaksiran pendidikan kerana inilah yang akan mereka hadapi apabila memasuki realiti persekolahan masa kini. Pelaksanaan SPPK memerlukan pengupayaan pada kalangan para pendidik untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya. Saya juga sudah banyak menyentuh perkara ini dalam penulisan terdahulu.
- Kita kini sudah mula beralih daripada pengukuran pendidikan kepada pentaksiran pendidikan. Jika pengukuran pendidikan cuba menstatistikkan data mental murid, konstruk abstrak yang tidak mudah untuk difahami, pentaksiran pendidikan cuba menghuraikan realiti murid, tentang keupayaannya, tentang apa yang boleh dibuat dan tentang potensi yang mereka ada dalam ruang yang boleh difahami oleh semua.
- Apabila peperiksaan pusat diadakan pada penghujung satu-satu pembelajaran, akhir tahun enam dan akhir tingkatan lima, maklumat yang diperolehi tidak bermanafaat lagi kepada murid. Tiada apa-apa tindakan yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan pembelajaran murid. Semua sudah berlalu. Yang ada hanya sekeping kertas dengan skor dan gred tunggal yang diperolehi tanpa makna yang akan dibawa sepanjang hayat murid. Skor yang dibawa hanya merupakan andaian tentang keupayaan pembelajaran murid dan akan membawa murid kepada pilihan-pilihan yang ada kalanya tidak menepati potensi dan kecenderungan sebenar murid. Harapan yang terlalu tinggi sama ada oleh ibu bapa/ penjaga dan juga murid sendiri untuk gred cemerlang dalam peperiksaan pusat ada kalanya membawa tekananan yang keterlaluan terhadap murid hingga berlakunya kesan negatif seperti bunuh diri, kemurungan, masalah psikatri dan mental. Tidak kurang, tekanan ini juga boleh membawa kepada masalah disiplin seperti ponteng, vandalisma, buli dan khianat, terutama pada kalangan murid yang berkeupayaan sederhana dan lemah.
- Dengan pentaksiran, maklumat tentang murid diperolehi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran, bermula dari hari pertama guru berinteraksi dengan murid hingga ke hari akhir interaksi berlaku. Setiap maklumat berguna untuk pembelajaran murid. Guru sentiasa berpeluang mengambil tindakan segera hasil maklumat yang diperolehi untuk kepentingan murid. Guru boleh mengenal pasti masalah pembelajaran murid atau pendekatan pengajarnya. Guru boleh berkarya dan melakukan inovasi serta kreatif dalam pengajaran untuk menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan. Kembalikan keriangan dan keseronokan kepada murid yang masih muda. Tiada tekanan terhadap peperiksaan. Melalui interaksi guru dengan murid, selain daripada mengajar dan mendidik, guru juga berbual, bermain bersama, berjenaka, bernyanyi, berlakon dan sebagainya, dan dalam masa yang sama guru memerhati, menyoal, mendengar, menyelidik dan memahami. Inilah pentaksiran. Fahami murid, fahami kelebihan dan kekurangnnya, fahami potensinya, fahami emosinya, fahami rohaninya...dan itulah yang dilaporkan. Tiada gred tunggal. Jika pun mahu menggunakan format bergred, setiap gred mesti disertakan dengan makna atau maksud gred tersebut.
- Seorang murid memperoleh A+ dalam mata pelajaran Geografi dalam peperiksaan pusat. Apakah maknanya A+ itu? Adakah murid itu seorang yang hebat dalam geografi dan memiliki pengetahuan yang sempurna tentang geografi? Atau apa?
- Skor tersebut sebenarnya diperolehi daripada satu instrumen pentaksiran yang ditadbirkan ke atas murid tersebut dalam satu jangka masa yang telah ditetapkan dengan peraturan-peraturan yang ketat. Instrumen itu pula mungkin mengandungi 70 atau 75 item objektif aneka pilihan untuk mewakili semesta ilmu geografi yang begitu luas. Mungkin?? Pakar-pakar peperiksaan sejak dahulu mendakwa item yang dipilih merupakan pensampelan secara adil bidang-bidang dalam semesta geografi dengan sokongan bukti-bukti empirikal daripada data praujian yang membuatkan skor itu boleh dijadikan inferen. Namun realitinya banyak faktor lain yang mempengaruhi skor ini terutama kepakaran pembina item dan pembina instrumen, ketepatan pelaksanaan praujian dan pengendalian peperiksaan dan juga faktor dalaman diri murid. Dengan 70 atau 75 item amat sukar untuk menggambarkan keupayaan sebenar murid dalam semesta ilmu mata pelajaran ini. A+ tersebut sebenarnya cuma menggambarkan keupayaan murid menjawab 70 atau 75 item dalam satu instrumen pentaksiran, bukan menggambarkan keupayaannya dalam menguasai semesta ilmu geografi.
- Dalam usaha yang baru bermula ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara, dari sistem peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan, terdapat pula kecenderungan pada kalangan sebahagian pengurus pendidikan yang amat berminat untuk membandingkan sistem pendidikan negara dengan negara lain melalui peperiksaan antarabangsa. Seolah terdapat aliran yang bertentangan dalam usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara. PISA dan TIMMS pula diangkat sebagai penanda aras mutu pendidikan negara dan ini seolah membuat pusingan U mengembalikan semula keghairahan peperiksaan dalam dunia pendidikan negara.
- Secara pribadi, ini merupakan tindakan yang tidak tepat dan kurang bijak kerana standard pendidikan negara bukan ditentukan oleh skor peperiksaan ini tetapi daripada kualiti manusia yang kita lahirkan mengikut aspirasi dan acuan kita sendiri. Pendidikan bukan pertandingan. Setiap negara mempunyai falsafah dan matlamat pendidikannya sendiri. Setiap negara juga mempunyai kurikulum sendiri yang berbeza antara satu sama lain. Begitu juga dengan penekanan dan pendekatan pengajaran.
- Walau pun didakwa sebagai peperiksaan yang adil, menguji aspek yang universal, hakikatnya skor peperiksaan ini boleh dimanipulasi. Untuk memperoleh skor tinggi, ambil saja sekumpulan murid, kumpul dan latih bagaimana hendak menjawab soalan dalam format yang ditetapkan, latih tubi, drilled, pasti skor akan meningkat. Tapi jujurkah tindakan ini? Dan apakah faedah yang kita perolehi? Mungkin berbangga dengan kedudukan tinggi berbanding negara lain, so what?? Persoalan yang saya biarkan tanpa jawapan.
- Semoga apa yang hendak saya terangkan dapat difahami. Kenapa kita harus bergerak daripada dunia peperiksaan pusat kepada dunia pentaksiran pendidikan. Peperiksaan pusat terhenti setakat skor tunggal tetapi pentaksiran pendidikan memberikan lebih daripada itu, memaknakan setiap skor yang diberi. Bagaimana skor ini dimaknakan akan saya huraikan pada penulisan akan datang di mana antara bentuk pelaporan yang dilaksanakan di banyak negara ialah pendekatan menggunakan band.
- Pelaporan bentuk band ini disarankan kerana ia merupakan bentuk pelaporan yang paling mudah untuk difahami dan sesuai dengan intipati sukatan pelajaran yang digunakan di negara ini. InsyaAllah saya akan cuba untuk menghuraikannya nanti. Hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.
No comments:
Post a Comment