Selamat bertemu kembali.
- Pada penulisan yang lepas, saya telah cuba menghuraikan tentang apa yang dimaksudkan tentang pentaksiran pendidikan, dari segi definisinya. Di sini saya akan cuba meneruskan huraian tentang kenapa kita harus berpindah dari sistem peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan negara. Pentaksiran dan peperiksaan pusat merupakan dua sistem yang berbeza dari segi konsep, matlamat dan kaedah pengendaliannya. Perubahan ini akan membawa kepada trasnformasi sistem pendidikan negara kerana sistem pendidikan negara tidak akan berubah tanpa transformasi dalam sistem pentaksiran pendidikan.
- Peperiksaan pusat telah wujud dalam sistem pendidikan negara sejak sebelum merdeka lagi kerana sistem pendidikan negara diwarnakan daripada legasi sistem pendidikan British menerusi University of Cambridge Local Examination Syndicate (UCLES). Sewaktu merdeka, negara masih berpaksikan sistem pendidikan British di mana calon peperiksaan harus menduduki peperiksaan Overseas Senior Cambridge (OSC) bagi mendapatkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. Walau pun selepas merdeka, sistem peperiksaan pusat terus mendominasi sistem pendidikan negara dengan pelbagai jenis dan bentuk peperiksaan yang diperkenalkan.
- Perkembangan ilmu dan teknologi dunia hari ini memberi tekanan kepada sistem pendidikan di seluruh dunia untuk terus relevan dan berjalan seiring dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat. Kegagalan akan menjurus ke arah kemunduran dan akan mudah dimanipulasi oleh golongan yang berjaya. Pendidikan dalam bentuk yang lama, berdasarkan kandungan kurikulum yang terhad dipisahkan-pisahkan melalui mata pelajaran yang terasing antara satu sama lain dan sistem peperiksaan pusat yang amat rigid bagi menunjukkan kejayaan pendidikan sudah tidak relevan lagi. Ilmu baru berkembang pesat, kemahiran baru muncul, semangat dan daya juang murid perlu diasah bagi menghadapi dekad-dekad mendatang yang amat kompleks dan mencabar ini. Keperluan dekad-dekad mendatang dalam alaf baru tidak sama dengan dekat-dekad terdahulu. Amat asing. Kita bukan hanya perlu ilmu dalam bidang tertentu yang tradisi tetapi juga dalam bidang ilmu baru yang sentiasa muncul dengan amat cepat sekali. Banyak ilmu dan kemahiran dulu sudah jumud. Kita harus membina dalam diri anak-anak kita kemahiran insaniah, bidang ilmu yang selama ini diketepikan demi peperiksaan pusat. Kita perlu mengupayakan murid menghadapi kehidupan dan cabaran masa akan datang. Dunia akan datang memerlukan manusia yang berani, kreatif, kritis, berfikiran kritikal, sanggup mencuba, berupaya menghasilkan sesuatu yang baru, serta memiliki nilai-nilai positif dan mulia.
- Kenapa sistem peperiksaan pusat sudah tidak berfungsi dalam sistem pendidikan masa kini? Sebenarnya, seperti mana hujahan para pengkritik sistem peperiksaan pusat, sistem ini tidak memaknakan pendidikan. Sistem peperiksaan pusat banyak kekurangannya dalam membentuk dan membina diri seorang insan. Apakah kekurangan peperiksaan pusat yang sering diutarakan? Saya akan cuba memberikan penjelasan sebaik mungkin dalam keterbatasan ruang di sini.
- Peperiksaan pusat bersifat retrospektif, iaitu mentaksir perkara yang telah dialami atau dilalui oleh murid. Ia diadakan pada penghujung satu-satu tempoh pembelajaran menyebabkan segala maklumat yang diperolehi tidak berguna lagi untuk membaiki sebarang kelemahan dalam pembelajaran murid. Ini bukan pendidikan.
- Selain daripada itu, peperiksaan pusat hanya menumpu terhadap aspek kognitif murid sedangkan konsep pendidikan sebenarnya meliputi keseluruhan aspek pembentukan insan, bukan aspek kognitif semata-mata. Pengejaran A penuh dalam setiap peperiksaan mematikan sebarang inovasi kurikulum, mematikan kreativiti guru untuk berkarya dalam kelas, dan mematikan keseronokan murid untuk belajar. Peperiksaan pusat bukan pendidikan.
- Secara umumnya, peperiksaan pusat hanya mentaksir aras pengetahuan, kefahamana dan pemikiran aras rendah, dan terlalu sedikit mentaksir aras pemikiran yang lebih tinggi. Item peperiksaan pusat dengan pendekatan kertas dan pensil tidak mampu mentaksir keupayaan murid pada atas tinggi. Keadaan ini mempengaruhi PdP guru. Pendidikan gagal kerana guru hanya menumpu kepada bidang ilmu dan kemahiran yang terhad, tidak holistik.
- Peperiksaan pusat menggalakkan guru meninggalkan kurikulum dan menumpukan pengajaran hanya kepada topik-topik yang dijangka keluar dalam peperiksaan. Malah masa pengajaran mata pelajaran bukan peperiksaan sering diambil, terutama apabila peperiksaan semakin hampir, untuk latih tubi murid. Murid dijadikan sebagai robot, diajar bagaimana menjawab soalan peperiksaan, dan diarahkan untuk mengingat fakta dan kaedah menjawab. Lebih teruk, ada kalangan guru yang mengarahkan murid menghafal jawapan objektif walaupun soalan peperiksaan tidak diketahui. Murid dimomokkan dengan kepentingan peperiksaan untuk kegemilangan hidup masa depan.Ini bukan pendidikan.
- Peperiksaan pusat juga menyebabkan tumbuhnya pusat tuisyen di merata tempat, dengan caj tinggi terutama di kawasan bandar hanya untuk mendapat A penuh dalam peperiksaan. Ibu bapa diperdaya dengan jaminan para pengajar yang terlibat dengan pembinaan item dan kertas soalan peringkat pusat. Buku-buku rujukan bawah standard pula membanjiri pasaran dengan fakta yang kadang kala boleh dipersoalkan dan mengelirukan. Yang menjadi mangsa ialah ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk biaya tuisyen. Ini bukan pendidikan., semata-mata komersil.
- Paling menyedihkan, ada sebilangan guru yang mengetepikan integriti profesionalisma dan nilai diri dengan mendapatkan soalan bocor daripada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab semata-mata untuk memperoleh keputusan cemerlang murid dan sekolah. Walau pun selalunya dakwaan soalan bocor ini palsu, jika benar, apakah maknanya keputusan cemerlang palsu murid yang diperolehi secara tidak sah sedangkan keupayaan sebenar murid tidak pada tahap itu. Begitu juga terdapat sebilangan guru yang menghalang murid lemah daripada menduduki peperiksaan pusat semata-mata untuk menjaga gred purata sekolah. Kenapa guru yang menganggap diri profesional dalam karier yang dianggap mulia, yang sepatutnya menjadi model bagi sifat-sifat baik sanggup menggadai maruah hanya untuk kecemerlangan yang palsu. Ini meruntuhkan dan mencemarkan pendidikan.
- Sebenarnya banyak lagi isu yang dikaitkan dengan peperiksaan pusat yang ingin saya huraikan. tetapi kerana keterbatasan masa dan ruang, saya turunkan yang ini dahulu. InsyaAllah, pada penulisan akan datang saya akan cuba menyambung huraian tentang isu peperiksaan pusat ini.
- Terima kasih atas kesudian rakan semua melayari dan membaca tulisan saya. Hasrat saya kita semua memperoleh gambaran yang betul dan tepat tentang pentaksiran pendidikan dan transformasi pendidikan yang sedang diusahakan. Hingga bertemu lagi pada penulisan yang akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim