Sunday, 28 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: APA YANG DITAKSIR

Assalamualikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk bertemu lagi. Semoga ada  yang dapat dimanafaatkan daripada apa yang saya sampaikan selama ini, insyaAllah.
  2. Tujuan saya menulis hanya untuk berkongsi ilmu tentang apa yang berlaku dalam sistem pendidikan negara pada masa ini. Kita perlu memahami perkembangan terbaru dalam sistem pentaksiran ini supaya tidak keliru dengan apa yang dilaksanakan oleh pihak berwajib dan menimbulkan penentangan yang tidak sewajarnya. 
  3. Penulisan ini bukan hanya ditujukan kepada para guru yang melaksanakan pentaksiran di sekolah, tetapi juga pihak pengurusan pendidikan di peringkat sekolah, PPD, JPN, bahagian-bahagian dalam kementerian, ibu bapa, PIBG, NGO dan massa. Selain daripada itu, penulisan ini juga ditujukan kepada pensyarah dan pelajar IPT, terutama IPT yang akan melahirkan graduan pendidikan.   Pemahaman tentang konsep pentaksiran ini amat penting, sebagaimana yang saya tuliskan pada penulisan yang lepas, untuk memastikan pendidikan mencapai matlamatnya. Para rakan yang melayari blog saya juga dialu-alukan  untuk berkongsi maklumat ini dengan ahli grup masing-masing bagi memastikan maklumat ini tersebar luas untuk kebaikan bersama.
  4.  Pelaksanaan pentaksiran pendidikan  yang sedang dilaksanakan kini merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan yang dihasratkan kerajaan. Mungkin terdapat pandangan saya yang agak kritikal atau juga yang bertentangan dengan kefahaman dan inspirasi rakan semua, namun sebagai penulisan berbentuk akademik, perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang positif  dan mengkayakan lagi bidang  ilmu dan pemahaman kita. 
Apa yang di taksir

  1. Ini perkara asas yang mesti difahami agar kita tidak tersasar daripada matlamat sebenar. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, FPK diterjemahkan ke dalam kurikulum kebangsaan dan  program lain di sekolah yang terangkum dalam tiga konstruk utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Pendekatan pentaksiran akan  mentaksir ketiga-tiga konstruk ini bagi mendapatkan maklumat yang menyeluruh tentang seseorang murid, tidak sepertimana peperiksaan pusat yang hanya menguji konstruk  pengetahuan. Dan  ketiga-tiga konstruk ini akan dilaporkan dalam pelaporan akhir, tidak hanya pelaporan tentang konstruk pengetahuan atau aspek kognitif  murid sahaja.
  2. Pengetahuan merangkumi segala fakta yang terdapat dalam satu-satu bidang ilmu seperti pengetahuan tentang geografi Malaysia, pengetahuan tentang Kerajaan Melayu Melaka, pengetahuan tentang ibadah, pengetahuan tentang iklim dunia, pengetahuan tentang algebra dan  pengetahuan tentang sistem reproduksi manusia. Dalam proses pengajaran, konstuk pengetahuan digabungkan dengan konstruk kefahaman bagi  menjadikan satu-satu pembelajaran itu berkesan dan berfungsi. Tidak hanya tahu tetapi harus juga faham apa yang diajar.  Tahu sahaja tanpa faham memberi gambaran tahap intelektualiti  rendah seseorang murid itu.
  3. Bagi item pentaksiran,  kontruk pengetahuan selalunya digabungkan dengan kefahaman supaya apa yang ditaksir lebih bermakna. Item yang hanya mentaksir pengetahuan hanya memerlukan ingatan, tidak lebih daripada itu.  Ini merupakan tahap terendah dalam Taksonomi Bloom.  Terlalu asas. Pemerolehan konstruk pengetahuan dan kefahaman pada murid amat penting untuk membolehkan pembelajaran yang lebih tinggi dapat dilakukan. Konstruk pengetahuan ini pula mempunyai pecahan-pecahan yang lebih terperinci seperti pengetahuan tentang fakta dan perkara khusus, pengetahuan tentang istilah dan pengetahuan tentang teori dan konsep.  
  4. Kemahiran merujuk kepada keupayaan yang dimiliki oleh seseorang murid hasil daripada pembelajaran yang sistematik bagi membolehkannya menyelesaikan satu-satu aktiviti, masalah  atau pekerjaan. Seseorang yang memiliki kemahiran tertentu pastinya sudah memiliki pengetahuan dan kefahaman yang kukuh dalam bidang yang berkaitan. Ada kemahiran yang bersifat khusus dalam satu-satu mata pelajaran seperti kemahiran membaca peta (geografi), kemahiran membuat eksperimen (sains) dan kemahiran menjahit (ERT), sementara ada juga kemahiran yang merentasi mata pelajaran atau bidang seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran membuat penyelidikan, kemahiran menganalisis dan kemahiran membuat laporan. 
  5. Bagi aspek bukan akademik seperti  aktiviti sukan, seni persembahan dan sosial, kemahiran khusus diperlukan bagi konstruk-konstruk  ini. Selain daripada pembelajaran yang sistematik, tentang asas aktiviti ini, latihan berterusan perlu bagi meningkatkan ketepatan dan ketelitian kemahiran-kemahiran ini.  Terdapat kekeliruan pada kalangan pelaksana apabila hanya sukan dan pencapaian dalam sukan dikaitkan dengan pembangunan jasmani murid. Perlu difahami sukan hanya satu daripada aspek pembangunan jasmani murid. Pembangunan jasmani meliputi juga antaranya pergerakan motor kecil dan besar, kesihatan dan pemakanan. PAJSK adalah pentaksiran khusus untuk aspek ini.  Sekiranya ada murid yang mengalami masalah dalam pergerakan motor mereka seperti tidak dapat memegang pensil dengan betul,  atau pertumbuhan jasmani yang tidak normal, tanggung jawab guru mengenal pasti masalah murid untuk dirujuk kepada pihak yang lebih arif.  Pentaksiran membolehkan intervensi awal dilakukan bagi membantu murid yang bermasalah. Itulah antara matlamat pentaksiran. Ketiadaan padang dan juga juru latih khas  sering dibangkitkan oleh sesetengah pelaksana, tetapi itu bukan syarat untuk menerapkan kemahiran jasmani ini. Di sini ternyata terdapat kesilapan  yang besar pada kalangan pegawai yang menatar dan memantau kerana gagal memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada pelaksana di sekolah. Pemantau juga sering keliru dengan perkembangan pentaksiran dalam pendidikan semasa apabila hanya menekankan pencapaian akademik  apabila melawat sekolah yang membuatkan guru dan pentadbir sekolah merasa  tertekan dan keliru. Di sini perlunya pengetua atau guru besar  memahami dengan mendalam konsep pentaksiran bagi  membantu guru melaksanakan pentaksiran dan mengemudikan sekolah ke arah yang dihasratkan. Maknakan pendidikan.
  6. Kemahiran juga mempunyai pecahan-pecahannya sama ada yang berkaitan dengan bidang akademik atau bukan akademik. Dalam geografi umpamanya, ada kemahiran membaca peta, kemahiran melakar peta, kemahiran membaca tunjuk arah dan kemahiran membuat ekstrapolasi. Dalam gerakan jasmani pula sebagai contoh ada kemahiran motor asas, kemahiran motor kecil, kemahiran motor besar, kemahiran melompat, kemahiran berlari dan kemahiran bekerja sama.  Ini semua akan ditaksir dari semasa ke semasa untuk memastikan seseorang murid itu mengalami pertumbuhan dan pembesaran yang betul. Pentaksiran jasmani bukan untuk membolehkan murid mendapat pingat emas olimpik, tetapi melahirkan murid yang memiliki jasmani dan mental yang sihat bagi membolehkannya  menjadi warga yang baik. Pentaksiran berjalan seiring dengan proses  pengajaran dan pembelajaran.  Melalui pentaksiran yang berjalan seiring dengan proses pengajaran pembelajaran, maklumat yang cepat dan autentik diperolehi  tentang murid bagi membolehkan tindakan pantas diambil bagi mengatasi apa-apa masalah yang wujud pada kalangan murid lebih awal.  
  7. Saya berhenti di sini buat kali ini. Untuk penulisan akan datang saya akan menghuraikan serba sedikit tentang konstruk nilai pula, insyaAllah.. Hingga pada kesempatan yang akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.

Tuesday, 23 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN - SISI POSITIF DAN POTENSI(sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu lagi.


  1. Alhamdulillah, Allah masih memberikan peluang untuk saya meneruskan lagi penulisan tentang pentaksiran pendidikan ini. Apabila PT3 diperkenalkan, ia merupakan satu kejutan kepada massa, dan juga warga pendidik kerana ia akan menggantikan PMR, peperiksaan pusat yang selama ini mendominasi dunia pendidikan negara. Matlamat PT3 ialah untuk mengurangkan tekanan peperiksaan pusat pada kalangan murid (atau ibu bapa yang lebih tertekan?).   PT3 tiada peperiksaan pusat, pelaporannya berasaskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ini bermakna apa yang guru usahakan akan diberikan merit dalam pelaporan akhir.  Pengiktirafan ini amat penting kerana selama ini apa yang guru usahakan dalam mendidik murid-murid tidak diambil kira langsung dalam pelaporan akhir. 
  2. Tetapi realitinya kini, seolah PT3 sedang mengembalikan wajah peperiksaan. Tarikh pentaksiran PT3 dijadualkan pada 8-11 Oktober 2018 sebaris dengan peperiksaan pusat yang lain. Apakah maknanya ini dan apakah kesannya kepada murid dan sekolah? Pengejaran A penuh sudah kembali pada kalangan murid dan sekolah. Hasrat asal PT3  lebur kecuali ada usaha untuk mengembalikan  PT3 sebagai PBS sepenuhnya.  Kenapakah terjadi penyimpangan matlamat ini  hingga program yang dirancang dengan teliti akhirnya menemui jalan buntu? Pendidikan  tidak akan dapat dimaknakan  selagi peperiksaan pusat menjadi matlamat akhir.
  3. Kerana itu saya sering menekankan perihal perlunya kita semua keluar daripada kotak pemikiran yang lama terutama para perancang profesionalisma di kalangan pengurusan tertinggi KPM untuk memaknakan pendidikan. Khusus buat IPGM, institusi ini seharusnya telah mengangkat kursus pentaksiran pendidikan sebagai fokus utama dalam menyediakan bakal guru.  Pelaksanaan pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan negara akan terbantut apabila guru-guru muda yang dihantar ke sekolah tidak  tahu dan faham apa itu pentaksiran pendidikan. Apa lagi mahu mempraktikkannya.  Peperiksaan pusat hanya satu daripada komponen pentaksiran pendidikan.  Tetapi apa yang terlihat, IPGM masih lagi dalam ruang lingkup pengukuran dan penilaian, membincangkan teori-teori lama peperiksaan dan belum terlihat untuk berubah ke arah pentaksiran pendidikan masa kini. Sama ada pengurusan tertinggi IPGM masih dalam paradigma lama, tiada dapat  melihat masa depan, tidak mahu ambil tahu tentang perkembangan pentaksiran masa kini, enggan berjalan seiring dengan LP, atau tiada kepakaran dan kemahiran dalam pentaksiran pendidikan, sesuatu harus  dilakukan. 
  4. Kerana itu, persediaan pra pelaksanaan amat penting. Tetapi seperti kebiasaannya, selama ini banyak program KPM lebih bersifat bidan terjun dan ad-hoc, pelan tindakan yang dikemukakan pula selalunya setengah masak,  akhirnya tenggelam begitu sahaja. Sekolah bestari diwar-warkan dengan sebegitu hebat akhirnya menyepi, begitu juga sekolah berkesan. Sekolah kluster kecemerlangan mempunyai pelbagai interpretasi dan konotasi, sering mengelirukan.  Sekolah berprestasi tinggi juga perlu dilihat kembali dalam perkembangan pentaksiran pendidikan masa kini. PPSMI juga mengikut jejak yang sama walau pun berbilion ringgit  dicurahkan untuk pelaksanaannya. Banyak kegagalan ini sebenarnya berpunca daripada perancangan dan penyediaan konsep yang tergesa-gesa, persediaan pra pelaksanaan yang lemah dan yang utamanya  kegagalan memahami dan menghayati makna pendidikan dan hasrat FPK itu sendiri pada kalangan pembuat dan pelaksana dasar.
  5. Walau bagaimana pun, dalam melahirkan sistem pentaksiran negara , LP telah mula menyediakan konsep pentaksiran pendidikan negara ini sejak 2003, melalui satu persidangan nasional dan tiga persidangan antarabangsa khusus membicarakan tentang pentaksiran pendidikan. Hasil daripada persidangan ini berserta bengkel-bengkel khas bersama pelbagai jabatan, pengetua, guru besar, guru, murid, ibu bapa, dan NGO dari  seluruh negara,  cadangan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dihasilkan  dan diterima  oleh pengurusan tertinggi KPM, tetapi apabila sampai kepada fasa pelaksanaan, masih banyak  kelompongan yang harus ditampungi.  Ini terutamanya kerana kegagalan banyak pihak memahami konsep pentaksiran pendidikan dalam memaknakan pendidikan dan keenganan keluar daripada paradigma lama peperiksaan pusat.  Sudah sampai masanya kita semua keluar daripada kotak pemikiran lama dan berani meneroka semesta ilmu  pentaksiran pendidikan yang lebih luas. Pendidikan abad ke 21 tidak mampu untuk bergantung kepada peperiksaan pusat semata-mata.
  6. Sebelum meneruskan penulisan tentang apa yang ditaksir, saya ingin menyorot kembali  tentang apa itu pentaksiran pendidikan. Ini penting untuk memahami penulisan-penulisan seterusnya nanti.

Pentaksiran Pendidikan.
  1. Definisi dan huraiannya telah saya tuliskan sebelum ini.  Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut. 
  2. Pentaksiran merupakan satu proses - bermakna ia berjalan berterusan, dan pada prinsipnya, pentaksiran bermula pada hari pertama murid berada di sekolah dan berakhir pada hari terakhir murid di sekolah.  Setiap hari guru berinteraksi dengan murid, setiap masa guru mentaksir. Jangan tanamkan dalam minda bahawa pentaksiran ini seperti peperiksaan pusat, tidak sama sekali. Peperiksaan pusat diadakan pada penghujung satu-satu  proses pembelajaran yang panjang, bersifat restrospektif sementara pentaksiran berjalan seiring dengan proses pembelajaran.  Pentaksiran tidak ada jadual waktu khusus seperti peperiksaan pusat, tidak ada instrumen khusus dan tidak ada bilik-bilik peperiksaan khusus. Lain murid mungkin memerlukan kaedah dan pendekatan yang berbeza dan instrumen yang berbeza untuk ditaksir. Pentaksiran boleh dilakukan secara 'direct' atau 'indirect' pada bila-bila masa yang sesuai.
  3. Apakah maklumat yang ingin didapatkan daripada murid? Ini berbalik kepada matlamat pendidikan itu sendiri. Negara kita mempunyai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (+kemahiran sosial) ....agar menjadi warga yang berilmu pengetahuan, berketrampelan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan  mencapai kesejahteraan diri.  FPK diterjemahkan ke dalam kurikulum kebangsaan melalui matlamat dan objektif setiap mata pelajaran dan disiplin yang diajar di sekolah.  Secara umumnya roh FPK diterjemahkan ke dalam tiga konstuk utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.
  4. FPK telah digubal dengan begitu cantik sekali, menepati matlamat pendidikan  yang sebenar, dan tiada langsung apa-apa pernyataan  dalam FPK yang mengaitkannya dengan peperiksaan pusat dan pengejaran A penuh dalam peperiksaan pusat. Hasrat FPK  hanya satu iaitu melahirkan warga yang terbaik dalam bidang ilmu, kemahiran dan nilai.  KBSR cuba merealisasikan matlamat murni FPK ini namun tersasar. Realitinya, semua perancangan baik ini dihalang oleh peperiksaan pusat. Justru  kita harus kembali kepada matlamat  asal ini.  Terlalu lama  dan terlalu jauh kita tersasar, kita harus kembali memaknakan pendidikan itu. 
  5. Apabila wujud pelbagai masalah dalam masyarakat kita pada hari ini seperti  rasuah, dadah, sosial, penipuan dan pecah amanah,  adakah ini merupakan konotasi daripada kesesatan kita melaksanakan pendidikan terhadap anak-anak kita selama ini? Dari yang berkedudukan tinggi, menteri, ketua jabatan, pengarah, hingga kepada pegawai bawahan, dalam pelbagai sektor ekonomi dan pekerjaan, masalah ini wujud. Hormat menghormati semakin pudar, kemusnahan alam sekitar anugerah Allah amat berleluasa, pengejaran wang ringgit dan kekayaan dunia menjadi matlamat hidup, jurang perbezaan taraf hidup miskin-kaya semakin meluas, dan kepercayaan kepada Tuhan semakin menipis. Rukun Negara  hanyalah retorik dan hukum agama, dosa pahala seolah jenaka yang dipersenda.
  6. Pendidikan merupakan tunjang kepada peradaban manusia, menjadikan manusia sebagai insan yang berjaya dunia akhirat, patuh kepada perintah Allah dan peka dengan persekitaran dan dengan manusia lain.Apabila kita melihat bagaimana rakyat negara luar menghargai sesama manusia dan alam sekitar,  kita merasa sesuatu lompong yang amat besar wujud dalam sistem pendidikan negara. Mengapa kita tidak boleh menjaga kebersihan  sungai dan parit di negara kita hingga ikan boleh hidup dan membiak seperti di Jepun dan England, kenapa kita tidak boleh menjaga hutan dan alam semula jadi kita seperti New Zealand hinggakan bukit dan gunung menjadi gondol dan musnah ditarah, mengapa kita tidak boleh menjaga kebersihan tandas kita seperti tandas di negara Jepun, Australia dan Taiwan, kenapa kita masih melontar sampah, bekas makanan, kulit buah-buahan dan kertas tisu dari dalam kereta kita hingga menyebabkan pencemaran dan banyak lagi contoh yang menunjukkan kepincangan kita? Pokoknya, kemahiran insaniah ini, nilai-nilai murni yang diperlukan dalam kehidupan kita sebagai manusia,  dipupuk sejak dari pendidikan rendah lagi di negara-negara ini. Dari rebung mereka telah dilentur, diajar dan ditanamkan dengan sifat-sifat  murni ini, yang terkandung dalam sistem pendidikan mereka. Kita gagal membina nilai-nilai baik ini dalam diri murid kerana kita amat terpesona dengan  peperiksaan pusat, untuk mendapat A penuh dan kebanggaan yang palsu.
  7. Pentaksiran adalah lebih  fleksibel, bersifat insaniah dan memberikan maklumat yang autentik tentang seseorang  murid. Di sekolah, guru sentiasa berinteraksi dengan murid dan pentaksiran boleh dilakukan dalam tempoh ini . Di dalam kelas, guru mentaksir, di padang permainan guru mentaksir, sewaktu perhimpunan guru mentaksir, semasa aktiviti kokurikulum dan ekstra kurikulum  guru mentaksir, malah di luar sekolah juga guru mentaksir. Pentaksiran tidak boleh berpisah dengan pendidikan. Pentaksiran memberikan maklumat yang menyeluruh dan lebih tepat tentang murid. Guru bukan hanya mentaksir aspek pengetahuan murid tetapi juga tentang kemahiran dan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Apa yang ditaksir direkod  dan akan diguna untuk pelaporan akhir nanti. 
  8. Agak panjang saya menyentuh tentang pentaksiran pendidikan ini, dan setakat ini penulisan saya buat kali ini. Banyak lagi yang ingin disentuh, namun keterbatasan ruang dan waktu mengehadkan kesempatan itu. InsyaAllah, akan saya teruskan penulisan ini nanti dengan menerangkan pula apa yang ditaksir.
  9. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Tuesday, 16 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN - SISI POSITIF DAN POTENSI (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk bersama lagi dalam penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan ini. Pada penulisan yang lepas saya cuba menjelaskan bagaimana pentaksiran pendidikan dimaknakan dengan contoh yang mudah. Seterusnya saya telah cuba menerangkan secara ringkas bagaimana  pelaksana di sekolah boleh mengoperasikan  pentaksiran ini pada mata pelajaran yang bersifat kontinuum ataupun topikal. Sebenarnya untuk merealisasikan pentaksiran secara menyeluruh dan berkesan, banyak lagi persediaan yang perlu dilaksanakan, banyak lagi pemahaman yang perlu diberikan kepada pelaksana dan banyak lagi huraian yang mendalam tentang setiap mata pelajaran, kemahiran dan nilai yang harus dilakukan.  Masih jauh perjalanannya. Untuk mempastikan keseragaman dan keobjektifan pentaksiran yang akan dilaksanakan, panduan dari pusat amat diperlukan, terutama dalam aspek yang berkaitan dengan lokaliti dan persekitaran sekolah yang pelbagai. Pentaksiran harus disesuaikan dengan persekitaran dan lokaliti sekolah di samping sifat murid, masyarakat dan guru.
  2. Selain daripada itu, persoalan yang sentiasa ditimbulkan ialah siapa yang mentaksir, bagaimana mentaksir, bagaimana merekod dan menyimpan rekod, bagaimana mentafsir maklumat dan bagaimana melapor dan bentuk  pelaporan.  Kita akan cuba melihat satu persatu persoalan-persoalan ini dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan Pentaksiran Pendidikan - Pra-Pelaksanaan   

  1. Peringkat awal pelaksanaan akan memperlihatkan penentangan daripada banyak pihak termasuk guru sebagai pelaksana, pentadbir, ibu bapa, dan juga massa. Ini  merupakan sesuatu yang normal dalam mana-mana masyarakat atau komuniti apabila sesuatu pembaharuan yang agak asing diperkenalkan. Keberadaan dalam zon selesa dalam jangka waktu yang agak panjang, sejak merdeka, membuat penerimaan menjadi sukar, kerana perubahan membawa ilmu dan kemahiran baru yang harus dipelajari, keberkesanan yang diragui dan impak masa depan yang masih tidak diketahui.  Justru, untuk mengelakkan tentangan yang tidak sewajarnya, kerja-kerja pra pelaksanaan yang aktif seharusnya dilakukan.
  2. Pertamanya, pihak yang bertanggung jawab, KPM, Lembaga Peperiksaan (LP) dan bahagian-bahagian lain yang berkaitan harus menjalankan penataran kepada semua yang terlibat pada semua peringkat - bahagian-bahagian KPM, JPN, PPD, Pengetua, Guru Besar, Guru-guru, PIBG, NGO dan juga massa. Kekangan mungkin wujud kerana kekurangan tenaga di  pihak yang akan menatar, kewangan dan masa. Perancangan yang menyeluruh harus dilakukan bagi mempastikan program yang diperkenalkan ini berjaya mencapai matlamatnya. 
  3. Namun banyak kerja-kerja penataran berakhir dengan kegagalan atau memberi impak yang minimum  kerana yang menatar tidak faham apa yang ditatarkan.  Pentaksiran merupakan bidang yang amat luas, dinamik  dan penuh dengan kemungkinan. Amat malang sekiranya perbelanjaan yang besar untuk penataran berakhir dengan kegagalan. Kerana itu, sesiapa sahaja yang menatarkan tentang pentaksiran pendidikan harus dipastikan memiliki ilmu dan kefahaman yang jelas tentang pentaksiran. Di LP sendiri, bukan semua pegawai  LP yang tahu dan faham tentang pentaksiran  pendidikan. Tanpa ilmu dan kefahaman, akan tersasar apa yang dihasratkan, malah mungkin melahirkan ilmu yang songsang.
  4. Semua sumber yang ada  harus digembleng untuk tujuan ini. Ini termasuk pegawai yang pernah terlibat  dalam pembentukan konsep dan yang telah menerima pendedahan yang luas tentang pentaksiran, bekas pegawai LP yang turut terlibat dengan kerja-kerja pembinaan konsep tapi  kini berada di luar LP,  guru-guru yang terlibat dalam pembentukan konsep dan juga pegawai yang telah bersara. Penataran juga harus berterusan, bukan 'one-off' .  Tapi syarat utama apabila menjalankan penataran...yang menatar harus faham sepenuhnya tentang apa yang hendak ditatarkan. 
  5. Di samping penataran, penyebaran maklumat juga harus dilakukan secara berterusan, bukan 'one-off', melalui apa sahaja media yang ada, bercetak atau elektronik. Pengenalan PT3 dahulu, penataran  nampak diusahakan dengan agak meluas dan agresif tetapi malangnya ia hanya berbentuk 'one-off'. Malang sekali PT3 yang dihasratkan sebagai PBS bagi menggantikan PMR akhirnya bertukar kembali kepada wajah peperiksaan pusat. Pengejaran untuk A penuh kembali semula dan kelas tuisyen PT3 tumbuh di merata tempat. Pembinaan konsep asal PT3 memang tidak mewujudkan wajah peperiksaan pusat, tetapi sebaliknya berlaku. Di mana silapnya??? Sesuatu harus dilakukan bagi mengembalikan PT3 kepada hasrat asalnya.  PPSR merupakan perubahan yang amat positif dan seharusnya semangat PPSR harus ditanamkan kembali dalam PT3 tanpa peperiksaan pusat.
  6. Bagi pengukuhan jangka panjang, KPM seharusnya memberi peluang kepada pegawai yang terlibat secara langsung dengan  pentaksiran menjalani pendedahan serta kursus lanjutan, dalam dan luar negara. Dahulu LP menjadi ahli kepada International Association of Educational Assessment (IAEA), badan pentaksiran yang menjadi wadah kepada pembangunan sistem pentaksiran pendidikan. Setiap tahun LP menghantar sebilangan pegawai menghadiri persidangan IAEA ini yang diadakan di negara-negara anggota secara giliran bagi mendapatkan maklumat murakhir tentang sistem pentaksiran pendidikan. Malah beberapa kali pegawai LP turut membentangkan kerja kerja dalam persidangan ini. Saya merasa bertuah kerana berpeluang membentangkan kertas kerja semasa persidangan IAEA ini diadakan di Rio de Janeiro, Brazil.
  7. Universiti serta institusi pendidikan tinggi yang ada mengendalikan kursus pendidikan juga harus didedahkan dengan sistem pentaksiran ini kerana di hampir kesemua  IPT, kursus-kursus yang dikendalikan masih tentang peperiksaan pusat dengan tumpuan hanya kepada keupayaan kognitif . Jika fokus tentang pentaksiran masih diabaikan, graduan yang dilahirkan akan menghadapi masalah apabila berada dalam sistem pendidikan negara. Yang lebih UTAMA, IPGM harus didedahkan dengan perubahan baharu ini kerana institusi inilah yang melahirkan sebahagian besar guru di negara ini.  Sebagai sebahagian daripada  oranisasi KPM, IPGM seharus berjalan seiring dengan LP bagi mempastikan sistem pentaksiran  pendidikan negara berjaya mencapai matlamatnya. Kegagalan IPT termasuk IPGM menyediakan guru dengan pengetahuan dan kemahiran tentang  sistem pentaksiran pendidikan mutakhir ini akan menggagalkan usaha KPM untuk mentransformasi sistem pendidikan negara. 
  8. Banyak lagi isu yang boleh dibangkitkan, namun buat kali ini, setakat itu yang dapat saya bincangkan. Sekian buat kali ini. HIngga bertemu lagi pada ruang masa yang akan datang, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Saturday, 13 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN. SISI POSITIF DAN POTENSI (sambungan)

Assalamjalaikum wbrt.

Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk kita bertemu lagi.
  1. Sambungan daripada penulisan yang lalu.  Saya amat berbesar hati di atas kesudian rakan semua melayari blog saya. Tujuan saya menulis blog ini hanya sekadar berkongsi ilmu yang amat sedikit  yang saya miliki agar dapat memberi faedah kepada semua. Saya bukan pakar atau tokoh hebat dalam bidang ini.  Cuma  Allah memberikan  kesempatan pada saya untuk memiliki secebis ilmu dalam bidang ini, dan sekira ada yang tersilap dalam penulisan ini saya mohon maaf. Sekira ada kebaikan, panjangkanlah kepada rakan dan kenalan agar lebih ramai yang memperoleh manafaatnya, insya Allah. Terima kasih Allah kerana memberikan saya peluang dan ruang ini untuk berkongsi ilmu.
  2. Pentaksiran dan pendidikan tidak boleh dipisahkan. Ibarat seorang guru Quran yang mengajar Al-Quran kepada muridnya, guru akan duduk bersama muridnya dan mengajar, melatih, mendengar,meneliti, membetulkan sebarang kesilapan sebelum meneruskan pembelajaran ke tahap seterusnya. Setiap murid harus menguasai setiap tahap yang lebih rendah sebelum meningkat kepada yang lebih tinggi.  Begitulah  konsep asas pentaksiran, kata nama yang diterjemahkan daripada perkataan Inggeris 'assessment', yang diambil daripada perkataan latin 'assidere' yang bermaksud 'to sit beside'.  Mentaksir bermakna duduk bersebelahan dengan murid.  
  3. Pada waktu dahulu, rumah guru Al-Quran ibarat institusi pendidikan, selain belajar mengaji, murid juga akan membantu guru membersihkan kawasan rumah, mengangkat air, mengumpul kayu api, dan sebagainya. Guru juga akan mengajar adab dan akhlak, dan menghargai persekitaran dan alam yang dianugerahkan Allah.. Guru mengenali setiap orang muridnya dengan baik. Walau pun tiada sijil dikeluarkan tetapi setiap murid dipastikan mahir membaca Al-Quran hingga tamat dan memiliki akhlak yang baik. Ada yang cepat dan ada yang lambat, dan guru akan mengajar mengikut kemampuan murid. Ini merupakan gambaran paling mudah untuk mengenali pentaksiran dalam pendidikan. Akhirnya semua akan berjaya. 
  4. Suasana di sekolah pada hari ini  jauh berbeza daripada apa yang  berlaku pada masa lalu.  Guru mengawasi puluhan malah ratusan murid pada satu-satu ketika. Dan guru pula berbeza mengikut bidang dan kemahiran yang disampaikan melalui mata-mata pelajaran tertentu. Jadi bagaimanakah pentaksiran akan dilaksanakan?  Seorang murid pula akan menghadapi beberapa orang guru yang berbeza setiap hari. Ini merupakan masalah utama yang  sering dikemukakan oleh guru apabila pentaksiran mula dilaksanakan di sekolah. Oleh kerana pentaksiran merupakan konsep yang baharu dalam sistem pendidikan negara , maka pelaksanaannya haruslah dilakukan secara berhemah dan bijaksana. Masa diperlukan bagi semua pihak memahami dan melaksanakan pentaksiran dengan betul kerana sebarang kesilapan akan menjejaskan masa depan seseorang murid dan integriti sistem pendidikan negara.
  5. Pendidikan bertujuan membentuk manusia yang terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya, bukan mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat. Pendidikan membentuk insan yang bukan hanya terbaik dalam bidang ilmu tetapi juga dalam semangat, akhlak, jati diri, yang  tahu bersyukur dengan nikmat Allah, menjaga hubungannya dengan Allah, dengan persekitaran  serta juga dengan manusia. Jadi, bagaimanakah pentaksiran boleh berfungsi dalam keadaan seperti ini?
  6. Pentaksiran boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara dan pendekatan, bergantung kepada apa yang hendak ditaksir dan siapa yang akan ditaksir. Instrumen yang digunakan juga pelbagai, bergantung kepada kesesuaian dan keberkesanan. Pendekatan konvensional bagi mentaksir konstruk pengetahuan (kognitif) biasanya menggunakan kertas dan pensil dalam bentuk ujian dan peperiksaan dalaman. Selain itu, guru boleh menggunakan pendekatan alternatif seperti soal jawab, kuiz, congak, ejaan, projek, dan persembahan. Bagi konstruk yang tidak boleh diuji dengan kertas dan pensil, terutama konstruk kemahiran dan nilai, pendekatan yang paling sesuai ialah pemerhatian. Selain daripada itu, boleh juga digunakan kaedah temu bual, soal selidik, ujian minat dan sikap dan bateri inventori.
  7. Pada prinsipnya, semua konstruk yang diajar kepada murid harus ditaksir. Namun kekangan yang dihadapi oleh guru memerlukan pendekatan yang 'sensible' (masuk akal)  dan boleh dilaksanakan. Tidak ada gunanya jika dirangka pendekatan yang hebat tetapi tidak praktikal.  Kita harus memahami beban tugas dan tanggung jawab guru yang sudah sememangnya berat, sama ada dalam tugas-tugas akademik atau bukan akademik.  Pentaksiran seharusnya meringankan beban guru, bukan menambah. 
  8. Justru, kefahaman harus dimiliki oleh semua pihak. Bagi sesetengah mata pelajaran yang ada kontinuum atau kesinambungan, pentaksiran harus mengikut kontinuum daripada yang paling rendah ke tahap yang paling tinggi mengikut aturan, seperti pembelajaran mengaji A-Quran, pergerakan motor, kemahiran seni visual dan kemahiran bertukang.. Pada sepanjang kontinuum, pembelajaran boleh dipecahkan ke dalam beberapa tahap atau blok pembelajaran di mana pada setiap tahap atau blok mungkin mengandungi aspek-aspek yang 'common' yg boleh dikelompokkan bersama. Pentaksiran dilakukan pada  setiap tahap bagi mendapatkan eviden tentang penguasaan murid  pada tahap tersebut. Item pentaksiran merupakan pensampelan  tentang pengetahuan atau kemahiran  yang terkandung dalam setiap tahap atau blok pembelajaran. 
  9. Bagi mata pelajaran yang di pecah-pecahkan ke dalam  topik-topik tertentu, pentaksiran harus dilakukan bagi setiap topik. Sama juga, item daripada setiap topik merupakan pensampelan daripada keseluruhan 'universe' topik tersebut. Mata pelajaran Geografi sebagai contoh dipecah-pecah-pecahkan  ke dalam topik-topik tertentu. Geografi Malaysia mungkin dipecahkan kepada topik-topik seperti rupa bumi, iklim dan cuaca, penduduk, komunikasi dan kegiatan ekonomi. Oleh kerana mata pelajaran seperti ini tidak berbentuk kontinuum, agregat daripada maklumat pentaksiran boleh dirumuskan sebagai eviden tentang penguasaan murid dalam mata pelajaran tersebut.
  10. Setakat ini buat kali ini penulisan saya. InsyaAllah, saya akan cuba menghuraikan lagi tentang sisi positif dan potensi pentaksiran ini pada penulisan akan datang, insyaAllah.  Sehingga bertemu pada lain kesempatan, salam hormat dan kasih sayang daripada saya.
Dr. Hazim.

Sunday, 7 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN - SISI POSITIF, POTENSI

Assalamualaikum wbrt.

Alhamdulillah, dapat kita bertemu lagi.

  1. Selepas penulisan saya tentang peperiksaan pusat, saya akan cuba pula mengutarakan tentang sisi positif pentaksiran pendidikan, suatu konsep baru bagi dunia pendidikan negara kita, sebagai hala tuju baru sistem pendidikan negara. Namun bagi sesetengah negara, seperti Ontario di Kanada, Finland, dan negara-negara Scandinavia, pentaksiran merupakan wadah bagi pembangunan pendidikan negara-negara tersebut sejak berpuluh tahun yang lalu. Pentaksiran  menjadi katalis kepada pembangunan pendidikan.
  2. Banyak negara kini sedang dalam proses perubahan daripada sistem peperiksaan pusat  ke arah pentaksiran pendidikan. Angin perubahan juga turut melanda negara kita. 
  3. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pentaksiran dan pendidikan tidak dapat dipisahkan kerana jika pentaksiran dan pendidikan dipisahkan ia boleh membawa kepada keruntuhan sistem pendidikan itu sendiri (Broadfoot, 1996). Pentaksiran adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya berjalan seiring, bukan dilakukan pada tahap-tahap tertentu sahaja.  
  4. Pentaksiran seharusnya memberikan maklumat yang holistik dan autentik tentang pembelajaran seseorang murid dan pengajaran seseorang guru. 
  5. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PIPPM) 2006-2010 telah menetapkan strategi yang akan dilaksana bagi pembinaan modal insan negara iaitu (1) menyediakan pentaksiran alternatif dengan mengubah penekanan peperiksaan am daripada berasaskan kandungan kepada lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am (2) mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dan (3) memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian.
  6. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025  juga telah memberikan penekanan terhadap perubahan ini dengan saranan  (1) meningkatkan kerangka pentaksiran bagi menambah item yang menguji kemahiran berfikir aras tinggi serta menggunakan rujukan standard dalam peperiksaan awam dan PBS dan (2) memperkenalkan saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dan memperluaskan skopnya dalam literasi Bahasa Inggeris.
  7. Lembaga Peperiksaan (LP)  yang bertanggung  jawab terhadap pengurusan pentaksiran di negara ini telah memulakan langkah perubahan ini sebelum PIPPM dilancarkan lagi. Pada tahun 2003, satu seminar kebangsaan peringkat nasional tentang pentaksiran dilangsungkan di Kuala Lumpur, di mana istilah pentaksiran dalam pendidikan buat pertama kalinya telah diperkenalkan  secara formal dalam sistem pendidikan negara. Seterusnya beberapa siri seminar antarabangsa telah diadakan pada tahun 2005, 2006 dan 2007 yang turut dihadiri oleh pakar-pakar dan tokoh-tokoh pentaksiran pendidikan dari banyak negara dunia yang telah mendahului perubahan ini.  Hasilnya kerangka  pentaksiran negara yang dinamakan Sistem Pentaksiran Pendidikan Negara (SPPK) diwujudkan.
Kenapa Pentaksiran dan bukan peperiksaan pusat?
  1. Pentaksiran bersifat lebih humanistik, lebih kaya dengan maklumat dan lebih hampir kepada keadaan kehidupan sebenar berbanding peperiksaan pusat (Eisner, 1993).
  2. Pentaksiran..."...sebagai tingkap di mana melaluinya guru boleh mengkaji pembelajaran murid dan bersama-sama dengan murid melihat setakat mana kemajuan yang telah dibuat..." (Ramsden, 1988)
  3. "Assessment is not one, but several things..."(Eisner, 1993)
  4. Pentaksiran memberikan maklumat yang kaya tentang pembelajaran untuk membantu dalam proses membuat keputusan (Willis 1993, Desforges (1989) sama ada oleh murid, guru, ibu bapa, majikan serta pembuat polisi.
  5.  Berbeza dengan peperiksaan pusat,  pentaksiran bersifat holistik, seimbang, fleksibel dan merujuk standard.  
  6. Holistik bermaksud pentaksiran bukan  mentaksir konten mata pelajaran tetapi mentaksir konstruk. Konstruk ialah apa yang ingin dibangunkan dalam diri setiap murid. Dalam sistem pendidikan negara, seperti mana yang termaktub dalam FPK, tiga konstruk utama yang ingin dibangunkan ialah pengetahuan, kemahiran dan nilai.  Kesemua konstruk ini akan ditaksir dan dilaporkan.
  7. Seimbang bermaksud semua konstruk mempunyai kepentingan yang sama, tidak seperti peperiksaan pusat yang hanya menekankan aspek kognitif dan menyisihkan aspek bukan kognitif yang lain. 
  8. Fleksibel bermaksud pentaksiran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana jua, oleh guru atau guru-guru atau sesiapa sahaja yang telah diamanahkan untuk melakukan tugas pentaksiran. 
  9. Merujuk standard bermakna  pelaporan hasil pembelajaran adalah berdasarkan Standard Prestasi Kebangsaan yang dibina berdasarkan standard yang ditetapkan dalam kurikulum kebangsaan.  Selain daripada digunakan untuk pelaporan, Standard Prestasi Kebangsaan juga boleh digunakan oleh guru untuk merancang pengajaran dan  proses pengajaran dan pembelajaran murid.  Standard Prestasi Kebangsaan akan saya cuba sentuh pada penulisan yang akan datang.
  10. Setakat ini buat kali ini. Banyak lagi yang akan diperkatakan tentang pentaksiran pendidikan ini, yang akan saya cuba huraikan pada penulisan akan datang, insyaAllah. Hingga pada kesempatan yang lain, terima kasih mengikuti blog saya. 
  11. Sekadar berkongsi ilmu.  Hanya secebis ilmu yang diperolehi daripada pengalaman kerjaya, dan pembelajaran. Terima kasih.

Dr. Hazim

Wednesday, 3 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PEPERIKSAAN PUSAT-ISU.(sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali. Sedikit sambungan tentang isu yang berkaitan dengan peperiksaan pusat.

  1. Perlu juga difahami, pengendalian peperiksaan pusat amat rumit dan memerlukan perbelanjaan yang amat besar, dari pembinaan item dan instrumen hinggalah kepada pengedaran dan penyimpanan sebelum ditadbirkan dalam bilik-bilik peperiksaan.  Selain daripada itu, kos yang tinggi juga diperlukan bagi kerja-kerja pemeriksaan skrip subjektif, pemprosesan data keputusan, pengeluaran keputusan dan percetakan sijil.  Kos akan meningkat berkali ganda sekiranya peperiksaan semula terpaksa dilakukan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Justru, sebarang tindakan membocorkan kertas peperiksaan pusat yang juga dikategorikan sebagai dokumen sulit  kerajaan merupakan tindakan yang amat tidak bertanggung jawab. Sekali pun murid memperoleh keputusan yang baik, itu tidak memberi apa-apa makna kepada pendidikan anak-anak kerana keputusan itu bukan menunjukkan pencapaian sebenar murid, tetapi diperoleh secara penipuan. Guru mengajar murid untuk menipu dan tidak amanah.
  2. Peperiksaan pusat juga memberi tekanan psikologi yang amat kuat terhadap murid, guru dan ibu bapa. Murid akan mengalami apa yang dikatakan stres peperiksaan (examination stress) yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada murid, sehinggakan ada murid yang sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menjawap soalan dengan baik atau keputusan peperiksaan pusat  tidak seperti yang diharapkan. Murid sepatutnya belajar dengan seronok tapi malang sekali keseronokan mereka dirampas oleh  peperiksaan pusat. Mereka juga tidak berpeluang menikmati keriangan kehidupan alam kanak-kanak kerana sepanjang masa disogokkan dengan persediaan peperiksaan pusat. Belajar, belajar, belajar...bukan didikan, didikan, didikan.
  3. Guru juga turut tertekan apabila prestasi guru dan sekolah diukur berdasarkan keputusan peperiksaan pusat. Guru menghadapi tekanan daripada guru besar/pengetua untuk keputusan cemerlang, guru besar/pengetua menghadapi tekanan daripada PPD, PPD menghadapi tekanan daripada jabatan dan jabatan pula menghadapi tekanan daripada pihak atasan di kementerian. Kerana itulah ada guru yang sanggup melanggar etika keguruan dan amanah yang diberi dengan cuba mendapatkan soalan bocor daripada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab atau melarang kumpulan tertentu murid menduduki peperiksaan pusat . Justru  keputusan mutakhir KPM yang tidak lagi melihat CGPA sebagai indeks kecemerlangan sekolah merupakan tindakan yang harus dipuji demi memaknakan pendidikan. Tindakan yang berani yang dijangka akan menerima tentangan hebat daripada setengah guru dan juga ibu bapa pada peringkat awal tetapi akan mendatangkan kesan positif  terhadap sistem pendidikan negara pada jangka waktu panjang. Sebarang perubahan dan transformasi dalam pendidikan harus dikemudikan dari atas bagi menjamin kejayaan pelaksanaan. Dan ianya haruslah menyeluruh, bukan perubahan secara adhoc.
  4. Sementara ada pula ibu bapa yang mempunyai harapan terlalu tinggi kepada anak-anak hingga anak-anak menghadapi tekanan dan keresahan yang tidak sepatutnya. Ramai juga ibu bapa yang menghadapi tekanan yang lebih teruk daripada anak-anak. Lantaran,  mereka sanggup berhabisan wang menghantar anak-anak ke kelas-kelas tuisyen dan kem-kem menjawab peperiksaan yang memakan kos yang tinggi.  Ibu bapa dimanupulasi  dengan dakwaan guru-guru yang akan memberikan panduan merupakan guru-guru yang terlibat dengan institusi yang mengendalikan peperiksaan dan terdedah dengan kertas peperiksaan pusat. Ini merupakan  penipuan yang jelik kerana dokumen sulit kerajaan dikawal  ketat  keselamatannya dan sesiapa yang terlibat dgn kerja-kerja institusi yang mengendalikan peperiksaan pusat tertakluk di bawah akta rahsia.
  5. Gred peperiksaan pusat pula diterakan dalam bentuk angka atau abjad tunggal yang tidak mempunyai sebarang huraian tentang maksud gred tersebut. Seorang murid mungkin memperolehi  A bagi mata pelajaran Matematik, C bagi mata pelajaran  Bahasa Melayu  dan E bagi mata pelajaran  Sains.  Adakah ini bermakna murid tersebut tahu semua perkara tentang Matematik, tahu separuh mata pelajaran  Bahasa Melayu  dan tak tahu apa-apa bagi mata pelajaran Sains? Apakah selama 6 tahun  sekolah rendah  atau lima tahun sekolah menengah, murid itu tidak memperoleh apa-apa  pengetahuan tentang sains? Tanpa sebarang huraian atau penjelasan tentang maksud gred tersebut, gred itu tidak membawa apa-apa makna dan tidak dapat membantu pembelajaran murid. Hakikatnya gred itu hanya menunjukkan bilangan soalan yang dapat dijawab oleh murid tersebut bagi kertas-kertas berkenaan dalam satu-satu instrumen pentaksiran, yang mungkin mengandungi hanya 50 atau 60 soalan, bukan menunjukkan kehebatan  murid tersebut menguasai keseluruhan bidang ilmu yang dipelajari. Item atau soalan  dalam satu-satu instrumen peperiksaan hanyalah sampel bagi satu-satu bidang ilmu yang amat luas.
  6. Analisis peperiksaan pusat pula kebiasaannya menggunakan taburan normal dan skor min sementara kedudukan seseorang murid dalam taburan normal tersebut diletakkan secara ranking berdasarkan persentil. Penggunaan taburan normal mengelompokkan murid ke dalam kelompok tertentu seperti lulus-gagal dan tinggi, sederhana dan rendah. Ini membawa kepada pelabelan murid yang boleh memberi kesan negatif. Pengelompokan murid seharusnya tidak berlaku kerana berlaku banyak ketidak adilan terutama dalam pelaporan. Apakah seorang murid yang memperoleh markah 49 dianggap gagal dan berada dalam kelompok gagal dan sama dengan murid yang memperoleh markah 0 atau 1sedangkan keupayaan murid tersebut lebih menghampiri murid yang memperoleh markah 50 yang dikatakan lulus. Apakah justifikasi menggagalkan murid dengan markah 49 dan meluluskan murid dengan markah 50? Penganiayaan.
  7. Setiap kohort yang mengambil peperiksaan pusat berbeza dari segi komposisi, keupayaan dan taburan. Instrumen yang diduduki juga tidak sama. Sisihan lazim taburan setiap kohort juga tidak sama.  Justru tidak mungkin perbandingan boleh dibuat antara kohort bagi menunjukkan pencapaian. Kebiasaan membandingkan keputusan peperiksaan pusat mengikut kohort sebenarnya tidak tepat dan mengelirukan.  Dan kita telah melakukan tindakan mengelirukan ini sejak sekian lama. Berdosakah kita dalam pendidikan anak-anak kita?
  8. Banyak isu yang berkaitan dengan peperiksaan pusat telah saya terangkan pada dua siri penulisan ini. Semoga pencerahan ini serba sedikit dapat membantu pembaca memahami latar tentang keperluan kita berubah daripada sistem peperiksaan pusat ke sistem pentaksiran pendidikan.InsyaAllah saya akan cuba pula menjelaskan tentang potensi pentaksiran pendidikan dalam mentransformasi sistem pendidikan negara bagi menghadapi dekad-dekad mendatang pada penulisan akan datang.
  9. Terima kasih atas kesudian rakan meluangkan masa membaca blog saya yang hanya mampu memaparkan sebahagian kecil tentang wajah pentaksiran pendidikan. Dunia pentaksiran pendidikan amat luas, misteri dan penuh cabaran. Ramai lagi tokoh-tokoh pentaksiran yang hebat ada di negara kita ini untuk dijadikan rujukan dan panduan. Ikhlas dari saya,

Dr. Hazim