Assalamualaikum wbrt.
- Bertemu lagi pada ruang maya ini, melanjutkan perkongsian ilmu yang tidak seberapa tentang pentaksiran pendidikan yang menjadi tunjang kepada transformasi pendidikan negara. Telah 22 entri saya muat naik pada blog ini, namun secara umumnya, bacaan berbentuk akademik sebegini kurang menarik minat golongan sasar yang lebih teruja dengan posting sensasi dan ringan. Walau bagaimana pun saya akan terus menulis selagi ada keupayaan bagi menyebarkan sedikit ilmu yang ada pada diri ini, semoga ianya bermanafaat kepada semua.
- Dengan transformasi pendidikan yang sedang berjalan, semua guru dan pengurus pendidikan pada semua peringkat harus memahami sepenuhnya apa yang dirancang dan yang akan dicapai dalam transformasi ini. Tranformasi ini memandang keperluan dunia pada abad-abad mendatang dan mencirikan jenis manusia yang akan kita lahirkan dari sistem pendidikan kita bagi menghadapi masa tersebut. Pelbagai program dirancang, dilabelkan dengan pelbagai nama, ada yang dilaksana dan ada yang hanya setakat perancangan, namun itu semua merupakan usaha untuk menemukan kenderaan yang diharap membawa kita ke era tersebut. Kita tidak harus keliru kerana kesemua program yang dirancang itu sebenarnya mengarah kepada pencapaian FPK. Keperluan pembelajaran abad 21, seperti mana yang diterakan dalam PPPM 2013-2025 sebenarnya selari dengan hasrat FPK yang mahu membangunkan murid secara holistik. Bagi kita sebagai pendidik, pencapaian FPK merupakan satu-satunya matlamat kita, dan selagi kita tidak mencapainya, selagi itu kita dikira gagal. Justru setiap kita yang terlibat dengan pendidikan, fahami dan hayatilah FPK kerana itulah asas pendidikan negara dan penentu kejayaan pendidikan negara pada masa depan. Di situlah pendidikan dimaknakan dengan begitu teliti.
- Pembelajaran abad 21 sebenarnya bukan sesuatu yang asing bagi kita kerana program pembangunan pendidikan negara selama ini hingga melahirkan FPK memang menuju ke arah yang sama. Pembelajaran berfokuskan murid sebenarnya telah pun dikonsepsikan dalam KBSR tetapi kerana peperikaan pusat yang mendominasi sistem pendidikan negara, ianya berlalu begitu sahaja. Pembelajaran menggunakan teknologi dan penggunaan gajet telah pun dikonsepsikan dalam sekolah bestari, juga kerana peperiksaan pusat terus mendominasi sistem pendidikan negara, ianya juga berlalu begitu sahaja. Senasib dengan pembelajaran berfokuskan murid. Begitu juga dengan pembelajaran secara berkumpulan, pembelajaran secara inkuiri, berfikir secara kreatif dan kritis, kemahiran berfikir, 'borderless classroom' , susun atur kelas, kemenjadian murid dan banyak lagi sebenarnya telah pernah wujud dalam perancangan sistem pendidikan negara tetapi tanpa keberanian mentranformasi kotak pemikiran yang lama dan memansuhkan sistem peperiksaan pusat, semua perancangan ini akhirnya berkubur begitu sahaja. Peperiksan pusat mematikan inovasi dalam pendidikan.
Definisi Pentaksiran Pendidikan
Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut.
- Pada penulisan yang lalu saya telah menerangkan serba sedikit tentang peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah. Seterusnya saya akan cuba menerangkan tentang kaedah tertentu dan instrumen tertentu dalam pentaksiran pendidikan sepertimana yang dinyatakan dalam definisi pentaksiran di atas. Jangan dilupa, pentaksiran dilakukan bagi mendapatkan maklumat tentang murid, dan maklumat tersebut mestilah tepat, autentik dan terkini bagi memaknakan pendidikan. Kerana itu kaedah dan instrumen yang digunakan haruslah relevan dan boleh laksana.
- Kaedah merujuk kepada pendekatan yang digunakan bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki tentang murid. Setiap kali kita mentaksir kita mempunyai objektif tertentu dan setiap objektif mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza. Dalam pentaksiran, guru mempunyai kebebasan untuk menggunakan pendekatan yang terbaik, bergantung kepada kreativiti, keselesaan dan inovasi guru serta sifat dan persekitaran murid. Pendekatan dalam pentaksiran pendidikan amat fleksibel, tidak ada satu pendekatan khusus untuk semua murid. Setiap murid mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza dan bergantung kepada kebijaksanaan guru untuk mendapatkan pendekatan yang terbaik. Guru harus kreatif dan berfikiran terbuka untuk membolehkan pentaksiran yang berkesan dapat dilaksanakan.
- Secara umumnya kita boleh membahagikan kaedah pentaksiran kepada dua iatu pendekatan konvensional dan pendekatan alternatif. Kedua-dua pendekatan ini tidaklah bersifat ekslusif, malah boleh saling digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian.
- Pendekatan konvensional merupakan kaedah yang lumrah dipraktiskan dalam sistem pendidikan kita hari ini, seperti kaedah kertas dan pensil, praktikal atau amali, ujian lisan dan projek atau kerja kursus. Setiap guru seharusnya telah memahami dan menguasai kaedah ini kerana semua sudah melalui pengalaman ini sendiri semasa alam persekolahan, di institusi latihan dan universiti. Malah saya yakin semua guru pernah mengaplikasikan kesemua pendekatan ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
- Sementara pendekatan alternatif, sebahagiannya merupakan pendekatan yang pernah digunakan secara meluas pada masa lalu, kemudian dipinggirkan kerana perkembangan pengaruh ilmu statistik yang menguasai banyak bidang ilmu termasuk pendidikan serta penumpuan terhadap peperiksaan pusat, dan kini mula dipraktikkan semula kerana sifatnya yang fleksibel, autentik, mudah, ringkas, cepat dan menepati keperluan pentaksiran pendidikan.
- Keupayaan mental, hati, perasaan serta sifat dalaman manusia merupakan konstruk yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat diukur secara fizikal seperti mengukur saiz sesuatu benda atau ketinggian seseorang. Terdapat alat pengukur untuk mengukur saiz dan tinggi dan alat ini standard di seluruh dunia. Perkara yang diukur, iaitu saiz dan tinggi, dapat dilihat, dan kesilapan dalam pengukurannya (error of measurement) amat kecil, malah mungkin 0.
- Tetapi berbeza dengan otak manusia, kita tidak dapat melihat IQ, kebijaksanaan, perasaan atau akal manusia secara fizikal, dan untuk memahaminya kita hanya boleh membuat inferen daripada evidens yang diperolehi. Kita harus mencari evidens yang sah dan autentik bagi membolehkan penghakiman yang tepat dibuat tentang attribut yang dimiliki murid tersebut. Dan bagaimanakah eviden ini diperoleh? Ini merupakan aspek yang 'interesting' dalam pentaksiran kerana bukan seperti pendekatan konvensional yang sudah sebati dalam jiwa kebanyakan kita, pendekatan alternatif memberi ruang kepada guru untuk berkarya dan berinovasi. Guru berpeluang untuk mereka cipta kaedah sendiri. Di negara-negara yang maju dalam bidang pendidikan, guru mempunyai saluran untuk mengemukakan idea, cadangan dan inovasi dan mengongsinya bersama melalui jurnal dan penerbitan yang khusus bagi setiap peringkat pendidikan.
- Apakah kaedah atau pendekatan alternatif yang boleh digunakan dalam pentaksiran? Sebenarnya ianya tidak terhad kepada beberapa kaedah khusus sahaja, tetapi terbuka kepada apa sahaja pendekatan yang boleh memberikan maklumat yang tepat, autentik dan sah. Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah pemerhatian, perbualan, kuiz, ejaan, congak, temu bual (perseorangan atau kumpulan), temu duga, projek, persembahan serta bukti pencapaian. Banyak penulisan yang boleh kita dapati mengenai pendekatan alternatif ini. Yang pentingnya pendekatan ini lebih bersifat humanistik, menyeluruh dan tidak mendatangkan tekanan dan stres kepada murid. Mereka boleh ditaksir secara langsung atau tidak langsung. Selain daripada itu, maklumat pentaksiran juga boleh didapati daripada sumber ketiga seperti ibu bapa, guru lain, juru latih dan rakan, sama ada rakan sekelas atau rakan sebaya.
- Bukti pencapaian mungkin merupakan sesuatu yang agak asing bagi kita dan sering disisihkan selama ini apabila kita membuat pentaksiran tentang seseorang murid. Bukti pencapaian merujuk kepada pencapaian terbaik murid dalam apa sahaja bidang sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri, negara atau antarabangsa. Mereka yang telah mencapai kejayaan luar biasa, seperti pada peringkat antarabangsa, sebenarnya telah melampaui tahap maksimum yang ditetapkan dalam perimeter pembelajaran yang telah ditetapkan. Seorang murid yang berjaya menjadi johan pidato atau bahas pada peringkat negara atau antarabangsa misalnya sudah mencapai tahap penguasaan yang lebih daripada cemerlang dalam kemahiran berbahasa, maka apakah perlu lagi murid ini ditaksir untuk ujian lisan? Begitu juga murid yang mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang-bidang seperti sukan, seni visual dan muzik tidak perlu lagi ditaksir bagi kemahiran yang lebih rendah daripada apa yang sudah mereka capai. Mereka ini sebenarnya memerlukan pengkayaan dalam bidang-bidang tersebut, bukan disuruh berundur ke belakang. Mereka sudah melebehi band 6 dalam standard prestasi. InsyaAllah saya akan cuba menerangkan tentang band serta standard prestasi pada penulisan akan datang.
- Nampaknya saya masih tidak dapat menghabiskan topik instrumen tertentu pada penulisan kali ini. InsyaAllah, topik ini akan saya sambung pada penulisan seterusnya. Setakat ini saya berharap semua rakan yang mengikuti blog saya ini dapat memahami konsep pentaksiran pendidikan yang telah saya cuba huraikan. Saya bukan pakar dalam bidang ini, cuma diberikan sedikit ilmu oleh Allah yang saya ingin kongsi bersama. Bukan juga untuk mengajar kerana saya mempunyai banyak kelemahan dan bidang ilmu pentaksiran ini amat luas. Mungkin juga terdapat pandangan dan coretan saya yang kurang tepat, justru saya amat berbesar hati sekiranya terdapat apa-apa maklum balas tentang perkara yang saya tulis selama ini dari rakan semua. Ini akan membuka ruang yang lebih luas untuk kita meningkatkan kefahaman supaya kita semua faham dan sefaham. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.
Assalamualaikum wbrt.
- Selamat bertemu lagi. Pada penulisan yang lalu saya telah mulakan sedikit tentang bagaimana mentaksir. Berdasarkan pandangan ramai guru-guru di banyak media, masalah paling utama dalam melaksanakan satu-satu program pembaharuan ialah kefahaman tentang pembaharuan yang ingin dilakukan. Kegagalan dalam pemahaman ini boleh mengakibatkan program yang dirancang akan terbantut. Antara punca kegagalan ini ialah penyebaran maklumat yang lemah dan penyampai yang tidak berupaya menyampaikan maklumat dengan tepat dan berkesan. Juga sikap penerima maklumat yang tidak serius, kurang berminat serta prakonsepsi negatif tentang pembaharuan yang dicadangkan.
- Dalam program pentaksiran pendidikan ini, situasi yang sama berlaku. Akibatnya, ramai guru, pengurus pendidikan pada semua peringkat, ibu bapa dan juga massa seolah hilang punca dan mempunyai pentafsiran sendiri tentang perubahan yang ingin dilaksanakan. Justru, penulisan saya ini diharap sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit kefahaman kepada rakan-rakan yang mengikutinya dan program yang dirancang ini mencapai matlamat seperti yang dihasratkan.
- Seperti yang saya janjikan pada penulisan yang lalu, pada kali ini saya akan cuba menerangkan serba sedikit tentang peperiksaan sekolah, peperiksaan pusat, kaedah tertentu dan instumen tertentu dalam pentaksiran. Keempat-empat perkara ini amat rapat dengan pelaksanaan pentaksiran pendidikan.
- Kenapa mentaksir? Ini merupakan soalan yang amat lumrah dalam pendidikan. Seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini, pendidikan tidak dapat dipisahkan daripada pentaksiran kerana kedua-duanya saling berkait. Tanpa pentaksiran, pendidikan tidak bermakna. Pentaksiran memberikan maklumat tentang perkembangan diri murid dari segi kognitif dan bukan kognitif kepada guru, ibu bapa dan juga pihak yang berkepentingan, di samping memberi maklumat tentang keberkesanan pengajaran guru. Maklumat perkembangan diri murid ini amat penting bagi membolehkan guru mengesan kemajuan murid sepanjang masa dan mengambil tindakan yang sewajarnya apabila keadaan memerlukan, terutama apabila murid menghadapi masalah dalam pembelajaran. Maklumat keberkesanan pengajaran guru pula membolehkan guru mengubah suai strategi pengajaran sekiranya maklumat pentaksiran menunjukkan murid menghadapi kesukaran dalam memahami satu-satu perkara yang diajar.
- Peperiksaan dan ujian merupakan pendekatan yang amat lumrah dalam proses pendidikan di sekolah pada masa ini sebagai penyumbang maklumat pembelajaran murid. Namun pendekatan ini hanya memberikan maklumat tentang aspek kognitif murid. Kecemerlangan akademik, yang hanya bertumpu kepada keupayaan kognitif tidak menunjukkan kejayaan pendidikan murid tersebut secara total.
- Sejak sebelum merdeka, dari zaman kolonial lagi, peperiksaan pusat merupakan matlamat pendidikan di mana kejayaan dalam peperiksaan pusat merupakan satu kehebatan dan menjadi lesen untuk kemajuan kerjaya dan kehidupan pada masa depan. Justru sekolah memberikan perhatian serius dalam menyediakan murid untuk peperiksaan pusat dan menjadikan mata pelajaran bukan peperiksaan terpinggir. Akhirnya peperiksaan menjadi matlamat pendidikan dan manusia yang dilahirkan daripada sistem ini seolah manusia yang tempang, hebat akademik tetapi lompong dalam aspek kehidupan yang lain.
- Apakah peperiksaan pusat? Jawapannya pasti sudah dimaklumi oleh kesemua kita yang melalui sistem pendidikan selama ini. Peperiksaan pusat atau dikenali juga sebagai peperiksaan awam amat rigid pelaksanaannya. Semuanya dilaksanakan di bawah peraturan keselamatan yang amat ketat , daripada pembinaan item, pembinaan instrumen, percetakan, pengedaran dan pentadbirannya. Peperiksaan pusat dikendalikan oleh institusi pusat, dari pendaftaran calon, penyediaan jadual waktu, pemilihan pengawas dan pemeriksa hinggalah kepada pengeluaran keputusan dan percetakan sijil. Sepanjang tempoh sejak merdeka, peperiksaan pusat di negara ini mengalami banyak perubahan, daripada segi penawaran mata pelajaran peperiksaan dan juga jenis peperiksaan yang dijalankan. Terdapat juga peperiksaan tahap tertentu yang diperkenalkan dan ada yang dimansuhkan. Setakat ini, peperiksaan pusat yang masih dilaksanakan di bawah KPM kita ialah UPSR, SPM, SPM (U) dan STAM. PMR telah dimansuhkan dan diganti dengan PT3 yang merupakan pentaksiran pusat.
- Hakikatnya, peperiksaan pusat bukan petunjuk kualiti pendidikan. Bagi setiap mata pelajaran yang dijadikan sebagai peperiksaan pusat, selalunya hanya satu atau dua kertas yang ditawarkan. Setiap kertas peperiksaan pula hanya mengandungi beberapa item yang diandaikan mewakili keseluruhan semesta ilmu dalam bidang tersebut. Bagi kertas objektif aneka pilihan, paling banyak 70 item yang akan digunakan dan bagi kertas subjektif bilangannya lebih kecil, mungkin 10 atau 12 item. Itulah bilangan item yang diberikan kepada murid dalam tempoh 1 atau 2 jam untuk dijawab. Dan keupayaan murid menjawab 10, 12 atau 70 item itulah yang digembar gemburkan sebagai penguasaan murid dalam mata pelajaran berkenaan. Tepat???? itulah yang menjadi persoalan ahli pentaksiran seluruh dunia dan membawa kepada perkembangan sistem pentaksiran pendidikan yang kita turut sama bergerak seiring dengan mereka masa kini. Tempoh satu-satu kertas peperiksaan selalunya tidak melebehi 2 jam kerana murid akan hilang tumpuan selepas tempoh tersebut.
- Selain daripada itu, ketepatan skor yang diperolehi oleh murid pula bergantung kepada banyak faktor lain seperti keadaan diri pelajar pada waktu menduduki peperiksaan (sakit, pening, marah, kecewa, tekanan, lapar), kebolehpercayaan pemeriksa, kebolehpercayaan instrumen pentaksiran, kawalan pentadbiran peperiksaan dan pematuhan keselamatan sepanjang masa pengendalian peperiksaan. Skor bagi setiap kohort pula tidak boleh dibandingkan dengan kohort yang lain kerana asas penganalisisan skor peperiksaan pusat berdasarkan taburan normal di mana taburan skor dan sisihan lazim skor berbeza bagi setiap kohort.
- Penentuan gred sempadan peperiksaan pusat pula sentiasa berubah kerana bergantung kepada faktor-faktor yang sukar dikawal. Selain daripada itu, penentuan markah lulus juga amat sukar dijustifikasikan. Sebagai contoh, apabila markah lulus ditetapkan pada 50, kenapa 50 dan tidak 49 atau 45, atau 30? Apakah asas yang menentukan 50 sebagai markah lulus?? Kemudian adakah adil murid yang memperoleh skor 49 dikatakan gagal dan dikelompokkan sama dengan murid yang mendapat skor 0, sedangkan keupayaan murid 49 itu lebih hampir dengan murid 50. Murid 49 teraniaya hanya kerana kurang 1 markah. Adakah ini satu kezaliman??? Ini yang kita harus fikirkan kerana selama ini, inilah yang kita lakukan dan adakah kita telah melakukan dosa kepada murid 49, 48, 47 dan seterusnya? Kerana itu, pelaporan juga harus diubah suai dengan menghapuskan stigma gagal dalam peperiksaan. Pelaporan perlu dibuat dalam bentuk pernyataan positif seperti murid A telah berjaya menguasai 49% daripada kemahiran yang telah ditaksir, murid B telah berjaya menguasai 80% daripada kemahiran yang telah ditaksir, murid C telah berjaya menguasai 30% daripada kemahiran yang telah ditaksir, bukan gagal. Pernyataan begini seharusnya disertakan dengan huraian keseluruhan kemahiran yang ditaksir. Standard Prestasi merupakan satu daripada alternatif pelaporan yang dicadangkan, dan ini akan saya cuba huraikan pada penulisan yang akan datang.
- Peperiksaan sekolah dan ujian pula merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Istilah peperiksaan sekolah dan ujian lumrah digunakan bagi membawa maksud yang sama pada peringkat sekolah dan pada penulisan ini, saya juga akan menggunakannya sebagai membawa maksud yang sama walaupun secara terperinci terdapat perbezaan antara keduanya.
- Peperiksaan sekolah dan ujian tidak mungkin dihapuskan kerana tanpa ujian dan peperiksaan sekolah, guru tidak dapat memastikan apa yang diajar diterima dan dihadam oleh murid. Terdapat sebilangan warga pendidik yang keliru antara peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan menganggap peperiksaan sekolah juga turut dimansuhkan. Ini sebenarnya tidak tepat. Peperiksaan sekolah merupakan pentaksiran formatif, dijalankan sepanjang masa, semasa pembelajaran dan selepas satu-satu unit pembelajaran atau topik untuk memastikan keberkesanan pengajaran. Tidak seperti peperiksaan pusat yang diadakan pada penghujung satu-satu tempoh pembelajaran yang panjang, samada selepas 6 tahun atau 5 tahun, peperiksaan sekolah diadakan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru mengesan sebarang kekurangan atau kelemahan dan akan mengambil tindakan segera bagi membaiki keadaan. Sekolah juga ada melaksanakan peperiksaan sekolah secara berkala seperti pada akhir semester atau akhir tahun untuk tujuan pelaporan. Seharusnya skor pentaksiran formatif turut diambil kira bersama dengan peperiksaan berkala ini bagi tujuan pelaporan. Peperiksaan pusat yang diadakan pada penghujung pembelajaran tidak memberi ruang tindakan kepada guru untuk mengambil tindakan pembaikan.
- Tidak seperti peperiksaan pusat yang ditadbirkan mengikut peraturan yang ketat, dengan instrumen yang standard dan diadakan serentak di seluruh negara, peperiksaan sekolah lebih longgar dan santai. Item atau instrumennya tidaklah serigid item dan instrumen peperiksaan pusat. Kaedah peperiksaan pun pelbagai, pelaksanaannya tidak seketat peperiksaan pusat dan tidak perlu diadakan jadual khusus. Item dan instrumen bagi peperiksan sekolah dibina oleh guru sendiri atau panel atau jawatankuasa khas yang dibentuk pada peringkat sekolah. Bagi sekolah yang memiliki bank item sendiri, peperiksaan sekolah lebih mudah dilaksanakan kerana item untuk diguna pakai telah tersedia.
- Setakat ini saya huraikan tentang peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah, dan penulisan seterusnya nanti, insyaAllah akan saya teruskan dengan kaedah pentaksiran dan instrumen pentaksiran. Ini kerana huraian tentang kaedah dan instrumen pentaksiran akan memakan ruang yang agak panjang. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.
Assalamualaikum wbrt.
- Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam siri penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan. Sejak pentaksiran dilaksanakan melalui pelaksanaan SPPK banyak persoalan yang timbul pada kalangan guru sebagai pelaksana, ibu bapa dan juga kumpulan lain yang berkepentingan tentang transformasi ini. Sebagaimana yang saya tuliskan sebelum ini, kita telah terlalu lama berada dalam zon selesa, dalam kotak yang sama sejak sebelum merdeka lagi. Kerana itu, pembaharuan ini memberi kejutan yang amat besar hinggakan ada yang mewujudkan grup menentang pelaksanaan PBS dan menghapuskan PBS.
- Sebenarnya bentuk penentangan seperti ini memang lumrah bagi apa sahaja program baharu yang diperkenalkan kerana terdapat banyak faktor yang menggusarkan seperti ketidak tentuan masa depan, keperluan mempelajari ilmu dan kemahiran baharu dan keselesaan dengan perkara yang sudah terbiasa. Keadaan ini ditambah burukkan lagi oleh kelemahan program pra pelaksanaan dan pelaksanaan. Kerana itu setiap program baharu yang hendak dilaksanakan haruslah dirancang dengan teliti dan menyeluruh. Sebaran maklumat yang tepat harus dilakukan melalui pelbagai media dan program khusus serta penyebar maklumat haruslah memiliki ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk mempastikan maklumat yang tepat sampai kepada sasarannya.
- Dalam pelaksanaan SPPK, apa yang jelas, walaupun program ini telah dirangka dalam tempoh masa yang panjang, penyebaran maklumat tentang SPPK khususnya kepada pelaksana di sekolah mempunyai banyak kelemahannya. Kerjasama antara bahagian juga tampak amat longgar apabila keseluruhan tanggung jawab dipikulkan ke atas bahu LP sementara bahagian-bahagian lain seolah berlepas tangan. Realiti ini nyata apabila terdapat perselisihan pendapat pada kalangan guru sendiri, pentadbir, pegawai PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian KPM. Setiap pegawai yang melawat sekolah mempunyai versi mereka sendiri, dan yang lebih mengelirukan ada pegawai naziran dan jabatan yang datang mahukan sekolah meningkatkan prestasi dalam peperiksaan semata-mata, menunjukkan wujudnya kekeliruan pada kalangan mereka ini tentang pentaksiran pendidikan. Konsep PPSR dan PT3 masih tidak dihadam sepenuhnya.
- Institusi utama yang melatih bakal guru, IPGM, juga seolah tidak mengambil tahu tentang perkembangan baru ini dan masih menawarkan kursus pengukuran dan penilaian dan teori-teori pengukuran lama dalam latihan keguruan sedangkan seharusnya topik Pentaksiran Pendidikan menjadi 'core' dalam latihan keguruan. IPGM membekalkan guru-guru muda ke dalam sistem persekolahan dan amat malang apabila guru-guru muda ini memasuki sistem pendidikan negara tanpa ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan yang dilaksanakan di sekolah. Begitu juga dengan IPT lain yang menawarkan program pendidikan tetapi masih berada dalam zaman pengukuran dan penilaian dengan teori-teori pengukuran lama yang sebahagiannya tidak relevan lagi dengan pembangunan dan perkembangan pentaksiran pendidikan semasa.
- SPPK merupakan program utama dalam usaha mentranformasikan sistem pendidikan negara. Tanpa perubahan dalam sistem pentaksiran negara, sistem pendidikan tak akan berubah. SPPK merupakan gelombang perubahan ini yang memerlukan penglibatan keseluruhan bahagian KPM dan warga pendidik. Kejayaan usaha mentransformasi sistem pendidikan negara bergantung kepada kejayaan mentransformasi sistem pentaksiran negara.
- Penulisan ini bukan untuk memberi jawapan kepada semua permasalahan yang timbul sebaliknya ingin memberi kefahaman kepada semua pihak yang terlibat agar memberikan komitmen masing-masing menjayakan perubahan ini. Pentaksiran sepatutnya tidak membebankan guru, tidak timbul soal mengejar kurikulum, dan tidak mewujudkan stress peperiksaan pusat pada kalangan murid. Pentaksiran memberi ruang kepada guru untuk berkarya, inovatif dan kreatif, memberi ruang kepada anak-anak belajar dengan relaks , seronok dan gembira. Pentaksiran bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat tetapi mempastikan pendidikan mencapai matlamatnya, melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dan boleh menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Bagaimana mentaksir?
- Ini merupakan soalan cepu mas. Setiap guru ingin mendapatkan jawapannya kerana merekalah yang bertanggung jawab melaksanakan pentaksiran pada peringkat sekolah. Dan ini merupakan antara masalah utama yang dihadapi oleh guru apabila tidak mendapat maklumat yang jelas dan mantap daripada pihak yang bertanggung jawab memberikan pendedahan tentang konsep ini.
- Perkara utama yang perlu difahami, pentaksiran bukan peperiksaan tetapi peperiksaan merupakan sebahagian daripada pentaksiran. Ini bermakna selain daripada peperiksaan terdapat beberapa kaedah lain bagi mendapatkan maklumat tentang murid dalam pentaksiran. Peperiksaan hanya memberikan maklumat tentang keupayaan kognitif murid sedangkan pentaksiran memberikan maklumat tentang keseluruhan diri murid, kognitif dan bukan kognitif. Terdapat kekeliruan apabila istilah peperiksaan digunakan, namun kita harus faham bahawa dalam sistem pendidikan negara kita pada masa ini kita mempunyai dua laras peperiksaan iaitu peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah. Kedua-dua peperiksaan ini berbeza daripada segi matlamat dan pengurusannya.
- Merujuk kepada definisi pentaksiran"...menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu..." bagi mendapatkan maklumat tentang murid, ini menunjukkan fleksibiliti pentaksiran berbanding peperiksaan. Pemahaman yang tepat dan mendalam harus digarap oleh guru tentang kedua-dua konsep ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam pelaksanaan. Kesilapan pelaksanaan akan membawa kesan buruk bukan hanya kepada murid tetapi juga kepada kredebiliti dan integriti sistem pendidikan negara.
- Apakah yang dimaksudkan dengan peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan apakah kaedah tertentu dan instrumen tertentu dalam definisi ini? InsyaAllah akan saya jelaskan nanti pada penulisan yang akan datang.
- Sehingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru dan juga peminat yang melayari blog saya ini. Terima kasih.
Dr. Hazim.
Assalamualaikum wbrt.
- Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk kita bertemu lagi pada masa dan ruang ini. Apa yang baik, semuanya dari Allah dan jadikanlah panduan dan yang tidak baik, semuanya dari kelemahan saya sendiri, jadikanlah sempadan.
- Menelusuri apa yang telah saya tuliskan selama ini, apa yang saya bentangkan adalah berpandukan sekadar ilmu yang ada pada diri ini dari pembelajaran dalam bidang ini dan juga daripada pengalaman dan ilmu yang ditimba sepanjang perkhidmatan yang sebahagian besarnya dalam bidang ini. Saya merasa bertuah kerana sepanjang perkhidmatan, saya mendapat banyak ilmu dan kemahiran daripada tokoh-tokoh yang berpengalaman dalam bidang ini seperti arwah Tn. Hj Ali Ithnin, En Azamuddin Mafizullah, En. Omar Man, Hjh. Mazni Mat Salleh, Pn Marlin Karim dan Pn Khamsiah Sabtu serta rakan seperjuangan seperti Dr. Khodori Ahmad dan Dr. Jamil Adimin. Begitu juga saya berpeluang berkhidmat dengan beberapa orang pengarah yang amat memahami dan menghayati bidang ini terutamanya arwah Dato Yaacob Idris dan Datu Adi Badiozaman Tuah. Tokoh-tokoh inilah yang memberikan seluas-luas ruang buat pegawai LP menimba ilmu di merata dunia dan membangunkan sistem pentaksiran negara hari ini.
- Berdasarkan semangat daripada tokoh-tokoh inilah yang memberikan semangat untuk saya mengusahakan penulisan ini, sekurang-kurangnya dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan guru semua dan menambah ilmu dalam bidang pendidikan di negara kita.
- Penulisan konsep SPPK yang saya huraikan di sini adalah berdasarkan konsep asal yang dibangunkan oleh LP hasil daripada beberapa persidangan nasional dan antarabangsa yang dikendalikan oleh LP, pertemuan dengan wakil semua golongan yang terlibat dengan pendidikan seperti pengetua, guru besar, guru-guru, PIBG, murid, NGO, pensyarah dan tokoh pendidikan tempatan dan luar negara, serta hasil lawatan sambil belajar serta kursus yang disertai oleh pegawai LP dalam dan luar negara. Mungkin juga ada para rakan guru di sini yang pernah terlibat dalam proses pembangunan konsep ini, dan sumbangan mereka amat dihargai. Mungkin terdapat perbezaan daripada konsep asal dan pelaksanaan, namun perbezaan itu tidaklah begitu signifikan dan tidak menjejas roh asal SPPK.
Nilai
- Meneruskan lagi penulisan saya tentang apa yang ditaksir, nilai merupakan konstruk terakhir yang akan saya bicarakan. Konstruk nilai merangkumi nilai-nilai baik atau murni dalam kehidupan manusia, tanpa mengira ras atau suku kaum, pegangan agama atau lokaliti. Nilai baik bersifat universal, merangkumi keseluruhan kehidupan untuk menjadikan keluarga, masyarakat, negara dan juga dunia tempat yang lebih baik untuk dihuni.
- Kita menerima nilai-nilai baik yang universal, iaitu yang boleh diterima dalam semua agama, ras, suku kaum atau lokaliti. Bagi yang kurang sesuai, kita menerima itu sebagai realiti perbezaan yang lumrah pada kalangan kumpulan manusia yang berbeza ras dan etnik , pegangan agama dan kepercayaan serta lokaliti. Kita akur dengan perbezaan ini. Nilai baik yang kita terima bersama merangkumi bentuk hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam sekitar dan sesama manusia.
- Nilai baik bukan setakat mengetahui (pengetahuan) dan memahami (kefahaman), tetapi ia juga meliputi amalan dan penghayatan (internalisasi). Nilai tidak boleh ditaksir seperti mentaksir aspek kognitif murid yang menggunakan kertas dan pensil, kerana kebolehpercayaan skor amat rendah. Seorang murid yang memperoleh A dalam kertas Pendidikan Moral umpamanya, belum tentu memiliki moral yang juga A kerana skor yang diperolehi hanya berdasarkan jawapan yang diberi dalam instrumen pentaksiran. Item dalam instrumen pentaksiran tidak mempunyai korelasi yang tinggi dengan amalan. Penjenayah pun akan berkata melakukan jenayah itu tidak baik apabila disoal. Bagaimana untuk mentaksir nilai-nilai baik ini akan saya sentuh apabila membicarakan tentang cara-cara mentaksir nanti, insyaAllah.
- Dalam sistem pendidikan negara, nilai-nilai murni seharusnya diterapkan melalui semua mata pelajaran dan aktiviti yang dijalankan di sekolah. Selain daripada itu, pengukuhan nilai-nilai murni juga direalisasikan melalui mata pelajaran pendidikan Islam bagi murid Islam dan mata pelajaran Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam. Namun kekangan masa dan keterujaan pihak sekolah dan ibu bapa terhadap peperiksaan pusat membuatkan pembinaan nilai-nilai murni dalam diri pelajar menjadi bukan prioriti. Nilai-nilai murni ini hanya merupakan perkara yang diajar dalam bilik darjah, tidak lebih daripada itu.
- Nilai murni adalah perkara yang seharusnya ditanam dalam diri murid oleh semua yang terlibat dalam pendidikan, sama ada guru kelas, guru mata pelajaran, guru sukan, guru muzik, guru kokurikulum, pentadbir dan juga ibu bapa dan penjaga serta massa sepanjang masa. Nilai murni harus bermula dari rumah, di mana murid ditanamkan sifat-sifat baik ini terhadap keluarga sendiri, kaum kerabat, masyarakat, terhadap alam sekitar, terhadap makhluk lain dan terhadap Tuhan. Sekolah harus memperkasakan pemerolehan nilai-nilai murni ini pada kalangan murid dan berusaha ke arah pencapaian tertinggi nilai-nilai murni ini. Kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara bergantung kepada kejayaan semua pihak menerapkan nilai-nilai murni ini ke dalam diri murid yang akhirnya nanti akan menjadi anggota masyarakat yang berperanan.
- Pentaksiran berperanan melihat sejauh mana setiap murid memiliki nilai-nilai murni ini, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan harian tanpa pengawasan mana-mana pihak. Kerana itu pentaksiran harus berlaku sepanjang masa, membetulkan kesalahan yang dilakukan, menanamkan nilai-nilai baru dan memperkukuhkannya. Pendidik tidak harus menunggu waktu kelas untuk memupuk nilai. Penerapan nilai-nilai murni ini bermula di persekitaran sekolah seperti membuang sampah ditempat yang dikhaskan, menghormati guru, rakan, pentadbir dan pelawat, menjaga keharmonian perhubugan sesama rakan, menjaga kecantikan sekolah, memelihara tanaman dan bunga-bungaan, beratur semasa membeli di kantin atau naik bas sekolah dan membantu secara sukarela, samada kepada guru atau dalam aktiviti yang lain.
- Banyak senario yang sering kita lihat menunjukkan kurangnya nilai-nilai murni ini dalam diri murid dan juga masyarakat kita. Sewaktu mengekori sebuah bas sekolah selepas tamat waktu persekolahan, lumrahnya murid-murid dalam bas tidak duduk diam dikerusinya tetapi bermain dan berlari dalam bas. Sepanjang perjalanan, pembungkus makanan, tin minuman, dan kertas tisu di campak keluar dari bas. Bermain di fikiran, kenapa ini terjadi, gagalkah kita mendidik anak-anak kita itu dari aspek disiplin, keselamatan dan kebersihan alam sekitar? Pada senario yang lain, dalam satu perjalanan jauh, kita melihat kereta di hadapan kita membuang kulit rambutan, langsat dan manggis di sepanjang perjalanan. Di tambah lagi dengan pembuangan kertas tisu, puntong rokok, kotak dan tin minuman dan kertas pembalut. Jika sebuah kereta membuang kulit 2 kilo rambutan, 2 kilo langsat dan 2 kilo manggis, bayangkan amaun kulit rambutan, langsat dan manggis yang berada di atas jalan raya sekiranya 100 buah kereta melakukan perkara yang sama. Di mana silapnya sistem pendidikan kita hingga melahirkan masyarakat sebegini. Kita perlukan transformasi pendidikan.
- Ini merupakan contoh kecil sedangkan di luar sana kerosakan moral dalam masyarakat dan kemusnahan bumi sudah mencapai skala mega yang amat membimbangkan. Nilai-nilai kemanusiaan sudah musnah. Kita tidak harus menuju ke arah yang sama. Masih tedapat banyak negara yang dapat mengimbangi nilai-nilai kemanusiaan dan pengekalan alam sekitar.
- Justru, kita harus keluar daripada paradigma lama tentang pendidikan di negara kita ini. Pendidikan bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat. Peperiksaan pusat sebenarnya menyekat inovasi dan kreativiti guru. Peperiksaan pusat menidakkan pendidikan yang sebenar. Tanpa peperiksaan pusat kita melihat banyak negara masih mampu bergerak maju ke hadapan. Kerana itu kita harus mengembalikan pendidikan ke sekolah. Terlalu lama kita telah mengabaikan aspek kemahiran dan nilai dalam pembangunan diri murid. Untuk abad ke 21, banyak negara sudah menghalakan matlamat pendidikan mereka ke arah pembangunan kemahiran insaniah, membangunkan diri murid supaya berani, mampu bersaing, mampu merekacipta, memiliki sahsiah yang murni, memiliki ilmu yang sewajarnya dan peka dengan alam sekitarnya. Kemahiran abad ke 21 tidak lagi boleh bergantung kepada peperiksaan pusat.
- Setakat ini catatan saya buat kali ini tentang nilai. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru.
Dr. Hazim.