Friday, 19 June 2020

Pendidikan dan Pentaksiran semasa PKPB

Assalamualaikum wbrt.


  1. Selamat bertemu lagi para sahabat. Menyambung kembali penulisan tentang pendidikan dan pentaksiran semasa tempoh abnormal pandemik covid19 ini, saya ingin meneruskan dengan menyentuh persoalan yang kedua yang saya kemukan dalam penulisan terdahulu.iaitu berubahkah sistem pentaksiran pendidikan apabila PKP dilaksanakan?
  2. Sebagaimana pendidikan, pentaksiran juga merupakan proses, bukan  sesuatu yang one-off.  Justru, tiada beza sama ada waktu normal biasa atau waktu abnormal sekarang, pentaksiran seharusnya berjalan seiring dengan pendidikan yang diperolehi oleh murid, walau di mana pun murid itu memperoleh pendidikannya. Mungkin bagi massa, pentaksiran ialah peperiksaan yang menghasilkan keputusan 9 atau 10 A+. Memahami pentaksiran sebagai peperiksaan, adalah tanggapan yang amat salah. Pentaksiran lebih luas daripada peperiksaan. 
  3. Untuk memahami pentaksiran pendidikan, kita harus faham tentang  konsepnya. Ini ada saya huraikan dalam penulisan saya yang terdahulu dalam blog ini. Ini termasuklah persoalan tentang apa dia pentaksrian, bila pentaksiran dilaksanakan, di mana pentaksiran dilakukan, siapa yang melakukan pentaksiran, bagaimana skor pentaksiran, dan bagaimana bentuk pelaporan pentaksiran.  Dengan memahami konsep pentaksiran pendidikan ini, kita tidak akan tersasar dalam pemahaman dan pelaksanaannya. Huraian yang lebih jelas dan mendalam boleh didapati dalam buku saya, Pentaksiran Pendidikan, Teori dan Praktis.yang diterbitkan dalam tahun 2016 yang boleh diperolehi di kedai buku Pustaka Mukmin di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Putrajaya.
  4. Pentaksiran dilakukan untuk mendapatkan maklumat tentang seseorang murid. Apa maklumatnya? Apa sahaja tentang murid yang menceritakan secara sahih tentang murid tersebut. Dalam dasar pendidikan negara, semua ini terkandung dalam FPK.  JERI + Kemahiran Sosial (KS) merupakan rangkuman matlamat pendidikan negara yang mencirikan sifat murid yang ingin dilahirkan daripada sistem pendidikan kita. Jika JERI+KS berjaya bermakna murid yang dilahirkan merupakan murid yang seimbang dari segi akademik dan bukan akademik. Murid yang memiliki kecemerlangan dalam semua aspek. 
  5. Tapi bagaimanakah kita menentukan seseorang murid itu telah menguasai kesemua atau sebahagian besar ilmu dan kemahiran yang dihasratkan? Terdapat perbezaan dalam mendapatkan maklumat antara bidang intelek (akademik) dengan yang lain-lainnya
  6. Bertanya soalan? memberi ujian atau peperiksaan? Sekiranya seseorang murid itu berjaya memperoleh 100%  dalam peperiksaan bagi mata pelajaran Pendidikan Moral, bolehkah kita katakan yang murid itu moralnya 100% baik atau A+. Jika seseorang murid itu berjaya memperoleh 100% bagi kertas peperiksaan geografi atau sejarah, adakah murid itu sudah menguasai 100% ilmu dan kemahiran dalam mata geografi atau sejarah?  Sedangkan kertas peperiksaan itu hanya mengandungi 60 item.
  7. Teori peperiksaan klasikal berdasarkan andaian. Setiap kertas peperiksaan menggunakan Jadual Spesifikasi Ujian dan pensampelan konstruk dan konteks. Empat item tentang Malaysia dalam satu kertas Geografi 60 item misalnya, dan murid berjaya memberikan respons yang tepat  kesemua item tersebut, maka diandaikan murid tersebut sudah menguasai tentang geografi Malaysia. Boleh dipercayai? 
  8. Ketepatan andaian sebenarnya bergantung kepada kerja-kerja persediaan dan prosedur yang amat ketat dan sulit dan mengambil masa yang panjang dengan pensampelan yang agak besar daripada populasi bagi mendapatkan statistik yang boleh dipercayai. Setiap instrumen seharusnya mempunyai pensampelan yang mewakili kesemua ilmu dan kemahiran yang ada dalam satu-satu bidang dan mempunyai keesahan dan darjah kebolehcayaan yang amat tinggi.
  9. Peperiksaan telah menjadi kaedah yang paling popular dalam mendapatkan maklumat akademik murid. Dan inilah juga yang dijadikan kayu ukur kejayaan murid dalam pendidikan selama ini. Namun, pemikiran sebegini amat salah. Maklumat daripada satu sahaja aspek daripada 5 yang disenaraikan dalam JERI+KS sebenarnya amat canggung, banyak kelompongan dan ketidak tepatan maklumat.
  10. Apabila kita melihat aspek jasmani, emosi, rohani dan kemahiran sosial, di manakah ilmu dan kemahiran tentang aspek-aspek ini diperolehi?  Pastinya bukan hanya disekolah. Guru hanya berada dengan setiap murid dalam konteks masa yang amat terhad semasa di sekolah. Andai seorang guru mengajar 200 orang murid dari 5 kelas, bayangkan berapa contact hour seorang guru dengan setiap muridnya? Seorang guru mata pelajaran khusus hanya memasuki satu-satu kelas beberapa kali sahaja dalam seminggu. Berupayakah seorang guru untuk mentaksir 200 orang murid nya dari segi moral, rohani, jasmani atau kemahiran sosialnya dalam persekitaran dan contact hour yang amat terhad? Dan sebahagian besar  aspek ini tidak boleh atau tidak berupaya ditaksir menggunakan kaedah kertas dan pensil semata-mata.
  11. Justru, sebahagian besar ilmu dan kemahiran tentang aspek-aspek ini diperoleh oleh murid dari keluarga di rumah dan persekitarannya, seperti saudara mara, rakan sebaya, jiran, surau/ masjid atau rumah ibadat, dan persatuan/ kelab. Rumah dan keluarga merupakan batu asas  utama dalam pembentukan fizikal dan sahsiah  seseorang murid.
  12. Siapa pula yang akan mentaksir, bila dan bagaimana untuk melaporkannya? Seperti yang saya nyatakan di atas, pentaksiran berlaku seiring dengan pembelajaran, maka pihak yang paling tepat untuk mentaksir ialah susuk yang memberikan pendidikan seperti ibu bapa, rakan sebaya, saudara mara, jiran, ahli surau/ masjid atau rumah-rumah ibadah, dan ahli-ahli persatuan/ kelab. Nampak janggal dan tidak menyakinkan? Sebab minda kita selama ini dipengaruhi oleh minda peperiksaan, kita meragui apabila sesuatu yang diluar kebiasaan, diluar kotak dikemukakan. Ibu bapa/penjaga terutamanya, mereka harus menerima hakikat bahawa rumah dan keluarga adalah tapak di mana asas pembentukan jiwa dan identiti diri anak-anak dibentuk.
  13. Pernahkah kita lihat pekerja pembersihan di sekolah menegur dan memberi tunjuk ajar kepada murid yang mungkin membuang sampah dihadapan mereka, atau tukang kebun yang menegur dan menasihati murid apabila mereka merosakkan pokok bunga hiasan di sekolah?  Contoh yang amat kecil namun mereka sebenarnya menjalankan proses pendidikan  dan pentaksiran pada masa yang sama. Mereka juga sebahagian daripada proses pendidikan dan pentaksiran murid. Mereka juga terlibat dalam menyalurkan maklunat tentang murid kepada pihak yang berkaitan. Pendidikan, terutama bidang bukan akademik tidak semestinya terikat kepada kurikulum formal kerana semesta ilmu dan kemahiran bidang bukan akademik melampaui batas kurikulum formal yang sifatnya memang amat terhad litupannya.
  14. Guru Al-Quran, imam, penceramah, jiran, ahli persatuan, dan juru latih sukan merupakan antara contoh lain di mana pendidikan dan pentaksiran boleh berlaku pada masa yang sama. Kita mentaksir, mendidik, mentaksir, mendidik - dan proses ini berjalan sepanjang masa. Melalui pentaksiran kita membentuk dan meneguhkan aspek sahsiah diri anak-anak dan menyediakan mereka kemahiran bersosial  yang positif , dengan persekitaran semasa dan juga masa akan datang. Di sini mereka dididik dengan jati diri, kesetiaan, keberanian, kejujuran, keikhlasan, kematangan, serta aspek-aspek kerohanian dan jasmani yang akan menjadikan mereka manusia yang terbaik dalam apa jua keadaan dan bidang yang diceburi pada masa akan datang. Namun, wibawa susuk yang mendidik dan mentaksir juga harus diambil kira bagi mengawal kesasihan  dan ketepatan maklumat yang disalurkan.
  15. Pelaporan tidak semestinya dalam bentuk gred dan markah tetapi boleh dalam bentuk lisan dan juga tulisan yang mungkin dilaporkan kepada ibu bapa, guru, atau sesiapa yang dipertanggung jawabkan.  Dalam sistem pendidikan formal, guru yang dipertanggung jawabkan seharusnya menghasilkan pelaporan akhir murid dalam bentuk bertulis, dan pada guru yang dipertanggung jawabkan inilah  terhimpunnya semua maklumat ini. Maklumat ini boleh diperolehi oleh guru daripada sumber-sumber yang berkaitan melalui kaedah yang telah  difahami dan dipersetujui bersama. 
  16. Memang apa yang dituliskan merupakan situasi yang ideal, Guru mempunyai masa yang terhad dalam interaksi dengan murid, apatah lagi dengan banyak pihak lain di luar bilik darjah yang memiliki maklumat tentang murid. Justru, mekanisma tertentu harus diwujudkan oleh pihak2 yang berkepentingan bagi membolehkan perkara ini berlaku. Ini tidak dapat dihuraikan atau dibincangkan secara mendalam di sini kerana ruang dan masa yang terhad.  Mustahil? Tidak mustahil sekiranya ada prosedur tertentu yang difahami dan dipersetujui  bersama yang akhirnya akan menjadi amalan masyaryang diakat. Tapi memang sukar.
  17. Bolehkah dilaporkan secara bertulis?  Sememangnya dalam sistem pendidikan formal, pelaporan akhir dalam bentuk penulisan  dan ini dilakukan oleh mereka yang dipertanggung jawabkan selepas  terhimpunnya  sebanyak mungkin maklumat tentang murid tersebut. Untuk digred? Ini juga mungkin boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggung jawab tetapi setiap gred harus boleh menceritakan tentang sifat atau keupayaan sebenar murid tersebut.  Begitu juga, bukti pencapaian murid seperti juara debat negara, juara larian pecut 100 meter, penghasilan karya sastera peringkat negara disertakan. Setiap gred ada penjelasannya. Bukan setakat A+ tanpa sebarang huraian atau indikator.
  18. Keesahan dan kebolehpercayaan skor? Tidak bergantung kepada data statistik tetapi berdasarkan kepada konsep lebih banyak maklumat yang menceritakan tentang seseorang murid itu, semakin boleh dipercayai maklumat tentang murid tersebut. Sumber maklumat juga harus  susuk yang boleh dipercayai, dan  melalui kaedah  dan prosedur yang  telah dipersetujui. 
  19. Setakat ini buat kali ini. Apa yang dituliskan merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak. Sekiranya ia memberi manafaat dan kemungkinan terhasilnya  pemikiran baru tentang pendidikan dan pentaksiran ia amat dihargai. Penulis juga tidak berkecenderungan untuk mempengaruhi mana-mana pihak untuk menerima pandangan ini, Setakat lemparan idea demi pendidikan anak-anak dan pendidikan negara.  Terima kasih.

Dr. Hazim












Friday, 5 June 2020

Assalamualaikum wbth.
  1. Selamat bertemu kembali rakan2 semua. Dalam suasana abnormal sekarang, di mana norma kehidupan yang  biasa kini tidak lagi dapat diurus seperti kebiasaannya, kita harus menerima semua ini dengan berlapang dada. InsyaAllah ada hikmah di sebalik apa yang kita lalui sekarang. Jadual kehidupan kita dan keluarga kini harus diselaraskan dengan situasi semasa. 
  2. Tidak terkecuali bidang pendidikan.  Terlalu banyak yang harus disuaikan dengan environmen baru. Environmen yang abnormal. Bukan hanya di Malaysia, tetapi di hampir semua negara di dunia. Memang terlalu mengejutkan tetapi ia membawa banyak implikasi. Namun kita harus melihat aspek positifnya melebehi yang negatif. 
  3. Sebenarnya banyak hikmah daripada penularan covid19 ini. Hikmah daripada kesukaran yang dilihat pada permulaan krisis. Apabila sekolah ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, anak-anak dan ibu bapa berada di rumah sepenuh masa. Apabila anak-anak tidak ke sekolah, ibu bapa jadi tidak keruan. Apabila ibu bapa disaran mendidik anak-anak di rumah, ada ibu bapa yang hampir histeria. Baru mereka menyedari bagaimana berat tanggung jawab yang dipikul oleh guru sekolah dalam mendidik anak-anak. Anak-anak yang bermula dari sifar dari segi ilmu dan kemahiran sewaktu masuk ke sekolah, keluar dengan ilmu dan kemahiran yang membolehkan mereka hidup dan berjaya di akhir pembelajaran.
  4. Berubahkah Pendidikan apabila PKP dilaksanakan?  Berubahkah pentaksiran pendidikan apabila PKP dilaksanakan? Berubahkah peranan guru dan sekolah dalam masa PKP? Soalan-soalan ini kritikal kerana massa ingin tahu jawapannya. 
  5. Bagi persoalan yang pertama, harus difahami  konsep pendidikan dan bagaimana proses pendidikan berlaku. Pendidikan adalah proses, bukan sesuatu yang one-off.  Pendidikan boleh berlaku di mana sahaja dan dilaksanakan oleh sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa. Pendidikan melibatkan proses pembinaan insan untuk menjadikan seseorang itu manusia yang terbaik di dunia dan akhirat. Jika memandang pendidikan sebagai pencapaian A dalam peperiksaan ia merupakan tanggapan yang amat salah.
  6. Justru, pendidikan boleh berlaku di rumah juga, bukan hanya di sekolah. Pendidikan bukan hanya tentang akademik, tetapi juga bidang bukan akademik. Pada asasnya, ibu bapa atau penjagalah yang menjadi asas utama pendidikan anak-anak. 
  7. Untuk memudahkan pemahaman, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) boleh dijadikan rujukan utama kerana apa yang terkandung dalam FPK merupakan litupan keseluruhan pendidikan.Anak-anak umpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggung jawab mewarnai kehidupan anak-anak tersebut pada masa depan. Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek  (JERI) serta Kemahiran Sosial merupakan  bidang-bidang yang perlu diisi dalam jiwa anak-anak.
  8. Sukar kepada ibu bapa atau penjaga? Kalau pendidikan dipandang sebagai kejayaan dalam peperiksaan, ia memang sukar. Tetapi sebenarnya pendidikan merupakan tanggung jawab hakiki ibu bapa atau penjaga. Intelek hanya satu daripada lima kemahiran yang perlu ditanam dalam diri anak-anak. Intelek dikaitkan dengan akademik dan bidang akademik terlalu luas. Subjek di sekolah hanya kaedah untuk memudahkan pengurusan pengajaran dan pembelajaran (pdp) dan dalam dunia hari ini bidang ilmu tiada sempadan dan sentiasa bertambah setiap detik. Kurikulum yang didokumenkan amat terhad dan sering tidak relevan dengan keadaan semasa kerana perkembangan ilmu yang terlalu pantas. Dan hari ini ilmu boleh diperoleh di hujung jari. Walaupun ada keluarga yang tidak mempunyai akses terhadap internet, tetapi sebahagian besar memiliki smart phone. Cuma yang perlu dilaraskan ialah sikap ibu bapa atau penjaga yang memberikan sedikit pemberatan terhadap hal ini daripada hanya menggunakan smart-phone sebagai peranti hubungan sosial.
  9. Sukarkah ibu bapa atau penjaga untuk mendidik anak-anak daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan kemahiran sosial? Jika kita menganggap ia berat, maka menjadi beratlah ia. Inilah kunci kepada kejayaan hidup seseorang anak pada masa depan. Pemerolehan ilmu dalam bidang akademik , seperti yang saya sebut sebelum ini, bergantung kepada kemahuan dan disiplin diri,  mahu atau tidak.  Jangan menganggap hanya institusi sekolah yang bertanggung jawab mendidik anak-anak. Kita semua bertanggung jawab.
  10. Sekian buat kali ini. Ada lagi beberapa persoalan yang ingin saya kongsikan bersama dan insyaAllah pada penulisan akan datang saya akan menyentuhnya. Jika ada sebarang kebaikan daripada penulisan-penulisan saya ini, saya hadiahkan kepada arwah ayah dan ibu saya,para guru yang mendidik dan memberi ilmu kepada saya dan kepada semua yang terlibat menjadikan saya pada hari ini secara langsung atau tidak langsung.  Akhir kalam,salam ikhlas dari saya untuk semua. 

Dr. Hazim.

Wednesday, 13 May 2020

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN : LINUS


Assalamualaikum wbrt.


  1. Bertemu lagi para sahabat semua. Pertama-tamanya saya ingin menyusun jari sepuluh kerana sudah terlalu lama tidak memuat naik tulisan saya dalam blog ini. Bukan untuk mencari alasan tetapi kita hanya merancang, Allah menentukan. Kita cuba untuk menggunakan masa yang dianugerahkan Allah sebaik mungkin, terutama pada usia yang semakin meningkat.  Dengan kudrat yang semakin menurun, saya bersyukur ke hadrat Allah kerana masih memberikan semangat dan keupayaan untuk berkongsi apa yang ada pada saya dengan semua.
  2. Buat kesekian kalinya pada ruang dan masa ini , saya meneruskan penulisan  tentang LINUS.  Seperti yang saya katakan pada penulisan yang lepas, LINUS mempunyai matlamat yang amat murni dan peranan guru amat penting bagi menjayakannya demi pendidikan anak-anak murid kita. Dan penurunan pelaksanaan LINUS untuk dikendalikan 100%  oleh sekolah memberikan guru satu ruang  terbaik untuk membuktikan profesionalisma keguruan.  Justru guru harus bersedia daripada segi mental dan profesional, ilmu dan kemahiran untuk memastikan program ini berada pada landasan terbaik.
  3. Para guru diharap tidak menganggap LINUS dibatalkan apabila program ini diturunkan ke sekolah. Program ini bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid dan mengambil langkah-langkah perlu untuk membantu murid mengatasi masalah yang dihadapinya. LINUS harus dikekalkan. Jangan simpan LINUS di dalam almari. Sekurang-kurangnya konstruk yang disenaraikan menjadi rujukan untuk guru merangka pengajaran. Setiap guru mempunyai idea,  pendekatan dan kreativiti tersendiri. Manafaatkan semuanya ini demi murid.  PBS memberi ruang masa yang luas kepada guru untuk menghasilkan produk yang terbaik. 
  4. Dalam inisiatif yang dikemukakan oleh menteri Pendidikan pada 14 Januari 2019 bagi mengurangkan bebanan kerja guru, turut disentuh tentang LINUS. Dengan pemansuhaan peperiksaan tahap satu, guru diberi ruang untuk merangka sendiri pelaksanaan LINUS mengikut kesesuaian murid.  Ini sebenarnya merupakan intipati pentaksiran pendidikan dan PBS.  Langkah ini  amat bertepatan dengan hasrat pentaksiran pendidikan di mana murid  seharusnya ditaksir secara real, secara berterusan dan dalam suasana yang tidak tertekan untuk menghasilkan maklumat yang tepat dan autentik dalam memastikan perkembangan dan pembangunan diri murid yang positif.
  5. Sebelum meneruskan penulisan tentang  LINUS ini, saya ingin menyentuh sedikit tentang langkah KPM memansukhkan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid sekolah rendah, khususnya untuk murid tahap satu. Sekiranya  guru  memahami konsep pentaksiran dengan jelas langkah ini bukan sesuatu yang pelik dan menimbulkan konflik. Konsep pentaksiran telah saya huraikan dengan panjang lebar sebelum ini, termasuklah tentang apa dia pentaksiran, bagaimana mentaksir, bila mentaksir, siapa mentaksir dan bagaimana pentaksiran harus dilaporkan. Banyak cara boleh digunakan untuk mentaksir, bukan hanya peperiksaan, tetapi juga pendekatan lain  seperti pemerhatian, ujian pendek, kuiz, temu bual, persembahan, hasil kerja dan pencapaian luar biasa. Pentaksiran memaknakan pendidikan dan memertabatkan  profesional keguruan.
  6. Kita harus menerima perubahan ini dengan positif. Kita harus memaknakan pendidikan, melahirkan murid yang menyeluruh bukan menghasilkan murid yang tempang, tidak seimbang antara keupayaan kognitif dan bukan kognitif. Pendidikan alaf baru tidak semata-mata melihat murid yang cemerlang dalam peperiksaan pusat dengan A penuh, tetapi aspek-aspek kemanusiaan, kemasyarakatan, kerjasama, berani, berintegriti, kreatif, produktif  serta banyak lagi aspek-aspek yang diperlukan untuk hidup pada masa akan datang. Ilmu bercambah setiap saat, teknologi berubah pantas, dan kita harus menyediakan insan yang berupaya hidup dalam dunia masa hadapan yang amat mencabar. 
  7. Kita telah terlalu lama mengabaikan pendidikan anak-anak kita di atas ketaksuban terhadap peperiksaan pusat dan pencapaian akademik semata-mata. Peperiksaan pusat menjadikan sistem pendidikan kita pincang dan akhirnya menghasilkan manusia yang juga pincang, baik atau cemerlang dalam satu aspek pendidikan sahaja (akademik/kognitif) tetapi terabai dalam aspek pendidikan yang lain, khususnya aspek rohani dan jasmani. Kita tersasar jauh daripada makna pendidikan itu sendiri. Pendidikan seharusnya melahirkan manusia yang terbaik dalam segala aspek kehidupan, akademik dan juga bukan akademik.  
  8. Namun, terdapat banyak kekeliruran pada kalangan masyarakat dan juga pengurusan tertinggi tentang pentaksiran. Kemasukan ke sekolah terpilih untuk Tingkatan Satu masih lagi menggunakan keputusan 6A dalam UPSR, maklumat lain dalam PPSR seolah tidak bermakna.  Pentaksiran PT3 sudah kembali menjadi peperiksaan pusat dan maklumatnya dibanding-bandingkan antara murid dan sekolah.  Terlalu banyak kecelaruan antara konsep asal dengan pelaksanaan. Setiap program dirancang  dengan rapi tetapi minda yang taksub dengan peperiksaan pusat menjerumuskan program yang baik ini kembali ke arah kitaran lama.  Sepatutnya kemasukan murid ke sekolah-sekolah terpilih ini seharusnya berdasarkan murid yang cemerlang dalam kesemua bidang pendidikan, 'all rounder', bukan cemerlang akademik semata-mata.
  9. Apabila LINUS dibangunkan, persoalan utama ialah tentang apakahkah parameter bagi literasi dan numerasi yang boleh diguna pakai khususnya bagi pendidikan rendah. Satu batasan harus ditetapkan untuk kita boleh mengatakan seseorang murid itu telah menguasai  satu-satu bahasa atau subjek matematik pada aras paling asas sekali. 12 konstruk ditetapkan dan sekiranya murid melepasi 12 konstruk ini, bermakna mereka telah menguasai batas terendah dalam bahasa dan matematik untuk membolehkan mereka meningkatkan lagi penguasaan pada peringkat lebih tinggi pada masa akan datang. 
  10. Keupayaan  murid untuk menguasai kesemua 12 konstruk ini bergantung kepada sifat individu itu sendiri. Ada murid yang mungkin telah menguasai kesemua konstruk ini semasa memasuki tahun pertama persekolahan rendah, ada yang mungkin mampu menguasainya dalam tempoh 6 bulan, atau satu tahun, atau dua tahun atau lebih lama lagi. Pentaksiran memberikan maklumat tentang murid  dan berdasarkan maklumat inilah guru seharusnya mengenal pasti masalah murid, mengambil tindakan sewajarnya di mana perlu dan mengatur strategi pengajaran yang terbaik untuk muridnya. Guru harus berani mencuba dan kreatif  berkarya dalam bilik darjah.
  11. Memang pada teorinya nampak mudah namun pelaksanaannya sebenarnya amat mencabar. Pengurusan kelas menjadi perkara yang amat kritikal. Guru terpaksa berhadapan dengan kepelbagaian keupayaan murid dalam satu kelas. Justru, guru perlu mengambil masa dalam melaksanakan tanggung jawab ini. Itulah rasionalnya kenapa peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun harus dimansuhkan.  
  12. Ini juga rasional kenapa kurikulum tidak sepatutnya dipaksikan kepada tahun pembelajaran tetapi amat  cantik sekiranya dikelaskan mengikut tahap. Bagi tiga tahun pertama persekolahan anak-anak  tidak sepatutnya dibebankan dengan pelbagai mata pelajaran khusus tetapi sewajarnya diberikan pendidikan asas menulis, membaca dan mengira, moral, rohani, kenegaraan dan adab. Guru tidak perlu mengejar kurikulum tetapi mendidik anak-anak mengikut keupayaan dan kecenderungan dalam jangka masa yang ditetapkan. Jadikan mereka manusia sebelum dibekalkan dengan ilmu yang khusus.
  13. Rasanya saya akan menutup penulisan tentang LINUS dan insyaAllah akan menulis hal-hal lain berkaitan pendidikan mutakhir jika diizinkan Allah. Apa yang saya sampaikan setakat ini merupakan konsep asal LINUS semasa pembentukannya. Mungkin peredaran waktu telah mengubah apa yang diperkatakan, namun sekurang-kurangnya ada pengetahuan yang boleh memberi kefahaman kepada massa terutama para pendidik tentang pembangunan pendidikan di negara kita. 
  14. Akhir kata sekiranya terdapat kekeliruan dan kesalah fahaman tentang apa yang saya tulis selama ini, saya mohon maaf. Hingga bertemu lagi, insya Allah, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.