Assalamualaikum wbrt.
- Bertemu lagi para sahabat semua. Pertama-tamanya saya ingin menyusun jari sepuluh kerana sudah terlalu lama tidak memuat naik tulisan saya dalam blog ini. Bukan untuk mencari alasan tetapi kita hanya merancang, Allah menentukan. Kita cuba untuk menggunakan masa yang dianugerahkan Allah sebaik mungkin, terutama pada usia yang semakin meningkat. Dengan kudrat yang semakin menurun, saya bersyukur ke hadrat Allah kerana masih memberikan semangat dan keupayaan untuk berkongsi apa yang ada pada saya dengan semua.
- Buat kesekian kalinya pada ruang dan masa ini , saya meneruskan penulisan tentang LINUS. Seperti yang saya katakan pada penulisan yang lepas, LINUS mempunyai matlamat yang amat murni dan peranan guru amat penting bagi menjayakannya demi pendidikan anak-anak murid kita. Dan penurunan pelaksanaan LINUS untuk dikendalikan 100% oleh sekolah memberikan guru satu ruang terbaik untuk membuktikan profesionalisma keguruan. Justru guru harus bersedia daripada segi mental dan profesional, ilmu dan kemahiran untuk memastikan program ini berada pada landasan terbaik.
- Para guru diharap tidak menganggap LINUS dibatalkan apabila program ini diturunkan ke sekolah. Program ini bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid dan mengambil langkah-langkah perlu untuk membantu murid mengatasi masalah yang dihadapinya. LINUS harus dikekalkan. Jangan simpan LINUS di dalam almari. Sekurang-kurangnya konstruk yang disenaraikan menjadi rujukan untuk guru merangka pengajaran. Setiap guru mempunyai idea, pendekatan dan kreativiti tersendiri. Manafaatkan semuanya ini demi murid. PBS memberi ruang masa yang luas kepada guru untuk menghasilkan produk yang terbaik.
- Dalam inisiatif yang dikemukakan oleh menteri Pendidikan pada 14 Januari 2019 bagi mengurangkan bebanan kerja guru, turut disentuh tentang LINUS. Dengan pemansuhaan peperiksaan tahap satu, guru diberi ruang untuk merangka sendiri pelaksanaan LINUS mengikut kesesuaian murid. Ini sebenarnya merupakan intipati pentaksiran pendidikan dan PBS. Langkah ini amat bertepatan dengan hasrat pentaksiran pendidikan di mana murid seharusnya ditaksir secara real, secara berterusan dan dalam suasana yang tidak tertekan untuk menghasilkan maklumat yang tepat dan autentik dalam memastikan perkembangan dan pembangunan diri murid yang positif.
- Sebelum meneruskan penulisan tentang LINUS ini, saya ingin menyentuh sedikit tentang langkah KPM memansukhkan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid sekolah rendah, khususnya untuk murid tahap satu. Sekiranya guru memahami konsep pentaksiran dengan jelas langkah ini bukan sesuatu yang pelik dan menimbulkan konflik. Konsep pentaksiran telah saya huraikan dengan panjang lebar sebelum ini, termasuklah tentang apa dia pentaksiran, bagaimana mentaksir, bila mentaksir, siapa mentaksir dan bagaimana pentaksiran harus dilaporkan. Banyak cara boleh digunakan untuk mentaksir, bukan hanya peperiksaan, tetapi juga pendekatan lain seperti pemerhatian, ujian pendek, kuiz, temu bual, persembahan, hasil kerja dan pencapaian luar biasa. Pentaksiran memaknakan pendidikan dan memertabatkan profesional keguruan.
- Kita harus menerima perubahan ini dengan positif. Kita harus memaknakan pendidikan, melahirkan murid yang menyeluruh bukan menghasilkan murid yang tempang, tidak seimbang antara keupayaan kognitif dan bukan kognitif. Pendidikan alaf baru tidak semata-mata melihat murid yang cemerlang dalam peperiksaan pusat dengan A penuh, tetapi aspek-aspek kemanusiaan, kemasyarakatan, kerjasama, berani, berintegriti, kreatif, produktif serta banyak lagi aspek-aspek yang diperlukan untuk hidup pada masa akan datang. Ilmu bercambah setiap saat, teknologi berubah pantas, dan kita harus menyediakan insan yang berupaya hidup dalam dunia masa hadapan yang amat mencabar.
- Kita telah terlalu lama mengabaikan pendidikan anak-anak kita di atas ketaksuban terhadap peperiksaan pusat dan pencapaian akademik semata-mata. Peperiksaan pusat menjadikan sistem pendidikan kita pincang dan akhirnya menghasilkan manusia yang juga pincang, baik atau cemerlang dalam satu aspek pendidikan sahaja (akademik/kognitif) tetapi terabai dalam aspek pendidikan yang lain, khususnya aspek rohani dan jasmani. Kita tersasar jauh daripada makna pendidikan itu sendiri. Pendidikan seharusnya melahirkan manusia yang terbaik dalam segala aspek kehidupan, akademik dan juga bukan akademik.
- Namun, terdapat banyak kekeliruran pada kalangan masyarakat dan juga pengurusan tertinggi tentang pentaksiran. Kemasukan ke sekolah terpilih untuk Tingkatan Satu masih lagi menggunakan keputusan 6A dalam UPSR, maklumat lain dalam PPSR seolah tidak bermakna. Pentaksiran PT3 sudah kembali menjadi peperiksaan pusat dan maklumatnya dibanding-bandingkan antara murid dan sekolah. Terlalu banyak kecelaruan antara konsep asal dengan pelaksanaan. Setiap program dirancang dengan rapi tetapi minda yang taksub dengan peperiksaan pusat menjerumuskan program yang baik ini kembali ke arah kitaran lama. Sepatutnya kemasukan murid ke sekolah-sekolah terpilih ini seharusnya berdasarkan murid yang cemerlang dalam kesemua bidang pendidikan, 'all rounder', bukan cemerlang akademik semata-mata.
- Apabila LINUS dibangunkan, persoalan utama ialah tentang apakahkah parameter bagi literasi dan numerasi yang boleh diguna pakai khususnya bagi pendidikan rendah. Satu batasan harus ditetapkan untuk kita boleh mengatakan seseorang murid itu telah menguasai satu-satu bahasa atau subjek matematik pada aras paling asas sekali. 12 konstruk ditetapkan dan sekiranya murid melepasi 12 konstruk ini, bermakna mereka telah menguasai batas terendah dalam bahasa dan matematik untuk membolehkan mereka meningkatkan lagi penguasaan pada peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
- Keupayaan murid untuk menguasai kesemua 12 konstruk ini bergantung kepada sifat individu itu sendiri. Ada murid yang mungkin telah menguasai kesemua konstruk ini semasa memasuki tahun pertama persekolahan rendah, ada yang mungkin mampu menguasainya dalam tempoh 6 bulan, atau satu tahun, atau dua tahun atau lebih lama lagi. Pentaksiran memberikan maklumat tentang murid dan berdasarkan maklumat inilah guru seharusnya mengenal pasti masalah murid, mengambil tindakan sewajarnya di mana perlu dan mengatur strategi pengajaran yang terbaik untuk muridnya. Guru harus berani mencuba dan kreatif berkarya dalam bilik darjah.
- Memang pada teorinya nampak mudah namun pelaksanaannya sebenarnya amat mencabar. Pengurusan kelas menjadi perkara yang amat kritikal. Guru terpaksa berhadapan dengan kepelbagaian keupayaan murid dalam satu kelas. Justru, guru perlu mengambil masa dalam melaksanakan tanggung jawab ini. Itulah rasionalnya kenapa peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun harus dimansuhkan.
- Ini juga rasional kenapa kurikulum tidak sepatutnya dipaksikan kepada tahun pembelajaran tetapi amat cantik sekiranya dikelaskan mengikut tahap. Bagi tiga tahun pertama persekolahan anak-anak tidak sepatutnya dibebankan dengan pelbagai mata pelajaran khusus tetapi sewajarnya diberikan pendidikan asas menulis, membaca dan mengira, moral, rohani, kenegaraan dan adab. Guru tidak perlu mengejar kurikulum tetapi mendidik anak-anak mengikut keupayaan dan kecenderungan dalam jangka masa yang ditetapkan. Jadikan mereka manusia sebelum dibekalkan dengan ilmu yang khusus.
- Rasanya saya akan menutup penulisan tentang LINUS dan insyaAllah akan menulis hal-hal lain berkaitan pendidikan mutakhir jika diizinkan Allah. Apa yang saya sampaikan setakat ini merupakan konsep asal LINUS semasa pembentukannya. Mungkin peredaran waktu telah mengubah apa yang diperkatakan, namun sekurang-kurangnya ada pengetahuan yang boleh memberi kefahaman kepada massa terutama para pendidik tentang pembangunan pendidikan di negara kita.
- Akhir kata sekiranya terdapat kekeliruan dan kesalah fahaman tentang apa yang saya tulis selama ini, saya mohon maaf. Hingga bertemu lagi, insya Allah, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.
No comments:
Post a Comment