Monday, 23 July 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN RUJUKAN STANDARD- STANDARD PRESTASI

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk kita bertemu lagi pada ruang dan masa ini bagi meneruskan lagi serba sedikit  pemikiran saya yang tidak seberapa tentang pentaksiran pendidikan.  Maaf, pos saya kali ini agak terlewat dek bahang pilihanraya dan juga Ramadan. Kini semua telah selesai, kita kembali  menjalani hidup dan menjalankan tugas seperti biasa. Pilihan raya merenggangkan banyak hubungan dan Ramadan serta  Syawal seharusnya menautkan kembali hubungan yang renggang.  Kita terima apa yang telah ditentukan oleh Allah, Allah lebih tahu apa yang dirancang kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Kita berlapang dada menerima ketentuanNya. Jangan putuskan silaturrahim kerana perbezaan pandangan dan pendapat, rapatkan kembali saf demi kepentingan anak-anak didik dan masa depan negara.
  2. Dalam pendidikan, terdapat  tiga jenis pentaksiran yang biasa digunakan  iaitu pentaksiran rujukan  norma, pentaksiran rujukan kriteria dan pentaksiran rujukan standard. Secara ringkas saya huraikan kembali  serba sedikit tentang pentaksiran ini, walau pun ianya telah saya jelaskan sebelum ini.
  3. Pentaksiran rujukan norma merupakan pendekatan yang lumrah digunakan dalam sistem pendidikan yang menggunakan teori taburan normal sebagai asas  dalam menganalisis keputusan peperiksaan, terutama peperiksaan pusat. Pemasangan instrumen pentaksiran juga berasaskan taburan normal. Pentaksiran rujukan norma direka bentuk untuk mengukur prestasi seseorang murid dan diinterpretasi dengan cara membandingkan kedudukan relatif seseorang murid dalam satu-satu kohort yang dikenal pasti.  Setiap skor dalam pentaksiran rujukan norma disusun mengikut ranking dari yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Skor min digunakan untuk menentukan kedudukan seseorang murid itu sama ada  berada di atas atau di bawah min. 
  4. Pentaksiran rujukan norma membolehkan perbandingan antara murid dibuat kerana setiap murid berada pada satu titik dalam ranking tersebut. Pelaporan selalunya dibuat menggunakan peratusan atau persentil. Seorang murid yang berada pada persentil 70 sebagai contoh  membawa maksud lebih kurang 69% murid yang mengambil ujian tersebut berada di bawahnya dan 30% mempunyai prestasi yang lebih baik daripadanya.  Skor seseorang murid bagi satu-satu kohort tidak boleh dibandingkan dengan skor kohort yang lain kerana setiap kohort atau kumpulan mempunyai ciri yang berbeza daripada sifat ahli dan taburan skor yang diperolehi. Pentaksiran rujukan norma menggunakan sistem skor dan ged tunggal bagi tujuan pelaporan.
  5. Pentaksiran rujukan kriteria merupakan pendekatan yang dibangunkan bagi membolehkan skor seseorang murid itu diinterpretasi berdasarkan satu-satu standard kualiti yang kekal. Ini merupakan proses memberi makna kepada pencapaian murid dengan membandingkan skor yang diperoleh murid  dengan set kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Makna diperoleh dengan menjelaskan apa yang boleh dibuat oleh seseorang murid pada tahap-tahap tertentu secara mutlak. Item pentaksiran merujuk kriteria  dibina selaras dengan hasil pembelajaran yang akan ditaksir dan tidak menekankan perbezaan atau perbandingan antara murid.  Jika tahap pembelajaran rendah dan mudah, itemnya juga mudah dan begitu juga sebaliknya. 
  6. Matlamat pentaksiran rujukan kriteria ialah untuk mendapatkan gambaran tentang pengetahuan dan kemahiran spesifik yang telah dimiliki oleh seseorang murid.  Pelaporan pentaksiran rujukan kriteria menunjukkan keupayaan murid dalam bidang-bidang spesifik seperti boleh mengira nombor 1 hingga 100 dan boleh mengeja dengan betul 65% daripada perkataan yang disenaraikan. Gred tunggal atau apa-apa lambang  boleh digunakan tetapi setiap satu harus ditambatkan dengan aras pembelajaran yang ditetapkan. Julat  markah boleh digunakan.  Berbeza dengan pentaksiran rujukan norma, setiap gred atau lambang  yang digunakan dalam pentaksiran rujukan kriteria mempunyai makna yang khusus seperti mana yang telah ditetapkan dalam standard kualiti yang ditetapkan.  Sesuai untuk mentaksir aspek yang berkaitan dengan kemahiran.
  7. Pentaksiran rujukan standard pula merupakan kaedah pelaporan bagi pembelajaran yang berdasarkan kurikulum standard. Terdapat dua konsep utama di sini iaitu standard dalam kurikulum dan standard dalam pentaksiran. Standard dalam kurikulum merupakan standard pembelajaran yang harus dicapai oleh murid dalam satu-satu kurikulum pembelajaran yang telah ditetapkan. Standard dalam kurikulum menetapkan luas dan dalamnya satu-satu pembelajaran dan menentukan kualiti pembelajaran yang akan dialami oleh murid. Pentaksiran rujukan standard merupakan alternatif kepada Pentaksiran rujukan norma yang sering dikaitkan dengan pelbagai kelemahan dan kesamaran dalam pelaporan hasil pembelajarn murid.  Banyak negara yang sudah beralih kepada pentaksiran rujukan standard kerana kaedah ini memberikan gambaran yang jelas tentang diri seseorang murid  itu daripada segala aspek pembelajarannya.
  8. Standard dalam pentaksiran merujuk kepada standard prestasi iaitu standard yang dibentuk berdasarkan standard dalam kurikulum yang menentukan sejauh mana hasil pembelajaran atau prestasi seseorang murid itu telah mencapai matlamatnya seperti yang telah ditetapkan dalam kurikulum standard. Bagi negara yang tidak mempunyai kurikulum berpusat seperti negara kita, seperti di Amerika Syarikat,  setiap negeri mempunyai kurikulum dan sistem pentaksiran yang tersendiri. Tetapi sejak tahun 1990'an,  gerakan terhadap pendekatan pentaksiran berasaskan standard mula direalisasikan  dan pada tahun 1997,  97% negeri di Amerika Syarikat telah bersetuju untuk membentuk dan mengubah sistem pentaksiran kepada pentaksiran berasaskan standard. Di Malaysia, KPM telah memulakan langkah ke arah ini dengan mengimplementasikan Pertaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang seharusnya mengubah kaedah pelaporan kepada pelaporan berasaskan standard.  Kewujudan kurikulum standard untuk semua sekolah memudahkan pembentukan  satu standard prestasi kebangsaan berbanding dengan negara yang tidak mempunyai kurikulum berpusat kerana kepelbagaian  sistem pendidikan mengikut negeri.  Setiap negeri akan mempunyai standard prestasi yang berlainan.

Apa dia Standard Prestasi?

  1. Standard Prestasi ialah dokumen yang dibina berdasarkan standard dalam kurikulum bagi merumuskan standard pembelajaran yang disasarkan menggunakan sistem 6 band. Band merupakan aras pencapaian atau penguasaaan berperingkat dari band 1 hingga band 6. Band 1  merupakan aras paling rendah dan band 6 merupakan aras paling tinggi. Bilangan band ini mungkin berbeza mengikut negeri, negara atau agensi yang melaksanakan pentaksiran mengikut kesesuaian; ada yang menggunakan antara  3 aras hingga 7 aras. Istilah band digunakan kerana setiap aras pencapaian itu merupakan himpunan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah ditetapkan dalam sasaran pembelajaran yang dikelompokkan mengikut kesesuaian dan aras penguasaan.
  2. Setiap band ditambatkan dengan angka seperti band 1, band 2, band 3 dan seterusnya. Selain daripada band yang ditambatkan dengan angka, band boleh juga dengan ditambatkan dengan abjad seperti band A, band B, band C dan seterusnya, atau bentuk-bentuk lain yang sesuai. Berbeza dengan gred atau markah dalam peperiksaan awam yang bersifat tunggal, setiap band akan menjelaskan tentang penguasaan yang dicapai oleh murid dalam pembelajarannya.
  3. Penetapan 6 band dalam sistem pendidikan kita  disesuaikan dengan cakupan yang terdapat dalam kurikulum formal. Kurikulum menentukan kualiti pendidikan yang akan dialami oleh murid, juga keluasan dan kedalaman pembelajaran satu-satu bidang. 
  4. Standard Prestasi yang dibina adalah berdasarkan premis berikut:
          Band 6 :     tahu+faham+boleh buat dengan cemerlang+penghayatan+mithali (P/K/N)
          Band 5 :     tahu+faham+boleh buat dengan cemerlang (P/K/N)
          Band 4 :     tahu+faham+boleh buat dengan baik (P/K/N)
          Band 3 :     tahu+faham+boleh buat secara asas (P/K/N)
          Band 2 :     tahu+faham sahaja (P/K/N)
          Band 1 :     Tahu sahaja (P/K/N)

       5. Berdasarkan standard prestasi, kita boleh melihat perkembangan dan pembangunan diri murid             daripada segi pengetahuan, kemahiran dan nilai dari permulaan pembelajarannya hingga ke                 hari akhir pembelajarannya. Guru boleh menggunakan standard prestasi dalam merangka                     matlamat pengajarannya berdasarkan keupayaan murid. Kita tidak boleh memaksa semua                   murid untuk mencapai band 6 kerana setiap murid mempunyai keupayaannya tersendiri.                      Tidak  semua murid boleh menguasai hingga ke band 6 kerana band 6 merupakan sesuatu yang            amat hebat dan istimewa, hanya murid yang betul- betul cemerlang dalam semua aspek dan                melangkaui perimeter kurikulum yang dihasratkan yang akan mencapai band 6. Majoriti murid            akan berada dalam band 3 hingga 5 dan sebahagain kecil mungkin berada pada band 1 dan 2.
      6. Saya lebih cenderung ke arah pembentukan satu standard prestasi kebangsaan bagi                          membolehkan skala yang sama digunakan bagi semua murid dalam sistem pendidikan kita.                 Standard prestasi kebangsan lebih mudah dibina kerana negara memiliki sistem pendidikan                  berpusat di mana semua sekolah mengikuti sistem pendidikan yang sama dengan mengikuti                kurikulum yang sama.

Rasanya setakat ini dulu untuk kali ini. Saya akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang standard prestasi ini dalam penulisan yang akan datang. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua yang sudi mengikuti blog saya ini. Terima kasih.

Dr. Hazim




No comments:

Post a Comment