- Salam sejahtera kepada semua. Bertemu lagi kita, dengan izin Allah, pada ruang dan masa ini. Semoga apa yang dipersembahkan dapat memberikan manafaat kepada semua. Andainya hanya satu saja manafaat yang diterima, itu sudah cukup untuk saya bersyukur ke hadirat Illahi.
- Skor telah pun saya jelaskan dan kini saya ingin mengaitkan pula skor dengan pelaporan dalam pentaksiran pendidikan. Kalau dalam sistem peperiksaan pusat, skor peperiksaaan dan pelaporan merupakan dua perkara yang berasingan. Skor diperoleh daripada peperiksaan yang diduduki secara formal dalam kawalan yang ketat dan diterakan dalam bentuk gred tunggal sementara pelaporan pula disediakan oleh guru untuk dibekalkan kepada murid sebelum meninggalkan sekolah. Dan kebiasaannya, bentuk pelaporan yang amat lazim berupa sijil berhenti sekolah yang menggunakan kosa kata seperti terbaik, amat baik, baik, memuaskan dan sederhana bagi aspek-aspek yang dilaporkan. Namun tidak ada huraian apa yang membezakan antara terbaik dengan amat baik, amat baik dengan baik, baik dengan memuaskan dan memuaskan dengan sederhana. Dan semuanya ini, skor dan juga pelaporan adalah tentang perkara yang telah berlalu. Tiada satu pun, skor atau pelaporan, yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan penambahbaikan dalam pembangunan diri murid.
- Berbeza dengan pentaksiran pendidikan, pada prinsipnya guru mula mentaksir pada hari pertama murid memulakan persekolahan dan berakhir pada hari terakhir murid berada di sekolah. Bermakna, maklumat tentang murid sentiasa diperolehi sepanjang masa pengajaran. Maklumat tentang murid diperolehi dengan cepat, bersifat autentik dan tindakan pantas boleh diambil bagi tujuan membantu pembelajaran dan pembangunan diri murid. Pentaksiran berlangsung sepanjang masa, fleksibel dan lebih bersifat insaniah. Pentaksiran menghasilkan maklumat yang dijelmakan dalam bentuk skor dan setiap skor dikaitkan dengan makna. Guru boleh membuat pelaporan selepas setiap kali mentaksir seseorang murid atau selepas beberapa kali mentaksir mengikut keperluan dan semua himpunan maklumat akan membolehkan pelaporan akhir tentang murid dibuat.
- Mungkin guru akan merasakan ini satu beban tugas yang amat berat, bagaimana hendak mentaksir mungkin ratusan murid di bawah tanggung jawabnya pada satu-satu masa. Inilah yang perlu difahami tentang pentaksiran dan jangan samakan pentaksiran dengan peperiksaan. Peperiksaan hanyalah satu daripada kaedah untuk mendapatkan maklumat tentang murid, khususnya aspek kognitif. Peperiksaan ditadbirkan serentak untuk beratus-ratus orang murid menggunakan kaedah kertas dan pensil dalam masa yang telah ditetapkan. Selain peperiksaan, banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan dalam pentaksiran pendidikan. Pentaksiran bersifat fleksibel, lebih humanistik dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan pelbagai kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan autentik tentang murid.
- Dalam pentaksiran, tidak semua murid ditaksir pada satu-satu masa. Guru boleh menetapkan aspek yang hendak ditaksir dengan kaedah yang difikirkan paling sesuai pada bila-bila masa. Pentaksiran boleh dilakukan semasa berinteraksi dengan murid seperti masa di padang, masa aktiviti kokurikulum, masa di kantin, masa perhimpunan dan masa dalam kelas. Guru juga boleh melakukan pentaksiran melalui pemerhatian, maklumat daripada guru lain, maklumat daripada rakan murid, hasil kerja murid dan pencapaian luar biasa murid.
- Apabila guru mentaksir, maklumat akan diperolehi. Maklumat ini akan membolehkan guru menilai tentang seseorang murid. Sekiranya guru mengenal pasti masalah tertentu pada diri murid yang memerlukan tindakan segera, guru boleh terus membuat pelaporan tentang murid tersebut. Ini mungkin melibatkan masalah seperti masalah pembelajaran, dyleksia, rabun, tuli, disiplin, emosi, kemurungan, pergerakan motor dan kesihatan. Murid mungkin mengalami masalah yang kritikal dan guru berperanan mengambil tahu dan berusaha mengatasi masalah yang dialami murid secepat mungkin. Sekiranya masalah murid serius, ini harus dirujuk kepada pihak yang pakar dalam bidangnya. Dalam keadaan biasa, pelaporan boleh dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa, mengikut tahap-tahap tertentu yang difikirkan wajar oleh guru atau pihak pentadbir.
- Bukan hanya mengenal pasti masalah pada kalangan murid, guru juga melalui pentaksiran akan mengenal pasti murid yang cemerlang, memiliki keistimewaan dan kelebihan tertentu dan tindakan yang sesuai juga harus diambil bagi meningkatkan lagi pembelajaran dan pembangunan diri murid ini. Guru harus berinisiatif, berinovatif dan kreatif dalam mewujudkan environment yang kondusif dan tindakan yang sesuai bagi memacu murid yang berkeupayaan tinggi dan istimewa ini ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi. Pentaksiran memberi peluang dan ruang kepada guru untuk berkarya dalam mendidik murid dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menarik serta menyeronokkan. Sekiranya terdapat murid yang hebat dalam bidang-bidang tertentu seperti sukan, pendidikan seni, muzik, kesusasteraan atau bidang akademik lain, perkayakan mereka dengan ilmu dan kemahiran tambahan agar mereka boleh meningkat lebih tinggi dalam bidang masing-masing. Pengurusan kelas menjadi keperluan kepada semua guru. Setiap murid adalah individu yang unik dan kemahiran guru mengenali sifat setiap orang muridnya boleh menjadi katalis kepada kemenjadian murid.
- Setiap guru seharusnya faham peranan masing-masing dalam pentaksiran pendidikan. Lumrahnya, guru mata pelajaran bertanggung jawab mentaksir setiap orang murid dibawah kelolaannya. Guru mata pelajaran akan menyimpan segala skor, eviden dan laporan tentang muridnya, kerana guru mata pelajaran mempunyai konteks masa yang panjang dan khusus dengan muridnya. Guru mata pelajaran juga akan membuat penilaian dan penghakiman akhir bagi mata pelajarannya sebelum diserah kepada guru kelas untuk disatukan dengan mata pelajaran lain.. Maklumat yang diserahkan oleh guru mata pelajaran hanyalah skor akhir dan pelaporan akhir setiap orang muridnya. Maklumat lain seperti eviden, skor setiap kali pentaksiran, serta pelaporan khusus disimpan oleh guru mata pelajaran dalam portfolio murid dan akan dirujuk sekiranya timbul sebarang masalah. Penyimpanan portfolio dan tempoh masa penyimpanan bergantung kepada pengurusan sekolah dan arahan daripada pihak yang berkaitan.
- Apa yang saya huraikan di sini merupakan konsep asas pentaksiran. Hakikatnya dalam praktis di sekolah, mungkin terdapat kepelbagaian pendekatan berdasarkan kefahaman tentang konsep pentaksiran pendidikan atau kecelaruan dan juga arahan dari pihak atasan. Kerana itu, telah saya tekankan pada penulisan terdahulu, perlunya ada keselarasan dalam kefahaman kerana faham dan sefaham itu amat penting. Kekeliruan hanya akan menggagalkan apa sahaja program walaupun sebaik mana program itu dirancang.
- Setakat ini penulisan saya buat kali ini. Pada penulisan yang akan datang, insyaAllah akan saya cuba terangkan tentang pelaporan menggunakan band yang disarankan dalam cadangan asal yang dikemukakan oleh Lembaga Peperiksaan. , Untuk makluman rakan-rakan semua, blog ini saya khususkan hanya tentang pentaksiran dan pendidikan dan tidak akan menyentuh perkara lain di luar bidang ilmu ini. Ilmu adalah universal, tidak mengenal warna kulit, suklu kaum dan bangsa. Semoga kita semua sebagai pendidik terus istiqamah dalam mendidik anak bangsa walau apa pun cabaran yang mendatang.
- Hingga bertemu lagi, insyaAllah, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim