Assalamualaikum wbrt.
- Selamat bertemu kembali kepada para sahabat sekalian. Setelah menghuraikan tentang kaedah pentaksiran dan instrumen yang boleh digunakan, saya akan cuba menerangkan pula tentang skor dan pelaporan dalam sistem pentaksiran pendidikan pada penulisan kali ini dan mungkin beberapa penulisan berikutnya. Sebelum itu, saya ingin menyampaikan rasa hati saya tentang situasi masa kini bidang pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan kita hari ini.
- Dari pandangan dan luahan perasaan para guru di alam maya, ternyata masalah utama yang menghimpit para guru dalam melaksanakan pentaksiran ialah kekeliruan dan kecelaruan dalam pemahaman tentang apa sebenarnya pentaksiran pendidikan. Kekeliruan dan kecelaruan pemahaman ini bukan hanya tertumpu kepada para guru tetapi juga para pegawai di PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian dalam KPM. Mereka terusan bercerita tentang GPA dan CGPA sedangkan ini hanya satu bahagian kecil dalam pentaksiran pendidikan.
- Apabila PBS dilaksanakan mereka masih terus bercerita tentang pencapaian dalam peperiksaan pusat (A penuh) dan bagaimana hendak meningkatkan prestasi peperiksaan. Apabila pegawai PPD, JPN dan bahagian datang ke sekolah, mereka sentiasa mahukan pencapaian peperiksaan pusat. Sampai bila kekeliruan dan kecelaruan ini akan wujud tidak dapat dipastikan tetapi yang jelas para guru di sekolah yang melaksanakan pentaksiran tidak mendapat penjelasan dan bimbingan yang sepatutnya daripada pihak-pihak yang sepatutnya memberikan bimbingan.
- Sudah dijelaskan banyak kali dalam pelbagai media, pelaporan PPSR merangkumi UPSR dan PBS yang terdiri daripada peperiksaan bilik darjah, pentaksiran psikometrik dan PAJSK merupakan pelaporan holistik yang memberi maklumat tentang keupayaan keseluruhan murid, bukan hanya aspek kognitif. Tiada GPA dan tiada perbandingan, hanya pelaporan tentang setiap orang murid. Begitu juga PT3, bukan peperiksaan pusat tetapi keseluruhannya PBS setelah PMR dimansukhkan. Kenapakah masih wujud kekentalan jiwa tentang mengidolakan peperiksaan pusat sedangkan kita mahu membina manusia, menjadikan setiap orang murid itu berjaya dalam kehidupannya, bukan hanya yang cemerlang akademik. Halangan ini seharusnya dirobohkan dan minda para pendidik dan pengurus pendidikan harus disatukan ke arah memaknakan pendidikan itu sendiri.
- Yang lebih membimbangkan ialah adanya dakwaan yang sebahagian guru tidak memahami FPK dan makna pendidikan itu sendiri. Guru tidak memahami FPK dan makna pendidikan??? Biar betul. Sekiranya dakwaan ini benar, ini merupakan persoalan yang amat serius dan kritikal dalam profesion keguruan yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib. Ini kerana amanah pendidik ialah mendidik tetapi amanah ini tidak difahami dan dihayati oleh orang yang diamanahkan. Ini akan menjejaskan bukan hanya kredibiliti dan integriti guru, malah lebih utama KPM itu sendiri dan standard pendidikan negara. Ke mana arah hendak dituju sekiranya dari mula lagi kita tidak tahu matlamat dan tujuan kita mendidik sedangkan pendidikan itu intipati profesion ini dan FPK itu matlamat pendidikan negara. Semua harus faham sebenarnya matlamat pendidikan bukan memperoleh semua A dalam peperiksaan pusat tetapi membangunkan diri murid agar menjadi insan terbaik, dunia akhirat, dalam kapasiti masing-masing.
- Sejujurnya, ia mungkin sesuatu yang pedih dan sukar untuk diterima tetapi inilah realitinya. Sampai bila kita mahu dibelenggu dengan sikap ambil mudah dan tidak profesional. Kita mahu keguruan menjadi profesion yang disegani dan dihormati tetapi tidak bersedia untuk berfungsi sebagai seorang profesional. Kita mahu guru profesional yang bersemangat menimba ilmu dan kemahiran, proaktif, kreatif, beretika dan bersedia menerima perubahan. Gurulah yang bertanggung jawab menentukan jenis manusia yang akan mengemudikan negara pada abad-abad mendatang. Dan kita percaya sebahagian besar guru memiliki sifat besar ini, namun tidak dinafikan terdapat juga segolongan yang lebih cenderung ke arah santai, ambil mudah dan selesa dengan isu ringan , jenaka mudah dan hal-hal remeh temeh yang tidak memberi apa-apa penambahbaikan daripada segi intelek dan profesional. Kumpulan ini amat selesa dalam zon di mana mereka berada dan tidak senang dengan perubahan.
- Kecemerlangan seorang guru bukanlah kejayaannya menghasilkan murid yang hanya cemerlang akademik tetapi lebih daripada itu, iaitu kejayaannya melahirkan insan yang terbaik dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.
- Ini merupakan pandangan pribadi saya dan sebagai pesara pendidikan yang terlibat secara langsung dengan pembangunan idea dan konsep SPPK serta LINUS, yang ingin melihat pendidikan negara dihormati dan berada pada standard tinggi, situasi yang ada pada hari ini sama ada pada peringkat sekolah atau pun pengurusan pendidikan berada pada setiap tahap yang amat merunsingkan. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak atasan untuk membetulkan keadaan.
Skor
- Apakah skor pentaksiran? Apa yang ada dalam minda kita selama ini skor hanyalah markah yang mempunyai nilai dari 0 hingga 100. Dan daripada markah ini ditentukan markah lulus, markah kepujian dan terbaik. Tetapi penentuan markah lulus ini amat mengelirukan. Ada kumpulan yang mungkin meletakkan 50 sebagai markah lulus, ada pula yang meletakkan 45 sebagai markah lulus, malah ada juga yang meletakkan 60 sebagai markah lulus bagi mata pelajaran tertentu. Banyak variasinya tapi apakah alasan profesional meletak markah lulus yang pelbagai ini? Apa justifikasinya???
- Juga, apabila markah lulus ditetapkan pada 50 bermakna murid yang memperoleh markah 49 dan ke bawah dianggap gagal dan apabila dikategorikan sebagai gagal, murid ini dikelompokkan bersama dengan murid yang memperoleh markah 0, yang semestinya gagal. Adilkah kita kepada murid yang memperolehi markah 49, 48, 47 dan lain-lain itu yang dicop sebagai gagal sedangkan keupayaannya lebih hampir dengan 50 daripada 0. Haruskah bentuk pelaporan seperti ini diteruskan walaupun kita menyedari ketidakadilannya? Saya akan cuba menyentuh hal ini pada penulisan akan datang, insyaAllah.
- Skor adalah hasil daripada pentaksiran. Selain daripada markah, iaitu skor yang diperolehi selalunya daripada ujian dan peperiksaan, hasil pentaksiran lain seperti pemerhatian, temu bual dan persembahan boleh dibentangkan dalam bentuk pernyataan, bintang, warna, gred atau bentuk-bentuk lain yang boleh ditafsir. Skor yang berfungsi seharusnya disertakan dengan makna untuk difahami oleh pengguna. Skor akan memberi maklumat kepada guru tentang keberkesanan pengajarannya dan pemahaman murid tentang perkara yang diajar. Maklumat ini akan membolehkan guru mengubah pendekatan pengajarannya supaya lebih berkesan atau mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid dalam memahami pengajarannya. Skor berfungsi dalam pembelajaran murid kerana pentaksiran dijalankan seiring dengan proses PdP. Skor juga membolehkan ibu bapa dan penjaga mengenal pasti kekuatan dan kelemahan anak-anak untuk membolehkan tindakan susulan dijalankan. Skor juga memberi maklumat kepada pihak pengurusan sekolah tentang pengajaran guru dan pembelajaran murid untuk membolehkan tindakan diambil bagi meningkatkan pembelajaran dan keberkesanan pengajaran.
- Dalam pentaksiran, hanya skor yang boleh dikaitkan dengan kesahan dan kebolehpercayaan, bukannya ujian.
- Apabila skor diperolehi daripada satu-satu aktiviti pentaksiran, ia merupakan skor dicerap. Skor dicerap hanya merupakan anggaran keupayaan murid tersebut kerana skor dicerap terdiri daripada skor sebenar dan ralat pengukuran. Andaiannya, semakin rendah ralat pengukuran semakin tepat skor murid tersebut. Namun di samping ralat pengukuran, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi ketepatan skor seperti kaedah pentadbiran, sifat diri murid dan kebolehpercayaan antara pemeriksa (inter raters reliability). Dalam pentaksiran pendidikan,kesahan dan kebolehpercayaan skor ditentukan juga oleh amaun maklumat yang didapatkan. Semakin banyak maklumat yang diperolehi tentang seseorang murid, semakin tinggi probabiliti kesahan dan kebolehpercayaannya.
- Skor dalam pentaksiran juga bersifat akumulatif. Ini bermakna dari pentaksiran pertama dilakukan ke atas murid, skor dihimpun untuk memperoleh skor akhir. Guru atau sekumpulan guru akan menilai semua skor yang dihimpun untuk dihakimi bagi menentukan skor akhir murid. Skor murid bersama eviden disimpan dalam portfolio murid. Bukan semua eviden murid disimpan dalam portfolio, hanya eviden pada tahap-tahap tertentu yang dianggap signifikan yang menunjukkan tahap perkembangan dan pembangunan diri murid.
- Skor seharusnya boleh diinterpretasi. Selama ini kita dihidangkan dengan skor berbentuk numerikal (1,2,3....) dan juga abjad (A,B,C...) bagi keputusan peperiksaan pusat dan juga sekolah. Tapi apakah maknanya skor 1,2,3... dan A, B, C... itu? Selain daripada itu, apakah skor yang diperolehi daripada satu instrumen pentaksiran yang mengandungi 50 atau 60 item dan diduduki sekali oleh murid boleh dijadikan inferen sebagai penguasaan murid dalam mata pelajaran yang berkaitan?
- Ini antara persoalan tentang skor dalam peperiksaan. Saya akan cuba menghuraikan skor dan pelaporan dalam pentaksiran pada penulisan akan datang, insyaAllah. Sekian penulisan saya buat kali ini, hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.