Tuesday, 18 September 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN. : STANDARD PRESTASI


Assalamualaikum wbrt.

  1. Selamat bertemu lagi pada ruang dan saat ini bagi melanjutkan lagi penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan. Setelah menghuraikan  serba sedikit tentang standard prestasi pada penulisan yang lepas saya akan cuba memberikan beberapa pandangan  yang berkaitan dengan standard prestasi.
  2. Standard prestasi adalah alternatif kepada sistem pelaporan yang telah wujud sejak beratus tahun yang lalu dalam sistem pendidikan di mana pecapaian dan keupayaan murid di sandarkan kepada gred tunggal dalam peperiksaan pusat. Apabila gerakan pembaharuan dalam pendidikan membadai sistem pendidikan di banyak negara terutama negara maju, peperiksaan pusat  dilihat sebagai amalan yang membunuh  makna pendidikan sebenar. Peperiksaan pusat menjadikan pendidikan beralih fokus daripada  mendidik dan melahirkan insan yang terbaik dan sempurna kepada insan yang taksub mengejar A penuh  Aspek insaniah terabai dan hanya  bidang  kognitif  yang diberikan tumpuan sepenuhnya. 
  3. Di negara kita, gagasan pentaksiran pendidikan  telah  bermula pada tahun 2003 apabila istilah pentaksiran dan konsepnya dibentangkan  dan diperkenalkan buat pertama kalinya dalam Seminar Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang dianjurkan oleh Lembaga Peperiksaan di Kuala Lumpur pada 5 hingga 8 Mei 2003.  Sejak itu Lembaga Peperiksaan banyak menggerakkan usaha ke arah perealisasian sistem pentaksiran dalam sistem pendidikan negara, namun perkembangannya  di bahagian-bahagian lain  dalam KPM amat minimal, malah boleh dikatakan tiada langsung. Amat menyedihkan.  Pihak pengurusan tertinggi pendidikan negara seolah-olah tidak langsung memberikan perhatian tentang perubahan ini, seolah takut untuk berubah, mungkin kerana ketaksuban dengan sistem peperiksaan pusat yang telah mendominasi sistem pendidikan negara sejak sebelum merdeka lagi. Atau memang mereka  tidak memiliki pengetahuan yang sewajarnya tentang pentaksiran pendidikan dan merasa amat selesa dalam zon sedia ada dan takut untuk berubah. Tiada usaha ke arah mendapatkan maklumat tentang pentaksiran pendidikan menunjukkan kepasifan banyak bahagian dalam KPM.
  4. Yang jelasnya mereka lebih selesa dengan program ringan seperti KBAT yang sebenarnya telah pun wujud dalam sistem pendidikan dan pentaksiran negara sejak lama dahulu, cuma dijenamakan semula dan dilaung-laungkan sebagai satu pembaharuan.  Walau pun begitu,  konsep program ringan seperti ini pun tidak dapat dijelaskan kepada pelaksana di sekolah dengan sebaiknya, dan sehingga hari ini realitinya bagaimana rupa bentuk KBAT itu sendiri masih samar dan terawang-awang. Hanya kekeliruan dan kecelaruan  yang wujud dalam kalangan pendidik. Terlalu banyak program ad-hoc tanpa perancangan teliti dan kesamaran konsep diwujudkan dalam KPM menjadikan sistem pendidikan negara huru hara. 
  5. Apabila PBS dilancarkan, ia merupakan  langkah yang agak signifikan dalam sistem pendidikan negara kerana PBS merupakan komponen utama  sistem pentaksiran pendidikan. Namun pelaksanaannya, sama  juga seperti program-program yang pernah lancarkan KPM sebelum ini, dihantui dengan penataran, penyelarasan  dan pemantauan yang lemah dan tidak efektif. Akhirnya terkubur.  Kurang kefahaman pada pihak pembuat dasar dan penatar menyebabkan pihak pelaksana di sekolah menjadi keliru. Juga kefahaman yang berbeza antara bahagian dalam KPM seperti Lembaga Peperiksaan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Bahagian Sekolah, Jemaah Nazir Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pusat Pendidikan Daerah menjadikan guru di sekolah menghadapi tekanan yang menggila. PPD, JPN dan Jemaah Nazir  sebagai contoh, terus-terusan mahukan pencapaian akademik semata-mata sementara LP mahukan pentaksiran menyeluruh yang meliputi keseluruhan dimensi pendidikan - pengetahuan, kemahiran dan nilai. Dan tiada pihak daripada pengurusan tertinggi yang berusaha untuk mengatasi masalah ini. Tiada kesefahaman dan keselarasan. Ini membuatkan murid menjadi mangsa, guru menjadi mangsa dan pengurusan sekolah tenggelam dalam kesesatan.
  6. IPGM juga, sebagai institusi yang mengeluarkan pendidik ke sekolah saban tahun, tidak  mempunyai pengkhususan tentang pentaksiran pendidikan dalam program latihannya sedangkan pentaksiran sepatutnya menjadi teras utama pengajian dalam IPGM.  Tumpuan pengajian masih kepada pengukuran dan penilaian pendidikan  yang berfokuskan teori-teori pengukuran kelasik  sedangkan pentaksiran pendidikan jauh lebih luas dimensinya. Amat menyedihkan apabila bakal guru yang sepatutnya melaksanakan pentaksiran di sekolah tidak dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan. Kenapa ini berlaku terutama dalam institusi latihan keguruan  amat menghairankan. LP yang berusaha melaksanakan pentaksiran pendidikan bergerak ke arah lain sementara IPGM bergerak ke arah lain. Tidak adakah kumpulan pemikir dalam KPM yang sepatutnya telah dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan yang akan menjadi penggerak ke arah transformasi pentaksiran pendidikan ini? Saya berharap ada jawapannya. 
  7. Pelaksanaan  PPSR bagi menggantikan UPSR merupakan langkah berani KPM ke arah merealisasikana sistem pentaksiran pendidikan negara yang secara khususnya cuba mengangkat naik PBS, mengiktiraf pelaporan yang dibuat oleh pihak sekolah  dan mengurangkan kepentingan peperiksaan pusat. Namun masih terdapat tentangan daripada pihak-pihak tertentu yang taksub dengan peperiksaan pusat dan masih mahu melihat keputusan yang boleh membandingkan antara murid, sekolah dan negeri. Keputusan peperiksaan pusat yang cemerlang menjadi kegemilangan (glory) yang dikejar dengan mengorbankan pendidikan sebenar (at the expense of true education).  Untuk mempastikan kejayaan inisiatif  pentaksiran pendidikan ini, perubahan minda secara keseluruhan dalam kesemua bahagian KPM harus berlaku dan kesemua bahagian harus faham dan sefaham tentang konsep serta pelaksanaan pentaksiran pendidikan.
  8. Pengoperasian pentaksiran pendidikan seharusnya diiringi dengan perubahan dalam kaedah pelaporan murid dan tradisi membawa sekeping sijil dengan pernyataan subjek dan skor tunggal yang diperolehi selepas tamat persekolahan merupakan amalan yang sepatutnya telah lama berlalu. Di sinilah standard prestasi harus diletakkan. Yang di bawa murid bukan hanya sekeping kertas dengan skor yang tidak memberi makna tetapi helaian-helaian  kertas yang memberikan maklumat yang autentik tentang murid tersebut, sama ada daripada segi pengetahuan, kemahiran dan nilai murninya.  Pengguna seperti  majikan, institut pengajian tinggi, institusi latihan dan kemahiran serta penaja biasiswa akan memperoleh maklumat lengkap tentang seseorang murid itu untuk membuat pemilihan. 
  9. Apakah aspek positif pelaporan dalam bentuk standard prestasi ini?  Selain daripada memberikan makna terhadap setiap satu band, skor atau apa saja yang diguna untuk melabel keupayaan murid,  standard prestasi membolehkan  mana-mana pihak memahami dengan mudah tentang keupayaan sebenar seseorang murid.  Pelaporan standard prestasi  juga bersifat positif. Tidak ada konsep gagal dalam pentaksiran pendidikan. Setiap pernyataaan menerakan tentang murid, apa yang dia tahu, faham dan boleh buat, dan setakat mana pengetahuan, kefahaman  dan kemahiran dihayati dan diamalkan. Standard prestasi tidak melaporkan aspek negatif murid kerana ini merupakan maklumat pribadi dan hanya disimpan oleh pihak tertentu seperti kaunselor. Maklumat sebegini selalunya dikategorikan sebagai   sulit  dan hanya boleh didedahkan kepada  ibu bapa/penjaga, guru besar/pengetua dan pihak-pihak yang tertentu sahaja seperti doktor dan  pakar psikologi.  Maklumat ini akan diguna untuk tujuan pendidikan, pemulihan dan juga rawatan sekiranya keadaan memerlukan. 
  10. Bolehkah sekolah membina standard prestasi sendiri? Mungkin ada yang ingin mendapatkan jawapan terhadap persoalan ini. Untuk menjawab  kita harus melihat kepada sistem pendidikan sesebuah negara. Bagi negara yang mempunyai sistem pendidikan berpusat seperti negara kita, dengan kurikulum yang standard bagi semua sekolah, amat wajar untuk memiliki hanya satu standard prestasi yang piawai untuk kegunaan semua sekolah.  Namun terdapat sekolah khas seperti sekolah untuk murid buta, pekak, sindrom down, dyleksia dan bermasalah pembelajaran di mana sebahagian besar murid ini selalunya tidak dijuruskan untuk menduduki peperiksaan pusat seperti murid normal maka ada keperluan sekolah membina standard prestasi yang khusus untuk kelompok murid sebegini. Guru dan pihak pengurusan sekolah harus faham setakat mana pencapaian yang boleh digapai oleh murid kumpulan ini dan berdasarkan ini standard prestasi khusus untuk kelompok murid ini dibangunkan. Jika pencapaian tertinggi yang boleh dicapai oleh kumpulan murid ini ialah menguruskan diri dengan sempurna, itulah band tertinggi yang seharusnya dicapai oleh kumpulan ini. 
  11. Di negara-negara yang tidak mempunyai sistem pendidikan berpusat seperti negara kita seperti Amerika Syarikat, Finland dan beberapa negara Scandinavia yang lain, memang  setiap negeri mempunyai standard prestasi sendiri yang berbeza antara negeri. Di sebahagian negara ini seperti di Finland, bukan hanya tiada kurikulum pusat, setiap sekolah membina kurikulum mereka sendiri berdasarkan kerangka yang disediakan oleh pusat. Ini menyebabkan setiap sekolah juga memiliki standard prestasi sendiri yang berbeza antara satu sama lain. 
  12. Adakah semua murid mesti mencapai band 6, iaitu band tertinggi dalam standard prestasi yang dibina dalam sistem persekolahan kita? Jawapannya tidak. Ini kerana band 6 hanya khusus untuk murid yang super cemerlang. Sebahagian besar murid akan berada pada kedudukan band 5 kerana ini merupakan norma bagi setiap populasi (tahu+faham+boleh buat dengan cemerlang). Band 6 khusus bagi murid yang memang super cemerlang, melewati setakat boleh buat dengan cemerlang. Band 6 menggambarkan murid yang bukan sahaja  menghayati konstruk-konstruk  yang ingin dibangunakn dalam diri murid, tetapi bersifat mithali, iaitu mengamalkan dan menjadi contoh atau role model bagi murid lain. 
  13. Penulisan ini mengambil masa yang agak lama kerana kekangan dan situasi yang tidak dapat dielakkan, namun insyaAllah saya akan cuba untuk meneruskan lagi penulisan ini setakat kemampuan saya. Pada penulisan yang akan datang, saya akan cuba untuk menghuraikan pula tentang LINUS, yang juga merupakan isu yang sering dibangkitkan oleh para guru di sekolah. Masalah yang berkaitan LINUS juga sebenarnya terhasil daripada pemahaman serta penataran yang lemah yang membuatkan kekeliruan pada kalangan guru. LINUS unik kerana ia merupakan program yang dihasilkan 100% oleh LP, bukan ciplakan mana2 program sama ada dalam atau luar negara. 
  14. Sekian buat kali ini, hingga pada pertemuan akan datang, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Tuesday, 7 August 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: STANDARD PRESTASI

Assalamualaikum wbrt.

  1. Bertemu lagi, dengan izin Allah, pada ruang bicara ini. Syukur kerana diberikan Allah rahmatnya untuk membolehkan lagi saya meneruskan penulisan ini. Semoga para sahabat semua tidak jemu untuk mengikuti apa yang saya nukilkan pada setiap penulisan tentang subjek ini.
  2. Semua sedia maklum, Standard prestasi merupakan satu anjakan paradigma yang besar selari dengan pengoperasian pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) pada peringkat sekolah yang bermula sejak tahun 2017 dengan pelaksanaan PPSR menggantikan UPSR. Walaupun standard prestasi belum direalisasikan epenuhnya, saya ingin memberikan gambaran tentang apa dan bagaimana standard prestasi dioperasikan pada peringkat sekolah. Untuk makluman, standard prestasi sebenarnya telah pun dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan di sekolah seni sejak beberapa tahun yang lalu. Ini merupakan pengoperasian ulung standard prestasi di sekolah, namun selepas itu, perkembangannya amat minimal malah mungkin belum ada lagi langkah untuk mengembangkannya kepada mata pelajaran lain di sekolah. Sama ada kementerian masih belum bersedia atau pemahaman yang belum mantap pada kalangan pembuat dasar dan pelaksana atau kekurangan pegawai yang akan dipertanggung jawabkan ke arah pengoperasian standard prestasi ini, tindakan harus diambil dengan aktif selaras dengan pelaksanaan PBS di sekolah.
  3. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya lebih cenderung untuk melihat satu standard prestasi kebangsaan yang piawai yang boleh digunakan oleh keseluruhan sistem pendidikan negara. Standard prestasi sebagai kayu ukur yang piawai harus menjadi satu-satunya rujukan utama bagi semua, sama ada guru, murid dan juga ibu bapa/ penjaga.  Tanpa satu kayu ukur yang piawai  akan timbul kekeliruan tentang penginterpretasian maklumat  mengenai murid. Standard prestasi tidak  bersifat sulit malah setiap golongan sama ada pembuat dasar, pelaksana, murid dan juga masyarakat keseluruhannya wajar memilikinya.
  4. Setiap mata pelajaran atau perkara yang ingin dibangunkan dalam diri murid, sama ada pengetahuan, kemahiran  dan nilai seharusnya mempunyai satu standard prestasi yang piawai. Standard prestasi piawai ini bukan untuk setiap tahun pembelajaran tetapi bagi satu-satu peringkat pembelajaran seperti pendidikan rendah, pendidikan menengah rendah dan pendidikan menengah atas. Ini bermakna bagi  setiap mata pelajaran dan perkara yang ingin dibangunkan dalam diri murid, akan ada satu standard prestasi bagi setiap satunya. Sebagai contoh, bagi mata pelajaran matematik umpamanya akan ada satu standard prestasi piawai untuk pendidikan rendah, satu standard prestasi piawai untuk menengah rendah dan satu standard prestasi piawai untuk menengah atas.
  5.  Apabila merujuk kepada standard prestasi, kita akan tahu apa sebenarnya standard yang telah ditetapkan dalam pendidikan  untuk dicapai oleh murid kerana standard prestasi didasarkan kepada standard dalam kurikulum. Standard prestasi menetapkan hasil pembelajaran yang harus dicapai oleh murid setelah melalui satu-satu pengalaman pembelajaran sebagaimana yang telah ditetapkan dalam kurikulum standard.
  6. Standard prestasi piawai akan digunakan pada bila-bila masa, sama ada semasa murid mula memasuki alam persekolahan, sepanjang masa pembelajaran dan pada akhir pembelajaran. Dengan standard prestasi yang piawai ini kita akan tahu aras kesediaan murid semasa memulakan pembelajaran, perkembangan diri murid sepanjang proses pembelajarannya dan pencapaian akhir apabila murid menamatkan satu-satu  tahap pembelajaran atau  meninggalkan alam persekolahan. 
Kenapa perlu satu standard prestasi piawai?


  1. Apabila saya mengatakan kecenderungan saya untuk hanya ada satu standard prestasi piawai bagi pendidikan rendah, satu untuk menengah rendah dan satu untuk menengah atas, bagi setiap mata pelajaran dan perkara yang ingin dibangunkan dalam diri murid, ia disandarkan kepada keperluan untuk mempunyai satu sahaja kayu pengukur  yang piawai untuk mengukur perkembangan dan pembangunan diri murid. Apabila menimbang berat, di mana sahaja dalam dunia ini, instrumen yang digunakan standard. 1 kg di Malaysia sama beratnya dgn 1 kg di England atau di Amerika atau di Jepun. Begitu juga jika mengukur ketinggian atau jarak, 1 meter di negara kita sama juga dengan 1 meter di mana-mana juga dalam dunia ini.  Begitu juga dengan standard prestasi, ia akan menjadi kayu pengukur yang piawai untuk semua murid dalam sistem pendidikan negara. Dengan satu kayu ukur yang piawai, para pelaksana, pengurus dan pentadbir pendidikan akan lebih memahami kehendak pendidikan negara dan akan mengatasi masalah perpindahan murid ke mana sahaja dalam negara.
Bagaimana standard prestasi dioperasikan 
  1. Seseorang murid yang memasuki tahun satu, akan mempelajari beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Muzik, Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani. Maklumat daripada pentaksiran kesediaan dan maklumat lain akan membantu guru meletakkan seseorang murid secara kasar pada band yang bersesuaian dengan keupayaan murid dalam mata pelajaran yang berkaitan. Ini berlaku pada permulaan murid memasuki alam persekolahan. Sebagai contoh, bagi mata pelajaran pendidikan muzik, murid A mungkin berada pada band 3 (tahu, faham dan boleh buat) berdasarkan kriteria yang dimilikinya kerana telah mengikuti kelas muzik secara persendirian namun murid B mungkin berada pada band 1 (tahu sahaja) kerana tidak memiliki atau memiliki sedikit pengetahuan dan kemahiran tentang muzik. Tetapi, walaupun murid A berada pada band 3 dalam pendidikan muzik, dia mungkin berada pada band 1  (tahu sahaja) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris , Matematik dan Sains dan band 2 (tahu dan faham) bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Jasmani. Murid B pula mungkin berada pada band 1 (tahu sahaja) bagi semua mata pelajaran .
  2. Setelah mengalami pembelajaran selama 6 tahun, murid A mungkin telah mencapai band 5 (tahu, faham, boleh buat dengan cemerlang) atau band 6 (tahu, faham, boleh buat dengan cemerlang, penghayatan dan mithali) bagi semua mata pelajaran sementara murid B masih berada pada band 1 bagi sebahagian mata pelajaran dan band 2 bagi sebahagian mata pelajaran yang lain. Dalam tempoh 6 tahun pembelajaran, guru boleh melihat perkembangan diri murid, akademik dan bukan akademik, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan. Bagi murid B, guru sepatutnya mengenal pasti masalah pembelajaran yang dihadapi sejak awal dan sepatutnya mengambil tindakan pantas yang sewajarnya bagi membantu pembelajarannya sepanjang tempoh pembelajaran.  Ini contoh bagi pelaporan pada penghujung pembelajaran.
  3. Sebenarnya, pelaporan berdasarkan band ini boleh diaplikasikan pada tempoh-tempoh tertentu sepanjang masa pembelajaran bagi membolehkan guru mengesan pembelajaran setiap orang muridnya, sama ada setiap semester, setiap penggal atau setiap tahun. Lebih kerap pentaksiran dan pelaporan dilaksanakan, lebih baik kerana guru boleh mengenal pasti kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh murid untuk tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah dapat dilaksanakan.  Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran yang sesuai untuk memperoleh maklumat tentang murid, akademik dan bukan akademik, tetapi pelaporan hendaklah berdasarkan standard prestasi piawai.  Hanya dengan menggunakan standard prestasi piawai kita dapat melihat perkembangan diri murid sepanjang pembelajarannya
  4. Secara ringkas saya cuba menjelaskan tentang bagaimana standard prestasi berperanan dalam pentaksiran dan pelaporan murid. Semoga para sahabat  dapat memahami dan memanafaatkan pengetahuan ini. Saya tidak menafikan, banyak lagi persoalan yang akan timbul tentang standard prestasi dan pelaksanaanya, dan pihak pengurusan tertinggi seharusnya menggerakkan usaha yang lebih aktif dalam merealisasikan perubahan ini dan mengatasi sebarang masalah yang timbul. Semoga semua pihak berlapang dada untuk menerima perubahan ini demi pendidikan negara.
  5. Sebelum saya mengkhiri penulisan saya buat kali ini, saya ingin memaklumkan, saya ada menghasilkan sebuah buku tentang pentaksiran pendidikan yang membincangkan tentang banyak perkara yang berkaitan dengan apa yang saya bincangkan selama ini.









Harga senaskhah RM35.00 tetapi di sini saya menawarkan harga RM30.00 dan pos percuma untuk Semenanjung. Bagi Sabah dan Sarawak, tambahan kos pos RM5.00.

Buku ini boleh juga didapatkan dari kedai buku Minerva, Pustaka Mukmin dan Pustaka Mumin di Jalan TAR, KL. 

Sekiranya berminat boleh hubungi saya melalui WA dengan menyertakan bukti pembayaran dan alamat penuh. No akaun akan saya berikan apabila membuat pesanan. No telefon : 012-3301072.

Sekian buat kali ini. Hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, jika diizinkan Allah, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Monday, 23 July 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN RUJUKAN STANDARD- STANDARD PRESTASI

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk kita bertemu lagi pada ruang dan masa ini bagi meneruskan lagi serba sedikit  pemikiran saya yang tidak seberapa tentang pentaksiran pendidikan.  Maaf, pos saya kali ini agak terlewat dek bahang pilihanraya dan juga Ramadan. Kini semua telah selesai, kita kembali  menjalani hidup dan menjalankan tugas seperti biasa. Pilihan raya merenggangkan banyak hubungan dan Ramadan serta  Syawal seharusnya menautkan kembali hubungan yang renggang.  Kita terima apa yang telah ditentukan oleh Allah, Allah lebih tahu apa yang dirancang kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Kita berlapang dada menerima ketentuanNya. Jangan putuskan silaturrahim kerana perbezaan pandangan dan pendapat, rapatkan kembali saf demi kepentingan anak-anak didik dan masa depan negara.
  2. Dalam pendidikan, terdapat  tiga jenis pentaksiran yang biasa digunakan  iaitu pentaksiran rujukan  norma, pentaksiran rujukan kriteria dan pentaksiran rujukan standard. Secara ringkas saya huraikan kembali  serba sedikit tentang pentaksiran ini, walau pun ianya telah saya jelaskan sebelum ini.
  3. Pentaksiran rujukan norma merupakan pendekatan yang lumrah digunakan dalam sistem pendidikan yang menggunakan teori taburan normal sebagai asas  dalam menganalisis keputusan peperiksaan, terutama peperiksaan pusat. Pemasangan instrumen pentaksiran juga berasaskan taburan normal. Pentaksiran rujukan norma direka bentuk untuk mengukur prestasi seseorang murid dan diinterpretasi dengan cara membandingkan kedudukan relatif seseorang murid dalam satu-satu kohort yang dikenal pasti.  Setiap skor dalam pentaksiran rujukan norma disusun mengikut ranking dari yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Skor min digunakan untuk menentukan kedudukan seseorang murid itu sama ada  berada di atas atau di bawah min. 
  4. Pentaksiran rujukan norma membolehkan perbandingan antara murid dibuat kerana setiap murid berada pada satu titik dalam ranking tersebut. Pelaporan selalunya dibuat menggunakan peratusan atau persentil. Seorang murid yang berada pada persentil 70 sebagai contoh  membawa maksud lebih kurang 69% murid yang mengambil ujian tersebut berada di bawahnya dan 30% mempunyai prestasi yang lebih baik daripadanya.  Skor seseorang murid bagi satu-satu kohort tidak boleh dibandingkan dengan skor kohort yang lain kerana setiap kohort atau kumpulan mempunyai ciri yang berbeza daripada sifat ahli dan taburan skor yang diperolehi. Pentaksiran rujukan norma menggunakan sistem skor dan ged tunggal bagi tujuan pelaporan.
  5. Pentaksiran rujukan kriteria merupakan pendekatan yang dibangunkan bagi membolehkan skor seseorang murid itu diinterpretasi berdasarkan satu-satu standard kualiti yang kekal. Ini merupakan proses memberi makna kepada pencapaian murid dengan membandingkan skor yang diperoleh murid  dengan set kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Makna diperoleh dengan menjelaskan apa yang boleh dibuat oleh seseorang murid pada tahap-tahap tertentu secara mutlak. Item pentaksiran merujuk kriteria  dibina selaras dengan hasil pembelajaran yang akan ditaksir dan tidak menekankan perbezaan atau perbandingan antara murid.  Jika tahap pembelajaran rendah dan mudah, itemnya juga mudah dan begitu juga sebaliknya. 
  6. Matlamat pentaksiran rujukan kriteria ialah untuk mendapatkan gambaran tentang pengetahuan dan kemahiran spesifik yang telah dimiliki oleh seseorang murid.  Pelaporan pentaksiran rujukan kriteria menunjukkan keupayaan murid dalam bidang-bidang spesifik seperti boleh mengira nombor 1 hingga 100 dan boleh mengeja dengan betul 65% daripada perkataan yang disenaraikan. Gred tunggal atau apa-apa lambang  boleh digunakan tetapi setiap satu harus ditambatkan dengan aras pembelajaran yang ditetapkan. Julat  markah boleh digunakan.  Berbeza dengan pentaksiran rujukan norma, setiap gred atau lambang  yang digunakan dalam pentaksiran rujukan kriteria mempunyai makna yang khusus seperti mana yang telah ditetapkan dalam standard kualiti yang ditetapkan.  Sesuai untuk mentaksir aspek yang berkaitan dengan kemahiran.
  7. Pentaksiran rujukan standard pula merupakan kaedah pelaporan bagi pembelajaran yang berdasarkan kurikulum standard. Terdapat dua konsep utama di sini iaitu standard dalam kurikulum dan standard dalam pentaksiran. Standard dalam kurikulum merupakan standard pembelajaran yang harus dicapai oleh murid dalam satu-satu kurikulum pembelajaran yang telah ditetapkan. Standard dalam kurikulum menetapkan luas dan dalamnya satu-satu pembelajaran dan menentukan kualiti pembelajaran yang akan dialami oleh murid. Pentaksiran rujukan standard merupakan alternatif kepada Pentaksiran rujukan norma yang sering dikaitkan dengan pelbagai kelemahan dan kesamaran dalam pelaporan hasil pembelajarn murid.  Banyak negara yang sudah beralih kepada pentaksiran rujukan standard kerana kaedah ini memberikan gambaran yang jelas tentang diri seseorang murid  itu daripada segala aspek pembelajarannya.
  8. Standard dalam pentaksiran merujuk kepada standard prestasi iaitu standard yang dibentuk berdasarkan standard dalam kurikulum yang menentukan sejauh mana hasil pembelajaran atau prestasi seseorang murid itu telah mencapai matlamatnya seperti yang telah ditetapkan dalam kurikulum standard. Bagi negara yang tidak mempunyai kurikulum berpusat seperti negara kita, seperti di Amerika Syarikat,  setiap negeri mempunyai kurikulum dan sistem pentaksiran yang tersendiri. Tetapi sejak tahun 1990'an,  gerakan terhadap pendekatan pentaksiran berasaskan standard mula direalisasikan  dan pada tahun 1997,  97% negeri di Amerika Syarikat telah bersetuju untuk membentuk dan mengubah sistem pentaksiran kepada pentaksiran berasaskan standard. Di Malaysia, KPM telah memulakan langkah ke arah ini dengan mengimplementasikan Pertaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang seharusnya mengubah kaedah pelaporan kepada pelaporan berasaskan standard.  Kewujudan kurikulum standard untuk semua sekolah memudahkan pembentukan  satu standard prestasi kebangsaan berbanding dengan negara yang tidak mempunyai kurikulum berpusat kerana kepelbagaian  sistem pendidikan mengikut negeri.  Setiap negeri akan mempunyai standard prestasi yang berlainan.

Apa dia Standard Prestasi?

  1. Standard Prestasi ialah dokumen yang dibina berdasarkan standard dalam kurikulum bagi merumuskan standard pembelajaran yang disasarkan menggunakan sistem 6 band. Band merupakan aras pencapaian atau penguasaaan berperingkat dari band 1 hingga band 6. Band 1  merupakan aras paling rendah dan band 6 merupakan aras paling tinggi. Bilangan band ini mungkin berbeza mengikut negeri, negara atau agensi yang melaksanakan pentaksiran mengikut kesesuaian; ada yang menggunakan antara  3 aras hingga 7 aras. Istilah band digunakan kerana setiap aras pencapaian itu merupakan himpunan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah ditetapkan dalam sasaran pembelajaran yang dikelompokkan mengikut kesesuaian dan aras penguasaan.
  2. Setiap band ditambatkan dengan angka seperti band 1, band 2, band 3 dan seterusnya. Selain daripada band yang ditambatkan dengan angka, band boleh juga dengan ditambatkan dengan abjad seperti band A, band B, band C dan seterusnya, atau bentuk-bentuk lain yang sesuai. Berbeza dengan gred atau markah dalam peperiksaan awam yang bersifat tunggal, setiap band akan menjelaskan tentang penguasaan yang dicapai oleh murid dalam pembelajarannya.
  3. Penetapan 6 band dalam sistem pendidikan kita  disesuaikan dengan cakupan yang terdapat dalam kurikulum formal. Kurikulum menentukan kualiti pendidikan yang akan dialami oleh murid, juga keluasan dan kedalaman pembelajaran satu-satu bidang. 
  4. Standard Prestasi yang dibina adalah berdasarkan premis berikut:
          Band 6 :     tahu+faham+boleh buat dengan cemerlang+penghayatan+mithali (P/K/N)
          Band 5 :     tahu+faham+boleh buat dengan cemerlang (P/K/N)
          Band 4 :     tahu+faham+boleh buat dengan baik (P/K/N)
          Band 3 :     tahu+faham+boleh buat secara asas (P/K/N)
          Band 2 :     tahu+faham sahaja (P/K/N)
          Band 1 :     Tahu sahaja (P/K/N)

       5. Berdasarkan standard prestasi, kita boleh melihat perkembangan dan pembangunan diri murid             daripada segi pengetahuan, kemahiran dan nilai dari permulaan pembelajarannya hingga ke                 hari akhir pembelajarannya. Guru boleh menggunakan standard prestasi dalam merangka                     matlamat pengajarannya berdasarkan keupayaan murid. Kita tidak boleh memaksa semua                   murid untuk mencapai band 6 kerana setiap murid mempunyai keupayaannya tersendiri.                      Tidak  semua murid boleh menguasai hingga ke band 6 kerana band 6 merupakan sesuatu yang            amat hebat dan istimewa, hanya murid yang betul- betul cemerlang dalam semua aspek dan                melangkaui perimeter kurikulum yang dihasratkan yang akan mencapai band 6. Majoriti murid            akan berada dalam band 3 hingga 5 dan sebahagain kecil mungkin berada pada band 1 dan 2.
      6. Saya lebih cenderung ke arah pembentukan satu standard prestasi kebangsaan bagi                          membolehkan skala yang sama digunakan bagi semua murid dalam sistem pendidikan kita.                 Standard prestasi kebangsan lebih mudah dibina kerana negara memiliki sistem pendidikan                  berpusat di mana semua sekolah mengikuti sistem pendidikan yang sama dengan mengikuti                kurikulum yang sama.

Rasanya setakat ini dulu untuk kali ini. Saya akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang standard prestasi ini dalam penulisan yang akan datang. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua yang sudi mengikuti blog saya ini. Terima kasih.

Dr. Hazim




Saturday, 21 April 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: SKOR DAN PELAPORAN (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Salam sejahtera kepada semua. Bertemu lagi kita, dengan izin Allah, pada ruang dan masa ini. Semoga apa yang dipersembahkan dapat memberikan manafaat kepada semua. Andainya hanya satu saja manafaat yang diterima, itu sudah cukup untuk saya bersyukur ke hadirat Illahi.
  2. Skor telah pun saya jelaskan dan kini saya ingin mengaitkan pula skor dengan pelaporan dalam pentaksiran pendidikan. Kalau dalam sistem peperiksaan pusat, skor peperiksaaan dan pelaporan merupakan dua perkara yang berasingan.  Skor diperoleh daripada peperiksaan yang diduduki secara formal dalam kawalan yang ketat dan diterakan dalam bentuk gred tunggal sementara  pelaporan pula disediakan oleh guru untuk dibekalkan kepada murid sebelum meninggalkan sekolah. Dan kebiasaannya, bentuk pelaporan yang amat lazim berupa sijil berhenti sekolah yang menggunakan kosa kata seperti  terbaik, amat baik, baik, memuaskan dan sederhana  bagi aspek-aspek yang dilaporkan. Namun tidak ada huraian apa yang membezakan antara terbaik dengan amat baik, amat baik dengan baik, baik dengan memuaskan dan memuaskan dengan sederhana. Dan semuanya ini, skor dan juga pelaporan adalah tentang perkara yang telah berlalu.  Tiada satu pun, skor atau pelaporan,  yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan penambahbaikan  dalam pembangunan diri murid.
  3. Berbeza dengan pentaksiran pendidikan, pada prinsipnya guru mula mentaksir pada hari pertama murid memulakan persekolahan dan berakhir pada hari terakhir murid berada di sekolah. Bermakna, maklumat  tentang murid sentiasa diperolehi sepanjang masa pengajaran. Maklumat  tentang murid  diperolehi dengan cepat, bersifat autentik dan tindakan pantas boleh diambil bagi tujuan membantu pembelajaran  dan pembangunan diri murid. Pentaksiran berlangsung sepanjang masa, fleksibel dan lebih bersifat insaniah.  Pentaksiran menghasilkan maklumat yang  dijelmakan dalam bentuk skor dan  setiap skor dikaitkan dengan makna.  Guru boleh membuat pelaporan selepas setiap kali mentaksir  seseorang murid atau selepas beberapa kali mentaksir mengikut keperluan dan semua himpunan maklumat akan membolehkan pelaporan akhir tentang murid dibuat.   
  4. Mungkin guru akan merasakan ini satu beban tugas yang amat berat, bagaimana hendak mentaksir mungkin ratusan  murid di bawah tanggung jawabnya pada satu-satu masa.  Inilah  yang perlu difahami tentang pentaksiran dan jangan samakan pentaksiran dengan peperiksaan.  Peperiksaan hanyalah satu daripada kaedah untuk mendapatkan maklumat tentang murid, khususnya aspek kognitif.  Peperiksaan ditadbirkan serentak untuk beratus-ratus orang murid menggunakan kaedah kertas dan pensil dalam masa yang telah ditetapkan.  Selain peperiksaan, banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan dalam pentaksiran pendidikan.  Pentaksiran  bersifat fleksibel, lebih humanistik dan  boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan pelbagai kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan autentik tentang murid. 
  5. Dalam pentaksiran, tidak semua murid ditaksir pada satu-satu masa. Guru boleh menetapkan aspek yang hendak ditaksir dengan kaedah yang difikirkan paling sesuai pada bila-bila masa. Pentaksiran boleh dilakukan semasa berinteraksi dengan murid seperti masa di padang, masa aktiviti kokurikulum, masa di kantin, masa perhimpunan dan masa dalam kelas. Guru juga boleh melakukan pentaksiran melalui pemerhatian, maklumat daripada guru lain, maklumat daripada rakan murid,  hasil kerja murid dan pencapaian luar biasa murid.
  6. Apabila guru mentaksir, maklumat akan diperolehi. Maklumat ini akan membolehkan guru menilai tentang seseorang murid.  Sekiranya guru mengenal pasti masalah tertentu pada diri murid yang memerlukan tindakan segera, guru boleh terus membuat pelaporan tentang murid tersebut.   Ini mungkin melibatkan masalah seperti masalah pembelajaran, dyleksia, rabun, tuli,  disiplin, emosi, kemurungan, pergerakan motor dan kesihatan. Murid mungkin mengalami masalah yang kritikal dan guru berperanan mengambil tahu dan berusaha mengatasi masalah yang dialami murid secepat mungkin. Sekiranya masalah murid serius, ini harus dirujuk kepada pihak yang pakar dalam bidangnya.  Dalam keadaan biasa, pelaporan boleh dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa, mengikut tahap-tahap tertentu yang difikirkan wajar oleh guru atau pihak pentadbir.
  7. Bukan hanya mengenal pasti masalah pada kalangan murid, guru juga melalui pentaksiran akan mengenal pasti murid yang cemerlang, memiliki keistimewaan  dan kelebihan tertentu dan tindakan  yang sesuai juga harus diambil  bagi meningkatkan lagi pembelajaran dan pembangunan diri murid ini. Guru harus berinisiatif,  berinovatif dan kreatif dalam mewujudkan environment  yang kondusif dan tindakan yang  sesuai bagi memacu murid yang berkeupayaan tinggi dan istimewa ini ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.  Pentaksiran memberi peluang dan ruang kepada guru untuk berkarya dalam mendidik murid dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menarik serta menyeronokkan. Sekiranya terdapat murid yang hebat dalam  bidang-bidang tertentu seperti sukan, pendidikan seni, muzik, kesusasteraan atau bidang akademik lain, perkayakan  mereka dengan ilmu dan kemahiran tambahan agar mereka boleh  meningkat lebih tinggi dalam bidang masing-masing.  Pengurusan kelas menjadi keperluan kepada semua guru. Setiap murid adalah individu yang unik dan kemahiran guru mengenali sifat setiap orang muridnya boleh menjadi katalis kepada kemenjadian murid.
  8. Setiap  guru seharusnya faham peranan masing-masing dalam pentaksiran pendidikan. Lumrahnya, guru mata pelajaran bertanggung jawab mentaksir setiap orang murid dibawah kelolaannya.  Guru mata pelajaran akan menyimpan segala skor, eviden dan laporan tentang muridnya, kerana guru mata pelajaran mempunyai konteks masa yang panjang  dan khusus dengan muridnya. Guru mata pelajaran juga akan membuat penilaian dan penghakiman akhir bagi mata pelajarannya sebelum diserah kepada guru kelas untuk disatukan dengan mata pelajaran lain.. Maklumat yang diserahkan oleh guru mata pelajaran hanyalah skor akhir dan pelaporan akhir setiap orang muridnya. Maklumat lain seperti eviden, skor setiap kali pentaksiran, serta pelaporan khusus disimpan oleh guru mata pelajaran dalam portfolio murid dan akan dirujuk sekiranya timbul sebarang masalah. Penyimpanan portfolio dan tempoh masa penyimpanan bergantung kepada pengurusan sekolah dan arahan daripada pihak yang berkaitan.
  9. Apa yang saya huraikan di sini merupakan konsep asas pentaksiran. Hakikatnya dalam praktis di sekolah, mungkin terdapat kepelbagaian pendekatan berdasarkan kefahaman tentang konsep pentaksiran pendidikan atau kecelaruan dan juga  arahan dari pihak atasan. Kerana itu, telah saya tekankan pada penulisan terdahulu, perlunya ada keselarasan dalam kefahaman kerana faham dan sefaham itu amat penting. Kekeliruan hanya akan menggagalkan apa sahaja program walaupun sebaik mana program itu dirancang. 
  10. Setakat ini penulisan saya buat kali ini. Pada penulisan yang akan datang, insyaAllah akan saya cuba terangkan tentang pelaporan menggunakan band yang disarankan dalam  cadangan asal yang dikemukakan oleh Lembaga Peperiksaan. ,  Untuk makluman rakan-rakan semua, blog  ini saya khususkan hanya tentang  pentaksiran  dan pendidikan  dan tidak akan menyentuh perkara lain di luar bidang ilmu ini. Ilmu adalah universal, tidak mengenal warna kulit, suklu kaum dan bangsa. Semoga kita semua sebagai pendidik terus istiqamah dalam mendidik anak bangsa walau apa pun cabaran yang mendatang.  
  11. Hingga bertemu lagi, insyaAllah, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim

Friday, 6 April 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN. SKOR DAN PELAPORAN (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Bertemu lagi kita pada penulisan kali ini. Mengimbas kembali, melalui penulisan di ruang ini, saya telah menyentuh banyak konsep yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan. Namun banyak lagi aspek-aspek pentaksiran pendidikan yang perlu dikaji dan difahami. Pentaksiran pendidikan merupakan bidang yang amat luas dan banyak kemungkinan, membuka banyak ruang  untuk para guru dan juga pengkaji untuk meneroka dengan lebih mendalam lagi bidang ini.
  2. Dalam proses transformasi pendidikan negara masa kini, pentaksiran pendidikan  seharusnya menjadi fokus utama dalam pengajian di institusi pengajian tinggi yang membekalkan guru ke dalam sistem pendidikan kita.  Guru muda yang akan memasuki realiti alam persekolahan seharusnya terbekal dengan ilmu dan kemahiran  pentaksiran pendidikan kerana inilah yang akan mereka hadapi apabila memasuki realiti persekolahan masa kini. Pelaksanaan SPPK memerlukan pengupayaan pada kalangan para pendidik untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya. Saya juga sudah banyak menyentuh perkara ini dalam penulisan terdahulu. 
  3. Kita kini sudah mula beralih daripada pengukuran pendidikan kepada pentaksiran pendidikan. Jika pengukuran pendidikan cuba menstatistikkan data mental murid, konstruk abstrak yang tidak mudah untuk difahami, pentaksiran pendidikan cuba menghuraikan realiti murid, tentang  keupayaannya,  tentang apa yang boleh dibuat dan tentang potensi yang mereka ada dalam ruang yang boleh difahami oleh semua. 
  4. Apabila peperiksaan pusat  diadakan pada penghujung satu-satu pembelajaran, akhir tahun enam dan akhir tingkatan lima,  maklumat yang diperolehi tidak bermanafaat lagi kepada murid. Tiada apa-apa tindakan yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan pembelajaran murid. Semua sudah berlalu. Yang ada hanya sekeping kertas dengan skor dan gred tunggal yang diperolehi  tanpa makna yang akan dibawa sepanjang hayat murid. Skor yang dibawa hanya merupakan andaian tentang keupayaan pembelajaran murid dan akan membawa murid kepada pilihan-pilihan yang ada kalanya tidak menepati potensi  dan kecenderungan sebenar murid. Harapan yang terlalu tinggi sama ada oleh ibu bapa/ penjaga dan juga murid sendiri untuk gred cemerlang dalam peperiksaan pusat ada kalanya membawa tekananan yang keterlaluan terhadap murid hingga berlakunya kesan negatif seperti bunuh diri, kemurungan, masalah psikatri dan mental. Tidak kurang, tekanan ini juga boleh membawa kepada masalah disiplin seperti ponteng, vandalisma, buli dan khianat, terutama pada kalangan murid yang berkeupayaan sederhana dan lemah.
  5. Dengan pentaksiran, maklumat tentang murid diperolehi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran, bermula dari hari pertama guru berinteraksi dengan murid hingga ke hari akhir interaksi berlaku. Setiap maklumat berguna untuk pembelajaran murid. Guru sentiasa berpeluang mengambil tindakan segera hasil maklumat yang diperolehi untuk kepentingan murid. Guru boleh mengenal pasti masalah pembelajaran murid atau pendekatan pengajarnya. Guru boleh berkarya dan melakukan inovasi serta kreatif dalam pengajaran untuk menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan. Kembalikan keriangan dan keseronokan kepada murid yang masih muda. Tiada tekanan terhadap peperiksaan. Melalui interaksi guru dengan murid, selain daripada mengajar dan mendidik, guru juga berbual, bermain bersama,  berjenaka, bernyanyi, berlakon dan sebagainya,  dan dalam masa yang sama guru  memerhati, menyoal, mendengar, menyelidik dan memahami. Inilah pentaksiran. Fahami murid, fahami kelebihan dan  kekurangnnya, fahami potensinya, fahami emosinya, fahami rohaninya...dan itulah yang dilaporkan.  Tiada gred tunggal. Jika pun mahu menggunakan format bergred, setiap gred mesti disertakan dengan makna atau maksud gred tersebut.
  6. Seorang murid memperoleh A+ dalam mata pelajaran Geografi dalam peperiksaan pusat. Apakah maknanya A+ itu?  Adakah murid itu seorang yang hebat dalam geografi dan memiliki pengetahuan yang sempurna tentang geografi?  Atau apa? 
  7. Skor tersebut sebenarnya diperolehi daripada satu instrumen pentaksiran yang ditadbirkan ke atas murid tersebut dalam satu jangka masa yang telah ditetapkan dengan peraturan-peraturan yang ketat. Instrumen itu pula mungkin mengandungi 70 atau 75 item objektif aneka pilihan  untuk mewakili semesta ilmu  geografi yang begitu luas. Mungkin?? Pakar-pakar peperiksaan sejak dahulu mendakwa item yang dipilih merupakan pensampelan secara adil bidang-bidang dalam semesta geografi  dengan sokongan bukti-bukti empirikal daripada data praujian yang membuatkan skor itu boleh dijadikan inferen. Namun realitinya banyak faktor lain yang mempengaruhi skor ini terutama kepakaran pembina item dan pembina instrumen, ketepatan pelaksanaan praujian  dan pengendalian peperiksaan dan juga faktor dalaman diri murid. Dengan 70 atau 75 item amat sukar untuk menggambarkan keupayaan sebenar murid dalam semesta ilmu mata pelajaran ini.  A+ tersebut  sebenarnya cuma menggambarkan keupayaan murid menjawab 70 atau 75 item dalam satu instrumen pentaksiran, bukan menggambarkan keupayaannya dalam menguasai semesta ilmu geografi. 
  8. Dalam usaha yang baru bermula ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara, dari sistem peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan, terdapat pula kecenderungan pada kalangan sebahagian  pengurus  pendidikan yang amat berminat untuk membandingkan sistem pendidikan negara dengan negara lain melalui peperiksaan  antarabangsa. Seolah terdapat aliran yang bertentangan dalam usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara. PISA dan TIMMS  pula diangkat sebagai penanda aras mutu pendidikan negara dan ini seolah membuat pusingan U mengembalikan semula keghairahan peperiksaan dalam dunia pendidikan negara. 
  9.  Secara pribadi, ini merupakan tindakan yang tidak tepat dan kurang bijak kerana standard pendidikan negara bukan ditentukan oleh skor peperiksaan ini tetapi daripada kualiti manusia yang kita lahirkan mengikut aspirasi dan acuan kita sendiri. Pendidikan bukan pertandingan.  Setiap negara mempunyai falsafah dan matlamat pendidikannya sendiri. Setiap negara juga mempunyai kurikulum sendiri yang berbeza antara satu sama lain. Begitu juga dengan penekanan dan pendekatan pengajaran. 
  10. Walau pun didakwa sebagai peperiksaan yang adil, menguji aspek yang universal,  hakikatnya skor peperiksaan ini boleh dimanipulasi. Untuk memperoleh skor tinggi, ambil saja sekumpulan murid, kumpul dan latih bagaimana hendak menjawab soalan dalam format yang ditetapkan, latih tubi, drilled, pasti skor akan meningkat. Tapi jujurkah tindakan ini?  Dan apakah faedah yang kita perolehi?  Mungkin berbangga dengan kedudukan tinggi berbanding negara lain,  so what??   Persoalan yang saya biarkan tanpa jawapan.
  11. Semoga apa yang hendak saya terangkan dapat difahami. Kenapa kita harus bergerak daripada dunia peperiksaan pusat kepada dunia pentaksiran pendidikan. Peperiksaan pusat terhenti setakat skor tunggal tetapi pentaksiran pendidikan memberikan lebih daripada itu, memaknakan setiap skor yang diberi. Bagaimana skor ini dimaknakan akan saya huraikan pada penulisan akan datang di mana antara bentuk pelaporan yang dilaksanakan di banyak negara ialah pendekatan menggunakan band. 
  12. Pelaporan bentuk band ini disarankan kerana ia merupakan bentuk pelaporan yang paling mudah untuk difahami dan sesuai dengan intipati sukatan pelajaran yang digunakan di negara ini. InsyaAllah saya akan cuba untuk menghuraikannya nanti. Hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Saturday, 24 March 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: SKOR DAN PELAPORAN

Assalamualaikum wbrt.

  1. Selamat bertemu kembali kepada para sahabat sekalian. Setelah menghuraikan tentang kaedah pentaksiran dan instrumen yang  boleh digunakan, saya akan cuba menerangkan pula tentang skor dan pelaporan dalam sistem pentaksiran pendidikan pada penulisan kali ini dan mungkin beberapa penulisan berikutnya.  Sebelum itu, saya ingin menyampaikan rasa hati saya tentang situasi masa kini bidang pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan kita hari ini.
  2. Dari pandangan dan luahan perasaan para guru di alam maya, ternyata masalah utama yang menghimpit para guru dalam melaksanakan pentaksiran ialah kekeliruan dan kecelaruan dalam pemahaman tentang apa sebenarnya pentaksiran pendidikan. Kekeliruan dan kecelaruan pemahaman ini bukan hanya tertumpu kepada para guru tetapi juga para pegawai di PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian dalam KPM. Mereka terusan bercerita tentang GPA dan CGPA sedangkan ini hanya satu bahagian kecil dalam pentaksiran pendidikan. 
  3. Apabila PBS dilaksanakan mereka masih terus bercerita tentang  pencapaian dalam peperiksaan pusat (A penuh)  dan bagaimana hendak meningkatkan prestasi  peperiksaan. Apabila pegawai PPD, JPN dan bahagian datang ke sekolah, mereka sentiasa mahukan pencapaian peperiksaan pusat. Sampai bila kekeliruan dan kecelaruan ini akan wujud tidak dapat dipastikan tetapi yang jelas para guru di sekolah yang melaksanakan pentaksiran tidak mendapat penjelasan dan bimbingan yang sepatutnya daripada pihak-pihak yang sepatutnya memberikan bimbingan.  
  4. Sudah dijelaskan banyak kali dalam pelbagai media, pelaporan PPSR merangkumi UPSR dan PBS yang terdiri daripada peperiksaan bilik darjah, pentaksiran psikometrik dan PAJSK merupakan pelaporan holistik yang memberi maklumat tentang keupayaan keseluruhan murid, bukan hanya aspek kognitif. Tiada GPA dan tiada perbandingan, hanya pelaporan tentang setiap orang murid. Begitu juga PT3, bukan peperiksaan pusat tetapi  keseluruhannya PBS setelah PMR dimansukhkan. Kenapakah masih wujud kekentalan jiwa tentang mengidolakan peperiksaan pusat sedangkan kita mahu membina manusia, menjadikan setiap orang murid itu berjaya dalam kehidupannya, bukan hanya yang cemerlang akademik.  Halangan ini seharusnya dirobohkan dan minda para pendidik dan pengurus pendidikan harus disatukan ke arah memaknakan pendidikan itu sendiri.
  5. Yang lebih membimbangkan  ialah  adanya dakwaan yang sebahagian guru tidak memahami FPK dan makna  pendidikan itu sendiri.  Guru tidak memahami FPK dan makna pendidikan???  Biar betul. Sekiranya dakwaan ini benar, ini  merupakan persoalan yang amat  serius  dan kritikal dalam profesion keguruan yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib. Ini kerana amanah pendidik ialah mendidik  tetapi amanah ini tidak difahami dan dihayati oleh orang yang diamanahkan. Ini  akan menjejaskan  bukan hanya kredibiliti dan integriti guru, malah lebih utama KPM itu sendiri dan standard pendidikan negara.  Ke mana arah hendak dituju sekiranya dari mula lagi kita tidak tahu matlamat dan tujuan kita mendidik sedangkan pendidikan itu intipati profesion ini dan FPK itu  matlamat pendidikan negara. Semua harus faham sebenarnya matlamat pendidikan bukan memperoleh semua A dalam peperiksaan pusat tetapi membangunkan diri murid agar menjadi insan terbaik, dunia akhirat,  dalam kapasiti masing-masing. 
  6. Sejujurnya, ia mungkin sesuatu yang pedih  dan sukar untuk diterima tetapi inilah realitinya. Sampai bila kita mahu dibelenggu dengan sikap ambil mudah dan tidak profesional. Kita mahu keguruan menjadi profesion yang disegani dan dihormati tetapi  tidak bersedia untuk  berfungsi sebagai seorang profesional. Kita mahu guru profesional yang bersemangat menimba ilmu dan kemahiran, proaktif, kreatif, beretika dan bersedia menerima perubahan. Gurulah yang bertanggung jawab menentukan jenis manusia yang akan mengemudikan negara pada abad-abad mendatang. Dan kita percaya sebahagian besar guru memiliki sifat besar ini, namun tidak dinafikan terdapat juga segolongan yang lebih cenderung ke arah santai, ambil mudah dan selesa dengan isu ringan , jenaka mudah dan hal-hal remeh temeh yang tidak memberi apa-apa penambahbaikan daripada segi intelek dan profesional. Kumpulan ini  amat selesa  dalam zon di mana mereka berada dan tidak senang dengan perubahan. 
  7. Kecemerlangan seorang guru  bukanlah kejayaannya menghasilkan murid yang hanya cemerlang akademik tetapi lebih daripada itu, iaitu  kejayaannya melahirkan insan yang terbaik dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.
  8. Ini merupakan pandangan pribadi saya dan sebagai pesara pendidikan yang terlibat secara langsung dengan pembangunan idea dan konsep SPPK serta LINUS, yang ingin melihat pendidikan negara dihormati dan berada pada standard tinggi, situasi  yang ada pada hari ini  sama ada pada peringkat sekolah atau pun pengurusan pendidikan berada pada setiap tahap yang amat merunsingkan. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak atasan untuk membetulkan keadaan.
Skor
  1. Apakah skor pentaksiran? Apa yang ada dalam minda kita selama ini skor hanyalah markah yang mempunyai nilai dari 0 hingga 100. Dan daripada markah ini ditentukan markah lulus, markah kepujian dan terbaik. Tetapi penentuan markah lulus ini amat mengelirukan. Ada kumpulan yang mungkin meletakkan 50 sebagai markah lulus, ada pula yang meletakkan 45 sebagai markah lulus, malah ada juga yang meletakkan 60 sebagai markah lulus bagi mata pelajaran tertentu. Banyak variasinya tapi  apakah  alasan profesional meletak markah lulus yang pelbagai ini? Apa justifikasinya???
  2. Juga, apabila markah lulus ditetapkan pada 50 bermakna murid yang memperoleh markah 49 dan ke bawah dianggap gagal dan apabila dikategorikan sebagai gagal, murid ini  dikelompokkan bersama dengan murid yang memperoleh markah 0, yang semestinya gagal. Adilkah kita kepada murid yang memperolehi markah 49, 48, 47 dan lain-lain itu yang dicop sebagai gagal sedangkan keupayaannya lebih hampir dengan 50 daripada 0.  Haruskah bentuk pelaporan seperti ini diteruskan walaupun kita menyedari ketidakadilannya? Saya akan cuba menyentuh hal ini pada penulisan akan datang, insyaAllah.
  3. Skor adalah hasil daripada pentaksiran.  Selain daripada markah, iaitu skor yang diperolehi selalunya daripada ujian dan peperiksaan, hasil pentaksiran lain seperti pemerhatian, temu bual dan persembahan  boleh dibentangkan dalam bentuk  pernyataan, bintang, warna, gred atau bentuk-bentuk lain yang boleh ditafsir. Skor yang berfungsi seharusnya disertakan dengan makna untuk difahami oleh pengguna.  Skor akan memberi maklumat kepada guru  tentang  keberkesanan pengajarannya dan pemahaman murid tentang perkara yang diajar. Maklumat ini akan membolehkan guru mengubah pendekatan pengajarannya supaya lebih berkesan atau mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid dalam memahami pengajarannya.  Skor berfungsi dalam pembelajaran murid kerana pentaksiran dijalankan seiring dengan proses PdP. Skor juga membolehkan ibu bapa dan penjaga mengenal pasti  kekuatan dan kelemahan anak-anak untuk  membolehkan tindakan susulan dijalankan. Skor juga  memberi maklumat kepada pihak pengurusan sekolah tentang pengajaran guru dan pembelajaran murid untuk membolehkan tindakan diambil bagi meningkatkan pembelajaran dan keberkesanan pengajaran. 
  4. Dalam pentaksiran, hanya skor yang boleh dikaitkan dengan kesahan dan kebolehpercayaan, bukannya ujian.
  5. Apabila skor diperolehi daripada satu-satu aktiviti pentaksiran, ia merupakan skor dicerap. Skor dicerap hanya merupakan anggaran keupayaan murid tersebut kerana skor dicerap terdiri daripada skor sebenar dan ralat pengukuran. Andaiannya, semakin rendah ralat pengukuran semakin tepat skor murid tersebut. Namun di samping ralat pengukuran, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi ketepatan skor seperti kaedah pentadbiran, sifat diri murid dan kebolehpercayaan antara pemeriksa (inter raters reliability). Dalam pentaksiran pendidikan,kesahan dan kebolehpercayaan skor ditentukan juga oleh amaun maklumat yang didapatkan. Semakin banyak maklumat yang diperolehi tentang seseorang murid, semakin tinggi probabiliti kesahan dan kebolehpercayaannya. 
  6. Skor dalam pentaksiran juga bersifat akumulatif. Ini bermakna dari pentaksiran pertama dilakukan ke atas murid, skor dihimpun untuk memperoleh skor akhir.  Guru atau sekumpulan guru akan menilai semua skor yang dihimpun untuk dihakimi bagi menentukan skor akhir murid. Skor murid bersama eviden disimpan dalam portfolio murid.  Bukan semua  eviden  murid disimpan dalam portfolio,  hanya eviden  pada tahap-tahap tertentu yang dianggap signifikan yang menunjukkan tahap perkembangan dan pembangunan diri murid. 
  7. Skor seharusnya boleh diinterpretasi. Selama ini kita dihidangkan dengan skor berbentuk numerikal (1,2,3....) dan juga abjad (A,B,C...) bagi keputusan peperiksaan pusat dan juga sekolah. Tapi   apakah maknanya skor 1,2,3... dan A, B, C... itu?   Selain daripada itu, apakah skor yang diperolehi daripada satu instrumen pentaksiran yang mengandungi 50 atau 60 item dan  diduduki sekali oleh murid boleh dijadikan inferen sebagai penguasaan murid dalam mata pelajaran yang berkaitan? 
  8. Ini antara persoalan tentang skor dalam peperiksaan. Saya akan cuba menghuraikan skor dan pelaporan dalam pentaksiran pada penulisan akan datang, insyaAllah. Sekian penulisan saya buat kali ini, hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Friday, 9 March 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, kita bertemu lagi pada ruang berkongsi ilmu ini. Pelaksanaan pentaksiran dan PBS menghasilkan gelombang  yang menggegarkan sistem pendidikan negara. Puncaknya apabila pelaporan darjah enam diubah daripada UPSR yang hanya berdasarkan keputusan peperiksaan pusat kepada PPSR yang merangkumi pelaporan keseluruhan pencapaian murid, sama ada bidang kognitif dan bukan kognitif, sebagaimana  dikonsepsikan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dikemukakan oleh LP. Tiada lagi gred purata.  Reaksi  hebat  diterima dari pelbagai kalangan yang rata-ratanya negatif. . Kebimbangan utama, tiada lagi perbandingan yang dapat dibuat, tiada lagi murid terbaik dan  tiada lagi sekolah terbaik.  Kepada ibu bapa, mereka  mendakwa tidak tahu pencapaian anak mereka kerana pelaporan turut merangkumi pentaksiran bilik darjah, pentaksiran psikometrik, PAJKS dan peperiksaan pusat (UPSR). Yang lebih memberi kesan negatif apabila terdapat bahagian-bahagian yang tertentu dalam KPM seperti  JPN dan PPD yang terusan mahu mempertahankan ranking sekolah. Apabila PPD lebih  mementingkan ranking untuk menunjukkan kehebatan masing-masing, apakah yang sebenarnya difahami oleh  JPN dan PPD tentang FPK dan makna pendidikan? 
  2. Sejujurnya, ini menggambarkan kekeliruan kerana kita sudah terlalu lama berada dalam paradigma peperiksaan pusat. Tiada  gred A, B, C, D, E seolah tidak ada pendidikan, tidak ada pembelajaran  dan tidak ada kehebatan. Tiada gred A,B,C,D,E  seolah tiada murid cemerlang, tiada  sekolah cemerlang, tiada sekolah hebat, tiada guru hebat dan tiada Guru Besar/ Pengetua hebat. Apakah ini yang kita perjuangkan dalam pendidikan? Secara rasionalnya, pelaporan menyeluruh yang holistik adalah yang terbaik  bagi menunjukkan  diri sebenar seseorang murid.  Usaha mendidik di sekolah  bukan hanya mahu melahirkan murid cemerlang akademik tetapi juga cemerlang dalam semua aspek kehidupan, intelek, rohani, emosi, jasmani dan kemahiran bersosial.
  3. Persepsi  mengidolakan peperiksaan pusat ini sebenarnya jauh  tersasar daripada matlamat dan makna pendidikan dan  harus diperbetulkan. Pendidikan bersifat universal, memainkan peranan yang sama di mana-mana sahaja dan kelompok apa jua. Kenapa perlu ada perbandingan sedangkan kita mahu melahirkan insan yang menyeluruh,  terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya. Kita mahu membangunkan setiap orang murid itu ke tahap yang tertinggi yang boleh dicapai berdasarkan keupayaannya.  Ada yang cenderung akademik ada yang cenderung sukan, ada yang cenderung seni, ada yang cenderung  komunikasi dan  juga pelbagai  kecenderungan lagi. Kecenderungan ini yang seharusnya dipupuk hingga ke tahap yang termampu oleh mereka.  Bukan membandingkan yang hebat dengan yang tidak hebat.
  4. Abad-abad mendatang memerlukan manusia yang serba boleh, berani menghadapi cabaran, memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang, inovatif, kreatif, kritis, komunikatif dan memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang luhur.  Kualiti ini tidak akan dapat dilahirkan sekiranya kita terus mengidolakan peperiksaan pusat dan meraikan secara besar-besaran pencapaian  yang didakwa kecemerlangan (A penuh). Seharusnya tidak ada kumpulan elit dalam pendidikan yang selalunya  diberi segala perhatian dan  keistimewaan  dan kumpulan belakang  atau bukan elit yang sentiasa diabai secara sistematik.  Setiap individu adalah unik. Semua murid berhak menerima layanan sama rata kerana setiap orang memiliki keistimewaan tersendiri. 
  5. Murid hebat dan cemerlang ialah murid yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Bukan hanya hebat dalam ilmu dunia dan profesionanya, tetapi juga hebat dalam ilmu akhirat dan kemasyarakatan, peka dengan alam sekitar dan nilai-nilai baik. Kalau menjadi doktor, dia seorang doktor yang hebat, jika dia guru dia seorang  guru yang hebat, jika menjadi peguam, dia menjadi peguam yang hebat, malah jika jika dia menjadi peniaga, nelayan, tukang kebun atau tukang kayu, dia akan menjadi peniaga yang hebat, nelayan yang hebat, tukang kebun yang hebat dan tukang kayu yang hebat. Dia tidak akan menipu dalam menjalankan tugas dan tanggung jawabnya, amanah, tidak bongkak, redho, dan mampu membuat inovasi dalam bidang yang diceburinya. Ini yang ingin kita capai. Ideal? Tanpa idealisma tidak akan ada usaha untuk mencapainya.
Definisi Pentaksiran Pendidikan

Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut.


  1. Apabila mentaksir, perkara yang paling utama ialah kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang akan diperolehi.  Maklumat ini boleh diperolehi melalui eviden yang ditunjukkan oleh murid melalui respons atau jawapan murid (verbal atau tulisan), perlakuan (hormat guru, suka membantu, berlari dengan kaedah yang betul), dan artifak (hasil kerja murid seperti bahan cetak, hasil kraf tangan, seni visual).  Eviden merupakan hasil respons murid daripada tugasan yang diberi melalui instrumen yang digunakan. 
  2. Apakah dia instrumen?  Kita selalunya dikelirukan dengan instrumen peperiksaan pusat, set kertas soalan yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan ditadbirkan kepada murid mengikut peraturan-peraturan tertentu. Sebenarnya ini hanya satu daripada beberapa bentuk instrumen yang boleh kita dapati dalam pentaksiran. Secara khususnya, insrumen pentaksiran merujuk kepada alat (tool) atau perkara yang ditadbirkan kepada murid bagi mendapatkan respons yang akan menjadi eviden bagi perkara yang ditaksir.
  3. Bukan hanya kertas soalan peperiksaan, instrumen pentaksiran juga terdapat dalam bentuk yang pelbagai seperti senarai semak, borang soal selidik, borang temu duga, senarai kuiz, senarai pemerhatian, senarai aktiviti, 'puzzle' , peralatan dan arahan. Satu-satu instrumen boleh terdiri daripada satu item atau beberapa item atau perkara. Bagi instrumen dan item peperiksaan pusat, ia disediakan oleh institusi pusat dengan proses dan prosedur yang amat ketat bagi mempastikan kesahan dan kebolehpercayaan item dan instrumen serta skor yang akan diperolehi, sementara item dan instrumen peperiksaan sekolah disediakan oleh guru. Penyediaan item dan instrumen mempunyai proses dan prosedur yang khusus, justru, guru perlu memiliki serba sedikit ilmu dan kemahiran tentang  item dan instrumen bagi memastikan  pentaksiran dilaksanakan mengikut standard yang betul.  
  4. Instrumen berkait rapat dengan perkara yang hendak ditaksir. Pemilihan instrumen yg betul amat kritikal bagi mempastikan maklumat yang diperolehi tepat. Maklumat yang salah akan membuat pentaksir membuat penghakiman yang salah dan penghakiman yang salah akan  memberi kesan seumur hidup kepada murid. Kerana itu  guru harus memiliki serba sedikit ilmu tentang  pentaksiran. Setiap instrumen unik, dibina bagi tujuan tertentu dan untuk kumpulan tertentu. Tidak ada satu instrumen yang boleh mentaksir kesemua konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid.  Instrumen untuk mentaksir aspek kognitif tidak sama dengan instrumen bagi mentaksir aspek non- kognitif seperti gerakan fizikal, kepantasan, kasih sayang  dan kejujuran. 
  5. Kepada para guru, pengurus pendidikan pada peringkat sekolah, daerah, jabatan atau pusat serta ibu bapa dan juga pelajar yang mengikuti penulisan saya ini diharap sekurang-kurangnya dapat serba sedikit menggarap apa yang ingin saya sampaikan. Kita harus berubah kerana dekad akan datang tidak seperti mana dekad-dekad yang terdahulu. Komunikasi dan transimisi maklumat pada masa akan datang amat pantas. Tanpa mahu berubah kita akan terus ketinggalan dan jurangnya akan semakin melebar semakin lama kita enggan berubah. Saya akan terus menjelaskan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, setakat ini dulu yang dapat saya sampaikan. Maaf kerana entri kali ini agak lewat, hampir 2 minggu dari entri sebelumnya. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.