Showing posts with label SPPK. Show all posts
Showing posts with label SPPK. Show all posts

Friday, 9 March 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, kita bertemu lagi pada ruang berkongsi ilmu ini. Pelaksanaan pentaksiran dan PBS menghasilkan gelombang  yang menggegarkan sistem pendidikan negara. Puncaknya apabila pelaporan darjah enam diubah daripada UPSR yang hanya berdasarkan keputusan peperiksaan pusat kepada PPSR yang merangkumi pelaporan keseluruhan pencapaian murid, sama ada bidang kognitif dan bukan kognitif, sebagaimana  dikonsepsikan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dikemukakan oleh LP. Tiada lagi gred purata.  Reaksi  hebat  diterima dari pelbagai kalangan yang rata-ratanya negatif. . Kebimbangan utama, tiada lagi perbandingan yang dapat dibuat, tiada lagi murid terbaik dan  tiada lagi sekolah terbaik.  Kepada ibu bapa, mereka  mendakwa tidak tahu pencapaian anak mereka kerana pelaporan turut merangkumi pentaksiran bilik darjah, pentaksiran psikometrik, PAJKS dan peperiksaan pusat (UPSR). Yang lebih memberi kesan negatif apabila terdapat bahagian-bahagian yang tertentu dalam KPM seperti  JPN dan PPD yang terusan mahu mempertahankan ranking sekolah. Apabila PPD lebih  mementingkan ranking untuk menunjukkan kehebatan masing-masing, apakah yang sebenarnya difahami oleh  JPN dan PPD tentang FPK dan makna pendidikan? 
  2. Sejujurnya, ini menggambarkan kekeliruan kerana kita sudah terlalu lama berada dalam paradigma peperiksaan pusat. Tiada  gred A, B, C, D, E seolah tidak ada pendidikan, tidak ada pembelajaran  dan tidak ada kehebatan. Tiada gred A,B,C,D,E  seolah tiada murid cemerlang, tiada  sekolah cemerlang, tiada sekolah hebat, tiada guru hebat dan tiada Guru Besar/ Pengetua hebat. Apakah ini yang kita perjuangkan dalam pendidikan? Secara rasionalnya, pelaporan menyeluruh yang holistik adalah yang terbaik  bagi menunjukkan  diri sebenar seseorang murid.  Usaha mendidik di sekolah  bukan hanya mahu melahirkan murid cemerlang akademik tetapi juga cemerlang dalam semua aspek kehidupan, intelek, rohani, emosi, jasmani dan kemahiran bersosial.
  3. Persepsi  mengidolakan peperiksaan pusat ini sebenarnya jauh  tersasar daripada matlamat dan makna pendidikan dan  harus diperbetulkan. Pendidikan bersifat universal, memainkan peranan yang sama di mana-mana sahaja dan kelompok apa jua. Kenapa perlu ada perbandingan sedangkan kita mahu melahirkan insan yang menyeluruh,  terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya. Kita mahu membangunkan setiap orang murid itu ke tahap yang tertinggi yang boleh dicapai berdasarkan keupayaannya.  Ada yang cenderung akademik ada yang cenderung sukan, ada yang cenderung seni, ada yang cenderung  komunikasi dan  juga pelbagai  kecenderungan lagi. Kecenderungan ini yang seharusnya dipupuk hingga ke tahap yang termampu oleh mereka.  Bukan membandingkan yang hebat dengan yang tidak hebat.
  4. Abad-abad mendatang memerlukan manusia yang serba boleh, berani menghadapi cabaran, memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang, inovatif, kreatif, kritis, komunikatif dan memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang luhur.  Kualiti ini tidak akan dapat dilahirkan sekiranya kita terus mengidolakan peperiksaan pusat dan meraikan secara besar-besaran pencapaian  yang didakwa kecemerlangan (A penuh). Seharusnya tidak ada kumpulan elit dalam pendidikan yang selalunya  diberi segala perhatian dan  keistimewaan  dan kumpulan belakang  atau bukan elit yang sentiasa diabai secara sistematik.  Setiap individu adalah unik. Semua murid berhak menerima layanan sama rata kerana setiap orang memiliki keistimewaan tersendiri. 
  5. Murid hebat dan cemerlang ialah murid yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Bukan hanya hebat dalam ilmu dunia dan profesionanya, tetapi juga hebat dalam ilmu akhirat dan kemasyarakatan, peka dengan alam sekitar dan nilai-nilai baik. Kalau menjadi doktor, dia seorang doktor yang hebat, jika dia guru dia seorang  guru yang hebat, jika menjadi peguam, dia menjadi peguam yang hebat, malah jika jika dia menjadi peniaga, nelayan, tukang kebun atau tukang kayu, dia akan menjadi peniaga yang hebat, nelayan yang hebat, tukang kebun yang hebat dan tukang kayu yang hebat. Dia tidak akan menipu dalam menjalankan tugas dan tanggung jawabnya, amanah, tidak bongkak, redho, dan mampu membuat inovasi dalam bidang yang diceburinya. Ini yang ingin kita capai. Ideal? Tanpa idealisma tidak akan ada usaha untuk mencapainya.
Definisi Pentaksiran Pendidikan

Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut.


  1. Apabila mentaksir, perkara yang paling utama ialah kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang akan diperolehi.  Maklumat ini boleh diperolehi melalui eviden yang ditunjukkan oleh murid melalui respons atau jawapan murid (verbal atau tulisan), perlakuan (hormat guru, suka membantu, berlari dengan kaedah yang betul), dan artifak (hasil kerja murid seperti bahan cetak, hasil kraf tangan, seni visual).  Eviden merupakan hasil respons murid daripada tugasan yang diberi melalui instrumen yang digunakan. 
  2. Apakah dia instrumen?  Kita selalunya dikelirukan dengan instrumen peperiksaan pusat, set kertas soalan yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan ditadbirkan kepada murid mengikut peraturan-peraturan tertentu. Sebenarnya ini hanya satu daripada beberapa bentuk instrumen yang boleh kita dapati dalam pentaksiran. Secara khususnya, insrumen pentaksiran merujuk kepada alat (tool) atau perkara yang ditadbirkan kepada murid bagi mendapatkan respons yang akan menjadi eviden bagi perkara yang ditaksir.
  3. Bukan hanya kertas soalan peperiksaan, instrumen pentaksiran juga terdapat dalam bentuk yang pelbagai seperti senarai semak, borang soal selidik, borang temu duga, senarai kuiz, senarai pemerhatian, senarai aktiviti, 'puzzle' , peralatan dan arahan. Satu-satu instrumen boleh terdiri daripada satu item atau beberapa item atau perkara. Bagi instrumen dan item peperiksaan pusat, ia disediakan oleh institusi pusat dengan proses dan prosedur yang amat ketat bagi mempastikan kesahan dan kebolehpercayaan item dan instrumen serta skor yang akan diperolehi, sementara item dan instrumen peperiksaan sekolah disediakan oleh guru. Penyediaan item dan instrumen mempunyai proses dan prosedur yang khusus, justru, guru perlu memiliki serba sedikit ilmu dan kemahiran tentang  item dan instrumen bagi memastikan  pentaksiran dilaksanakan mengikut standard yang betul.  
  4. Instrumen berkait rapat dengan perkara yang hendak ditaksir. Pemilihan instrumen yg betul amat kritikal bagi mempastikan maklumat yang diperolehi tepat. Maklumat yang salah akan membuat pentaksir membuat penghakiman yang salah dan penghakiman yang salah akan  memberi kesan seumur hidup kepada murid. Kerana itu  guru harus memiliki serba sedikit ilmu tentang  pentaksiran. Setiap instrumen unik, dibina bagi tujuan tertentu dan untuk kumpulan tertentu. Tidak ada satu instrumen yang boleh mentaksir kesemua konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid.  Instrumen untuk mentaksir aspek kognitif tidak sama dengan instrumen bagi mentaksir aspek non- kognitif seperti gerakan fizikal, kepantasan, kasih sayang  dan kejujuran. 
  5. Kepada para guru, pengurus pendidikan pada peringkat sekolah, daerah, jabatan atau pusat serta ibu bapa dan juga pelajar yang mengikuti penulisan saya ini diharap sekurang-kurangnya dapat serba sedikit menggarap apa yang ingin saya sampaikan. Kita harus berubah kerana dekad akan datang tidak seperti mana dekad-dekad yang terdahulu. Komunikasi dan transimisi maklumat pada masa akan datang amat pantas. Tanpa mahu berubah kita akan terus ketinggalan dan jurangnya akan semakin melebar semakin lama kita enggan berubah. Saya akan terus menjelaskan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, setakat ini dulu yang dapat saya sampaikan. Maaf kerana entri kali ini agak lewat, hampir 2 minggu dari entri sebelumnya. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.



Saturday, 10 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam siri penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan. Sejak pentaksiran dilaksanakan melalui pelaksanaan SPPK banyak persoalan yang  timbul pada kalangan guru sebagai pelaksana, ibu bapa dan juga kumpulan lain yang berkepentingan tentang transformasi ini. Sebagaimana yang saya tuliskan sebelum ini, kita telah terlalu lama berada dalam zon selesa, dalam kotak yang sama sejak sebelum merdeka lagi. Kerana itu, pembaharuan ini memberi kejutan yang amat besar hinggakan ada yang mewujudkan grup menentang  pelaksanaan PBS dan menghapuskan PBS.  
  2. Sebenarnya bentuk penentangan seperti ini memang lumrah bagi apa sahaja program baharu yang diperkenalkan kerana terdapat banyak faktor yang menggusarkan seperti ketidak tentuan masa depan, keperluan mempelajari ilmu dan kemahiran baharu  dan keselesaan  dengan perkara yang sudah  terbiasa. Keadaan ini ditambah burukkan lagi oleh kelemahan program pra pelaksanaan dan pelaksanaan. Kerana itu setiap program baharu yang hendak dilaksanakan haruslah dirancang dengan teliti dan menyeluruh. Sebaran maklumat yang tepat harus dilakukan melalui pelbagai media dan program khusus serta penyebar maklumat  haruslah memiliki ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk mempastikan maklumat yang tepat sampai kepada sasarannya.  
  3. Dalam pelaksanaan SPPK, apa yang jelas, walaupun program ini telah dirangka dalam tempoh masa yang panjang, penyebaran maklumat  tentang SPPK khususnya kepada pelaksana di sekolah mempunyai banyak kelemahannya. Kerjasama antara bahagian juga tampak amat  longgar apabila keseluruhan tanggung jawab  dipikulkan ke atas bahu LP sementara bahagian-bahagian lain seolah berlepas tangan. Realiti ini nyata apabila terdapat perselisihan pendapat pada kalangan guru sendiri, pentadbir, pegawai PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian KPM. Setiap pegawai yang melawat sekolah mempunyai versi mereka sendiri, dan yang lebih mengelirukan ada pegawai naziran dan jabatan yang datang mahukan sekolah meningkatkan prestasi dalam peperiksaan semata-mata, menunjukkan wujudnya kekeliruan pada kalangan mereka ini tentang pentaksiran pendidikan. Konsep PPSR dan PT3 masih tidak dihadam sepenuhnya. 
  4. Institusi utama yang melatih bakal guru, IPGM, juga seolah tidak mengambil tahu tentang perkembangan baru ini dan masih menawarkan kursus pengukuran dan penilaian dan teori-teori pengukuran lama dalam latihan keguruan sedangkan seharusnya topik Pentaksiran Pendidikan menjadi 'core' dalam latihan  keguruan.  IPGM membekalkan guru-guru muda ke dalam sistem persekolahan dan amat malang apabila guru-guru muda ini memasuki sistem pendidikan negara tanpa ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan yang dilaksanakan di sekolah. Begitu juga dengan IPT lain yang menawarkan program pendidikan tetapi masih berada dalam zaman pengukuran dan penilaian dengan teori-teori pengukuran lama yang sebahagiannya tidak relevan lagi dengan pembangunan dan perkembangan pentaksiran pendidikan semasa.
  5. SPPK merupakan program utama dalam usaha mentranformasikan sistem pendidikan negara. Tanpa perubahan dalam sistem pentaksiran negara, sistem pendidikan tak akan berubah.  SPPK merupakan gelombang  perubahan  ini yang  memerlukan penglibatan keseluruhan bahagian KPM dan warga pendidik.  Kejayaan  usaha mentransformasi sistem pendidikan  negara bergantung kepada kejayaan mentransformasi sistem pentaksiran negara.
  6. Penulisan ini bukan untuk memberi jawapan kepada semua permasalahan yang timbul sebaliknya ingin memberi kefahaman kepada semua pihak yang terlibat agar memberikan komitmen masing-masing menjayakan perubahan ini. Pentaksiran sepatutnya tidak membebankan guru, tidak timbul soal mengejar kurikulum, dan tidak mewujudkan stress peperiksaan pusat pada kalangan murid. Pentaksiran memberi ruang kepada guru untuk berkarya, inovatif  dan kreatif, memberi ruang kepada anak-anak belajar dengan relaks , seronok dan gembira. Pentaksiran bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat tetapi mempastikan pendidikan mencapai matlamatnya, melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dan boleh menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Bagaimana mentaksir?
  1. Ini merupakan soalan cepu mas. Setiap guru ingin mendapatkan jawapannya  kerana merekalah  yang bertanggung jawab melaksanakan pentaksiran  pada peringkat sekolah.  Dan ini merupakan antara masalah utama yang dihadapi oleh guru apabila tidak mendapat maklumat yang jelas dan mantap daripada pihak yang bertanggung jawab memberikan pendedahan tentang konsep ini.
  2. Perkara utama yang perlu difahami, pentaksiran bukan peperiksaan tetapi peperiksaan merupakan sebahagian daripada pentaksiran.  Ini bermakna selain daripada peperiksaan terdapat beberapa kaedah lain bagi mendapatkan maklumat tentang murid dalam pentaksiran. Peperiksaan hanya memberikan maklumat tentang keupayaan kognitif murid sedangkan pentaksiran memberikan maklumat tentang keseluruhan diri murid, kognitif dan bukan kognitif.  Terdapat kekeliruan apabila istilah peperiksaan  digunakan, namun kita harus faham bahawa dalam sistem pendidikan negara kita pada masa ini kita mempunyai dua laras peperiksaan iaitu peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah.  Kedua-dua peperiksaan ini berbeza daripada segi matlamat dan  pengurusannya. 
  3. Merujuk kepada definisi pentaksiran"...menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu..." bagi mendapatkan maklumat tentang murid, ini menunjukkan fleksibiliti pentaksiran berbanding peperiksaan.  Pemahaman yang tepat  dan mendalam harus digarap oleh guru tentang kedua-dua konsep ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam pelaksanaan. Kesilapan pelaksanaan akan membawa kesan buruk bukan hanya kepada murid tetapi juga kepada kredebiliti dan integriti  sistem pendidikan negara. 
  4. Apakah yang dimaksudkan dengan peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan apakah kaedah tertentu dan instrumen tertentu dalam definisi ini?  InsyaAllah akan saya jelaskan nanti pada penulisan yang akan datang. 
  5. Sehingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru dan juga peminat yang melayari blog saya ini. Terima kasih.

Dr. Hazim.

Wednesday, 20 December 2017

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN : PENTAKSIRAN AKTIVITI JASMANI, SUKAN DAN KOKURIKULUM

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.
  1. Melanjutkan lagi penulisan saya tentang SPPK, penulisan kali ini akan menghuraikan pula serba sedikit tentang Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).  Ini merupakan komponen kelima SPPK dan merupakan aktiviti yang memang melibatkan guru di sekolah  selama ini tetapi tidak diambil kira untuk pelaporan akhir persekolahan.  Akibatnya, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum menjadi aktiviti tempelan, tidak diberikan penekanan pada kalangan murid walaupun terdapat segolongan murid yang amat cemerlang dalam bidang-bidang ini. Selain daripada itu, tidak terdapat instrumen khusus untuk mentaksir bidang-bidang sukan dan kokurikulum, kecuali pentaksiran aktiviti jasmani.
  2. Bidang-bidang ini sebenarnya amat penting dalam proses perkembangan fizikal, jati diri, keyakinan, ketaatan serta sahsiah murid. Namun penekanan terhadap peperiksaan pusat menyebabkan bidang ini terabai dan murid kehilangan peluang terbaik untuk diasah dan dipupuk dalam bidang-bidang ini secara teratur dalam suasana persekolahan.
  3. Aktiviti jasmani melibatkan perkembangan pergerakan motor dan juga fizikal murid. Ini melibatkan pergerakan motor kecil dan motor besar. 
  4. Pentaksiran mengesan perkembangan fizikal murid dan sebarang keadaan yang tidak normal pada diri seseorang murid akan  membolehkan guru mengambil tindakan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius. Guru mungkin boleh melakukan aktiviti pemulihan, menempatkan murid dalam program khas atau merujuk kepada pakar bagi murid yang mengalami masalah pergerakan motor yang serius. Tanpa maklumat daripada pentaksiran ini tiada langkah intervensi yang dapat dilakukan.
  5. Pentaksiran aktiviti jasmani menggunakan Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) yang mengukur tahap kecergasan murid dan juga body mass index (BMI) yang menentukan tahap jisim badan murid. SEGAK ditadbirkan dua kali setahun melibatkan ujian naik turun bangku selama 3 minit, tekanntubi, ringkuk tubi separa dan jengkauan melunjur.  Skor SEGAK berdasarkan National Physical Fitness Standard for Malaysian School Children sementara BMI  merekodkan ketinggian dan berat badan murid dengan menggunakan skor National Centre for Chronic Disease Prevention Health Promotions 2001.
  6. Selain daripada itu, kaedah pemerhatian boleh digunakan bagi mengesan masalah gerakan motor pada kalangan murid. Sebarang kejanggalan dalam gerakan motor murid perlu dikesan secara serius bagi memungkinkan tindakan yang sewajarnya diambil.
  7. Aktiviti sukan berkait rapat dengan aktiviti jsmani. Aktiviti sukan juga berkait dengan cara hidup sihat melalui pendidikan kesihatan. Pentaksiran aktiviti sukan boleh dilakukan berdasarkan kecemerlangan, peningkatan prestasi atau penglibatan untuk dilaporkan. Setiap murid harus berpeluang mengembangkan bakat dan kebolehannya dengan bantuan dan panduan daripada guru.
  8. Aktiviti kokurikulum juga berupaya menonjolkan kecenderungan serta keupayaan murid. Aktiviti ini berupaya menyerlahkan bakat dan kecenderungan murid sama ada dalam aspek seperti pengurusan, kepimpinan, kerjasama,  kecekalan, 'world view' dan nilai murni.  Pemerhatian dan rekod prestasi boleh menjadi instrumen pentaksiran aktiviti kokurikulum. Pencapaian murid juga boleh menjadi sumber maklumat pentaksiran di mana seseorang murid yang boleh menjadi juara debat, atau syarahan atau memenangi peraduan lukisan peringkat kebangsaan, menunjukkan pencapaian murid tersebut sudah melebehi daripada  perimeter yang ditetapkan pada peringkat sekolah, dan seharusnya diberikan kredit. Murid sebeginilah yang sepatutnya boleh diletakkan pada band 6 dalam laporan prestasinya.
  9. Dengan ini berakhirlah huraian saya tentang SPPK, yang saya mulakan sejak penulisan pertama saya dalam blog ini. Insya-Allah, saya akan cuba menerangkan tentang pentaksiran pendidikan, dari segi konsepnya, dan apa yang membezakannya dengan peperiksaan pusat dan kenapa dunia pendidikan hari ini semakin berubah daripada peperiksaan pusat kepada pentaksiran pendidikan. Kita harus menyediakan anak-anak yang berani menghadapi masa depan yang penuh cabaran dan persaingan dengan yakin. Justru kita harus kembali kepada apa yang dimaknakan dengan pendidikan dan apa yang dihasratkan dalam FPK. 
  10. Sekian buat kali ini. Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas kesudian semua membaca dan mengikuti blog saya. Saya juga terbuka untuk menerima sebarang pandangan bagi menambah baik pemahaman saya dalam bidang ini dan disebarkan kepada khalayak.
Dr. Hazim.