Sunday, 18 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Selamat bertemu lagi. Pada penulisan yang lalu saya telah mulakan sedikit tentang bagaimana mentaksir. Berdasarkan pandangan ramai guru-guru di banyak media, masalah paling utama dalam melaksanakan satu-satu program pembaharuan ialah kefahaman tentang pembaharuan yang ingin dilakukan. Kegagalan dalam pemahaman ini boleh mengakibatkan  program yang dirancang akan terbantut. Antara punca kegagalan ini ialah penyebaran maklumat yang lemah dan penyampai yang tidak berupaya menyampaikan maklumat dengan tepat dan berkesan. Juga sikap penerima maklumat yang tidak serius, kurang berminat serta prakonsepsi negatif tentang pembaharuan yang dicadangkan.
  2. Dalam program pentaksiran pendidikan ini, situasi yang sama berlaku. Akibatnya, ramai guru, pengurus pendidikan pada semua peringkat, ibu bapa dan juga massa seolah hilang punca dan mempunyai pentafsiran sendiri tentang perubahan yang ingin dilaksanakan. Justru, penulisan saya ini diharap  sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit kefahaman kepada rakan-rakan yang mengikutinya dan program yang dirancang ini mencapai matlamat seperti yang dihasratkan.
  3. Seperti yang saya janjikan pada penulisan yang lalu, pada kali ini saya akan cuba menerangkan serba sedikit  tentang peperiksaan sekolah, peperiksaan pusat, kaedah tertentu dan instumen tertentu dalam pentaksiran. Keempat-empat perkara ini amat rapat dengan pelaksanaan pentaksiran pendidikan. 
  4. Kenapa mentaksir? Ini merupakan soalan yang amat lumrah dalam pendidikan. Seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini, pendidikan tidak dapat dipisahkan daripada pentaksiran kerana kedua-duanya saling berkait.  Tanpa pentaksiran, pendidikan tidak bermakna. Pentaksiran memberikan maklumat tentang  perkembangan diri murid  dari segi kognitif dan bukan kognitif kepada guru, ibu bapa dan juga pihak yang berkepentingan, di samping  memberi maklumat tentang  keberkesanan pengajaran guru. Maklumat perkembangan diri murid ini amat penting  bagi membolehkan guru mengesan  kemajuan murid sepanjang masa dan mengambil tindakan yang sewajarnya apabila keadaan memerlukan, terutama apabila murid menghadapi masalah dalam pembelajaran. Maklumat keberkesanan pengajaran guru pula membolehkan guru mengubah suai strategi pengajaran sekiranya maklumat pentaksiran menunjukkan murid menghadapi kesukaran dalam memahami satu-satu perkara yang diajar.
  5. Peperiksaan dan ujian merupakan pendekatan yang amat lumrah dalam proses pendidikan di sekolah pada masa ini sebagai penyumbang maklumat pembelajaran murid. Namun pendekatan ini hanya memberikan maklumat tentang aspek kognitif murid. Kecemerlangan akademik, yang hanya bertumpu kepada keupayaan kognitif tidak menunjukkan kejayaan pendidikan murid tersebut secara total.
  6. Sejak sebelum merdeka, dari zaman kolonial lagi, peperiksaan pusat merupakan matlamat pendidikan di mana kejayaan dalam peperiksaan pusat merupakan satu kehebatan dan menjadi lesen untuk kemajuan kerjaya dan kehidupan pada masa depan. Justru sekolah memberikan perhatian serius dalam menyediakan murid untuk peperiksaan pusat dan menjadikan mata pelajaran bukan peperiksaan terpinggir. Akhirnya peperiksaan menjadi matlamat pendidikan dan manusia  yang dilahirkan daripada sistem ini seolah manusia yang tempang, hebat akademik tetapi lompong dalam aspek kehidupan yang lain. 
  7. Apakah peperiksaan pusat? Jawapannya pasti sudah dimaklumi oleh kesemua kita yang melalui sistem pendidikan selama ini. Peperiksaan pusat atau dikenali juga sebagai peperiksaan awam  amat rigid pelaksanaannya. Semuanya dilaksanakan di bawah peraturan keselamatan yang amat ketat , daripada pembinaan item, pembinaan instrumen, percetakan, pengedaran dan pentadbirannya. Peperiksaan pusat dikendalikan oleh institusi pusat, dari pendaftaran calon, penyediaan jadual waktu, pemilihan pengawas dan pemeriksa hinggalah kepada pengeluaran keputusan dan percetakan sijil. Sepanjang tempoh sejak merdeka, peperiksaan pusat di negara ini  mengalami banyak perubahan,  daripada segi penawaran mata pelajaran peperiksaan dan juga  jenis peperiksaan yang dijalankan. Terdapat juga peperiksaan tahap tertentu yang  diperkenalkan dan ada yang dimansuhkan. Setakat ini, peperiksaan pusat yang masih  dilaksanakan di bawah KPM kita ialah UPSR, SPM, SPM (U) dan  STAM.  PMR telah dimansuhkan dan diganti dengan PT3 yang merupakan pentaksiran pusat.   
  8. Hakikatnya, peperiksaan pusat bukan petunjuk kualiti pendidikan. Bagi setiap mata pelajaran yang dijadikan sebagai peperiksaan pusat, selalunya hanya satu atau dua kertas yang ditawarkan. Setiap kertas peperiksaan pula hanya mengandungi beberapa item yang  diandaikan mewakili keseluruhan semesta ilmu dalam bidang tersebut. Bagi kertas objektif aneka pilihan, paling banyak 70 item yang akan digunakan dan bagi kertas subjektif bilangannya lebih kecil, mungkin 10 atau 12 item. Itulah bilangan item yang  diberikan  kepada murid dalam tempoh 1 atau 2 jam untuk dijawab. Dan keupayaan murid menjawab 10, 12 atau 70 item itulah yang digembar gemburkan sebagai penguasaan murid dalam mata pelajaran berkenaan. Tepat????  itulah yang menjadi persoalan ahli pentaksiran seluruh dunia dan membawa kepada perkembangan sistem pentaksiran pendidikan yang kita turut sama bergerak seiring dengan mereka masa kini.  Tempoh satu-satu kertas peperiksaan selalunya tidak melebehi 2 jam kerana murid akan hilang tumpuan selepas tempoh tersebut.
  9. Selain daripada itu, ketepatan skor yang diperolehi oleh murid pula bergantung kepada banyak faktor lain seperti keadaan diri pelajar pada waktu menduduki peperiksaan (sakit, pening, marah, kecewa, tekanan, lapar),  kebolehpercayaan pemeriksa, kebolehpercayaan instrumen pentaksiran,  kawalan pentadbiran peperiksaan dan pematuhan keselamatan sepanjang masa pengendalian peperiksaan. Skor bagi setiap kohort pula tidak boleh dibandingkan dengan kohort yang lain kerana asas penganalisisan skor peperiksaan pusat berdasarkan taburan normal di mana taburan skor dan sisihan lazim skor berbeza bagi setiap kohort.
  10. Penentuan gred sempadan  peperiksaan pusat pula sentiasa berubah kerana bergantung kepada faktor-faktor yang sukar dikawal.  Selain daripada itu, penentuan markah lulus juga amat sukar dijustifikasikan. Sebagai contoh, apabila markah lulus ditetapkan pada 50, kenapa 50 dan tidak 49 atau 45, atau 30? Apakah asas yang menentukan 50 sebagai markah lulus?? Kemudian adakah adil murid yang memperoleh skor 49  dikatakan gagal dan dikelompokkan sama dengan murid yang mendapat skor 0, sedangkan keupayaan murid 49  itu lebih hampir dengan murid 50.  Murid 49 teraniaya hanya kerana kurang 1 markah. Adakah ini  satu kezaliman???  Ini yang kita harus fikirkan kerana selama ini, inilah yang kita lakukan dan adakah kita telah melakukan dosa kepada murid 49, 48, 47 dan seterusnya? Kerana itu, pelaporan juga harus diubah suai dengan menghapuskan stigma gagal dalam peperiksaan. Pelaporan perlu dibuat dalam bentuk pernyataan positif seperti murid A telah berjaya menguasai 49% daripada kemahiran yang telah ditaksir,  murid B telah berjaya menguasai 80% daripada kemahiran yang telah ditaksir, murid C telah berjaya menguasai 30% daripada kemahiran yang telah ditaksir, bukan gagal. Pernyataan begini seharusnya disertakan dengan huraian keseluruhan kemahiran yang ditaksir. Standard Prestasi merupakan satu daripada alternatif pelaporan yang dicadangkan, dan ini akan saya cuba huraikan pada penulisan yang akan datang. 
  11. Peperiksaan sekolah dan ujian pula merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Istilah peperiksaan sekolah  dan ujian lumrah digunakan bagi membawa maksud yang sama pada peringkat sekolah dan pada penulisan ini, saya juga akan menggunakannya sebagai membawa maksud yang sama walaupun secara terperinci terdapat perbezaan antara keduanya. 
  12. Peperiksaan sekolah  dan ujian tidak mungkin dihapuskan kerana tanpa ujian dan peperiksaan sekolah, guru tidak dapat memastikan apa yang diajar diterima dan dihadam oleh murid.  Terdapat sebilangan warga pendidik yang keliru antara peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan menganggap peperiksaan sekolah juga turut dimansuhkan. Ini sebenarnya tidak tepat.  Peperiksaan sekolah merupakan pentaksiran formatif, dijalankan sepanjang masa, semasa pembelajaran dan selepas satu-satu unit pembelajaran atau topik untuk memastikan keberkesanan pengajaran. Tidak seperti peperiksaan pusat yang diadakan pada penghujung satu-satu tempoh pembelajaran yang panjang, samada selepas 6 tahun atau 5 tahun, peperiksaan sekolah diadakan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran.  Guru mengesan sebarang kekurangan atau kelemahan dan akan mengambil tindakan segera bagi membaiki keadaan. Sekolah juga ada melaksanakan peperiksaan sekolah secara berkala seperti pada akhir semester atau akhir tahun untuk tujuan pelaporan. Seharusnya skor pentaksiran formatif  turut diambil kira bersama dengan peperiksaan berkala ini bagi tujuan pelaporan. Peperiksaan pusat yang diadakan pada penghujung pembelajaran tidak memberi ruang tindakan kepada guru untuk mengambil tindakan pembaikan.
  13. Tidak seperti peperiksaan pusat yang ditadbirkan mengikut peraturan yang ketat, dengan instrumen yang standard  dan diadakan serentak di seluruh negara, peperiksaan sekolah lebih longgar dan santai. Item atau instrumennya tidaklah serigid item dan instrumen peperiksaan pusat. Kaedah peperiksaan pun pelbagai, pelaksanaannya tidak seketat peperiksaan pusat dan tidak perlu diadakan jadual khusus. Item dan instrumen bagi peperiksan sekolah dibina oleh guru sendiri atau panel atau jawatankuasa khas yang dibentuk pada peringkat sekolah.  Bagi sekolah  yang memiliki bank item sendiri, peperiksaan sekolah lebih mudah dilaksanakan kerana item  untuk diguna pakai telah tersedia. 
  14. Setakat ini saya huraikan tentang peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah, dan penulisan seterusnya nanti, insyaAllah akan saya teruskan dengan kaedah pentaksiran dan instrumen pentaksiran.  Ini kerana huraian tentang kaedah dan instrumen pentaksiran akan memakan ruang yang agak panjang.  Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim



Saturday, 10 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: BAGAIMANA MENTAKSIR

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam siri penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan. Sejak pentaksiran dilaksanakan melalui pelaksanaan SPPK banyak persoalan yang  timbul pada kalangan guru sebagai pelaksana, ibu bapa dan juga kumpulan lain yang berkepentingan tentang transformasi ini. Sebagaimana yang saya tuliskan sebelum ini, kita telah terlalu lama berada dalam zon selesa, dalam kotak yang sama sejak sebelum merdeka lagi. Kerana itu, pembaharuan ini memberi kejutan yang amat besar hinggakan ada yang mewujudkan grup menentang  pelaksanaan PBS dan menghapuskan PBS.  
  2. Sebenarnya bentuk penentangan seperti ini memang lumrah bagi apa sahaja program baharu yang diperkenalkan kerana terdapat banyak faktor yang menggusarkan seperti ketidak tentuan masa depan, keperluan mempelajari ilmu dan kemahiran baharu  dan keselesaan  dengan perkara yang sudah  terbiasa. Keadaan ini ditambah burukkan lagi oleh kelemahan program pra pelaksanaan dan pelaksanaan. Kerana itu setiap program baharu yang hendak dilaksanakan haruslah dirancang dengan teliti dan menyeluruh. Sebaran maklumat yang tepat harus dilakukan melalui pelbagai media dan program khusus serta penyebar maklumat  haruslah memiliki ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk mempastikan maklumat yang tepat sampai kepada sasarannya.  
  3. Dalam pelaksanaan SPPK, apa yang jelas, walaupun program ini telah dirangka dalam tempoh masa yang panjang, penyebaran maklumat  tentang SPPK khususnya kepada pelaksana di sekolah mempunyai banyak kelemahannya. Kerjasama antara bahagian juga tampak amat  longgar apabila keseluruhan tanggung jawab  dipikulkan ke atas bahu LP sementara bahagian-bahagian lain seolah berlepas tangan. Realiti ini nyata apabila terdapat perselisihan pendapat pada kalangan guru sendiri, pentadbir, pegawai PPD, JPN dan juga bahagian-bahagian KPM. Setiap pegawai yang melawat sekolah mempunyai versi mereka sendiri, dan yang lebih mengelirukan ada pegawai naziran dan jabatan yang datang mahukan sekolah meningkatkan prestasi dalam peperiksaan semata-mata, menunjukkan wujudnya kekeliruan pada kalangan mereka ini tentang pentaksiran pendidikan. Konsep PPSR dan PT3 masih tidak dihadam sepenuhnya. 
  4. Institusi utama yang melatih bakal guru, IPGM, juga seolah tidak mengambil tahu tentang perkembangan baru ini dan masih menawarkan kursus pengukuran dan penilaian dan teori-teori pengukuran lama dalam latihan keguruan sedangkan seharusnya topik Pentaksiran Pendidikan menjadi 'core' dalam latihan  keguruan.  IPGM membekalkan guru-guru muda ke dalam sistem persekolahan dan amat malang apabila guru-guru muda ini memasuki sistem pendidikan negara tanpa ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan yang dilaksanakan di sekolah. Begitu juga dengan IPT lain yang menawarkan program pendidikan tetapi masih berada dalam zaman pengukuran dan penilaian dengan teori-teori pengukuran lama yang sebahagiannya tidak relevan lagi dengan pembangunan dan perkembangan pentaksiran pendidikan semasa.
  5. SPPK merupakan program utama dalam usaha mentranformasikan sistem pendidikan negara. Tanpa perubahan dalam sistem pentaksiran negara, sistem pendidikan tak akan berubah.  SPPK merupakan gelombang  perubahan  ini yang  memerlukan penglibatan keseluruhan bahagian KPM dan warga pendidik.  Kejayaan  usaha mentransformasi sistem pendidikan  negara bergantung kepada kejayaan mentransformasi sistem pentaksiran negara.
  6. Penulisan ini bukan untuk memberi jawapan kepada semua permasalahan yang timbul sebaliknya ingin memberi kefahaman kepada semua pihak yang terlibat agar memberikan komitmen masing-masing menjayakan perubahan ini. Pentaksiran sepatutnya tidak membebankan guru, tidak timbul soal mengejar kurikulum, dan tidak mewujudkan stress peperiksaan pusat pada kalangan murid. Pentaksiran memberi ruang kepada guru untuk berkarya, inovatif  dan kreatif, memberi ruang kepada anak-anak belajar dengan relaks , seronok dan gembira. Pentaksiran bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat tetapi mempastikan pendidikan mencapai matlamatnya, melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dan boleh menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Bagaimana mentaksir?
  1. Ini merupakan soalan cepu mas. Setiap guru ingin mendapatkan jawapannya  kerana merekalah  yang bertanggung jawab melaksanakan pentaksiran  pada peringkat sekolah.  Dan ini merupakan antara masalah utama yang dihadapi oleh guru apabila tidak mendapat maklumat yang jelas dan mantap daripada pihak yang bertanggung jawab memberikan pendedahan tentang konsep ini.
  2. Perkara utama yang perlu difahami, pentaksiran bukan peperiksaan tetapi peperiksaan merupakan sebahagian daripada pentaksiran.  Ini bermakna selain daripada peperiksaan terdapat beberapa kaedah lain bagi mendapatkan maklumat tentang murid dalam pentaksiran. Peperiksaan hanya memberikan maklumat tentang keupayaan kognitif murid sedangkan pentaksiran memberikan maklumat tentang keseluruhan diri murid, kognitif dan bukan kognitif.  Terdapat kekeliruan apabila istilah peperiksaan  digunakan, namun kita harus faham bahawa dalam sistem pendidikan negara kita pada masa ini kita mempunyai dua laras peperiksaan iaitu peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah.  Kedua-dua peperiksaan ini berbeza daripada segi matlamat dan  pengurusannya. 
  3. Merujuk kepada definisi pentaksiran"...menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu..." bagi mendapatkan maklumat tentang murid, ini menunjukkan fleksibiliti pentaksiran berbanding peperiksaan.  Pemahaman yang tepat  dan mendalam harus digarap oleh guru tentang kedua-dua konsep ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam pelaksanaan. Kesilapan pelaksanaan akan membawa kesan buruk bukan hanya kepada murid tetapi juga kepada kredebiliti dan integriti  sistem pendidikan negara. 
  4. Apakah yang dimaksudkan dengan peperiksaan pusat dan peperiksaan sekolah dan apakah kaedah tertentu dan instrumen tertentu dalam definisi ini?  InsyaAllah akan saya jelaskan nanti pada penulisan yang akan datang. 
  5. Sehingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru dan juga peminat yang melayari blog saya ini. Terima kasih.

Dr. Hazim.

Saturday, 3 February 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: APA YANG DITAKSIR (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk kita bertemu lagi pada masa dan ruang ini. Apa yang baik, semuanya dari Allah dan jadikanlah panduan dan yang  tidak baik, semuanya dari kelemahan saya sendiri, jadikanlah sempadan.
  2. Menelusuri apa yang telah saya tuliskan selama ini, apa yang saya bentangkan adalah berpandukan sekadar ilmu yang ada pada diri ini dari pembelajaran dalam bidang ini dan juga daripada pengalaman dan ilmu yang ditimba sepanjang perkhidmatan yang sebahagian besarnya dalam bidang ini. Saya merasa bertuah kerana sepanjang perkhidmatan, saya mendapat banyak ilmu dan kemahiran daripada tokoh-tokoh yang berpengalaman dalam bidang ini seperti arwah Tn. Hj Ali Ithnin, En Azamuddin Mafizullah,  En. Omar Man, Hjh. Mazni Mat Salleh, Pn Marlin Karim dan Pn Khamsiah Sabtu serta rakan seperjuangan seperti Dr. Khodori Ahmad  dan Dr. Jamil Adimin.  Begitu juga saya berpeluang berkhidmat dengan beberapa orang pengarah yang amat memahami dan menghayati bidang ini terutamanya arwah Dato Yaacob Idris  dan Datu Adi Badiozaman Tuah. Tokoh-tokoh inilah yang memberikan seluas-luas ruang buat pegawai  LP menimba ilmu di merata dunia dan membangunkan sistem pentaksiran negara hari ini. 
  3. Berdasarkan semangat daripada tokoh-tokoh inilah yang memberikan semangat untuk saya mengusahakan penulisan ini, sekurang-kurangnya dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan guru semua dan menambah ilmu dalam bidang pendidikan di negara kita. 
  4. Penulisan konsep SPPK yang saya huraikan di sini adalah berdasarkan konsep asal yang dibangunkan oleh LP hasil daripada beberapa persidangan nasional dan antarabangsa yang dikendalikan oleh LP, pertemuan dengan wakil semua golongan yang terlibat dengan pendidikan seperti pengetua, guru besar, guru-guru, PIBG, murid, NGO, pensyarah dan tokoh pendidikan tempatan dan luar negara, serta hasil lawatan sambil belajar serta kursus yang disertai oleh pegawai LP dalam dan luar negara. Mungkin juga ada para rakan guru  di sini yang pernah terlibat dalam proses pembangunan konsep ini, dan sumbangan mereka amat dihargai. Mungkin terdapat perbezaan daripada konsep asal dan pelaksanaan, namun perbezaan itu tidaklah begitu signifikan dan tidak menjejas roh asal SPPK.
Nilai
  1. Meneruskan lagi penulisan saya tentang apa yang ditaksir, nilai  merupakan konstruk terakhir yang akan saya bicarakan. Konstruk nilai merangkumi  nilai-nilai baik atau murni dalam kehidupan manusia, tanpa mengira ras atau suku kaum, pegangan agama atau lokaliti.  Nilai baik bersifat universal, merangkumi keseluruhan kehidupan untuk menjadikan keluarga, masyarakat, negara dan juga dunia tempat yang lebih baik untuk dihuni. 
  2. Kita menerima  nilai-nilai baik yang universal, iaitu yang  boleh diterima dalam semua agama, ras, suku kaum atau lokaliti. Bagi yang kurang sesuai, kita menerima itu sebagai realiti  perbezaan yang lumrah pada kalangan kumpulan manusia yang berbeza ras dan etnik , pegangan agama dan kepercayaan serta lokaliti. Kita akur dengan perbezaan ini. Nilai baik yang kita terima bersama merangkumi  bentuk hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam sekitar dan sesama manusia. 
  3. Nilai baik bukan setakat mengetahui (pengetahuan) dan memahami (kefahaman), tetapi ia juga meliputi amalan dan penghayatan (internalisasi). Nilai tidak boleh ditaksir seperti  mentaksir aspek kognitif murid yang menggunakan kertas dan pensil, kerana kebolehpercayaan skor amat rendah.   Seorang murid yang memperoleh A dalam kertas Pendidikan Moral umpamanya, belum tentu memiliki moral yang juga A kerana skor yang diperolehi hanya berdasarkan jawapan yang diberi dalam instrumen pentaksiran. Item dalam instrumen pentaksiran tidak mempunyai korelasi yang tinggi dengan amalan. Penjenayah  pun akan berkata melakukan jenayah itu tidak baik apabila disoal.  Bagaimana untuk mentaksir nilai-nilai baik ini akan saya sentuh apabila membicarakan tentang cara-cara mentaksir nanti, insyaAllah. 
  4. Dalam sistem pendidikan negara, nilai-nilai murni seharusnya  diterapkan melalui semua mata pelajaran dan aktiviti yang dijalankan di sekolah. Selain daripada itu, pengukuhan nilai-nilai murni juga direalisasikan melalui mata pelajaran pendidikan Islam bagi murid Islam dan mata pelajaran Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam. Namun kekangan masa dan keterujaan pihak sekolah dan ibu bapa terhadap peperiksaan pusat membuatkan pembinaan nilai-nilai murni dalam diri pelajar menjadi bukan prioriti. Nilai-nilai murni ini hanya merupakan perkara yang diajar dalam bilik darjah, tidak lebih daripada itu. 
  5.  Nilai murni adalah perkara yang seharusnya ditanam dalam diri murid oleh semua yang terlibat dalam pendidikan, sama ada guru kelas, guru mata pelajaran, guru sukan, guru muzik, guru kokurikulum, pentadbir dan juga ibu bapa dan penjaga serta massa sepanjang masa. Nilai murni harus bermula dari rumah, di mana murid ditanamkan sifat-sifat baik ini terhadap keluarga sendiri, kaum kerabat, masyarakat, terhadap alam sekitar, terhadap makhluk lain dan terhadap Tuhan. Sekolah harus memperkasakan pemerolehan nilai-nilai murni ini pada kalangan murid dan berusaha ke arah pencapaian tertinggi nilai-nilai murni ini.  Kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara bergantung kepada kejayaan semua pihak menerapkan nilai-nilai murni ini ke dalam diri murid yang akhirnya nanti akan menjadi  anggota masyarakat yang berperanan.
  6. Pentaksiran berperanan melihat sejauh mana setiap murid memiliki nilai-nilai murni ini, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan harian tanpa pengawasan mana-mana pihak. Kerana itu pentaksiran harus berlaku sepanjang masa, membetulkan kesalahan yang dilakukan, menanamkan nilai-nilai baru dan memperkukuhkannya. Pendidik tidak harus menunggu waktu kelas untuk memupuk nilai. Penerapan nilai-nilai  murni ini bermula di persekitaran sekolah seperti membuang sampah ditempat yang dikhaskan, menghormati guru, rakan, pentadbir dan pelawat, menjaga keharmonian perhubugan sesama rakan, menjaga kecantikan sekolah, memelihara tanaman dan bunga-bungaan, beratur semasa membeli di kantin atau naik bas sekolah dan membantu secara sukarela, samada kepada guru atau dalam aktiviti yang lain. 
  7. Banyak senario yang sering kita lihat menunjukkan kurangnya nilai-nilai murni ini dalam diri murid dan juga masyarakat kita. Sewaktu mengekori sebuah bas sekolah selepas tamat waktu persekolahan, lumrahnya murid-murid dalam bas tidak duduk diam  dikerusinya tetapi bermain dan berlari dalam bas. Sepanjang perjalanan, pembungkus makanan, tin minuman, dan kertas tisu di campak keluar dari bas. Bermain di fikiran, kenapa ini terjadi, gagalkah kita mendidik anak-anak kita itu dari aspek disiplin, keselamatan dan kebersihan alam sekitar? Pada senario yang lain, dalam satu perjalanan jauh, kita melihat kereta di hadapan kita membuang kulit rambutan, langsat dan manggis di sepanjang perjalanan. Di tambah lagi dengan pembuangan kertas tisu, puntong rokok, kotak dan tin minuman dan kertas pembalut. Jika sebuah kereta membuang kulit 2 kilo rambutan, 2 kilo langsat dan 2 kilo manggis, bayangkan amaun kulit rambutan, langsat dan manggis yang berada di atas jalan raya sekiranya 100 buah kereta melakukan perkara yang sama. Di mana silapnya sistem pendidikan kita hingga melahirkan masyarakat sebegini. Kita perlukan transformasi pendidikan.
  8. Ini merupakan contoh kecil sedangkan di luar sana kerosakan moral dalam masyarakat dan kemusnahan bumi sudah mencapai skala mega yang amat membimbangkan. Nilai-nilai kemanusiaan sudah musnah. Kita tidak harus menuju ke arah yang sama.  Masih tedapat banyak negara yang dapat mengimbangi nilai-nilai kemanusiaan dan pengekalan alam sekitar. 
  9. Justru, kita harus keluar daripada paradigma lama tentang pendidikan di negara kita ini. Pendidikan bukan untuk mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat. Peperiksaan pusat sebenarnya menyekat inovasi dan kreativiti guru. Peperiksaan pusat menidakkan pendidikan yang sebenar. Tanpa peperiksaan pusat kita melihat banyak negara masih mampu bergerak maju ke hadapan. Kerana itu kita harus mengembalikan pendidikan ke sekolah. Terlalu lama kita telah mengabaikan aspek kemahiran dan nilai dalam pembangunan diri murid. Untuk abad ke 21, banyak negara sudah menghalakan matlamat pendidikan mereka ke arah pembangunan kemahiran insaniah, membangunkan diri murid supaya berani, mampu bersaing, mampu merekacipta, memiliki sahsiah yang murni, memiliki ilmu yang sewajarnya dan peka dengan alam sekitarnya. Kemahiran abad ke 21 tidak lagi  boleh bergantung kepada peperiksaan pusat.
  10. Setakat ini catatan saya buat kali ini tentang nilai. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya untuk semua rakan guru. 

Dr. Hazim.



Sunday, 28 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: APA YANG DITAKSIR

Assalamualikum wbrt.

  1. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk bertemu lagi. Semoga ada  yang dapat dimanafaatkan daripada apa yang saya sampaikan selama ini, insyaAllah.
  2. Tujuan saya menulis hanya untuk berkongsi ilmu tentang apa yang berlaku dalam sistem pendidikan negara pada masa ini. Kita perlu memahami perkembangan terbaru dalam sistem pentaksiran ini supaya tidak keliru dengan apa yang dilaksanakan oleh pihak berwajib dan menimbulkan penentangan yang tidak sewajarnya. 
  3. Penulisan ini bukan hanya ditujukan kepada para guru yang melaksanakan pentaksiran di sekolah, tetapi juga pihak pengurusan pendidikan di peringkat sekolah, PPD, JPN, bahagian-bahagian dalam kementerian, ibu bapa, PIBG, NGO dan massa. Selain daripada itu, penulisan ini juga ditujukan kepada pensyarah dan pelajar IPT, terutama IPT yang akan melahirkan graduan pendidikan.   Pemahaman tentang konsep pentaksiran ini amat penting, sebagaimana yang saya tuliskan pada penulisan yang lepas, untuk memastikan pendidikan mencapai matlamatnya. Para rakan yang melayari blog saya juga dialu-alukan  untuk berkongsi maklumat ini dengan ahli grup masing-masing bagi memastikan maklumat ini tersebar luas untuk kebaikan bersama.
  4.  Pelaksanaan pentaksiran pendidikan  yang sedang dilaksanakan kini merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan yang dihasratkan kerajaan. Mungkin terdapat pandangan saya yang agak kritikal atau juga yang bertentangan dengan kefahaman dan inspirasi rakan semua, namun sebagai penulisan berbentuk akademik, perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang positif  dan mengkayakan lagi bidang  ilmu dan pemahaman kita. 
Apa yang di taksir

  1. Ini perkara asas yang mesti difahami agar kita tidak tersasar daripada matlamat sebenar. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, FPK diterjemahkan ke dalam kurikulum kebangsaan dan  program lain di sekolah yang terangkum dalam tiga konstruk utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Pendekatan pentaksiran akan  mentaksir ketiga-tiga konstruk ini bagi mendapatkan maklumat yang menyeluruh tentang seseorang murid, tidak sepertimana peperiksaan pusat yang hanya menguji konstruk  pengetahuan. Dan  ketiga-tiga konstruk ini akan dilaporkan dalam pelaporan akhir, tidak hanya pelaporan tentang konstruk pengetahuan atau aspek kognitif  murid sahaja.
  2. Pengetahuan merangkumi segala fakta yang terdapat dalam satu-satu bidang ilmu seperti pengetahuan tentang geografi Malaysia, pengetahuan tentang Kerajaan Melayu Melaka, pengetahuan tentang ibadah, pengetahuan tentang iklim dunia, pengetahuan tentang algebra dan  pengetahuan tentang sistem reproduksi manusia. Dalam proses pengajaran, konstuk pengetahuan digabungkan dengan konstruk kefahaman bagi  menjadikan satu-satu pembelajaran itu berkesan dan berfungsi. Tidak hanya tahu tetapi harus juga faham apa yang diajar.  Tahu sahaja tanpa faham memberi gambaran tahap intelektualiti  rendah seseorang murid itu.
  3. Bagi item pentaksiran,  kontruk pengetahuan selalunya digabungkan dengan kefahaman supaya apa yang ditaksir lebih bermakna. Item yang hanya mentaksir pengetahuan hanya memerlukan ingatan, tidak lebih daripada itu.  Ini merupakan tahap terendah dalam Taksonomi Bloom.  Terlalu asas. Pemerolehan konstruk pengetahuan dan kefahaman pada murid amat penting untuk membolehkan pembelajaran yang lebih tinggi dapat dilakukan. Konstruk pengetahuan ini pula mempunyai pecahan-pecahan yang lebih terperinci seperti pengetahuan tentang fakta dan perkara khusus, pengetahuan tentang istilah dan pengetahuan tentang teori dan konsep.  
  4. Kemahiran merujuk kepada keupayaan yang dimiliki oleh seseorang murid hasil daripada pembelajaran yang sistematik bagi membolehkannya menyelesaikan satu-satu aktiviti, masalah  atau pekerjaan. Seseorang yang memiliki kemahiran tertentu pastinya sudah memiliki pengetahuan dan kefahaman yang kukuh dalam bidang yang berkaitan. Ada kemahiran yang bersifat khusus dalam satu-satu mata pelajaran seperti kemahiran membaca peta (geografi), kemahiran membuat eksperimen (sains) dan kemahiran menjahit (ERT), sementara ada juga kemahiran yang merentasi mata pelajaran atau bidang seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran membuat penyelidikan, kemahiran menganalisis dan kemahiran membuat laporan. 
  5. Bagi aspek bukan akademik seperti  aktiviti sukan, seni persembahan dan sosial, kemahiran khusus diperlukan bagi konstruk-konstruk  ini. Selain daripada pembelajaran yang sistematik, tentang asas aktiviti ini, latihan berterusan perlu bagi meningkatkan ketepatan dan ketelitian kemahiran-kemahiran ini.  Terdapat kekeliruan pada kalangan pelaksana apabila hanya sukan dan pencapaian dalam sukan dikaitkan dengan pembangunan jasmani murid. Perlu difahami sukan hanya satu daripada aspek pembangunan jasmani murid. Pembangunan jasmani meliputi juga antaranya pergerakan motor kecil dan besar, kesihatan dan pemakanan. PAJSK adalah pentaksiran khusus untuk aspek ini.  Sekiranya ada murid yang mengalami masalah dalam pergerakan motor mereka seperti tidak dapat memegang pensil dengan betul,  atau pertumbuhan jasmani yang tidak normal, tanggung jawab guru mengenal pasti masalah murid untuk dirujuk kepada pihak yang lebih arif.  Pentaksiran membolehkan intervensi awal dilakukan bagi membantu murid yang bermasalah. Itulah antara matlamat pentaksiran. Ketiadaan padang dan juga juru latih khas  sering dibangkitkan oleh sesetengah pelaksana, tetapi itu bukan syarat untuk menerapkan kemahiran jasmani ini. Di sini ternyata terdapat kesilapan  yang besar pada kalangan pegawai yang menatar dan memantau kerana gagal memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada pelaksana di sekolah. Pemantau juga sering keliru dengan perkembangan pentaksiran dalam pendidikan semasa apabila hanya menekankan pencapaian akademik  apabila melawat sekolah yang membuatkan guru dan pentadbir sekolah merasa  tertekan dan keliru. Di sini perlunya pengetua atau guru besar  memahami dengan mendalam konsep pentaksiran bagi  membantu guru melaksanakan pentaksiran dan mengemudikan sekolah ke arah yang dihasratkan. Maknakan pendidikan.
  6. Kemahiran juga mempunyai pecahan-pecahannya sama ada yang berkaitan dengan bidang akademik atau bukan akademik. Dalam geografi umpamanya, ada kemahiran membaca peta, kemahiran melakar peta, kemahiran membaca tunjuk arah dan kemahiran membuat ekstrapolasi. Dalam gerakan jasmani pula sebagai contoh ada kemahiran motor asas, kemahiran motor kecil, kemahiran motor besar, kemahiran melompat, kemahiran berlari dan kemahiran bekerja sama.  Ini semua akan ditaksir dari semasa ke semasa untuk memastikan seseorang murid itu mengalami pertumbuhan dan pembesaran yang betul. Pentaksiran jasmani bukan untuk membolehkan murid mendapat pingat emas olimpik, tetapi melahirkan murid yang memiliki jasmani dan mental yang sihat bagi membolehkannya  menjadi warga yang baik. Pentaksiran berjalan seiring dengan proses  pengajaran dan pembelajaran.  Melalui pentaksiran yang berjalan seiring dengan proses pengajaran pembelajaran, maklumat yang cepat dan autentik diperolehi  tentang murid bagi membolehkan tindakan pantas diambil bagi mengatasi apa-apa masalah yang wujud pada kalangan murid lebih awal.  
  7. Saya berhenti di sini buat kali ini. Untuk penulisan akan datang saya akan menghuraikan serba sedikit tentang konstruk nilai pula, insyaAllah.. Hingga pada kesempatan yang akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.

Tuesday, 23 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN - SISI POSITIF DAN POTENSI(sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu lagi.


  1. Alhamdulillah, Allah masih memberikan peluang untuk saya meneruskan lagi penulisan tentang pentaksiran pendidikan ini. Apabila PT3 diperkenalkan, ia merupakan satu kejutan kepada massa, dan juga warga pendidik kerana ia akan menggantikan PMR, peperiksaan pusat yang selama ini mendominasi dunia pendidikan negara. Matlamat PT3 ialah untuk mengurangkan tekanan peperiksaan pusat pada kalangan murid (atau ibu bapa yang lebih tertekan?).   PT3 tiada peperiksaan pusat, pelaporannya berasaskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ini bermakna apa yang guru usahakan akan diberikan merit dalam pelaporan akhir.  Pengiktirafan ini amat penting kerana selama ini apa yang guru usahakan dalam mendidik murid-murid tidak diambil kira langsung dalam pelaporan akhir. 
  2. Tetapi realitinya kini, seolah PT3 sedang mengembalikan wajah peperiksaan. Tarikh pentaksiran PT3 dijadualkan pada 8-11 Oktober 2018 sebaris dengan peperiksaan pusat yang lain. Apakah maknanya ini dan apakah kesannya kepada murid dan sekolah? Pengejaran A penuh sudah kembali pada kalangan murid dan sekolah. Hasrat asal PT3  lebur kecuali ada usaha untuk mengembalikan  PT3 sebagai PBS sepenuhnya.  Kenapakah terjadi penyimpangan matlamat ini  hingga program yang dirancang dengan teliti akhirnya menemui jalan buntu? Pendidikan  tidak akan dapat dimaknakan  selagi peperiksaan pusat menjadi matlamat akhir.
  3. Kerana itu saya sering menekankan perihal perlunya kita semua keluar daripada kotak pemikiran yang lama terutama para perancang profesionalisma di kalangan pengurusan tertinggi KPM untuk memaknakan pendidikan. Khusus buat IPGM, institusi ini seharusnya telah mengangkat kursus pentaksiran pendidikan sebagai fokus utama dalam menyediakan bakal guru.  Pelaksanaan pentaksiran pendidikan dalam sistem pendidikan negara akan terbantut apabila guru-guru muda yang dihantar ke sekolah tidak  tahu dan faham apa itu pentaksiran pendidikan. Apa lagi mahu mempraktikkannya.  Peperiksaan pusat hanya satu daripada komponen pentaksiran pendidikan.  Tetapi apa yang terlihat, IPGM masih lagi dalam ruang lingkup pengukuran dan penilaian, membincangkan teori-teori lama peperiksaan dan belum terlihat untuk berubah ke arah pentaksiran pendidikan masa kini. Sama ada pengurusan tertinggi IPGM masih dalam paradigma lama, tiada dapat  melihat masa depan, tidak mahu ambil tahu tentang perkembangan pentaksiran masa kini, enggan berjalan seiring dengan LP, atau tiada kepakaran dan kemahiran dalam pentaksiran pendidikan, sesuatu harus  dilakukan. 
  4. Kerana itu, persediaan pra pelaksanaan amat penting. Tetapi seperti kebiasaannya, selama ini banyak program KPM lebih bersifat bidan terjun dan ad-hoc, pelan tindakan yang dikemukakan pula selalunya setengah masak,  akhirnya tenggelam begitu sahaja. Sekolah bestari diwar-warkan dengan sebegitu hebat akhirnya menyepi, begitu juga sekolah berkesan. Sekolah kluster kecemerlangan mempunyai pelbagai interpretasi dan konotasi, sering mengelirukan.  Sekolah berprestasi tinggi juga perlu dilihat kembali dalam perkembangan pentaksiran pendidikan masa kini. PPSMI juga mengikut jejak yang sama walau pun berbilion ringgit  dicurahkan untuk pelaksanaannya. Banyak kegagalan ini sebenarnya berpunca daripada perancangan dan penyediaan konsep yang tergesa-gesa, persediaan pra pelaksanaan yang lemah dan yang utamanya  kegagalan memahami dan menghayati makna pendidikan dan hasrat FPK itu sendiri pada kalangan pembuat dan pelaksana dasar.
  5. Walau bagaimana pun, dalam melahirkan sistem pentaksiran negara , LP telah mula menyediakan konsep pentaksiran pendidikan negara ini sejak 2003, melalui satu persidangan nasional dan tiga persidangan antarabangsa khusus membicarakan tentang pentaksiran pendidikan. Hasil daripada persidangan ini berserta bengkel-bengkel khas bersama pelbagai jabatan, pengetua, guru besar, guru, murid, ibu bapa, dan NGO dari  seluruh negara,  cadangan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dihasilkan  dan diterima  oleh pengurusan tertinggi KPM, tetapi apabila sampai kepada fasa pelaksanaan, masih banyak  kelompongan yang harus ditampungi.  Ini terutamanya kerana kegagalan banyak pihak memahami konsep pentaksiran pendidikan dalam memaknakan pendidikan dan keenganan keluar daripada paradigma lama peperiksaan pusat.  Sudah sampai masanya kita semua keluar daripada kotak pemikiran lama dan berani meneroka semesta ilmu  pentaksiran pendidikan yang lebih luas. Pendidikan abad ke 21 tidak mampu untuk bergantung kepada peperiksaan pusat semata-mata.
  6. Sebelum meneruskan penulisan tentang apa yang ditaksir, saya ingin menyorot kembali  tentang apa itu pentaksiran pendidikan. Ini penting untuk memahami penulisan-penulisan seterusnya nanti.

Pentaksiran Pendidikan.
  1. Definisi dan huraiannya telah saya tuliskan sebelum ini.  Pentaksiran dalam pendidikan ialah proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut. 
  2. Pentaksiran merupakan satu proses - bermakna ia berjalan berterusan, dan pada prinsipnya, pentaksiran bermula pada hari pertama murid berada di sekolah dan berakhir pada hari terakhir murid di sekolah.  Setiap hari guru berinteraksi dengan murid, setiap masa guru mentaksir. Jangan tanamkan dalam minda bahawa pentaksiran ini seperti peperiksaan pusat, tidak sama sekali. Peperiksaan pusat diadakan pada penghujung satu-satu  proses pembelajaran yang panjang, bersifat restrospektif sementara pentaksiran berjalan seiring dengan proses pembelajaran.  Pentaksiran tidak ada jadual waktu khusus seperti peperiksaan pusat, tidak ada instrumen khusus dan tidak ada bilik-bilik peperiksaan khusus. Lain murid mungkin memerlukan kaedah dan pendekatan yang berbeza dan instrumen yang berbeza untuk ditaksir. Pentaksiran boleh dilakukan secara 'direct' atau 'indirect' pada bila-bila masa yang sesuai.
  3. Apakah maklumat yang ingin didapatkan daripada murid? Ini berbalik kepada matlamat pendidikan itu sendiri. Negara kita mempunyai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (+kemahiran sosial) ....agar menjadi warga yang berilmu pengetahuan, berketrampelan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan  mencapai kesejahteraan diri.  FPK diterjemahkan ke dalam kurikulum kebangsaan melalui matlamat dan objektif setiap mata pelajaran dan disiplin yang diajar di sekolah.  Secara umumnya roh FPK diterjemahkan ke dalam tiga konstuk utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.
  4. FPK telah digubal dengan begitu cantik sekali, menepati matlamat pendidikan  yang sebenar, dan tiada langsung apa-apa pernyataan  dalam FPK yang mengaitkannya dengan peperiksaan pusat dan pengejaran A penuh dalam peperiksaan pusat. Hasrat FPK  hanya satu iaitu melahirkan warga yang terbaik dalam bidang ilmu, kemahiran dan nilai.  KBSR cuba merealisasikan matlamat murni FPK ini namun tersasar. Realitinya, semua perancangan baik ini dihalang oleh peperiksaan pusat. Justru  kita harus kembali kepada matlamat  asal ini.  Terlalu lama  dan terlalu jauh kita tersasar, kita harus kembali memaknakan pendidikan itu. 
  5. Apabila wujud pelbagai masalah dalam masyarakat kita pada hari ini seperti  rasuah, dadah, sosial, penipuan dan pecah amanah,  adakah ini merupakan konotasi daripada kesesatan kita melaksanakan pendidikan terhadap anak-anak kita selama ini? Dari yang berkedudukan tinggi, menteri, ketua jabatan, pengarah, hingga kepada pegawai bawahan, dalam pelbagai sektor ekonomi dan pekerjaan, masalah ini wujud. Hormat menghormati semakin pudar, kemusnahan alam sekitar anugerah Allah amat berleluasa, pengejaran wang ringgit dan kekayaan dunia menjadi matlamat hidup, jurang perbezaan taraf hidup miskin-kaya semakin meluas, dan kepercayaan kepada Tuhan semakin menipis. Rukun Negara  hanyalah retorik dan hukum agama, dosa pahala seolah jenaka yang dipersenda.
  6. Pendidikan merupakan tunjang kepada peradaban manusia, menjadikan manusia sebagai insan yang berjaya dunia akhirat, patuh kepada perintah Allah dan peka dengan persekitaran dan dengan manusia lain.Apabila kita melihat bagaimana rakyat negara luar menghargai sesama manusia dan alam sekitar,  kita merasa sesuatu lompong yang amat besar wujud dalam sistem pendidikan negara. Mengapa kita tidak boleh menjaga kebersihan  sungai dan parit di negara kita hingga ikan boleh hidup dan membiak seperti di Jepun dan England, kenapa kita tidak boleh menjaga hutan dan alam semula jadi kita seperti New Zealand hinggakan bukit dan gunung menjadi gondol dan musnah ditarah, mengapa kita tidak boleh menjaga kebersihan tandas kita seperti tandas di negara Jepun, Australia dan Taiwan, kenapa kita masih melontar sampah, bekas makanan, kulit buah-buahan dan kertas tisu dari dalam kereta kita hingga menyebabkan pencemaran dan banyak lagi contoh yang menunjukkan kepincangan kita? Pokoknya, kemahiran insaniah ini, nilai-nilai murni yang diperlukan dalam kehidupan kita sebagai manusia,  dipupuk sejak dari pendidikan rendah lagi di negara-negara ini. Dari rebung mereka telah dilentur, diajar dan ditanamkan dengan sifat-sifat  murni ini, yang terkandung dalam sistem pendidikan mereka. Kita gagal membina nilai-nilai baik ini dalam diri murid kerana kita amat terpesona dengan  peperiksaan pusat, untuk mendapat A penuh dan kebanggaan yang palsu.
  7. Pentaksiran adalah lebih  fleksibel, bersifat insaniah dan memberikan maklumat yang autentik tentang seseorang  murid. Di sekolah, guru sentiasa berinteraksi dengan murid dan pentaksiran boleh dilakukan dalam tempoh ini . Di dalam kelas, guru mentaksir, di padang permainan guru mentaksir, sewaktu perhimpunan guru mentaksir, semasa aktiviti kokurikulum dan ekstra kurikulum  guru mentaksir, malah di luar sekolah juga guru mentaksir. Pentaksiran tidak boleh berpisah dengan pendidikan. Pentaksiran memberikan maklumat yang menyeluruh dan lebih tepat tentang murid. Guru bukan hanya mentaksir aspek pengetahuan murid tetapi juga tentang kemahiran dan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Apa yang ditaksir direkod  dan akan diguna untuk pelaporan akhir nanti. 
  8. Agak panjang saya menyentuh tentang pentaksiran pendidikan ini, dan setakat ini penulisan saya buat kali ini. Banyak lagi yang ingin disentuh, namun keterbatasan ruang dan waktu mengehadkan kesempatan itu. InsyaAllah, akan saya teruskan penulisan ini nanti dengan menerangkan pula apa yang ditaksir.
  9. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Tuesday, 16 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN - SISI POSITIF DAN POTENSI (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.

Selamat bertemu kembali.

  1. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk bersama lagi dalam penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan ini. Pada penulisan yang lepas saya cuba menjelaskan bagaimana pentaksiran pendidikan dimaknakan dengan contoh yang mudah. Seterusnya saya telah cuba menerangkan secara ringkas bagaimana  pelaksana di sekolah boleh mengoperasikan  pentaksiran ini pada mata pelajaran yang bersifat kontinuum ataupun topikal. Sebenarnya untuk merealisasikan pentaksiran secara menyeluruh dan berkesan, banyak lagi persediaan yang perlu dilaksanakan, banyak lagi pemahaman yang perlu diberikan kepada pelaksana dan banyak lagi huraian yang mendalam tentang setiap mata pelajaran, kemahiran dan nilai yang harus dilakukan.  Masih jauh perjalanannya. Untuk mempastikan keseragaman dan keobjektifan pentaksiran yang akan dilaksanakan, panduan dari pusat amat diperlukan, terutama dalam aspek yang berkaitan dengan lokaliti dan persekitaran sekolah yang pelbagai. Pentaksiran harus disesuaikan dengan persekitaran dan lokaliti sekolah di samping sifat murid, masyarakat dan guru.
  2. Selain daripada itu, persoalan yang sentiasa ditimbulkan ialah siapa yang mentaksir, bagaimana mentaksir, bagaimana merekod dan menyimpan rekod, bagaimana mentafsir maklumat dan bagaimana melapor dan bentuk  pelaporan.  Kita akan cuba melihat satu persatu persoalan-persoalan ini dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan Pentaksiran Pendidikan - Pra-Pelaksanaan   

  1. Peringkat awal pelaksanaan akan memperlihatkan penentangan daripada banyak pihak termasuk guru sebagai pelaksana, pentadbir, ibu bapa, dan juga massa. Ini  merupakan sesuatu yang normal dalam mana-mana masyarakat atau komuniti apabila sesuatu pembaharuan yang agak asing diperkenalkan. Keberadaan dalam zon selesa dalam jangka waktu yang agak panjang, sejak merdeka, membuat penerimaan menjadi sukar, kerana perubahan membawa ilmu dan kemahiran baru yang harus dipelajari, keberkesanan yang diragui dan impak masa depan yang masih tidak diketahui.  Justru, untuk mengelakkan tentangan yang tidak sewajarnya, kerja-kerja pra pelaksanaan yang aktif seharusnya dilakukan.
  2. Pertamanya, pihak yang bertanggung jawab, KPM, Lembaga Peperiksaan (LP) dan bahagian-bahagian lain yang berkaitan harus menjalankan penataran kepada semua yang terlibat pada semua peringkat - bahagian-bahagian KPM, JPN, PPD, Pengetua, Guru Besar, Guru-guru, PIBG, NGO dan juga massa. Kekangan mungkin wujud kerana kekurangan tenaga di  pihak yang akan menatar, kewangan dan masa. Perancangan yang menyeluruh harus dilakukan bagi mempastikan program yang diperkenalkan ini berjaya mencapai matlamatnya. 
  3. Namun banyak kerja-kerja penataran berakhir dengan kegagalan atau memberi impak yang minimum  kerana yang menatar tidak faham apa yang ditatarkan.  Pentaksiran merupakan bidang yang amat luas, dinamik  dan penuh dengan kemungkinan. Amat malang sekiranya perbelanjaan yang besar untuk penataran berakhir dengan kegagalan. Kerana itu, sesiapa sahaja yang menatarkan tentang pentaksiran pendidikan harus dipastikan memiliki ilmu dan kefahaman yang jelas tentang pentaksiran. Di LP sendiri, bukan semua pegawai  LP yang tahu dan faham tentang pentaksiran  pendidikan. Tanpa ilmu dan kefahaman, akan tersasar apa yang dihasratkan, malah mungkin melahirkan ilmu yang songsang.
  4. Semua sumber yang ada  harus digembleng untuk tujuan ini. Ini termasuk pegawai yang pernah terlibat  dalam pembentukan konsep dan yang telah menerima pendedahan yang luas tentang pentaksiran, bekas pegawai LP yang turut terlibat dengan kerja-kerja pembinaan konsep tapi  kini berada di luar LP,  guru-guru yang terlibat dalam pembentukan konsep dan juga pegawai yang telah bersara. Penataran juga harus berterusan, bukan 'one-off' .  Tapi syarat utama apabila menjalankan penataran...yang menatar harus faham sepenuhnya tentang apa yang hendak ditatarkan. 
  5. Di samping penataran, penyebaran maklumat juga harus dilakukan secara berterusan, bukan 'one-off', melalui apa sahaja media yang ada, bercetak atau elektronik. Pengenalan PT3 dahulu, penataran  nampak diusahakan dengan agak meluas dan agresif tetapi malangnya ia hanya berbentuk 'one-off'. Malang sekali PT3 yang dihasratkan sebagai PBS bagi menggantikan PMR akhirnya bertukar kembali kepada wajah peperiksaan pusat. Pengejaran untuk A penuh kembali semula dan kelas tuisyen PT3 tumbuh di merata tempat. Pembinaan konsep asal PT3 memang tidak mewujudkan wajah peperiksaan pusat, tetapi sebaliknya berlaku. Di mana silapnya??? Sesuatu harus dilakukan bagi mengembalikan PT3 kepada hasrat asalnya.  PPSR merupakan perubahan yang amat positif dan seharusnya semangat PPSR harus ditanamkan kembali dalam PT3 tanpa peperiksaan pusat.
  6. Bagi pengukuhan jangka panjang, KPM seharusnya memberi peluang kepada pegawai yang terlibat secara langsung dengan  pentaksiran menjalani pendedahan serta kursus lanjutan, dalam dan luar negara. Dahulu LP menjadi ahli kepada International Association of Educational Assessment (IAEA), badan pentaksiran yang menjadi wadah kepada pembangunan sistem pentaksiran pendidikan. Setiap tahun LP menghantar sebilangan pegawai menghadiri persidangan IAEA ini yang diadakan di negara-negara anggota secara giliran bagi mendapatkan maklumat murakhir tentang sistem pentaksiran pendidikan. Malah beberapa kali pegawai LP turut membentangkan kerja kerja dalam persidangan ini. Saya merasa bertuah kerana berpeluang membentangkan kertas kerja semasa persidangan IAEA ini diadakan di Rio de Janeiro, Brazil.
  7. Universiti serta institusi pendidikan tinggi yang ada mengendalikan kursus pendidikan juga harus didedahkan dengan sistem pentaksiran ini kerana di hampir kesemua  IPT, kursus-kursus yang dikendalikan masih tentang peperiksaan pusat dengan tumpuan hanya kepada keupayaan kognitif . Jika fokus tentang pentaksiran masih diabaikan, graduan yang dilahirkan akan menghadapi masalah apabila berada dalam sistem pendidikan negara. Yang lebih UTAMA, IPGM harus didedahkan dengan perubahan baharu ini kerana institusi inilah yang melahirkan sebahagian besar guru di negara ini.  Sebagai sebahagian daripada  oranisasi KPM, IPGM seharus berjalan seiring dengan LP bagi mempastikan sistem pentaksiran  pendidikan negara berjaya mencapai matlamatnya. Kegagalan IPT termasuk IPGM menyediakan guru dengan pengetahuan dan kemahiran tentang  sistem pentaksiran pendidikan mutakhir ini akan menggagalkan usaha KPM untuk mentransformasi sistem pendidikan negara. 
  8. Banyak lagi isu yang boleh dibangkitkan, namun buat kali ini, setakat itu yang dapat saya bincangkan. Sekian buat kali ini. HIngga bertemu lagi pada ruang masa yang akan datang, salam hormat dari saya.

Dr. Hazim.

Saturday, 13 January 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN: PENTAKSIRAN PENDIDIKAN. SISI POSITIF DAN POTENSI (sambungan)

Assalamjalaikum wbrt.

Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk kita bertemu lagi.
  1. Sambungan daripada penulisan yang lalu.  Saya amat berbesar hati di atas kesudian rakan semua melayari blog saya. Tujuan saya menulis blog ini hanya sekadar berkongsi ilmu yang amat sedikit  yang saya miliki agar dapat memberi faedah kepada semua. Saya bukan pakar atau tokoh hebat dalam bidang ini.  Cuma  Allah memberikan  kesempatan pada saya untuk memiliki secebis ilmu dalam bidang ini, dan sekira ada yang tersilap dalam penulisan ini saya mohon maaf. Sekira ada kebaikan, panjangkanlah kepada rakan dan kenalan agar lebih ramai yang memperoleh manafaatnya, insya Allah. Terima kasih Allah kerana memberikan saya peluang dan ruang ini untuk berkongsi ilmu.
  2. Pentaksiran dan pendidikan tidak boleh dipisahkan. Ibarat seorang guru Quran yang mengajar Al-Quran kepada muridnya, guru akan duduk bersama muridnya dan mengajar, melatih, mendengar,meneliti, membetulkan sebarang kesilapan sebelum meneruskan pembelajaran ke tahap seterusnya. Setiap murid harus menguasai setiap tahap yang lebih rendah sebelum meningkat kepada yang lebih tinggi.  Begitulah  konsep asas pentaksiran, kata nama yang diterjemahkan daripada perkataan Inggeris 'assessment', yang diambil daripada perkataan latin 'assidere' yang bermaksud 'to sit beside'.  Mentaksir bermakna duduk bersebelahan dengan murid.  
  3. Pada waktu dahulu, rumah guru Al-Quran ibarat institusi pendidikan, selain belajar mengaji, murid juga akan membantu guru membersihkan kawasan rumah, mengangkat air, mengumpul kayu api, dan sebagainya. Guru juga akan mengajar adab dan akhlak, dan menghargai persekitaran dan alam yang dianugerahkan Allah.. Guru mengenali setiap orang muridnya dengan baik. Walau pun tiada sijil dikeluarkan tetapi setiap murid dipastikan mahir membaca Al-Quran hingga tamat dan memiliki akhlak yang baik. Ada yang cepat dan ada yang lambat, dan guru akan mengajar mengikut kemampuan murid. Ini merupakan gambaran paling mudah untuk mengenali pentaksiran dalam pendidikan. Akhirnya semua akan berjaya. 
  4. Suasana di sekolah pada hari ini  jauh berbeza daripada apa yang  berlaku pada masa lalu.  Guru mengawasi puluhan malah ratusan murid pada satu-satu ketika. Dan guru pula berbeza mengikut bidang dan kemahiran yang disampaikan melalui mata-mata pelajaran tertentu. Jadi bagaimanakah pentaksiran akan dilaksanakan?  Seorang murid pula akan menghadapi beberapa orang guru yang berbeza setiap hari. Ini merupakan masalah utama yang  sering dikemukakan oleh guru apabila pentaksiran mula dilaksanakan di sekolah. Oleh kerana pentaksiran merupakan konsep yang baharu dalam sistem pendidikan negara , maka pelaksanaannya haruslah dilakukan secara berhemah dan bijaksana. Masa diperlukan bagi semua pihak memahami dan melaksanakan pentaksiran dengan betul kerana sebarang kesilapan akan menjejaskan masa depan seseorang murid dan integriti sistem pendidikan negara.
  5. Pendidikan bertujuan membentuk manusia yang terbaik dalam apa sahaja bidang yang diceburinya, bukan mencapai A penuh dalam peperiksaan pusat. Pendidikan membentuk insan yang bukan hanya terbaik dalam bidang ilmu tetapi juga dalam semangat, akhlak, jati diri, yang  tahu bersyukur dengan nikmat Allah, menjaga hubungannya dengan Allah, dengan persekitaran  serta juga dengan manusia. Jadi, bagaimanakah pentaksiran boleh berfungsi dalam keadaan seperti ini?
  6. Pentaksiran boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara dan pendekatan, bergantung kepada apa yang hendak ditaksir dan siapa yang akan ditaksir. Instrumen yang digunakan juga pelbagai, bergantung kepada kesesuaian dan keberkesanan. Pendekatan konvensional bagi mentaksir konstruk pengetahuan (kognitif) biasanya menggunakan kertas dan pensil dalam bentuk ujian dan peperiksaan dalaman. Selain itu, guru boleh menggunakan pendekatan alternatif seperti soal jawab, kuiz, congak, ejaan, projek, dan persembahan. Bagi konstruk yang tidak boleh diuji dengan kertas dan pensil, terutama konstruk kemahiran dan nilai, pendekatan yang paling sesuai ialah pemerhatian. Selain daripada itu, boleh juga digunakan kaedah temu bual, soal selidik, ujian minat dan sikap dan bateri inventori.
  7. Pada prinsipnya, semua konstruk yang diajar kepada murid harus ditaksir. Namun kekangan yang dihadapi oleh guru memerlukan pendekatan yang 'sensible' (masuk akal)  dan boleh dilaksanakan. Tidak ada gunanya jika dirangka pendekatan yang hebat tetapi tidak praktikal.  Kita harus memahami beban tugas dan tanggung jawab guru yang sudah sememangnya berat, sama ada dalam tugas-tugas akademik atau bukan akademik.  Pentaksiran seharusnya meringankan beban guru, bukan menambah. 
  8. Justru, kefahaman harus dimiliki oleh semua pihak. Bagi sesetengah mata pelajaran yang ada kontinuum atau kesinambungan, pentaksiran harus mengikut kontinuum daripada yang paling rendah ke tahap yang paling tinggi mengikut aturan, seperti pembelajaran mengaji A-Quran, pergerakan motor, kemahiran seni visual dan kemahiran bertukang.. Pada sepanjang kontinuum, pembelajaran boleh dipecahkan ke dalam beberapa tahap atau blok pembelajaran di mana pada setiap tahap atau blok mungkin mengandungi aspek-aspek yang 'common' yg boleh dikelompokkan bersama. Pentaksiran dilakukan pada  setiap tahap bagi mendapatkan eviden tentang penguasaan murid  pada tahap tersebut. Item pentaksiran merupakan pensampelan  tentang pengetahuan atau kemahiran  yang terkandung dalam setiap tahap atau blok pembelajaran. 
  9. Bagi mata pelajaran yang di pecah-pecahkan ke dalam  topik-topik tertentu, pentaksiran harus dilakukan bagi setiap topik. Sama juga, item daripada setiap topik merupakan pensampelan daripada keseluruhan 'universe' topik tersebut. Mata pelajaran Geografi sebagai contoh dipecah-pecah-pecahkan  ke dalam topik-topik tertentu. Geografi Malaysia mungkin dipecahkan kepada topik-topik seperti rupa bumi, iklim dan cuaca, penduduk, komunikasi dan kegiatan ekonomi. Oleh kerana mata pelajaran seperti ini tidak berbentuk kontinuum, agregat daripada maklumat pentaksiran boleh dirumuskan sebagai eviden tentang penguasaan murid dalam mata pelajaran tersebut.
  10. Setakat ini buat kali ini penulisan saya. InsyaAllah, saya akan cuba menghuraikan lagi tentang sisi positif dan potensi pentaksiran ini pada penulisan akan datang, insyaAllah.  Sehingga bertemu pada lain kesempatan, salam hormat dan kasih sayang daripada saya.
Dr. Hazim.