Wednesday, 12 December 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN : LINUS (sambungan)

Assalamualaikum wbrt.


  1. Selamat bertemu lagi para sahabat yang mengikuti penulisan saya. Memang agak sukar untuk menghuraikan LINUS dalam bahasa yang lebih mudah untuk difahami, namun saya akan cuba menerangkannya mengikut keupayaan saya. Terima kasih kerana tidak jemu-jemu mengikuti penulisan dalam blog saya ini. Sokongan para sahabat menguatkan lagi semangat saya untuk terus menulis tentang pentaksiran pendidikan.
  2. Berdasarkan konstruk yang telah saya paparkan dalam penulisan sebelum ini, besar kemungkinan para guru bagi mata pelajaran lain dan juga pembaca awam agak sukar untuk memahaminya. Tetapi bagi guru-guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, konstruk yang disenaraikan merupakan perkara yang sememangnya dalam bidang ilmu yang dikuasai oleh mereka.  Kepakaran para guru mata pelajaran ini dalam menguasai konstruk yang ditetapkan  membolehkan mereka berkarya dengan kreatif dan efektif  dan melahirkan murid yang berjaya. 
  3. Minggu lalu KPPM telah mengumumkan tentang perubahan pelaksanaan LINUS, yang pada asalnya dikendalikan oleh pusat diserahkan sepenuhnya kepada sekolah.  Pelbagai reaksi diberikan oleh pelbagai pihak, pro dan kon, namun hakikatnya perkara ini perlu dilihat daripada segi positifnya. 
  4. Daripada segi profesionalisma, langkah ini merupakan satu lagi tindakan positif ke arah memartabatkan profesyen keguruan.  Menjadikan LINUS sebagai satu daripada aktiviti pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) merupakan sesuatu yang sepatutnya berlaku. Guru sentiasa berada bersama murid untuk jangka masa yang panjang semasa persekolahan, memerhati, berinteraksi, menilai dan mengumpul maklumat tentang murid. Justru, gurulah  yang paling layak mentaksir murid, membantu murid dan membuat keputusan tertentu tentang muridnya.
  5. Bagi golongan murid normal mereka mungkin  tiada menghadapi masalah dalam menguasai konstruk-konstruk ini. Namun ada juga segolongan murid yang memang lemah dan memerlukan masa pembelajaran yang lebih lebih panjang untuk memahami dan menguasai satu-satu konstruk itu. Kelemahan murid ini mungkin disebabkan faktor diri murid seperti tahap kecerdikan yang rendah, kesihatan dan juga mungkin faktor-faktor lain seperti masalah autisma, masalah kemurungan, masalah pendengaran, masalah penglihatan, masalah tumpuan, masalah gerakan motor dan sebagainya. Ini yang harus dikenal pasti dan diatasi.
  6. Kita tidak boleh terus melabelkan seseorang itu bodoh kerana murid tersebut mungkin mengalami masalah-masalah seperti yang dinyatakan di atas.  Di sinilah guru harus menunjukkan profesionalisma keguruan yang tinggi. Janganlah kita lupa tanggung jawab kita mendidik anak-anak ini dan janganlah  terus melabel mereka dengan label-label yang negatif. Tugas guru bukan sekadar mengajar.
  7. Peralihan tanggung jawab ini seharusnya harus dilihat daripada sudut positif dan merangsang profesionalisma guru. Jangan anggap sebagai bebanan.  Pentaksiran tidak memerlukan instrumen khas dan waktu-waktu khusus untuk mendapatkan maklumat tentang murid kerana ianya berlaku sepanjang masa, berterusan. Jangan lupa, pemerhatian  merupakan satu daripada kaedah pentaksiran yang paling efektif di samping  kaedah lain seperti temu bual, ujian ringkas, soal jawab dan kuiz di samping maklumat yang diperolehi daripada sumber lain seperti daripada ibu bapa/penjaga, rakan sebaya dan mungkin ujian psikometrik yang boleh diguna pakai.
  8. LINUS memerlukan kepakaran dan sikap profesional guru. Kerana itu fahamilah matlamat asal pewujudan program ini. Fahami segala konstruk yang disenaraikan dan berkaryalah dengan menarik supaya murid memperoleh segala kebaikan daripadanya. Dengan PBS, guru tidak perlu menghantar skor-skor tertentu kepada pihak kementerian, sebaliknya segala maklumat yang diperolehi membolehkan guru mengambil tindakan sewajarnya dan tepat terhadap murid. Guru mempunyai ruang masa yang luas untuk mentaksir dan  mengambil tindakan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. Pihak pentadbir daerah dan sekolah pula harus memahami pelaksanaan konsep ini dan membantu guru melaksanakannya dengan berkesan.  Cuma pastikan segala tindakan direkodkan ke dalam portfolio murid sebagai bahan bukti.
  9. Semoga penjelasan ringkas  ini dapat memberi sedikit ruang kepada semua para pendidik dan sesiapa sahaja yang membaca tulisan saya ini memahami matlamat LINUS sebenarnya.  
  10. Program LINUS dihasilkan daripada satu perjalanan yang panjang merungkaikan konsep dan intipatinya sebelum diperincikan untuk dilaksanakan di sekolah. Program LINUS seperti yang saya pernah nyatakan melibatkan banyak pihak daripada kementerian dan juga warga pendidik. Kepada warga pendidik yang pernah terlibat dalam perjalanan ini diharap dapat membantu pihak sekolah merealisasikan hasrat murni LINUS demi pembangunan pendidikan negara.
Bagaimana LINUS dioperasikan?
  1. Ini merupakan persoalan yang sering ditimbulkan oleh para pendidik dengan alasan membebankan dan menambah beban kerja guru. Tekanan ini mungkin timbul kerana LINUS  pada asal pelaksanaanya dikendalikan oleh pusat dan guru harus melaksanakannya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan dan menghantar laporan ke pusat mengikut jadual yang juga telah ditetapkan. Ini menyebabkan tekanan kepada guru kerana perlu mengikut arahan pusat, terpaksa mengejar masa  sedangkan tugasan wajib lain perlu diselesaikan pada masa yang sama. Pengendalian secara berpusat memungkinkan timbulnya kembali elemen persaingan antara sekolah yang menyebabkan wujud tendensi memalsukan maklumat untuk menjaga integriti sekolah. Namun melalui PBS guru mempunyai fleksibiliti  untuk mentaksir, memilih instrumen yang paling efektif, menyimpan rekod dan mengambil tindakan.
  2. Selain daripada itu, seperti kebiasaannya, program ini dianggap sebagai program bidan terjun tanpa matlamat dan hala tuju yang jelas. Penataran dijalankan secara tergesa-gesa, tidak mencakupi keseluruhan guru yang terlibat dan hanya  menggunakan Juru Latih Utama atau Pemudah Cara. Perjalanan penyebaran maklumat dari pusat kepada guru mengambil banyak tahap, bermakna  pada setiap tahap, kecairan maklumat akan berlaku.
  3. Penataran pula mungkin menggunakan personel yang kurang terlatih, kurang pengetahuan dan tidak memahami secara mendalam konsep asal LINUS. Ini menyebabkan proses penurunan ilmu menjadi kurang berkesan dan guru teraba-raba untuk menjalankan program ini. Tiada juga pihak untuk dirujuk.  Pihak pentadbir sekolah dan juga daerah juga mungkin kabur dan tidak  berupaya membantu guru.
  4. KPM tidak berupaya untuk menatarkan terus  kepada  semua guru di peringkat sekolah kerana kekangan kepegawaian, kekangan masa dan kekangan kewangan. Amat bernasib baik sekiranya guru mendapat 10-20% daripada hasrat asal LINUS daripada penataran yang dijalankan. Mungkin ada juga yang tidak mendapat apa-apa, 0%.
  5. Keberkesanan program bergantung kepada banyak faktor dan sebahagian daripada faktor itu telah saya sentuh di sini. Faktor seterusnya dan amat penting ialah faktor guru sendiri dan faktor pentadbir sekolah dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada guru-guru yang terlibat.  
  6. Ilmu dan kompetensi guru amat kritikal untuk menjayakan satu-satu program, di samping kreativiti dan keupayaan guru berkarya dalam kelas.Ini amat penting terutama pada pembelajaran peringkat awal murid.  Apabila saya sebutkan berkarya ia membawa maksud bagaimana seseorang guru menjadikan pengajarannya tidak membosankan dan dapat menarik murid untuk memberikan tumpuan terhadap apa yang diajar. Murid ceria dan seronok untuk belajar. Dengan PBS, guru seharusnya mempunyai kebebasan mencari pendekatan terbaik untuk muridnya.  Tidak ada satu pendekatan standard untuk semua guru dan murid. 
  7. Pihak pentadbir sekolah juga seharusnya lebih proaktif dengan membantu guru dalam aspek-aspek yang berkaitan seperti mendapatkan orang sumber untuk memberi pendedahan kepada guru.  Bukan hanya tentang program ini tetapi juga tentang hal-hal yang bersangkutan seperti penggunaan item dan instrumen yang terbaik, cara perekodan dan penyimpanan maklumat, permasalahan yang dihadapi oleh murid, cara bertindak, pihak-pihak yang perlu dihubungi, maklumat ibu bapa/penjaga/ masyarakat yang boleh membantu, dan sebagainya. Ini memerlukan komitmen dan tahap profesionalisma yang tinggi dan inilah sebahagian daripada profesyen keguruan yang sebenarnya.

Nampaknya saya perlu berhenti setakat ini dahulu. InsyaAllah saya akan cuba menghuraikan perkara yang berkaitan dengan konstruk dan pelaksanaannya pada penulisan yang akan datang. Sehingga bertemu lagi, mohon maaf sekira terdapat penulisan saya yang menyinggung perasaan mana-mana pihak. Selamat tahun baru 2019.  Semoga tahun baru membawa sinar yang lebih bermakna untuk semua. Terima kasih.


Dr. Hazim.