Tuesday, 20 November 2018

PENTAKSIRAN PENDIDIKAN : LINUS

Assalamualaikum wbrt.

  1. Selamat bertemu kembali kepada semua para sahabat yang mengikuti blog ini. Tujuan blog ini diwujudkan semata-mata untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman yang ada sebagai sumbangan yang tidak seberapa terhadap perkembangan ilmu pendidikan di negara ini amnya dan bidang pentaksiran pendidikan khususnya.
  2. Sejak akhir-akhir ini setiap penulisan saya memakan masa yang agak lama untuk dimuat naik. Saya mohon maaf kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan. Namun saya akan sentiasa berusaha agar penulisan tidak terhenti di pertengahan jalan, insya Allah.  Saya akan cuba meneruskan penulisan ini setakat keupayaan saya, dengan izin Allah.
  3. Seperti yang janjikan pada penulisan yang lepas, pada kali ini saya akan cuba membicarakan tentang LINUS, suatu program yang khusus diwujudkan KPM  bagi menangani masalah membaca, menulis dan mengira pada kalangan murid sekolah, khususnya murid peringkat rendah. LINUS menjadi topik hangat ketika ini apabila banyak persoalan tentang LINUS dimuat naik dalam laman sosial, terutama tentang pengendaliannya dan juga tentang peranan dan keberkesanannya.  Malah ada yang mencadangkan agar LINUS dimansukhkan. Hakikatnya LINUS diwujudkan bagi membantu murid yang menghadapi masalah dalam menguasai kemahiran 3M dan membantu guru mengenal pasti murid yang bermasalah untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil bagi membantu murid-murid ini.
Apakah LINUS?
  1. LINUS merupakan akronim bagi Literacy  and Numerical Screening . Literacy berkaitan dengan kemahiran bahasa sementara numerical berkait dengan kemahiran matematik atau yang berkaitan dengan nombor. Screening membawa maksud tapisan atau saringan khusus bagi murid pada peringkat awal persekolahan.
  2. Saringan ini khusus bagi mengesan keupayaan murid dalam kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M) pada peringkat pendidikan rendah bagi membantu mereka yang bermasalah menguasainya. Penguasaan 3M amat penting kerana  kegagalan murid menguasai ketiga-tiga kemahiran ini akan menghalang mereka untuk meningkat  lebih tinggi dalam pembelajaran dan juga untuk berkomunikasi dengan baik dalam masyarakat.
  3. Saringan ini amat penting bagi membolehkan intervensi awal diambil terhadap murid yang menghadapi masalah ini. Matlamat program LINUS   ialah 100% murid akan menguasai ketiga-tiga kemahiran ini sebelum mereka meninggalkan alam persekolahan pada akhir peringkat  rendah.
  4. Kegagalan murid menguasai kemahiran 3M secara tidak langsung menunjukkan kegagalan KPM dalam memberikan program pendidikan terbaik untuk murid walau pun pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan bagi kalangan murid bagi tujuan ini seperti KBSR. Walau pun KBSR dikatakan antara program yang terbaik  dalam pembangunan pendidikan negara namun gagal mencapai matlamatnya  terutama tentang  penguasaan murid dalam 3M kerana pelaksanaan yang tidak mengikut konsep asalnya seperti  dalam pengurusan kelas, penetapan saiz kelas,  pengajaran berdasarkan murid (student centred) dan pembelajaran berdasarkan inkuiri. Begitu juga dengan sekolah bestari. Program yang direka bentuk dengan kos yang tinggi  serta  kepakaran dari dalam dan luar negara hanya menjadi dokumen simpanan dalam stor. Kegagalan  ini kerana kita tidak berpijak di bumi nyata. Pelaksanaan sekolah bestari memerlukan perubahan minda yang radikal, perubahan dalam pengurusan sekolah,  latihan menyeluruh untuk semua pelaksana pendidikan dan juga ibu bapa/ penjaga  serta kos yang amat tinggi. Akhirnya hanya tertulis dalam lipatan sejarah pendidikan negara. 
  5. Perancangan untuk  pembelajaran abad ke 21 juga seakan menerima nasib yang sama apabila pelbagai masalah mula timbul, terutama yang berkaitan dengan kos dalam penyediaan persekitaran yang bersesuaian dan kondusif untuk pembelajaran yang diharapkan. Masalah logistik akan menjadi halangan terbesar disamping insfrastruktur sekolah dan keupayaan guru dan murid. Skrip yang sama berulang. Kita tidak berpijak di bumi nyata. Punya nafsu besar tetapi tidak ada keupayaan untuk memenuhi nafsu tersebut. Para perancang seolah tidak belajar daripada pengalaman masa lalu. Terlalu terpesona dengan idea dari barat, terlupa kita punya budaya  yang berbeza dan keupayaan yang  terhad. 
  6. Sesuatu perubahan harus berlaku secara menyeluruh. Kesemua program ke arah peningkatan mutu pendidikan negara sebelum ini mengabaikan satu bahagian yang amat penting dalam pendidikan iaitu sistem pentaksiran.  Selagi sistem pentaksiran negara masih bertumpu kepada peperiksaan pusat, apa sahaja program, walau sehebat mana pun akan menemui kegagalan. Matlamat pendidikan total tidak akan tercapai kerana peperiksaan pusat memusatkan kepada pembangunan kognitif  murid semata-mata.
Apa yang dibekalkan oleh LINUS?

  1. LINUS dihasilkan bagi membekalkan  maklumat yang autentik kepada guru tentang penguasaan murid dalam kemahiran asas 3M.  Apabila  dikaitkan dengan kemahiran asas, perkara utamanya ialah apakah kemahiran asas bagi literasi dan numerasi? Banyak perbincangan diadakan dan walaupun banyak pandangan, suatu definisi standard  harus dirumus sebagai definisi operasional bagi membolehkan tindakan seterusnya dilakukan. 
  2. Kemahiran asas merupakan kemahiran paling minimum dalam literasi dan numerasi yang harus dikuasai oleh murid. Ia bukan kemahiran tahap tinggi. Dengan menguasai kemahiran asas ini membolehkan murid untuk melanjutkan lagi pembelajaran ke tahap yang lebih tinggi atau membolehkan mereka memasuki alam kehidupan sebenar pos persekolahan tanpa masalah.
  3. Pelaksanaan asal LINUS hanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik,tetapi kemudian dikembangkan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Apakah tahap asas literasi dan numerasi?

  1. Terdapat kesukaran pada peringkat awal untuk menentukan tahap minimum bagi literasi dan numerasi yang perlu dikuasai oleh murid. Setiap bahagian mempunyai pengertian yang berlainan. Secara umum banyak bahagian yang memberikan pengertian kemahiran asas literasi dalam satu-satu bahasa  sebagai keupayaan  memahami sejumlah perkataan dalam bahasa tersebut. Namun hakikatnya tidak begitu.  Seekor chimpanzee dalam makmal boleh diajar untuk memahami beberapa ratus perkataan dalam bahasa tertentu tetapi apakah chimpanzee itu sudah menguasai kemahiran asas bahasa tersebut? Masyarakat Melayu sejak dahulu lagi memahami beribu-ribu istilah bahasa Arab yang digunakan dalam Bahasa Melayu dan digunakan dalam kehidupan seharian namun adakah orang Melayu dikatakan sudah menguasai kemahiran asas literasi bahasa Arab? Bolehkah orang Melayu bercakap dan memahami bahasa Arab pada peringkat Asas? 
  2. Begitu juga seorang anak di tadika boleh dilatih untuk mengingat nombor hingga ke 100 atau 1000 tetapi bolehkah kita katakan anak tersebut sudah memiliki kemahiran asas matematik? Setakat menghafal dan mengingat, nombor-nombor tersebut tidak memberi apa-apa makna kepada murid tetapi ia harus boleh diguna dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
  3. Justru, pendekatan yang berani harus diambil untuk membolehkan konsep kemahiran asas literasi dan numerasi ini dioperasikan. Beberapa siri mesyuarat diadakan yang melibatkan banyak pihak terutama guru-guru sekolah rendah, dan akhirnya LP merumuskan konsep asas literasi dan numerasi harus disandarkan kepada konstruk.
  4. Selepas usaha yang ekstensif dan memakan masa yang agak panjang, 12 konstruk telah ditetapkan sebagai kemahiran-kemahiran asas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik  yang perlu dikuasai oleh setiap murid untuk membolehkan mereka meningkat dengan lebih tinggi dalam pembelajaran.  Di bawah disenaraikan kesemua konstruk dalam  Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik yang ditaksir dalam LINUS yang merupakan kemahiran  asas yang diperlukan dalam penguasaan ketiga-tiga mata pelajaran tersebut.
Konstruk dalam LINUS

Bahasa Melayu


Konstruk 1     :  Keupayaan membaca dan menulis huruf vokal dan konsonan
Konstruk 2     :  Keupayaan membaca dan menulis suku kata terbuka
Konstruk 3     :  Keupayaan menulis dan membaca perkataan suku kata terbuka
Konstruk 4     :  Keupayaan membaca membaca dan menulis suku kata tertutup
Konstruk 5     :  Keupayaan membaca dan menulis perkataan suku kata tertutup
Konstruk 6     :  Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup                              'ng'
Konstruk 7     :  Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi diftong
Konstruk 8     :  Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi vokal berganding
Konstruk 9     :  Keupayaan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan konsonan bergabung
Konstruk 10   :  Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang berimbuhan awalan dan akhiran
Konstruk 11   :  Keupayaan membaca dan menulis ayat mudah
Konstruk 12   :  Keupayaan membaca, memahami dan menulis ayat berdasarkan bahan rangsangan

Bahasa Inggeris

Konstruk 1     :  Able to identify and distinguish letters to the alphabet
Konstruk 2     :  Able to associate sound with the letters of the alphabet
Konstruk 3     :  Able to blend phonemes into recognisable words
Konstruk 4     :  Able to segments words into phonemes
Konstruk 5     :  Able to understand and use the language at word level
Konstruk 6     :  Able to participate in daily conversation using appropriate phrases
Konstruk 7     :  Able to understand and use the language at phrase level in linear texts
Konstruk 8     :  Able to understand and use the language at phrase level in non-linear texts
Konstruk 9     :  Able to read and understand sentences
Konstruk 10   :  Able to understand and use the language at sentence level in non-linear texts
Konstruk 11   :  Able to understand and use the language at paragraph level in linear texts
Konstruk 12   :  Able to construct sentences with guidance


Matematik

Konstruk 1     :  Keupayaan pra-nombor dan mengenal angka
Konstruk 2     :  Keupayaan membilang
                           - keupayaan menyatakan bilangan objek secara lisan
                           - menulis kedudukan objek yang dibilang atau menulis bilangan objek keseluruhan
                           - menentukan nombor yang mewakili bilangan objek keseluruhan
Konstruk 3     :  Keupayaan memahami nilai nombor
                          - memadankan nombor dengan bilangan objek yang diberi
                          - menulis nombor mengikut urutan
Konstruk 4     :  Keupayaan membuat seriasi
                          - keupayaan menyusun objek mengikut kriteria berikut
                             banyak ke sedikit, kecil ke besar, pendek ke panjang, rendah ke tinggi, nipis ke                                     tebal, dan sebaliknya
Konstruk 5     :  Keupayaan mengenal mata wang Malaysia
                          - keupayaan mengenal duit syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan wang kertas                                      RM1, RM5, RM10
Konstruk 6     :  Keupayaan menyatakan waktu
                          - keupayaan menyatakan siang, malam berdasarkan situasi yang diberi
                          - keupayaan menyatakan hari dalam seminggu mengikut urutan
                          - keupayaan menyatakan nama bulan dalam setahun mengikut urutan
Konstruk 7     :  Keupayaan mengendalikan operasi asas
                          - keupayaan mengendalikan operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi
                          - pengendalian operasi tidak melibatkan pengumpulan semula
                          - stimulus boleh dalam bentuk nombor atau objek
                          - operasi tambah dalam lingkungan 100
                          - operasi tolak dalam lingkungan 100
                          - operasi darab dan bahagi melibatkan sifir 2,5, 10
Konstruk 8     :  Keupayaan mengendalikan operasi asas melibatkan mata wang Malaysia
                          - keupayaan mengendalikan operasi asas tambah dan tolak melibatkan duit syiling
                            5 sen, 10 sen, 50 sen dan wang kertas RM1, RM5, RM10
                          - pengendalian operasi hanya melibatkan dua mata wang
Konstruk 9     :  Keupayaan mengukur panjang objek, jisim objek dan isipadu
                          - keupayaan membuat anggaran ukuran menggunakan unit bukan standard dan unit                                 standard
                           - membuat perbandingan panjang, jisim dan isipadu
Konstruk 10   :  Keupayaan menterjemah ayat biasa kepada ayat matematik  dan sebaliknya
                          - keupayaan menggunakan bahasa harian untuk menerangkan operasi tambah, tolak,                              darab dan bahagi
                          - menulis ayat matematik dengan menggunakan angka, simbol tambah, simbol                                         tolak,   simbol darab, simbol bahagi dan simbol sama dengan
                          - menceritakan situasi yang melibatkan operasi tambah, operasi tolak, operasi darab                                dan operasi bahagi dalam bahasa  harian
Konstruk 11   :  Keupayaan mengapplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian                              terhad kepada nombor bulat
                          - menyelesaikan masalah operasi tambah, tolak, darab dan bahagi menggunakan                                    objek maujud
                          - menyelesaikan masalah lazim yang melibatkan dua nombor sahaja dan                                                   menggunakan sama ada operasi tambah, tolak, darab dan bahagi
Konstruk 12   :  Keupayaankan mengapplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan                                    harian melibatkan mata wang, masa dan ukuran 
                          - menyelesaikan masalah lazim yang melibatkan mata wang
                          - menyelesaikan masalah lazim yang melibatkan masa
                          - menyelesaikan masalah lazim yang melibatkan ukuran


 Sekian buat kali ini.  Saya akan cuba menghuraikan lebih lanjut lagi tentang konstruk ini pada penulisan yang akan datang, insya Allah. Hingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.


Dr. Hazim.