Assalamualaikum wbrt.
- Selamat bertemu lagi pada ruang dan saat ini bagi melanjutkan lagi penulisan saya tentang pentaksiran pendidikan. Setelah menghuraikan serba sedikit tentang standard prestasi pada penulisan yang lepas saya akan cuba memberikan beberapa pandangan yang berkaitan dengan standard prestasi.
- Standard prestasi adalah alternatif kepada sistem pelaporan yang telah wujud sejak beratus tahun yang lalu dalam sistem pendidikan di mana pecapaian dan keupayaan murid di sandarkan kepada gred tunggal dalam peperiksaan pusat. Apabila gerakan pembaharuan dalam pendidikan membadai sistem pendidikan di banyak negara terutama negara maju, peperiksaan pusat dilihat sebagai amalan yang membunuh makna pendidikan sebenar. Peperiksaan pusat menjadikan pendidikan beralih fokus daripada mendidik dan melahirkan insan yang terbaik dan sempurna kepada insan yang taksub mengejar A penuh Aspek insaniah terabai dan hanya bidang kognitif yang diberikan tumpuan sepenuhnya.
- Di negara kita, gagasan pentaksiran pendidikan telah bermula pada tahun 2003 apabila istilah pentaksiran dan konsepnya dibentangkan dan diperkenalkan buat pertama kalinya dalam Seminar Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang dianjurkan oleh Lembaga Peperiksaan di Kuala Lumpur pada 5 hingga 8 Mei 2003. Sejak itu Lembaga Peperiksaan banyak menggerakkan usaha ke arah perealisasian sistem pentaksiran dalam sistem pendidikan negara, namun perkembangannya di bahagian-bahagian lain dalam KPM amat minimal, malah boleh dikatakan tiada langsung. Amat menyedihkan. Pihak pengurusan tertinggi pendidikan negara seolah-olah tidak langsung memberikan perhatian tentang perubahan ini, seolah takut untuk berubah, mungkin kerana ketaksuban dengan sistem peperiksaan pusat yang telah mendominasi sistem pendidikan negara sejak sebelum merdeka lagi. Atau memang mereka tidak memiliki pengetahuan yang sewajarnya tentang pentaksiran pendidikan dan merasa amat selesa dalam zon sedia ada dan takut untuk berubah. Tiada usaha ke arah mendapatkan maklumat tentang pentaksiran pendidikan menunjukkan kepasifan banyak bahagian dalam KPM.
- Yang jelasnya mereka lebih selesa dengan program ringan seperti KBAT yang sebenarnya telah pun wujud dalam sistem pendidikan dan pentaksiran negara sejak lama dahulu, cuma dijenamakan semula dan dilaung-laungkan sebagai satu pembaharuan. Walau pun begitu, konsep program ringan seperti ini pun tidak dapat dijelaskan kepada pelaksana di sekolah dengan sebaiknya, dan sehingga hari ini realitinya bagaimana rupa bentuk KBAT itu sendiri masih samar dan terawang-awang. Hanya kekeliruan dan kecelaruan yang wujud dalam kalangan pendidik. Terlalu banyak program ad-hoc tanpa perancangan teliti dan kesamaran konsep diwujudkan dalam KPM menjadikan sistem pendidikan negara huru hara.
- Apabila PBS dilancarkan, ia merupakan langkah yang agak signifikan dalam sistem pendidikan negara kerana PBS merupakan komponen utama sistem pentaksiran pendidikan. Namun pelaksanaannya, sama juga seperti program-program yang pernah lancarkan KPM sebelum ini, dihantui dengan penataran, penyelarasan dan pemantauan yang lemah dan tidak efektif. Akhirnya terkubur. Kurang kefahaman pada pihak pembuat dasar dan penatar menyebabkan pihak pelaksana di sekolah menjadi keliru. Juga kefahaman yang berbeza antara bahagian dalam KPM seperti Lembaga Peperiksaan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Bahagian Sekolah, Jemaah Nazir Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pusat Pendidikan Daerah menjadikan guru di sekolah menghadapi tekanan yang menggila. PPD, JPN dan Jemaah Nazir sebagai contoh, terus-terusan mahukan pencapaian akademik semata-mata sementara LP mahukan pentaksiran menyeluruh yang meliputi keseluruhan dimensi pendidikan - pengetahuan, kemahiran dan nilai. Dan tiada pihak daripada pengurusan tertinggi yang berusaha untuk mengatasi masalah ini. Tiada kesefahaman dan keselarasan. Ini membuatkan murid menjadi mangsa, guru menjadi mangsa dan pengurusan sekolah tenggelam dalam kesesatan.
- IPGM juga, sebagai institusi yang mengeluarkan pendidik ke sekolah saban tahun, tidak mempunyai pengkhususan tentang pentaksiran pendidikan dalam program latihannya sedangkan pentaksiran sepatutnya menjadi teras utama pengajian dalam IPGM. Tumpuan pengajian masih kepada pengukuran dan penilaian pendidikan yang berfokuskan teori-teori pengukuran kelasik sedangkan pentaksiran pendidikan jauh lebih luas dimensinya. Amat menyedihkan apabila bakal guru yang sepatutnya melaksanakan pentaksiran di sekolah tidak dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan. Kenapa ini berlaku terutama dalam institusi latihan keguruan amat menghairankan. LP yang berusaha melaksanakan pentaksiran pendidikan bergerak ke arah lain sementara IPGM bergerak ke arah lain. Tidak adakah kumpulan pemikir dalam KPM yang sepatutnya telah dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan yang akan menjadi penggerak ke arah transformasi pentaksiran pendidikan ini? Saya berharap ada jawapannya.
- Pelaksanaan PPSR bagi menggantikan UPSR merupakan langkah berani KPM ke arah merealisasikana sistem pentaksiran pendidikan negara yang secara khususnya cuba mengangkat naik PBS, mengiktiraf pelaporan yang dibuat oleh pihak sekolah dan mengurangkan kepentingan peperiksaan pusat. Namun masih terdapat tentangan daripada pihak-pihak tertentu yang taksub dengan peperiksaan pusat dan masih mahu melihat keputusan yang boleh membandingkan antara murid, sekolah dan negeri. Keputusan peperiksaan pusat yang cemerlang menjadi kegemilangan (glory) yang dikejar dengan mengorbankan pendidikan sebenar (at the expense of true education). Untuk mempastikan kejayaan inisiatif pentaksiran pendidikan ini, perubahan minda secara keseluruhan dalam kesemua bahagian KPM harus berlaku dan kesemua bahagian harus faham dan sefaham tentang konsep serta pelaksanaan pentaksiran pendidikan.
- Pengoperasian pentaksiran pendidikan seharusnya diiringi dengan perubahan dalam kaedah pelaporan murid dan tradisi membawa sekeping sijil dengan pernyataan subjek dan skor tunggal yang diperolehi selepas tamat persekolahan merupakan amalan yang sepatutnya telah lama berlalu. Di sinilah standard prestasi harus diletakkan. Yang di bawa murid bukan hanya sekeping kertas dengan skor yang tidak memberi makna tetapi helaian-helaian kertas yang memberikan maklumat yang autentik tentang murid tersebut, sama ada daripada segi pengetahuan, kemahiran dan nilai murninya. Pengguna seperti majikan, institut pengajian tinggi, institusi latihan dan kemahiran serta penaja biasiswa akan memperoleh maklumat lengkap tentang seseorang murid itu untuk membuat pemilihan.
- Apakah aspek positif pelaporan dalam bentuk standard prestasi ini? Selain daripada memberikan makna terhadap setiap satu band, skor atau apa saja yang diguna untuk melabel keupayaan murid, standard prestasi membolehkan mana-mana pihak memahami dengan mudah tentang keupayaan sebenar seseorang murid. Pelaporan standard prestasi juga bersifat positif. Tidak ada konsep gagal dalam pentaksiran pendidikan. Setiap pernyataaan menerakan tentang murid, apa yang dia tahu, faham dan boleh buat, dan setakat mana pengetahuan, kefahaman dan kemahiran dihayati dan diamalkan. Standard prestasi tidak melaporkan aspek negatif murid kerana ini merupakan maklumat pribadi dan hanya disimpan oleh pihak tertentu seperti kaunselor. Maklumat sebegini selalunya dikategorikan sebagai sulit dan hanya boleh didedahkan kepada ibu bapa/penjaga, guru besar/pengetua dan pihak-pihak yang tertentu sahaja seperti doktor dan pakar psikologi. Maklumat ini akan diguna untuk tujuan pendidikan, pemulihan dan juga rawatan sekiranya keadaan memerlukan.
- Bolehkah sekolah membina standard prestasi sendiri? Mungkin ada yang ingin mendapatkan jawapan terhadap persoalan ini. Untuk menjawab kita harus melihat kepada sistem pendidikan sesebuah negara. Bagi negara yang mempunyai sistem pendidikan berpusat seperti negara kita, dengan kurikulum yang standard bagi semua sekolah, amat wajar untuk memiliki hanya satu standard prestasi yang piawai untuk kegunaan semua sekolah. Namun terdapat sekolah khas seperti sekolah untuk murid buta, pekak, sindrom down, dyleksia dan bermasalah pembelajaran di mana sebahagian besar murid ini selalunya tidak dijuruskan untuk menduduki peperiksaan pusat seperti murid normal maka ada keperluan sekolah membina standard prestasi yang khusus untuk kelompok murid sebegini. Guru dan pihak pengurusan sekolah harus faham setakat mana pencapaian yang boleh digapai oleh murid kumpulan ini dan berdasarkan ini standard prestasi khusus untuk kelompok murid ini dibangunkan. Jika pencapaian tertinggi yang boleh dicapai oleh kumpulan murid ini ialah menguruskan diri dengan sempurna, itulah band tertinggi yang seharusnya dicapai oleh kumpulan ini.
- Di negara-negara yang tidak mempunyai sistem pendidikan berpusat seperti negara kita seperti Amerika Syarikat, Finland dan beberapa negara Scandinavia yang lain, memang setiap negeri mempunyai standard prestasi sendiri yang berbeza antara negeri. Di sebahagian negara ini seperti di Finland, bukan hanya tiada kurikulum pusat, setiap sekolah membina kurikulum mereka sendiri berdasarkan kerangka yang disediakan oleh pusat. Ini menyebabkan setiap sekolah juga memiliki standard prestasi sendiri yang berbeza antara satu sama lain.
- Adakah semua murid mesti mencapai band 6, iaitu band tertinggi dalam standard prestasi yang dibina dalam sistem persekolahan kita? Jawapannya tidak. Ini kerana band 6 hanya khusus untuk murid yang super cemerlang. Sebahagian besar murid akan berada pada kedudukan band 5 kerana ini merupakan norma bagi setiap populasi (tahu+faham+boleh buat dengan cemerlang). Band 6 khusus bagi murid yang memang super cemerlang, melewati setakat boleh buat dengan cemerlang. Band 6 menggambarkan murid yang bukan sahaja menghayati konstruk-konstruk yang ingin dibangunakn dalam diri murid, tetapi bersifat mithali, iaitu mengamalkan dan menjadi contoh atau role model bagi murid lain.
- Penulisan ini mengambil masa yang agak lama kerana kekangan dan situasi yang tidak dapat dielakkan, namun insyaAllah saya akan cuba untuk meneruskan lagi penulisan ini setakat kemampuan saya. Pada penulisan yang akan datang, saya akan cuba untuk menghuraikan pula tentang LINUS, yang juga merupakan isu yang sering dibangkitkan oleh para guru di sekolah. Masalah yang berkaitan LINUS juga sebenarnya terhasil daripada pemahaman serta penataran yang lemah yang membuatkan kekeliruan pada kalangan guru. LINUS unik kerana ia merupakan program yang dihasilkan 100% oleh LP, bukan ciplakan mana2 program sama ada dalam atau luar negara.
- Sekian buat kali ini, hingga pada pertemuan akan datang, salam hormat dari saya.
Dr. Hazim.